Allahyarham merupakan satu nama besar dalam arena politik dan gerakan Islam, bukan sahaja dalam negara, malah dikenali di seantero dunia lantaran kehebatan cara berpidato beliau dengan mengemukakan hujah yang mantap yang sukar ditangkis oleh pihak lawan terutama Umno-BN.
Sepanjang penglibatan beliau dalam arena politik tanah air, banyak perkembangan positif dalam memimpin ummah dengan politik yang sihat agar mereka bersedia untuk menyatakan kebenaran di hadapan golongan individu yang tidak berapa cenderung kepada pelaksanaan undang-undang Islam yang kian lama terpinggir dalam kehidupan umat Islam. Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi Gerak (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia).
Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ia dianggap sebagai satu usaha murni kerana mahu membela insan yang dizalimi sesuai dengan pendekatan PAS untuk membela mana-mana insan yang teraniaya dalam segenap lapangan hidup mereka.



