Tarikh Pilihanraya Kecil Galas 4 November... Kenapa SPR Pilih Hari Khamis?

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Gua Musang, Kelantan ditetapkan pada 4 November ini.

Pada sidang media di Putrajaya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga mengumumkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat, pagi ini.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lalu.

Menurut Wan Ahmad, seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa manakala 127 pengundi pos layak menentukan ADUN di Galas.

SPR juga menamakan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustaffa Wan Abdul Halim sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga penolong pengurus.

Penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini bakal berlangsung di Bilik Gerakan Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November.

Sebanyak 11 buah sekolah, sebuah balai dan dewan akan digunakan sebagai tempat mengundi yang membabit 25 buah saluran.

Wan Ahmad juga berkata seramai 323 petugas pilihan raya telah dilantik oleh SPR bagi melincinkan perjalanan pilihan raya itu.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus, 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

SMS Dari Kubur: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini."

Foto

NAJIB Abdullah Ghani mengubati Siti Balqis sambil diperhatikan Adun Jabi, Ramlan Ali (dua dari kanan) di rumah di Kampung Gong Nangka, Apal, Jertih, malam tadi.

JERTIH: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini." Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.

Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam itu.
Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.

Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.

Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.
“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.

Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak sulung empat beradik itu dikatakan ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.

Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.

Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.

Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.

Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.

Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.

Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.

“Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam,” katanya.

Pelakon Bogel Popular Dunia Arab Enggan "Bertaubat"

Source: www.alarabiya.net
Translated by beritaislamglobal.blogspot.com, English version
here

Nihad Alaeddin (gambar), artis perintis dalam dunia Arab yang terkenal kerana melakonkan babak bogel, bukan sahaja memandang rendah extremisme Islam malah menyeru supaya seks di bawa semula ke rantau itu yang disifatkannya sebagai ‘kecewa’, menurutnya dalam satu temubual dengan sebuah akhbar.

“Kita perlu masukkan seks ke dalam panggung kerana penonton kita sudah kecewa,” katanya kepada New York Times.

Skirt –pendek sering dilihat berbanding hijab dalam kampus universiti sekitar tahun 60-an dan 70an, kerana orang Arab pada masa itu menikmati dasar keterbukaan yang dibawa oleh fahaman Marxisme dan komunisme, tetapi ‘fenomena liberal’ ini terhenti tiba-tiba apabila dipukul gelombang Islamisasi yang dibawa oleh puak-puak konservatif.

“Dulu kebebasan berkembang mekar,” kata Nabil Maleh (gambar), pengarah warga Syria yang membantu membina karier Nihad.


Nihad diberi jolokan sebagai Ighraa, perkataan Arab bermaksud godaan, kerana membuatkan ramai orang kagum dan terpesona dengan lakonan hebat beliau. Pada 2009 TV Syria menyiarkan dokumentari tentang kehidupannya, dan pada ketika ini seorang lagi pengarah terkenal Syria sedang berusaha menyiapkan filem kisah hidupnya.

Tidak akan ‘taubat’

Berpegang kuat pada pandangannya, dan berprinsip dalam pendiriannya, Nihad sering dikritik oleh golongan Islamis dan tidak seperti kebanyakan artis sezamannya; beliau menolak untuk meminta maaf atas lakonan-lakonannya yang panas dan penuh godaan itu.

“Hari ini orang lelaki bersikap hipokrit. Jika seseorang perempuan itu memakai hijab dia sudah tentu seorang yang jujur,” kata Nihad dalam suara yang tersekat-sekat akibat kuat merokok, semasa temubual tengah malam dengan akhbar Times. Golongan konsevatif pada hari ini, katanya, kebanyakkanya “penipu yang mengkritik orang lain tetapi tidak begitu percaya pada diri mereka sendiri.”

Sekalipun cenderung menentang situasi hari ini, Nihad adalah peminat utama Hassan Nasrallah, pemimpin Hezbollah Lebanon, walaupun tidak sependapat dalam hal-hal berkaitan prinsip Islam, tapi amat mengagumi kejujurannya. “Jika dia suruh saya korbankan darah, saya sanggup,” tambahnya.

Nihad berhenti sekolah semasa di gred kelima dan berpindah ke Kaherah bersama-sama kakaknya semasa berusia 13 tahun dalam tahun 50an.

Di sana dia diasuh oleh penari gelek lagenda Mesir, Tahia Carioca (gambar) sehingga membawa kepada lakonan dalam drama-drama televisyen. Tidak setakat itu, berbekalkan keazaman yang kuat, beliau terus mencipta kejayaan memegang watak utama, menjadi penulis skrip dan pengarah yang hebat.


Ketika penerbit menggelar beliau sebagai Ighraa (Arab untuk Godaan), kakaknya pula dikenali sebagai seorang yang 'Menawan'. Nihad masih mengekalkan nama gelaran tersebut, sementara kakaknya pula telah lama meninggalkannya kerana ingin mendekati agama dan tidak ingin lagi berbicara tentang kenangan lampau.

“Dia seorang yang amat penting kerana tidak menipu,” kata Khaled Khalifa (gambar), seorang penulis novel terkenal dan penulis skrip televisyen. “Dia tak pernah menyesal, dia tak pernah meminta maaf.”


“Hari ini, memang payah nak lihat adegan cium dalam televisyen dan filem di Syria,” tambahnya.

Kritik

Sekalipun tidak ingin berlakon lagi, masih terdapat pihak-pihak yang melemparkan kritikan mengatakan cerita-cerita terbaru tentang dirinya adalah semata-mata satu usaha bagi menyanjungi karier ‘porno-ringan’ beliau yang lepas.

“Saya tanggalkan pakaian saya atas prinsip,” katanya. “Kalaulah saya lakukannya semata-mata kerana wang, saya mungkin telah lakukannya dalam gelap dan boleh dapat lebih banyak (wang) lagi.”

Aksi pertama

Pada masa di mana industri filem Arab dikuasai oleh Mesir, filem yang dilakonkan Nihad pada 1970, “Harimau bintang”, adalah pelopor yang memasyurkan panggung wayang moden di Syria, dan kerana bimbang fiem tersebut tidak mendapat sambutan; pengeluar dan pengarah mencadangkan supaya beliau beraksi bogel.


“Saya rasa seolah-olah macam seorang pengebom berani mati apabila melakonkan adegan ini,” katanya mengingati kisah lampau. “Untuk melakukan adegan tersebut di Syria – sudah pasti akan dikritik.”

Nihad bersungguh-sungguh mempertahankan pilihan pengeluar dan pengarah pada masa itu.

Adegan yang menampakkan kelibat tubuh semasa aksi seks amat mengejutkan penonton pada masa itu, tetapi tidaklah terlalu panas jika dibandingkan dengan apa yang dihidangkan pada hari ini.

Filem-filemnya selepas itu menonjolkan beberapa adegan memakai bikini. Nihad telah menulis 25 skrip, dan menganggap kerjanya sebagai satu usaha untuk membetulkan sikap lelaki kepada wanita.

“Filem saya mengkritik sikap bermuka-muka lelaki Timur,” katanya. “Dia belajar di Eropah, tapi bila balik ke Timur, dia kembali dengan sikap lamanya. Kalaulah dia boleh kurung isteri dan adiknya, dia sanggup,” katanya kepada akhbar.

Ramai pembuat filem yang lebih muda menganggap lakonannya kurang penting berbanding dengan penentangannya, di dalam negara di mana artis-artis dipaksa mengikut kehendak badan penapisan filem, atau golongan konservatif agama.


Keratan akhbar semasa zaman kemuncaknya.

Kenapa KM Sarawak Sukar Tentukan Tarikh Pilihanraya Di Sarawak?

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata terlalu sukar baginya menentukan tarikh pilihan raya Sarawak kerana masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum pengumuman mengenainya dibuat, lapor Berita Harian Online.

Beliau mengakui petanda untuk mengadakan pilihan raya kini semakin ketara, namun beliau belum dapat memberikan sebarang keputusan.

bn supreme council mt meeting sapp sabah issue 190608 taib mahmud"Anda tahu macam mana sukarnya untuk menentukan tarikh pilihan raya? Jika anda hendak berkahwin, anda tentu tahu macam sukar untuk membuat keputusan walaupun keputusan itu hanya untuk seorang saja dan saya terpaksa membuat keputusan untuk lebih dua juta rakyat Sarawak," katanya kepada Berita HarianOnline.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Swinburne, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini,

Seramai 292 graduan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu menerima sijil masing-masing pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor dan Presiden Universiti Teknologi Swinburne, Profesor Ian Young.

Abdul Taib yang sebelum ini mengumumkan untuk kekal menerajui Barisan Nasional (BN) negeri bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, berkata perkara utama yang bermain dalam fikiran beliau ketika ini ialah perancangan yang akan dibuat untuk manfaat rakyat Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, perkara yang dirancang dan diyakini mampu dilaksanakan itu akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya negeri akan datang.

"Saya tidak akan menjanjikan (dalam manifesto) sesuatu yang saya tidak mampu laksanakan. Apa yang saya mampu buat dan tidak mampu buat, bergantung kepada maklum balas rakyat, sebab itu saya harus berhati-hati dengan apa yang saya hendak katakan.

"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak boleh diterima rakyat, kemudian ia dirancang tetapi gagal dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Taib, berkata beliau harus menyediakan manifesto yang mudah difahami rakyat dan untuk pilihan raya akan datang, beliau membayangkan manifesto akan menitikberatkan soal pembangunan ekonomi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.