Jom Ikuti Kuliah LIVE Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

Rakyat Yaman Turut Ke Jalanraya "HARI BERANG" Tuntut Perubahan Pimpinan


Presiden Yemen Ali Abdullah Saleh berucap di Parlimen semalam menawarkan untuk berundur pada 2013 tetapi terus dibantah oleh pembangkang. – Foto Reuters
SANAA — Lebih 20,000 rakyat Yemen membanjiri jalan-jalan utama di ibu negara Sanaa hari ini – menamakan himpunan sebagai “hari berang” sambil menuntut perubahan segera dalam kerajaan dan menganggap tawaran Presiden Ali Abdullah Saleh semalam untuk berundur pada 2013 tidak cukup.

Protes di kawasan-kawasan lain di Yemen juga dijangkakan selepas ini – mirip perkembangan di negara utara Afrika, Mesir.

Ali Abdullah juga seperti Presiden Mesir Hosni Mubarak memerintah negara itu lebih tiga dekad.

Hosni berhadapan dengan protes aman, berlarutan sejak 10 hari lalu tetapi bertukar menjadi ganas semalam dan mengorbankan lima orang.

Penyokong-penyokong Ali Abdullah memandu di sekitar ibu negara sambil menggunakan pembesar suara menggesa kumpulan prokerajaan agar turun untuk berhadapan dengan puak berdemonstrasi – suasana yang disaksikan di Mesir sejak semalam.

Bagaimanapun sejak awal pagi tadi, penunjuk perasaan antikerajaan Yemen sudah pun berhimpun dalam jumlah yang besar sejak protes tercetus di negara Semenanjung Arab itu dua minggu lalu – tindakan yang turut didorong oleh protes politik Tunisia.

“Rakyat mahukan perubahan rejim,” laung penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Universiti Sanaa di sini.

“Tiada rasuah, tidak kepada pemerintahan diktator,” kata penunjuk-penunjuk perasaan dipetik laporan msnbc hari ini.

Melihat pada pemberontakan yang semakin membara di dunia Arab, Ali Abdullah semalam berkata, beliau akan berundur apabila mandat kepimpinannya berakhir dalam dua tahun lagi.

Beliau juga berjanji anaknya tidak akan mengambil alih jawatan daripada beliau kelak.

“Tiada lanjutan kuasa, tidak diwarisi, tidak akan mengubah kedudukan jam,” kata beliau.

Jurucakap pembangkang Mohammed al-Sabri bagaimanapun telah menolak untuk berunding dengan Ali Abdullah sambil melahirkan kesangsian mengenai tawaran presiden itu.

Mohammed berkata Ali Abdullah pernah membuat janji yang sama pada 2006 tetapi gagal untuk memenuhinya dan bertanding semula.

Ali Abdullah memerintah Yemen sejak 32 tahun lalu.

Ia dilihat sebagai protes terbesar di Yemen, satu lagi negara rakan Amerika Syarikat dalam memerangi rangkaian Al-Qaeda.

Wael Mansour, jurucakap penganjur demonstrasi berkata hari ini, rakyat Yemen tidak berpuas hati dengan pengakuan dibuat oleh presiden mereka semalam.

“Hari ini akan ada tekanan yang lebih besar, segar ke atas Presiden Ali Abdullah, yang perlu adakan lebih banyak kompromi dengan pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan kemungkinan kompromi yang dimaksudkan.

Yemen merupakan negara paling miskin di dunia Arab dan menjadi syurga rangkaian Al-Qaeda.

Hampir separuh penduduk Yemen tinggal di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan RM6 (AS$2) sehari.

"Kami Tidur Dalam Ketakutan Dengan Bertemankan Pisau" Inilah Nasib Pelajar Kita Di Mesir


"Kami tidur dalam ketakutan dengan bertemankan pisau dan penyembur lada di sisi" kata dua sahabat baik yang merupakan penuntut tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Mansoura, Mesir.

Nazeera Mohd Nasir dan Nurul Shafiqah Mohd Tajudin, masing-masing 21 tahun ditemui Bernama selepas selamat tiba bersama tiga lagi pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 malam tadi dengan menaiki penerbangan EK0342 Emirates dari Kaherah.

Nazeera berkata mereka dibelenggu perasaan cemas dan takut ekoran kawasan rumah sewa mereka di Mansoura agak tegang terutamanya ketika malam dengan bunyi tembakan dan cermin rumah dipecahkan.

"Pada hari pertama, ketika itu kami sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid berdekatan yang meminta semua penduduk agar menutup lampu dan mengunci semua pintu kerana banduan terlepas di penjara yang berdekatan dengan rumah sewa kami.

"Kami berkongsi katil setiap malam dan asyik berjaga kerana terdengar bunyi pecah rumah, pengumuman dari masjid jika ada rumah yang dipecah, kereta kebal lalu lalang selain bunyi tembakan hingga menyebabkan kami terpaksa tidur dengan pisau dan penyembur lada demi keselamatan," katanya.

Beliau berkata bimbang dengan keadaan tersebut, mereka nekad menyewa sebuah kenderaan tiga hari lalu untuk membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah namun terkandas di lapangan terbang tersebut setelah gagal menaiki kapal terbang meskipun telah membeli tiket.

"Keadaan di dalam terminal sangat tegang.. semua orang berebut-rebut untuk menaiki kapal terbang. Meskipun kita sudah beli tiket dahulu tetapi itu tidak menjamin kita boleh dapat naik penerbangan tersebut," katanya sambil menambah mereka menggunakan kad kredit untuk membeli tiket penerbangan lain.

Nurul Shafiqah pula berkata terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia yang terkandas di lapangan terbang itu sejak meletusnya tunjuk perasaan pada 29 Januari lalu dan keadaan menjadi lebih meruncing apabila mereka kehabisan wang selain bekalan makanan semakin berkurangan.

"Kami semua duduk dan tidur di atas lantai dengan beralaskan kotak. Malah ramai yang menangis ketakutan dan ada yang telah berada di lapangan terbang tersebut sejak empat hari lalu.

"Kami hanya makan sedikit roti dan air mineral dan terpaksa mencatu makanan kerana bekalan makanan semakin berkurangan selain tidak dapat membuat pengeluaran wang malah roti dan air dijual dengan harga yang sangat mahal," katanya.

Sementara itu, Nor Akhbariah Md Najas, 20, pelajar tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Tanta, Mesir berkata keadaan di Tanta tidak seteruk Mansoura tetapi mereka tetap mematuhi perintah berkurung pada setiap malam.

"Banduan berada di mana-mana dan setiap hari ada sahaja rumah yang dipecah masuk serta barang dilarikan malah kereta kebal dan tentera juga ada di semua kawasan. Keadaan seperti itu sangat menakutkan," katanya yang turut terkandas di lapangan terbang itu selama dua hari.

Ibu kepada Nor Akhbariah, Jamaliah Mohd Salleh, 57, pula berkata ketika pertama kali mendengar insiden Mesir di televisyen, beliau berasa susah hati dan bimbang keselamatan anak kelimanya itu sebelum bertindak memasukkan wang ke dalam akaun Medic Mesir.

"Medic Mesir sangat bertanggungjawab, mereka membelikan tiket untuk Nor Akhbariah pulang ke tanah air. Kita cuma berharap pihak kedutaan juga dapat menghulurkan bantuan dengan lebih pantas kepada pelajar-pelajar yang masih terkandas di sana," katanya.

- Bernama

Kes Bunuh Diri: Mengapa Sarjan Polis Ini Menembak Kepala Sendiri?


TIMBALAN Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan (kanan) melawat tempat kejadian membabitkan kematian seorang anggota polis berpangkat sarjan di Jalan Puncak Alam-Parit Mahang, Kuala Selangor, hari ini. - Foto Che Rani Che Din

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat berpangkat Sarjan ditemui mati bersebelahan keretanya beserta satu kesan tembakan di kepala di satu kawasan tanah lapang di Jalan Mahang, Puncak Alam 2 di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata Mat Saini Omar, 50, merupakan pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan sedang bertugas ketika kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira 11.45 pagi berhubung penemuan mayat yang berlumuran darah dan tersandar di luar kereta Proton Wira itu.


"Turut ditemui di sebelah mangsa ialah sepucuk pistol .38 miliknya dengan salah satu daripada lima butir pelurunya telah digunakan dan barangan peribadi mangsa seperti dompet serta telefon bimbit juga ada bersama mangsa.

"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan dari arah kiri kepala mangsa dan ketika mayat mangsa ditemui, bonet serta pintu kiri di tempat duduk penumpang depan terbuka," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Turut ditemui ialah sehelai pakaian seragam polis dan beberapa helai pakaian lain dipercayai milik mangsa yang tergantung di bahagian belakang di dalam kereta itu.

Mohd Taib berkata polis setakat ini mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kematian mengejut dan sedang menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah mengenainya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Mat Saini yang berasal dari Tanjong Karang telah berkhidmat dengan pasukan polis lebih 25 tahun.

Menurut Mohd Taib, Mat Saini telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang perkhidmatannya bersama pasukan polis dan Allahyarham juga tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.

Turut melawat tempat kejadian dan juga mangsa ialah Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan dan Ketua Polis Shah Alam,Zahedi Ayob.

Mohd Taib mengesahkan bahawa jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital TanjungKarang untuk dibedah siasat.

Allahyarham meninggalkan isteri yang juga kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan empat orang anak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.