Kugan Menderita Kesakitan Sebelum Mati: Dr Baldev


Hari kedua perbicaraan kes seorang anggota polis yang dituduh menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian A Kugan, menyaksikan doktor mendapati mangsa menderita kesakitan sebelum kematiannya.

Doktor Baldev Singh Gill dari sebuah pusat perubatan swasta yang mula-mula memeriksa mayat Kugan memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, mulut Kugan ternganga ketika ditemui.

Dalam keterangannya, A Kugan dilihat dalam kedudukan bersandar di dinding dan ada kesan muntah pada pakaiannya.

Malah, bilik soal siasat yang menempatkan mayat Kugan ketika beliau membuat pemeriksaan, berbau muntah dan hancing tapi beliau tidak nampak sebarang senjata.

Namun, Baldev Singh adalah saksi kedua dalam perbicaraan itu.

Sebelum ini, Navindran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaaan kepada Kugan antara jam 7 pagi dan 4 petang di tempat dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Navindran diwakili peguam bela, Datuk P.M. Nagarajan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada jam 7 pagi, 16 Januari tahun lalu.

Saman RM1 juta terhadap Mawi World Ditolak


KUALA LUMPUR: Syarikat minuman Yassa Sdn Bhd gagal dalam tuntutan saman RM1 juta yang difailkan terhadap Mawi World Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi menolak saman itu atas alasan ia tidak berasas.

Hakim Datuk Azahar Mohamed berkata, Yassa sebagai plaintif dalam kes ini tidak menunjukkan keterangan mengenai kerugian dialami hasil penggunaan butiran maklumat lesen Yassa yang digunakan oleh Mawi World bagi pengeluaran air mineral berjenama "Mawi World".

"Dengan alasan-alasan itu, saya tidak ada pilihan lain, tetapi untuk menolak tuntutan plaintif dengan kos," katanya.

Pada 31 Oktober 2006, Yassa menyaman Mawi World kerana mendakwa ia melanggar hak harta Yassa dengan memasarkan air galian berjenama "Mawi World" menggunakan butiran maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.

Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.

Mawi World selaku defendan, dalam pernyataan pembelaan berkata syarikat itu tidak pernah melanggar hak harta sebagaimana didakwa syarikat Yassa.

Dalam keputusannya, Hakim Azhar berkata mahkamah menerima keterangan saksi defendan kedua, Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, bekas pengurus syarikat Johtaw Corporation iaitu syarikat yang dilantik Mawi World untuk mengeluarkan dan membekalkan air mineral berjenama "Mawi World" bahawa syarikat Johtaw diberi kebenaran menggunakan butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa pada botol air mineral "Mawi World" itu.

Hakim Azhar berkata, mengikut keterangan Ahmad Rathi yang ketika itu berurusan dengan pengurus Yassa, arwah Bahari Othman bahawa dia (Ahmad Rathi) mendapat kebenaran menggunakan butiran maklumat itu oleh arwah Bahari bagi pihak Yassa.

"Berdasarkan keterangan saksi defendan kedua, saya tidak nampak alasan untuk menolak keterangannya," katanya.

Hakim Azahar berkata, dalam hujah hari ini peguam Adnan Seman yang mewakili Yassa berasaskan kepada "tort of conversion" iaitu melanggar atau menggunakan hak milik orang lain, tetapi Adnan tidak menggunakan autoriti yang jelas bagi menyokong sama ada butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa itu adalah hak harta Yassa.

Beliau berkata, dalam satu kes undang-undang yang diputuskan mahkamah di negara ini yang dirujuk oleh peguam Adnan, maklumat sulit seseorang itu ialah hak hartanya tetapi dalam kes ini butiran maklumat dan lesen yang dipegang Yassa bukan sulit kerana lesen boleh ditarik bila-bila masa jika berlaku percanggahan.

Lesen pengeluaran air mineral itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hakim Azhar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Terdahulu, Adnan dalam hujahannya berkata kesan daripada penggunaan butiran maklumat lesen oleh pihak ketiga tanpa kebenaran akan menyebabkan pemegang lesen mengalami kesusahan, antaranya jika berlaku keracunan dalam air mineral itu, lesen akan ditarik.

Semasa diminta Hakim Azhar mengemukakan bukti seperti penyata akaun, jumlah keuntungan bagi menyokong jumlah gantirugi RM1 juta yang dituntut Yassa, Adnan berkata kerugian Yassa tidak dialami secara terus tetapi hasil penggunaan butiran maklumat di lesen itu menyebabkan pihak Mawi World mendapat keuntungan dengan cara salah.

Hakim Azhar meminta penjelasan Adnan sama ada Yassa mengetahui keuntungan yang diperoleh oleh Mawi World hasil daripada penjualan air mineral jenama "Mawi World" itu, Adnan berkata mengikut rekod syarikat Johtaw, Mawi World ada membuat tempahan air mineral minimum sebanyak 300 kotak.

"Ambil kira jumlah tempahan minimum itu dan promosi yang dibuat Mawi World itu, membuatkan kerugian pada plaintif," katanya.

Peguam Juliana Mohamed yang mewakili Mawi World, berhujah bahawa butiran maklumat pada lesen adalah maklumat awam dan ia tidak boleh dimiliki.

Beliau berkata, tidak wujud perlanggaran hak harta kerana keterangan daripada Ahmad Rathi membuktikan bahawa Yassa membenarkan Johtaw menggunakan butiran maklumat pada lesen yang dipegang Yassa bagi mengeluarkan air mineral "Mawi World".

Perbicaraan kes itu mengambil masa sehari iaitu pada Rabu, dengan memanggil tiga saksi.

Pengarah Yassa, Muhammad Nizam Bahari, yang mengambil alih perniagaan syarikat Yassa selepas kematian bapanya Bahari, pada 22 Oktober 2006, adalah saksi tunggal plantif dan saksi pertama memberi keterangan.

Ini diikuti keterangan daripada Mohd Azhar Arifin, saksi defendan pertama, iaitu pegawai pemasaran di Mawi World yang bertanggungjawab mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan Mawi World. Ahmad Rathi adalah saksi defendan kedua.

Ketika ditemui selepas keputusan itu, Adnan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

TEOH: 'Tiada bukti dicekik atau ditembus'- Dr Shahidan


Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock berkata bedah siasat pertama dijalankan dengan baik.

Dalam keterangannya hari ini, Shahidan juga berkata kesan kecederaan pada bahagian punggung dan dubur mangsa pula konsisten disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

Menjelaskan lagi pendapatnya mengenai kecederaan pada dubur Teoh, Shahidan berkata: "Kecederaan pada bahagian tersebut adalah sebahagian daripada peristiwa jatuh, sebab patah dan corak-corak (kecederaan) mencadangkan ia begitu.

"Sebab, kalau kecederaan di bahagian belakang telah berlaku lebih awal, pada pendapat saya jenis kecederaan yang akan dialami Teoh mungkin akan berlainan. Saya merujuk kesan kecederaan yang lain juga adalah sama dan berlaku pada masa yang sama.

"Pada pendapat saya jika Teoh telah diperlakukan (ditembus) demikian peristiwa jatuh tersebut mungkin tidak boleh digambarkan kerana kecederaan di bahagian dubur itu agak hebat," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan oleh Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberker yang mengatakan Teoh meninggal dunia akibat kecederaan berganda kerana terjatuh dari tempat tinggi.

"Mereka berdua telah menjalankan kerja dengan baik dan jika diberi kepada saya sukar untuk saya memberi laporan sebaik itu. Saya bersetuju dengan bedah saisat mereka," katanya.

Shahidan juga mempertikaikan laporan ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand yang berkata lebam di leher Teoh adalah akibat dicekik dan kecederaan di duburnya pula akibat ditembus.

Sebaliknya, ahli patologi yang membuat bedah siasat kedua itu berkata jika dicekik, kesan lebamnya akan ketara secara tidak sama rata.

Bedah siasat itu dijalankan pada 22 Nov lalu oleh Shahidan dengan pemerhatian oleh ahli patologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli patologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli patologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka pada suatu tarikh yang belum ditetapkan kemudian.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.

Shahidan memberitahu inkues pagi ini bahawa beliau keberatan untuk melakukan bedah siasat kedua seperti diminta oleh Tricia Yeoh dari pejabat menteri Besar Selangor dan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Pakar patologi dari hospital Sungai Buloh itu berkata, beliau telah meminta mereka menulis kepada kementerian kesihatan.

Pada 9 November, beliau mendapat panggilan dari timbalan pendakwa raya Mohd Abazafree Mohd Abbas, mengarahkannya melakukan bedah siasat tersebut.

Katanya, Pornthip dan Veneziz, bersama dengan dua lagi pakar patologi yang melakukan bedah siasat pertama turut hadir.

Bedah siasat itu bermula jam 12.45 pagi 22 November dan selesai dua jam kemudiannya.

Merujuk kepada laporan bedah siasat tersebut, Shahidan berkata terdapat kesan lebam pada bahagian tiroid si mati.

Juga terdapat darah beku kekal di belakang lidah dekat dengan leher, serta pendarahan di sebelah tepi kanan otak dan di sebelah tepi kanan belakang otak.

Shahidan memberitahu demikian ketika menjawab soalan dari peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Chuan.

Beliau memberitahu inkues pagi ini bahawa terdapat kesan calar ditemui pada tangan kiri Teoh.

Bagaimanapun, katanya, punca kematian Teoh adalah akibat pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Tambahnya, kecederaan pada tengkok Teoh itu adalah akibat jatuh.

"Ia juga menunjukkan bahawa si mati mendarat di kakinya mengakibatkan hentakan kuat pada tulang pelvis dan spina menyebabkan mangsa mengalami patah tulang dan kecederaan pada otot sekitarnya.

"Ada juga kecederaan pada leher yang mungkin disebabkan oleh kesan jatuh. Kecederaan yang dialami adalah sesuai dengan insiden atau kejadian itu," katanya.

Sebaik Shahidan selesai memberi keterangannya, Azmil kemudiannya menangguhkan inkues berkenaan sehingga 1 Mac depan bagi membolehkan peguam yang mewakili keluarga Teoh dan juga kerajaan Selangor menyoal balas ahli patologi berkenaan.

TEOH: Laporan bedah siasat ke-2 didedahkan hari ini


Inkues kematian seorang pembantu politik kepada exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock akan bersambung hari ini dengan anggota keluarganya berharap mereka akan mendapat jawapan sama ada kematiannya itu disenganjakannya ataupun dia dibunuh.

Ahli pathologi hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua ke atas Teoh dipanggil keterangannya hari ini.

Salinan laporan bedah siasat yang dijalankan pada 22 Nov lalu juga dijangka akan diumumkan hari ini.

Shahidan melakukan bedah siasat itu dengan pemerhatian oleh ahli pathologi yang dilantik oleh kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand, manakala Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula melantik Dr Peter Venezis sebagai pemerhati mereka.

Pornthip adalah pengarah Institut Pusat Sains Forensik yang berpangkalan di Bangkok dan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-undang Thailand. Beliau pada perbicaraan tahun lalu berkata 80 peratus kemungkinan kematian Teoh adalah kerana dia dibunuh.

Venezis pula adalah ahli pathologi yang terkenal dengan penyiasatan kematian Puteri Diana.

Kedua-dua ahli pathologi berkenaan juga dijadual memberikan keterangan mereka.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengarahkan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh dilakukan pada 9 Nov lalu berikutan dakwaan Pornthip itu.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai selelepas disoal-siasat oleh pegawai SPRM di ibupejabat mereka di Plaza Masalam, Shah Alam.

Mengikut laporan rasmi, pegawai khas DAP itu terjatuh dari bangunan berkenaan, namun keluarganya pula mendakwa terdapat salah laku dalam kematian Teoh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.