Ust. Idris: PAS Tidak Gentar Dengan Kemasukkan Ustaz Muda ke Dalam UMNO

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Menteri Arah KDN bertindak ke atas Suara Keadilan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta Ketua Setiausaha KDN supaya meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana sering mengeluarkan berita yang tiada asas dan memfitnah.


Katanya, KDN dan agensi berkaitan mesti peka dan mengambil tindakan bagi mengelakkan ia berterusan dan bagi menunjukkan bahawa hak bersuara dan membuat liputan tidak bermakna sesuatu media itu boleh berbuat apa saja.

"Hak bersuara mesti diimbangi. KDN mesti ambil tindakan. Kita dah bincangkan dengan Peguam Negara. Mereka kena tengok syarat-syarat KDN dan tanggungjawab mereka kepada pembaca dan orang ramai. Saya difahamkan kementerian dah panggil akhbar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Akhbar itu pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk ''Felda Bankrap'' dan empat lagi artikel berhubung isu itu dalam keluaran sama.


Berikutan laporan itu, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap organisasi itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar yang sama menyiarkan berita bertajuk ''Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk ke Amerika Syarikat'' yang mendakwa Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditahan pihak Imigresen di Amerika Syarikat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Zambry kemudian memfailkan saman fitnah RM100 juta kepada akhbar itu dan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhbar itu bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada Zambry.

- Bernama

Ghana Mencipta Rekod Pertama Layak Ke Suku Akhir


RUSTENBURG - Wakil tunggal Afrika, Ghana mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu selepas cemerlang mengalahkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam perlawanan yang berlanjutan masa tambahan, awal pagi tadi.

Ghana terlebih dahulu mendahului pada minit ke-5 melalui jaringan Kevin Prince-Boateng namun AS menyamakan kedudukan selepas mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Landon Donovan pada minit ke-62.

Asamoah Gyan muncul wira Ghana pada masa tambahan apabila jaringannya pada minit ke-93 membantu Black Stars bertemu Uruguay pada 3 Julai nanti.

Suami Maya Karin Mahu Umum Cerai, Maya Tak Mahu Komen

SELEPAS aktres Maya Karin dan suaminya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali enggan memberikan sebarang komen kehadiran mereka ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur kelmarin, ramai yang mula membuat spekulasi bahawa pasangan itu akan bercerai.

Malah, dalam sebuah portal berita berbahasa Inggeris, The Malaysian Insider semalam mendakwa suami Maya mengaku dia dan isterinya akan bercerai tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Maya ketika dihubungi mStar Online menegaskan yang dia tidak akan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

“Saya ada membaca kenyataan suami saya di portal itu tetapi walau apa pun, saya hanya boleh cakap tiada komen.

“Sebelum ini, saya dan suami sudah membuat perjanjian untuk tidak memberikan apa-apa komen. Jadi, saya tetap dengan pendirian tiada komen,” ujarnya dalam nada tenang.

Kelmarin, Maya tidak berkata “ya” mahupun "tidak" sama ada prosiding di mahkamah itu berhubung pengesahan pernikahan atau penceraian mereka.

Cuma suaminya mengesahkan dia dan Maya masih lagi suami isteri.

“No divorce (tidak bercerai),” kata Steven kepada wartawan selepas mengadakan prosiding di kamar hakim selama kira-kira dua jam.

Kekecohan mengenai krisis rumah tangga Maya mula menjadi bualan ramai sekitar Februari tahun ini. Bagaimanapun, Maya mengaku hubungan perkahwinan yang dibina selama dua tahun itu memang sedang mengalami masalah.

Dalam perkembangan lain, Maya berkata dia sedang menyibukkan diri untuk menyelesaikan penggambaran Nona sebelum memasuki penggambaran sebuah filem yang akan dilancarkan pada Isnin ini.

“Selain penggambaran Nona dan filem, saya ada beberapa penggambaran lain lagi. Saya juga sibuk dengan kes mahkamah pula,” tuturnya sambil tertawa kecil.

Sebelum ini, Maya pernah melakonkan beberapa buah filem popular seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Anak Halal dan Duyung.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.