Pas Desak Kerajaan Sedia Prasarana Sukan Untuk Wanita Islam

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud mendesak Kementerian Belia dan Sukan supaya menyediakan prasarana sukan kepada wanita Islam.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010 petang semalam, beliau berkara prasarana yang sedia ada tidak menggalakkan wanita muslimah bersukan dan mengamalkan cara hidup yang sihat.

"Dalam baju tangan panjang, seluar tangan panjang dan bertudung untuk senam arobik di tempat awam, kita tidak selesa sebab berpeluh dan kita panas.

"Sebab itu, antara sebab mengapa ramai wanita Islam yang menutup aurat enggan bersukan di khalayak ramai, kerana mereka berasa tidak secucuk dengan pembawaan imej Islam oleh mereka," ujarnya di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, kerajaan pusat sepatutnya menyediakan prasarana yang lebih sesuai bagi memenuhi hak wanita Islam untuk bersukan.

"Kita tidak meminta orang lain menutup aurat seperti kita, tapi kita meminta hak kita sebagai wanita Islam untuk menjaga aurat (ketika) bersukan," ujarnya.

Hak-hak yang dimaksudkan, katanya termasuk menyediakan waktu khusus dan eksklusif supaya wanita Islam boleh menggunakan prasarana sukan yang sedia ada.

"Minta Menteri (Datuk Ahmad Shabery) bagi beritahu pada perbadanan supaya bagi hari yang khusus untuk wanita Islam mengamalkan cara hidup yang sihat dengan guna stadium-stadium ini,” ujarnya.

Dari segi yang lain, beliau turut mengkritik kaedah pemakaian etlit yang baginya lebih mencolok mata dari mereputasi mutu sukan.

Beliau turut mengkritik komitmen kementerian kerana gagal membentangkan formula kerajaan dalam mereputasi mutu sukan negara di peringkat dunia.

“Semuanya (perbentangan rang undang-undang) tentang pengurusan aset dan urusan gaji, tidak ada kena mengena dengan meningkatkan martabat sukan itu sendiri.

"Bagaimana persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan sukan selepas ini, selepas diperbadanankan dan menjadi entiti korperat," ujarnya.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria turut menyuarakan kerisauan di sebalik penggubalan rang undang-undang tersebut.

"Sejauh manakah akta ini akan mengambil alih atau berlaku pertindihan kuasa dengan kuasa yang ada di peringkat kerajaan negeri.

Pun begitu, Ahmad Shabery menafikan bahawa langkah kerajaan itu untuk menghalang kerajaan negeri Pakatan Rakyat menggunakan stadium negeri untuk aktiviti masyarakat dan parti.

Lantai Kelas Runtuh - 10 murid cedera Di SK Gunung Dekat Alor Setar

ALOR SETAR 13 Okt. – Seramai 10 orang murid Sekolah Kebangsaan Gunung di sini cedera setelah lantai kelas agama di sekolah itu runtuh secara tiba-tiba.

Tiga daripada mangsa itu dipercayai patah kaki dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi ini.

– Utusan

Datuk Ibrahim Ali Masih Bergelar Datuk Walaupun Sultan Kelantan Lucutkan Gelaran

KOTA BARU: Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk yang dikurniakan kepada Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dan bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Penarikan semula gelaran itu selang beberapa hari setelah Ibrahim mengadap Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra.

Selepas kunjungan pada Jumaat lalu, Ibrahim dipetik sebagai berkata, Tuanku Ismail kononnya sangat gembira bertemu beliau dan sempat berkongsi pengalaman bersama beberapa tahun lalu.

Wan Hasim pula merupakan setiausaha sulit kepada Sultan Kelantan sebelum ini.

Sementara itu, dalam reaksi spontannya, Ibrahim ketika dihubungi oleh Malaysiakinimengesahkan beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini bahawa DMSK yang membawa gelaran 'Datuk' yang dianugerahkan kepadanya telah dilucutkan.

Pingat itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

“Saya tidak tahu sebab-sebabnya tetapi pada 7 Oktober lalu, saya ada menziarahi Sultan Ismail di Istana Mahkota. Sejak Sultan Ismail gering dan pulang ke Kelantan, inilah pertama kali saya melawat kerana hubungan peribadi saya amat rapat dengan Sultan Ismail.

Apapun, ia tidak menjadi hal pada saya dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam pesanan ringkas SMS kepada
Malaysiakini.

Menurut presiden PERKASA itu lagi, taat setianya kepada Sultan Kelantan sekarang, Tuanku Muhammad V tidak berbelah-bagi.

“Saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi raja kerana ia asas perlembagaan negara dan sebahagian daripada budaya
Melayu menjunjung kedaulatan raja. Ampun Tuanku,” katanya.

Ibrahim juga menjelaskan beliau masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Di Baling - Ada Insan Zalim Buang Bayi Dalam Semak

BAYI SIAPA?... Bayi lelaki seberat 3 kg, ditemui dibuang dalam semak berdekatan Taska Mawadah Kampung Titi Teduri, Pulai pada pukul 10 pagi ini, sedang berada dalam ambulan untuk dihantar ke hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman. Kelihatan, Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Faizal Mohd Zabil sedang mendapatkan maklumat daripada jururawat mengenai bayi berkenaan. Foto BERNAMA


BALING: “Saya terkejut apabila dimaklumkan pekerja ada kesan darah pada daun dan objek bergerak berhampiran pagar,” kata Siti Hawa Osman, 45, yang menemui seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di tepi pagar Taska Mawaddah, Titi Teduri, Pulai, dekat sini, semalam.

Siti Hawa yang juga pemilik taska berkenaan, berkata dia dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 10 pagi ketika kanak-kanak di taska itu melakukan rutin pagi.

“Saya terkejut apabila melihat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir dibalut tuala basah dan masih bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, tali pusat bayi terbabit sudah dipotong dan terdapat kesan luka pada badannya dipercayai terkena duri dan ranting pokok di tepi pagar pusat asuhan kanak-kanak itu

Katanya, seorang pekerja melalui tepi pagar sebelum ternampak kesan darah pada daun dan objek bergerak di tepi pagar itu.

“Setiap jam 7 pagi, saya menerima kanak-kanak yang dihantar hingga dijemput ibu bapa mereka pada jam 6 petang manakala pintu pagar berkunci dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dua tahun mengusahakan taska itu, dia tidak pernah mengalami peristiwa seperti itu dan percaya bayi terbabit ditinggalkan di kawasan itu sebaik dilahirkan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan, berkata polis menerima aduan pengusaha taska berkenaan kira-kira jam 10 pagi sebelum anggotanya bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, bayi lelaki seberat tiga kilogram itu dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 4 petang semalam dan dilaporkan stabil.

“Kami masih mengesan suspek yang bertanggungjawab dan hingga kini tidak ada tangkapan dibuat,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.