Kawalan Istana Kelantan Pada 30 Mac Ditingkatkan


KUALA LUMPUR: Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Kelantan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa sambutan Hari Keputeraan Ke-60 Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, supaya persiapan rapi sepanjang istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berjalan secara aman dan tidak diganggu gugat mana-mana pihak.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di semua jalan menuju ke istana dan kawasan sekitar. Arahan untuk dipertingkatkan kawalan keselamatan itu telah dititahkan oleh Pemangku Raja Kelantan (Tengku Muhammad Faris Petra) dalam satu perintah bertulis bertarikh 20 Mac lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini. Musa berkata, beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di luar perkarangan istana dan beberapa kawasan lain berhampiran Istana Kelantan pada hari sambutan itu nanti.

Kelmarin, Istana Kelantan memaklumkan akan meneruskan tradisi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata, majlis diadakan atas perkenan Pemangku Raja.

Beliau berkata, Pemangku Raja boleh melaksanakan kurniaan itu seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Kerajaan Kelantan.
Jumaat lalu, media melaporkan Sultan Kelantan menitahkan semua acara sempena Hari Keputeraan Ke-60 baginda tahun ini tidak dilangsungkan termasuk pengurniaan gelaran, darjah dan pingat kebesaran.

Titah perkara itu disampaikan menerusi Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku Setiausaha Sulit baginda di Istana Mahkota Kelantan.

Menurut laporan itu, Wan Hashim berkata surat memaklumkan keputusan yang diambil baginda itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 17 Februari lalu dan perkara sama turut disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, Musa berkata pihaknya akan mengambil tindakan atau menjalankan siasatan selepas menerima arahan daripada ketua unit pasukan bukannya menerima arahan daripada pihak ketiga yang tiada kaitan dalam pasukan.

Katanya, beliau sudah menasihati anggotanya supaya tidak menerima sebarang arahan atau perintah daripada orang luar kerana ia jelas mencemarkan kredibiliti PDRM.

"Jika ada orang luar yang berbuat demikian maka ia bertentangan dengan Akta Polis dan akan mengurangkan keyakinan orang ramai kepada kami.

"Kita menjalankan siasatan pada semua kes yang dilaporkan tanpa mengira pangkat atau darjat mahupun parti politik dan siasatan dilakukan kerana ia merupakan tugas utama PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Semalam, Musa dilaporkan mendedahkan kebelakangan ini seperti ada tekanan sama ada dari pihak parti politik atau orang tertentu dan tekanan itu mungkin kerana ada pihak yang kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.

Katanya, hanya Ketua Polis Negara saja yang boleh memberikan arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata siasatan terperinci mengikut Akta Hasutan sedang dilakukan terhadap semua laporan polis oleh beberapa pihak berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, di Dewan Rakyat Rabu lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Musa enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan. - Bernama

16 September : PAS MengetahuiNya



Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa parti itu mengetahui mengenai rancangan yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008 lalu.

Menurutnya, PAS turut bersama dalam perancangan tersebut kerana parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) berusaha untuk mengubah kerajaan pusat sama seperti tindakan Barisan Nasional (BN) yang berusaha mengubah kerajaan sesebuah negeri.

“Memang kita bersama (PR), kita berusaha untuk membuat perubahan tersebut, kita memang berusaha sepertimana BN, ia adalah amalan demokrasi negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya adakah beliau mengetahui bahawa ada golongan ulama dalam parti itu yang mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai perancangan itu, Abdul Hadi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi sesetengah pihak.

“Dakwaan itu tidak tepat dengan hakikat yang sebenar, kami lebih faham apa yang berlaku, PAS juga bijak menangani hal ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, dakwaan lapan nama ahli parlimen yang dikatakan akan melompat keluar dari BN oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim juga tidak tepat.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menuntut perkataan Tuhan dalam Rukun Negara ditukar kepada nama Allah kerana penganut agama lain sudah menerima kalimah Allah seperti mana yang dituntut oleh penganut Kristian.

Katanya, Islam tidak pernah melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah dalam agama mereka walaupun terdapat percanggahan.

“Orang bukan Islam sudah menyedari kalimah Allah ini memberi makna yang unggul, perkataan seperti God dan Lord tidak menepati apa yang mereka mahukan.

“Oleh itu, kerajaan perlu menerima secara positif dalam menangani hal ini dan pada masa sama ia akan menuju kepada perpaduan rakyat,” katanya.

Adakah Saya Bakal Ditahan Di bawah ISA: AJK PAS Pusat




Oleh Hashim Abdullah

BERA, 22 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, terdapat banyak maklumat yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif terhadapnya termasuk kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, penahanannya baru-baru ini bertujuan untuk menakutkan dirinya dan masyarakat peneroka menghadiri program yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan Umno/BN.

“Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha untuk menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka.

“Saya menerima banyak maklumat yang diberikan oleh banyak pihak tentang bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu. Saya akan dedahkan walau pun saya juga mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan agar saya ditahan dibawah ISA,” katanya ketika berucap dalam program yang dianjurkan PAS kawasan di Darul Ikhwan, Mengkarak, dekat sini semalam.

Selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau, baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan dari masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela.

“Selepas saya ditangkap ramai peneroka terutama generasi keduanya tak puas hati dan marah kepada Felda. Malahan, selepas itu semakin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan dapat membela masa depan mereka,” katanya. - harakahdaily

Brahim Katak Cadang Saiful Jumpa al-Qaradhawi



Ahli parlimen bebas Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa dirinya diliwat oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya bertemu dengan ulama tersohor, Yusuf al-Qaradhawi untuk menjelaskan kes sebenar.

Katanya, perjumpa
an itu perlu memandangkan pembangkang telah bertindak mengedarkan rakaman yang mengadungi fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh ketua pembangkang itu.

"Ini dibuat untuk mencipta pandangan di kalangan rakyat, satu persepsi bahawa ketua pembangkang dizalimi, kononnya ini satu konspirasi kedua oleh kerajaan.

Katanya lagi beliau akan menyerahkan kandungan ucapan Yusuf al-Qaradhawi yang disalahtafsir dan diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negara.

“Saya nak minta kementerian dalam negeri supaya menyiasat. Jika ini berterusan, sistem perundangan negara kita akan jadi bahan lawak (mockery).

"Biar Saiful angkat sumpah depan Yusuf al-Qardhawi dan jelaskan perkara sebenar," katanya ketika membahaskan usul junjung kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Ibrahim juga mencadangkan kepada kerajaan supaya Anwar disiasat kerana telah mengambil tindakan merosakkan sistem kehakiman negara.

'Penyokong hak asasi kaum gay dan lesbian'

"Saya melihat tindakan ketua pembangkang dalam menangani kes liwat sudah benar-benar mengancam keselamatan negara.

"Oleh itu, mengambil kira pandangan yang didedahkan Bayan Baru bersabit kegagalan 16 September dan mengambil kira nama Yang di-Pertuan Agong, ketua turus tentera digunakan, saya cadangkan supaya satu suruhanjaya diraja, atau dibuat satu kertas putih, atau dibuat satu inkues, untuk mendedahkan siapa ketua pembangkang ini sebenarnya," katanya.
Menurut Ibrahim, Anwar juga telah menggunakan pengaruh luar untuk meraih sokongan terhadapnya.

Jelasnya, ini dapat dilihat melalui kenyataan ahli parlimen Australia yang mendakwa perbicaraan itu merupakan ciptaan untuk membunuh karier Anwar.

Katanya, Michael Danby yang mengetuai ahli parlimen Australia itu merupakan seorang Yahudi dan penyokong Israel.

"Juga dia seorang penyokong hak asasi kaum gay dan lesbian. Beliau juga mempertikaikan Dr Mahathir mempertahankan Palestin dan mengecam Israel," kata Ibrahim.

Selain itu, Ibrahim turut menamakan beberapa lagi ahli parlimen Australia yang mengutuk pendakwaan ke atas Anwar, termasuk Bob Brown yang menurutnya merupakan wakil gay pertama di negara tersebut yang dipilih ke parlimen.

Surat bantahan ke atas perbicaraan ke atas Anwar itu ditandatangani 60 orang ahli parlimen negara tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.