Isu Istana Kelantan sebagai Bukanlah Konflik : Ku Li




KOTA BHARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, tidak menganggap isu yang berlaku dalam Istana Kelantan sekarang sebagai suatu konflik dan beryakinan ia akan berakhir juga.

Katanya, masalah itu boleh diselesaikan apabila Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, pulih sepenuhnya daripada kegeringan dan mampu memerintah semula.

"Ia bukan suatu konflik dalam istana...Jika ada konflik bermakna ada perkara-perkara baru timbul, terserah kepada Tuankulah untuk perbetulkan. Tunggulah dia sihat dulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai isu Istana Kelantan itu.

Terdahulu, Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-13, Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara, Tengku Mohammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Tengku Razaleigh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, berkata beliau tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan bertenang dalam menghadapi isu berhubung istana sekarang.

Beliau yakin Sultan Kelantan boleh kembali mentadbir dan memulakan tugas sebagai ketua agama negeri ini setelah sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.
"Dulu betullah, baginda diusung ke Singapura, kini baginda boleh bergerak, bercakap, boleh makan, jumpa dengan rakyat, cuma percakapannya agak tidak fasih lagi kerana sudah lama berada dalam koma," katanya. - Bernama

Hulu Selangor: Persiapan Jentera Pilihanraya Pas Membuka Lebih 60 Markas


Rekod Khidmat Cemerlang, Pakatan Rakyat Yakin Diterima Pengundi

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA KUBU BAHARU 11 Apr - Naib Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata Pakatan Rakyat mempunyai rekod prestasi kerja yang baik di Selangor yang pastinya akan dinilai oleh pengundi di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil 25 April ini.

Menurutnya, beliau yakin rakyat akan memberi sokongan kepada Pakatan berdasarkan rekod pentadbiran dalam tempoh dua tahun ini melalui agenda reformasi dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri.

"Dengan rekod kerja dan prestasi yang baik ini rakyat tidak akan membuat pertimbangan secara emosi tetapi dengan fakta yang cukup jelas bahawa Pakatan Rakyat merupakan gagasan baru yang mampu bawa perubahan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau, Umno tidak ada lagi isu yang boleh dimainkan dalam pilihan raya kecil itu selain membawa isu bersifat perkauman dan serangan peribadi.
"Umno tidak sekuat dulu dan BN juga tidak ada kekuatan dalaman, maka mereka datang ke Hulu Selangor dengan sogokan politik melalui fitnah yang akan digunakan melalui media yang dikuasai mereka," kata Azmin lagi.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya pula, Azmin berkata setakat ini komitmen yang ditunjukkan rakan parti dalam Pakatan Rakyat, seperti PAS dan DAP sangat membanggakan.

"Saya bersyukur kerana persiapan jentera setakat ini bukan sahaja tertumpu kepada jentera KEADILAN tetapi di selaraskan secara kolektif bersama jentera Pakatan Rakyat.
PAS dan DAP nampak bersungguh-sungguh dan cukup komited membantu keadilan dalam pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.

Tambah beliau, persiapan jentera PAS dan DAP di luar jangkaan yang menyaksikan PAS menyewa lebih 60 buah markas dan penginapan bagi petugas pilihan raya yang datang dari luar seluruh negara.

"Sementara DAP telah menganjurkan beberapa program khusus untuk masyarakat Cina seperti majlis jamuan makan untuk menjelaskan dasar Pakatan Rakyat di Selangor," ujar beliau.

Azmin berkata, perkara itu menunjukkan komitmen Pakatan Rakyat bergerak dalam satu semangat kekeluargaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi bahawa dasar ia mampu membela hak dan mengangkat martabat mereka.

Ditanya mengenai persiapan PRK Parlimen Sibu yang dikosongan berikutan kematian Ahli Parlimennya dua hari lepas, Azmin berkata Pakatan Rakyat akan mengadakan perbicangan dalam masa terdekat bagi menentukan calon sesuai di kawasan itu dan berasaskan prinsip 1 lawan satu.

"Pengalaman kita yang lalu khususnya dalam pilihan raya umum, kita mendapat pengajaran besar jangan lagi bersaing sesama sendiri. Dalam konteks di Sarawak ini kita berdepan dengan jentera BN yang memiliki kekayaan luar biasa. Pakatan Rakyat akan bersama bagi menghadapi cabaran besar untuk memastikan kita dapat membawa kemenangan," ujar beliau.

Untuk APCO Sama Ka...Awat La Banyak Sangat Sampai Tara Nie...Tambahan RM12 bilion kepada Bajet 2010: Ahmad Husni



Tambahan RM12 bilion kepada Bajet 2010: Ahmad Husni

Boleh La Senyum Sampai Telinga....

IPOH: Kementerian Kewangan akan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM12 billion kepada Bajet 2010 yang diluluskan kerajaan sebelum ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Ahmad Hanadzlah.

Beliau berkata, sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Sebahagian daripada peruntukan tambahan itu akan diberikan kepada enam NKRA dan beberapa kementerian yang memerlukan peruntukan tambahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pembangunan Generasi Muda Parlimen Tambun di Insititut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata Model Ekonomi Baru dijangka dapat digunapakai mulai RMK-10 selepas pandangan pelbagai pihak diambil sebagai input.

"MEB sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta, orang awam, pelabur asing dan pegawai kerajaan yang mahu memberikan imput. Saya yakin kerajaan boleh melaksanakan MEB pada Jun ini," katanya.

Ahmad Husni juga berkata, pihak kerajaan masih dalam perbincangan untuk meneliti inisiatif dan trend yang menepati keperluan negara untuk dimasukkan dalam Bajet Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Katanya, kerajaan sedang menerima imput untuk diteliti dan dinilai sebelum dimasukkan dalam RMK-11 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan. - Bernama

Gobind : Ini Bukannya Kali Pertama... Dah Banyak Kali


Dalam reaksi kepada dakwaan Dr Pornthip Rojanasunand bahawa beliau berdepan dengan tekanan dari kerajaan Malaysia supaya tidak memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, ini bukan kali pertamaaduan gangguan terhadap pakar patologi itu. Walaupun Gobind berkata beliau masih dalam proses mengesahkan perkara itu dengan Dr Pornthip, ahli parlimen Puchong itu menyifatkan apa yang dihadapi oleh pakar patologi itu sebagai "amat malang". Usaha sedang dibuat untuk membolehkan beliau hadir di mahkamah, tetapi jika gagal "urusan alternatif" akan dibuat untuk beliau memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui pautan video. "Jika itu juga gagal, maka kita terpaksa teruskan dengan apa yang kita ada dan kita yakin, kita masih mampu berjaya untuk membuktikan kes kita, iaitu Teoh Bengh Hock tidak membunuh diri, tetapi sebaliknya ia adalah jelas kes homisid," kata Gobind dalam satu kenyataan. Beliau juga menyifatkan bantuan yang diberikan Dr Pornthip kepada keluarga Teoh sehingga ini sebagai "amat berguna sekali". "Melalui usaha beliaulah kita dapat menggali semula mayat dan melakukan bedah siasat kedua, di mana keputusannya telah memberi dimensi baru sepenuhnya kepada persekitaran kematian Beng Hock," katanya. Gobind berkata, bagi pihak keluarga Beng Hock, perjuangan untuk memberi keadilan kepada Beng Hock akan dan mesti diterukan. "Kita akan meneruskan inkues ini hinggalah ke akhirnya," kata Gobind. Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyarankan supaya Dr Pornthip dibenar memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui telekomunikasi elektronik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.