Penjelasan MB Selangor - Kenapa YAB MB Tak Bertanding Jawatan Timbalan Presiden PKR

Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan, beliau membatalkan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden PKR kerana yakin objektifnya bagi menguatkan muafakat parti dan mempromosikan budaya politikyang sihat boleh direalisasikan tanpa jawatan kanan dalam parti itu.

Menteri Besar Selangor itu berkata, memandangkan pilihan raya umum akan datang tidak lama lagi, menjadi tugas pertama baginya untuk menjadikan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu sebagai contoh kerajaan dinamik, berprinsip dan berpaksikan kebajikan rakyat.

"Dengan membina keyakinan ini dalam minda rakyat, kita akan lebih dekat kepada hasrat kita untuk menyebarkan semangat reformasi sehingga ke Putrajaya," katanya yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Ijok.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat setelah berbincang dengan anggota jawatankuasa khas yang dibentuk dan setiausaha politiknya Faekah Husin.

Semalam, Khalid dan 'Puteri Reformasi' Nurul Izzah
Anwar yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presidentidak berbuat demikian.

Kerusi itu akhirnya menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua naib presiden - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub - serta pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid juga berkata, menjadi tugasnya untuk memastikan bahawa Selangor dikekalkan sebagai kubu kuat Pakatan Rakyat.

"Satu lagi faktor terhadap keputusan saya adalah fokus besar terhadap Lembah Klang dalam belanjawan yang baru diumumkan. Projek 'Greater Kuala Lumpur' melibatkan projek berbilion-bilion ringgit, dan kerajaan Selangor mesti memainkan peranan yang besar dalam memastikan projek-projek ini dikendalikan dengan cekap dan telus," katanya.

Menurut Khalid, demi menjamin kepentingan rakyat, kerajaan Selangor akan memantau dan meneliti semua projek ini, khususnya berkaitan proses tender dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan awam.

Yakin dengan kebolehan calon yang menerima pencalonan, Khalid berharap semua mereka akan mengamalkan kempen yang berasaskan budaya politik sihat yang wajar bagi bakal pemimpin negara.

Kanak-Kanak 4 Tahun Meronta-Ronta Atas Riba Bapanya Sebelum Maut

Kaki mangsa tersepit akibat nahas
Abdul Lajis Zakaria (kiri) dan Mariah Ahmad.
Abdul Lajis Zakaria (kiri) dan Mariah Ahmad.

LENGGONG: "Dia meronta-ronta atas riba bapanya... saya cuba menariknya keluar tetapi kakinya tersepit akibat nahas itu. Selepas lima minit, dia sudah tidak bergerak lagi.

Nada kesal bercampur sedih itu diluahkan Ketua Kampung Lenggong, Mohd Razli Ahmad, 56, yang juga orang terawal tiba di tempat nahas yang meragut tiga beranak termasuk kanak-kanak 4 tahun selepas dua kereta bertembung di Kilometer 42.7 Jalan Kuala Kangsar-Grik dekat Kampung Lahar, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, empat yang lain turut cedera, termasuk tiga parah.

Mereka yang meninggal dunia ialah Mariah Ahmad, 61; anaknya, Abdul Lajis Zakaria, 42 dan Mohd Mukmin, 4, yang juga cucunya.

“Dia (Mohd Mukmin) masih hidup sewaktu saya sampai. Anak itu meronta-ronta atas riba bapanya (Mohd Lajis). Saya tidak terdaya menariknya kerana kakinya tersepit,” kata Mohd Razli, menceritakan detik cemas cuba menyelamatkan anak kecil yang tersepit bersama bapanya di tempat duduk depan sebelah pemandu.

Kereta Proton Saga itu dibawa suami Mariah, Zakaria Yasin, 67, yang parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK).
Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata semua mangsa yang terbunuh dan tiga parah itu berasal dari Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Kedah, yang menaiki satu kereta menuju ke arah Kuala Kangsar.

Satu lagi kereta Proton Wira dipandu oleh Tajul Khairi Muhamad, 22, pelajar Tahun Dua Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Pulau Rusa, Kuala Terengganu, seorang diri. Dia bagaimanapun hanya cedera ringan di dahi dan kaki kiri.

Mahad Nor berkata, kemalangan itu berlaku di jalan lurus kira-kira dua kilometer dari pekan Lenggong.

“Mariah yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya, Mohd Mukmin, mati sebelum sempat dibawa ke hospital. Abdul Lajis menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Kangsar tengah hari ini (semalam).

“Kemalangan itu menyebabkan kereta Proton Saga remuk di bahagian depan manakala Proton Wira pula remuk di bahagian depan sebelah kiri,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Grik untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dirawat di HKK.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Lenggong, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota berjaya mengeluarkan tiga mangsa tersepit dalam tempoh enam minit.

Pelakon Yalal Chin Selamat Dikebumikan

Emelda Rosmila dan Yalal Chin (kanan) ketika berlakon dalam Jongkang Jongkit.

PETALING JAYA: Jenazah pelakon dan dramatis terkenal, Yalal Chin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka pada pukul 11.30 pagi, Sabtu.

Beliau meninggal dunia kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada pukul 12.15 pagi, Sabtu.

Allahyarham sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU) di HUKM kira-kira dua minggu lalu.

Yalal Chin atau nama sebenarnya Yalal Abu Chin, 67, meninggalkan seorang balu iaitu Suriani Mohd Yusof.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Melaka, awal pagi ini, untuk disemadikan di kampung halamannya.

Sepanjang penglibatan arwah dalam industri seni, beliau pernah bergelar pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip.

Yalal pernah muncul dalam filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam, drama bersiri Ezora dan telefilem Aku Yang Aku Cari.

Kedah Akan Bertemu Kelantan Di Separuh Akhir Rabu Nanti

Pusingan kedua

- Perlis 1 Negeri Sembilan 3 (Negeri Sembilan layak agregat 4-1)

- Kedah 3 Terengganu 0 (Kedah layak agregat 5-2)

- Pahang 2 Johor FC 1 (Johor FC menerusi peraturan gol di tempat lawan (2-2)



Jadual perlawanan separuh akhir pertama

Rabu

- Kedah lwn Kelantan (Stadium Darul Aman, Alor Setar)

- Negeri Sembilan lwn Johor FC (Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi)



KUALA LUMPUR - Penyandang juara, Negeri Sembilan mempamer aksi garang dalam kempen mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas membenam Perlis 3-1 pada saingan suku akhir kedua di Stadium Utama untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 4-1, semalam.

Beraksi di depan ribuan penyokong lawan, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu, yang menang 1-0 pada suku akhir pertama langsung tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan Singa Utara apabila membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Abdul Halim Zainal.

Kesilapan penjaga gol Perlis, Suhardy Elby menepis lemah sepakan percuma Shukor Adan pantas disambut oleh Abdul Halim yang tidak dikawal di dalam petak penalti tenang merembat masuk. Berang melihat aksi buruk yang dipamer bahagian pertahanan, penyokong tuan rumah membuat kecoh dengan membaling batu ke dalam padang pada minit ke-35, menyebabkan perlawanan terhenti kira-kira 10 minit.

Sebaik saingan disambung Abdul Halim sekali lagi menambah derita Perlis dengan gol kedua pada minit ke-40, kali ini menerusi rembatan cantik dari luar petak penalti selepas menerima lorongan S. Kunanlan.

Usaha Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua terencat, sebaliknya Negeri Sembilan berjaya menambah gol ketiga melalui bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan pada minit ke-74. Gol tunggal Perlis disumbangkan oleh Azrul Ahmad menerusi sepakan penalti pada minit ke-89.

Menanti Negeri Sembilan pada separuh akhir, Rabu ini ialah pasukan berstatus kelab, Johor FC yang menyingkirkan Pahang sekalipun tumpas 2-1 di Stadium Darul Makmur. Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas Johor FC menang 1-0 pada suku akhir pertama, namun mereka mara menerusi peraturan gol di gelanggang lawan.

Dalam perlawanan semalam, Johor FCberada di depan hasil jaringan Eddy Helmi Manan pada minit ke-52, sebelum Pahang membalas menerusi dua gol pada separuh masa kedua melalui Md. Sharizan Md. Salleh minit ke-65 dan Faizol Hussein ke-70.

Melengkapkan slot separuh akhir Kedah, yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Terengganu untuk layak menerusi agregat 5-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pemain tengah, Badrrol Bakhtiar meletakkan Kedah di depan pada minit ke-62, sebelum Sabre Mat Abu menambah gol kedua, lima minit kemudian. Khyril Muyhmeen Zambri melengkapkan kemenangan 3-0, di minit ke-83.

Kedah akan bertemu Kelantan dalam satu lagi separuh akhir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.