MP Serdang Perlukan Kebenaran Mais Untuk Masuki Ruang Solat .... Sudah Puashatikah Utusan?

Teo berkata akan mengambil peringatan amaran yang dikeluarkan oleh Mais. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 2 Sept — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata telah menerima surat amaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais), yang meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo berkata surat amaran yang diterima melalui faks menjelaskan sekiranya mahu memasuki ruang solat beliau perlu mendapatkan kebenaran Mais terlebih dahulu.

“Ya, saya sudah terima surat amaran itu pada pukul 1.30 tengah hari (semalam).

“Dalam surat itu mengatakan bahawa saya dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tanpa kebenaran Mais terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau akan mengambil peringatan daripada surat tersebut dan akan merujuk kepada Mais terlebih dahulu sebelum ke masjid dan surau.

“Sudah tentu saya akan ambil peringatan, ini adalah titah Sultan Selangor.

“Apa lagi yang saya boleh buat?

“Saya kena patuh kepada titah Sultan Selangor kerana dalam surat itu Mais kata ia adalah titah daripada Sultan Selangor,” katanya lagi.

Teo sebelum ini dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam.

Awas Golongan Putar Belit - MB Kedah

Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap golongan yang memutarbelitkan isu-isu tertentu bertujuan merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

Berucap di Perhimpunan Hari Kemerdekaan Ke-53 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Sri Negeri, supaya rakyat meningkatkan kerjasama dan perpaduan serta sentiasa berhati-hati dengan golongan tersebut.

“Golongan ini sentiasa menunggu isu-isu tertentu untuk diputarbelitkan sehingga berlaku salah faham antara kaum yang ada. Mereka juga menyambut merdeka tetapi seperti kata pepatah rambut sama hitam hati lain-lain,” katanya.

Sebagai rakyat berbilang kaum di negara ini semua pihak hendaklah saling bersefahaman serta hormat-menghormati.

“Kita juga bernasib baik kerana tidak ada sengketa kaum atau agama seperti yang berlaku di sesetengah negara sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

Menurutnya, dengan mengenang sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan dan memahami erti perjuangan, terutama bagi rakyat yang lahir selepas kemerdekaan ianya menjadikan seseorang lebih menghargai erti kemerdekaaan kerana sedar betapa penting hidup bebas daripada belenggu penjajah .

“Pun begitu kita harus ingat penjajahan masih boleh berlaku dalam bentuk lain iaitu penjajahan pemikiran, budaya dan kita sebagai rakyat yang berperibadi mesti bijak menilainya,” katanya.

Walaupun sudah 53 tahun merdeka dan banyak kemajuan dicapai sepanjang tempoh itu, rakyat perlu berhati-hati dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Ini kerana, katanya, negara yang miskin bukan sahaja membebankan rakyatnya malah kurang dihormati kerana tidak upaya bertindak dengan bebas dan terpaksa bergantung kepada bantuan dan belas kasihan negara lain.

Oleh rakyat mesti berusaha untuk maju kerana sekiranya masih kekal sebagai negara miskin, kemerdekaan yang selama ini dibanggakan tidak memberi makna.

“Apa guna negara merdeka jika rakyatnya hidup menderita serta merana sentiasa bergantung kepada belas kasihan orang lain,” katanya.

Sempena majlis itu beliau memberi ucapan penghargaan terhadap jasa-jasa kakitangan perkhidmatan awam, para pendidik dan guru, badan kehakiman dan perundangan yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Mereka telah memenuhi amanah dalam membantu negara mencapai tahap kejayaan hari ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sektor swasta, sektor industri, sektor perkhimatan, sektor perniagaan, kewangan yang sama-sama telah membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara ini.

Katanya, negara menghargai peranan segenap lapisan masyarakat warga desa dan kota termasuklah peniaga kecil, nelayan, petani, peneroka dan penternak yang masing-masing ada sumbangan terhadap pembangunan negara.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap angkatan tentera dan polis yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dalam mempertahankan kemerdekaan dan mengawal keamanan negara walaupun ada di antara mereka yang terkorban.

Majlis ini diisi dengan bacaan Ikrar oleh pelajar Kolej Universiti Insaniah, nyanyian lagu puisi oleh artis Sani Sudin dan lagu-lahu patriotik oleh Koir Wisma Darul Aman.

Kenyataan Pengerusi UMNO Kelantan Menunjukkan Ketakutan UMNO Makin Ketara...

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: PAS dapat merasai ketakutan pemimpin Umno BN selepas Kerajaan Kelantan nekad menyaman Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ketakutan itu terserlah dalam kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat Peguam Negara.

Katanya, nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN sementara nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di mahkamah.

“Atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberikan nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily .

Di samping itu, soalnya lagi, apa pula indikator nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kenapa ada nasihat yang 'double standard' dalam agenda pentadbiran Peguam Negara. Apakah perundangan yang ditafsir oleh Peguam Negara sekarang dan dulu tidak sama?”

“Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan akta berkenaan dengan cara yang berbeza?” tanya beliau lagi.

Yang pasti, katanya peraturan perjanjian dan akta itu tidak pernah berubah tetapi yang berubah adalah kerajaan yang memerintah.

Menurutnya, asalkan PAS memerintah sahaja, wang royalti bertukar jadi wang ehsan dan itulah yang ada dalam kamus Umno BN.

“Bila Kerajaan BN tumbang di Dun negeri, muncul pula kerajaan haram bernama Jabatan Pembangunan Persekutuan. Mana pula akta dan peraturan yang mereka guna untuk wujudkan jabatan ini,” ujarnya.

Justeru, tegasnya PAS kini yakin yang isu saman royalti itu akan dimenangi oleh Kerajaan Kelantan yang diperintah PAS.

Saman itu juga, tambahnya membuka mata rakyat dan menyampaikan kepada masyarakat dunia bahawa di Malaysia terdapat Kerajaan Persekutuan yang menzalimi rakyatnya lantaran dendam dan tidak tahan malu selepas tewas dalam pilihan raya.

Isu Tajaan Umrah - Linda Onn Tidak berpuashati Dengan Akhbar Utusan


Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.

Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.

Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.

“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.

“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.

Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.

Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.

Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.

Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.

Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.

“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.

Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.

“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.