Inilah Kerja Karut Umno dan SPR....Datuk Abd Halim


Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting sebagai mengarut dan tidak masuk akal.

Abdul Halim berkata, prinsip PAS jelas untuk memansuhkan undi pos di kalangan anggota polis dan tentera dan tidak akan bersetuju jika ianya mahu diperluaskan kepada pengundi selain mereka.

"Ini cadangan yang mengarut. Pada dasarnya PAS memang tidak bersetuju sebab kita berjuang selama ini untuk hapuskan undi pos di kalangan polis dan tentera, tiba-tiba SPR nak luaskan hak pengundi pos," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pengkalan chepa itu juga berkata, cadangan itu hanyalah rancangan politik Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan jumlah undi mereka.

"Ini rancangan politik Kerajaan BN untuk mengawal pengundi supaya mengundi mereka, tidak lebih dari itu. Tidak munasabah SPR membuat cadangan itu," katanya.

PAS, katanya akan meminta penjelasan daripada SPR berhubung perkara itu dan bersedia mengadakan pertemuan untuk berdialog.

"Kita akan dapatkan maklumat terperinci dan minta penjelasan dari pihak SPR berkenaan perkara ini. Kalau perlu kepada pertemuan, kita akan bertemu mereka," katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Mohamad Sabu berkata, cadangan itu merupakan satu lagi cara yang membolehkan Umno/BN memanipusi undi pos untuk kemenangan mereka.

"Kita memang tidak setuju. Kalau semua orang boleh mengundi pos, lagi banyak berlaku manipulasi undi pos," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga menegaskan, cadangan SPR itu menunjukkan mereka sedang cuba menghapuskan kebebasan para pengundi kerana undi pos memang diragui ketelusannya.

Ditangguh Lagi.. kes liwat Anwar bermula Feb 2

PUTRAJAYA, Jan 20 — Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperoleh dokumen-dokumen pendakwaan berkaitan kes liwat keduanya sehingga 29 Jan ini.

Sehubungan itu, mahkamah juga memutuskan bahawa perbicaraan kes liwat Anwar yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini ditangguhkan kepada 2 Feb.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Perbicaraan kes liwat itu ditetapkan bermula Isnin ini selepas permohonannya untuk membuang kes tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu.

KENYATAAN BANKRAP IDEA BERNIAT JAHAT


ALOR SETAR, 19 Jan: Pejabat Menteri Besar Kedah menyifatkan kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyebut tiada sebarang pembangunan di negeri ini bersifat provokasi, berniat jahat serta mengelirukan rakyat.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid berkata, ucapan menteri itu yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Hassan Malek yang menyebut bahawa tiada sebarang pembangunan serta dasar Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua hanyalah retorik dan Kerajaan Kedah hanya mampu menyambung apa yang telah diasaskan oleh BN sebelum ini adalah amat melucukan, geli hati dan lawak.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini, Mohd Helmi berkata, selayaknya teks ucapan itu hanya dibaca oleh seorang pemimpin Umno peringkat cawangan dan bukannya dibaca atas sifat mewakili seorang menteri dalam satu majlis yang sebegitu besar ertinya bagi pembangunan ekonomi Melayu.

Berikut ialah kenyataan penuh Mohd Helmi.

Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak media yang sudi menyiarkan kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tersebut.

Kenyataan itu cukup untuk membuktikan bahawa penulis teks ucapan, serta pembacanya yang mewakili Shafie iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek langsung tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Negeri Kedah Darul Aman.

Teks ucapan itu juga lebih kepada bersifat provokasi, berniat jahat serta mengelirukan pandangan rakyat kepada Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman serta tidak merujuk mana-mana asas serta tidak berfakta.

Selayaknya teks ucapan itu hanya dibaca oleh seorang pemimpin Umno peringkat cawangan dan bukannya di baca atas sifat mewakili seorang menteri dalam satu majlis yang sebegitu besar ertinya bagi pembangunan ekonomi Melayu – saya berkata demikian berpandukan isi ucapan yang langsung tidak berkualiti dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Ucapan itu juga sekaligus menafikan titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan baginda pada 17 Januari lalu antara lain menitahkan bahawa: “Corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang baik di bawah kempimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum amat dipuji”.

Dalam ucapan yang dibaca oleh Hassan itu menyebut bahawa tiada sebarang pembangunan serta dasar Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua hanyalah retorik dan Kerajaan Kedah hanya mampu menyambung apa yang telah diasaskan oleh BN sebelum ini.

Ia amat melucukan, geli hati dan lawak.

Saya langsung tidak berhajat untuk membariskan satu persatu perancangan yang dalam pelaksanaan oleh Kerajaan Kedah.

Buat pertama kali dalam sejarah Negeri Kedah, pada tahun 2009, sebanyak 11 GLC berjaya memberi sumbangan sejumlah RM30 juta kepada kerajaan negeri.

Laporan Audit Negara tahun lalu bagi Negeri Kedah dengan jelas menyebut bahawa peningkatan hasil sebanyak 205% dalam kutipan hasil balak, kadar kemiskinan pula dicatatkan menurun dan pertumbuhan KDNK hanya kurang 0.02% kenaikannya jika dibandingkan dengan KDNK Negara (KDNK Kedah 4.6%)

Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil dengan harga sekitar RM380 juta dengan memperkenalkan pengajian di bidang profesional termasuk bidang perubatan atau pembinaan kilang yang bakal menjadi hub kepada hasil tanaman seperti nanas, mempelam serta rambutan yang menjadi lambakan tanpa hasil sejak zaman sebelum merdeka di kalangan rakyat, rasanya cukup memadai bagi menjawab tohmahan dan ucapan dendam kesumat oleh menteri berkenaan.

Itu belum mengambil kira pembinaan rumah kos rendah di Baling dan Kubang Pasu yang bakal dibina, yang kesemuanya dibina berpandukan kemampuan rakyat, bagi menggantikan pembinaan projek perumahan berpandukan kemampuan para pemaju seperti yang diamalkan oleh rakan-rakan Shafie ketika menerajui pentadbiran BN di Kedah.

Menteri Besar senantiasa menyahut saranan Kerajaan Pusat serta memberi kerjasama yang amat baik bagi kepentingan rakyat, tetapi apabila Shafie mula mengungkit-ungkit bahawa hanya BN yang membantu rakyat, saya musykil bahawa Naib Presiden Umno ini seolah-olah mahu meruntuhkan jambatan perpaduan serta kersama erat yang terbina antara Presidennya sendiri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Razak bersama Dato’ Seri Ustaz Azizan bagi kepentingan dan masa depan rakyat seluruhnya.

Bagi saya, ‘serangan’ ini adalah idea terkini pihak Umno dan BN Kedah untuk memburukkan imej baik pimpinan Ustaz Azizan yang semakin disenangi rakyat, selepas usaha Umno dan BN selama ini memfitnah melalui laman blog dan sebagainya tidak berhasil.

Saya tekankan bahawa ucapan tersebut telah menafikan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah serta Laporan Audit Negara 2008 selain berniat jahat memburukkan imej baik Kerajaan Kedah di bawah pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak.

Marilah sama-sama kita renungi antara ucapan awal Ustaz Azizan ketika diberi amanah menerajui Kerajaan Negeri Kedah dua tahun yang lalu: “Kedah kita punya, saya anak Kedah dan tuan-tuan, puan-puan juga anak Kedah, kita sama-sama sayangkan negeri Kedah, adalah menjadi tanggungjawab saya dan semua dari kita untuk sama-sama membangunkan Kedah yang kita cintai ini, kita bina semula Kedah, Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.” /Harakahdaily

Saiful pohon 'bimbingan' hadapi perbicaraan


"Hari Kebenaran yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia bakal tiba. Syukur kehadhirat Allah s.w.t kerana dengan Izin-Nya, saya masih lagi dapat bertahan untuk meneruskan perjuangan hingga ke hari ini."

Itulah kata-kata Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila perbicaraan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mula didengar Isnin ini.

Selepas genap satu dekad Anwar dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri atas dakwaan 'salahlaku seks' dan salahguna kuasa, Saiful menjadi tajuk utama berita, apabila membuat laporan polis pada Jun 2008, mendakwa Anwar meliwatnya.

Sepertimana dalam 1998, Anwar menafikan dakwaan tersebut dan menuduh musuh politiknya mereka konspirasi tersebut untuk menyekatnya ekoran tsunami politik pada 8 Mac tahun lalu.

Dalam catatan terbaru dalam blognya, Saiful memohon bimbingan dari orang ramai sebagai persiapan menghadapi perbicaraan tersebut.

"Dalam meniti hari-hari terakhir episod penantian yang bakal menjangkau satu tahun setengah ini, persiapan rapi perlu dilakukan bagi memperlengkapkan diri sebelum masuk ke gelanggang perbicaraan nanti.

"Akan tetapi, pada hemat saya persiapan yang dilakukan secara bersendirian mesti banyak kelemahan-kelemahannya.

"Maklumlah, ilmu pun tidak secukup mana dan ini baru pertama kali saya akan beri keterangan di mahkamah.

"Saya dengan rasa rendah diri ingin memohon jasa baik anda bagi memberi bimbingan persiapan perbicaraan dari segi psikologi, spiritual, kekuatan rohani, perundangan, bahan bacaan, cara-cara memberi keterangan, menjawab soalan, atau ilmu-ilmu yang sepatutnya bagi memantapkan diri saya apabila di mahkamah.

"Nasihat dan bimbingan oleh pakar-pakar dan profesional yang berkenaan dan para ilmuan juga amat dialu-lukan," tulisnya.

Kepada mereka yang berminat berbuat demikian, Saiful berkata, mereka bolehlah menghantarnya ke alamat emel HariKebenaran@gmail.com atau di ruangan komentar di blognya atau di Facebook.

"Kesudian anda untuk membimbing dan membantu saya dahului dengan ucapan terima kasih. Semoga Allah s.w.t membalas jasa-jasa anda," tulis Saiful.

Saiful juga berharap agar pihak tertuduh tidak lagi berdolak dalih untuk menangguh perbicaraan yang bakal berlangsung Isnin nanti.

Dalam nota kakinya, Saiful menulis, atas faktor 'keselamatan', beliau tidak dapat membalas emel yang dihantar, manakala identiti pengirim akan dirahsiakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.