TG NIk Aziz Beri Ingatan Kepada BN - Bom Jangka Akan Meletup Sekiranya....

KOTA BHARU, 7 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

“Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,”ujarnya.

Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Beliau berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya ‘dia mahu kerasi’ sehingga pilihanraya sebenar sudah tidak wujud di Negara ini.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

“Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masaalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi ‘pendendam’ akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

“Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

“Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,”ujarnya.

Langkah ini dianggap sama dengan kes seorang bekas pegawai polis yang membuat kenyataan hemat diri mempertikaikan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu tetapi tiba-tiba keesokannya menukar balik kenyataannya itu.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

“Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,”ujarnya.

Hujan Lebat Serta Ribut Landa Ibu Kota - Lebih 34 Kereta Remuk Ditimpa Pokok Tumbang

RANAP... Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat mengalihkan batang dan dahan pokok yang menghempap kereta yang berada di tempat letak kereta di Jalan Tun Razak berhampiran RHB Bank di Kuala Lumpur pada Isnin. Kira-kira 20 buah kereta ranap kerana dihempap tiga batang pokok di situ ketika hujan lebat kira-kira sejam. Dipercayai kebanyakan pemilik kereta tersebut adalah pekerja RHB Bank

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 buah kereta remuk setelah dihempap pokok ekoran hujan lebat dalam dua kejadian berasingan di tempat letak kereta swasta di Jalan Tun Razak di sini, Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian pertama berlaku berhampiran dengan Wisma Time di Jalan Tun Razak di mana 30 kereta remuk apabila lima pokok termasuk empat pokok besar tumbang dan menghempap kereta yang dipakir di situ pada pukul 5.30 petang.

Pada masa yang sama empat kereta remuk apabila sebatang pokok besar di tempat letak kereta swasta berhampiran bangunan Bank RHB, yang terletak seberang jalan Wisma Time, tumbang dan menghempap kereta tersebut, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang itu sejak pukul 5.50 petang hingga 9 malam ini. - BERNAMA

Mengapa Menantu Azean Irdawaty Tuntut Cerai Daripada Suaminya Yang Ditahan 2 Tahun Di Pusat Pemulihan


PELAKON, Khaeryll Benjamin atau dikenali sebagai Benjy, bertemu ibu dan isterinya semasa hadir di mahkamah bagi mendengar tuntutan cerai dikemukakan isterinya, Safiya Stephence Kar Leng Lee, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur. 7 Mac 2011


7 MAC 2011: Cerita yang bakal Murai Batu kongsikan bersama pembaca murai.com.my ini mungkin bakal menjadi satu lagi dugaan yang cukup berat buat keluarga seniwati Azean Irdawaty.

Mengikut sumber Murai Batu yang cukup sahih, isteri Benjy iaitu Safiya Stephanie sudah pun menfailkan penceraian dan pada hari ini, sebutan kes cerai mereka akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Namu, Murai Batu kurang pasti pula bila tarikh sebenar isterinya menfailkan penceraian tersebut. Apa yang pasti sukar untuk Murai Batu mengulas mengapa Safiya mengambil tindakan tersebut. Tapi mungkin, dia mempunyai sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.

Tak keterlaluan jika Murai Batu katakan ini merupakan ujian kedua yang mencabar kehidupan Azean dan Benjy sendiri. Baru saja selesai kes mahkamah berkaitan dadah dan Benjy sendiri sedang ditahan di Pusat di Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor selama dua tahun bermula 25 Mac tahun lalu, kini isterinya pula minta cerai.

Harapan Murai Batu, baik pada Azean dan Benjy sama-samalah tabah mengharungi dugaan dan cabaran Ilahi. Moga selepas ini ada sinar kebahagiaan menanti anda sekeluarga.

Sumber: www.murai.com.my

Pertembungan Terbuka Antara Mufti Perak Dengan TG Nik Aziz.. Bila Agaknya Akan Bertemu Titik Persamaan???

IPOH, 7 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) berhasrat mengatur pertemuan tertutup antara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalannya, Mohd Munir Ali berkata, pertemuan itu untuk membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam yang menjadi perbualan hangat masakini.

Beliau menyatakan demikian di dalam surat yang dihantar kepada harussani, hari ini.

Menurutnya, pihak Pemuda PAS negeri merasakan sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Ini, katanya ekoran acap kali pertembungan terbuka antara Mufti Perak itu dengan Nik Abdul Aziz dipaparkan melalui media, terutama dalam melibatkan isu-isu agama.

Tambahnya, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

“Kami juga yakin Datuk Nik Abdul Aziz akan bersedia menerima jemputan bagi tujuan tersebut supaya tiada lagi persengkataan terbuka dan masing-masing akan terus dapat memberikan tumpuan pada agenda memartabatkan Islam di dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” ujarnya di dalam surat itu.

Sehubungan, ujarnya DPPN Pk memohon agar mufti itu dapat memberikan tarikh-tarikh yang sesuai dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagi tujuan tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.