Nik Aziz, exco pulau Fiesta Kelantan 2010

Majlis perasmian Fiesta Kelantan 2010 yang sepatutnya dirasmikan Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di Kota Bharu, malam ini akan dipulaukan kerana penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat berucap.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan keputusan memulaukan perasmian itu diambil kerana penganjur bersama - Syarikat Red Carpet juga telah memungkir beberapa perjanjian ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri.

Antaranya, mereka telah bersetuju perasmian disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, manakala terdapat dua ucapan akan disampaikan - pertama ucapan aluan dari Nik Aziz selaku tuan rumah dan ucapan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata pada 13 Jun lalu, kerajaan negeri menerima arahan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) memaklumkan bahawa pejabat Perdana Menteri "tidak mahu menteri besar berucap".

"Kita tidak tarik diri, tapi mereka yang pinggirkan kita, pinggirkan menteri besar. Ia memalukan MB selaku tuan rumah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri dan Syarikat Red Carpet adalah penganjur bersama bagi majlis tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini.

Menurutnya lagi, dalam publisiti seperti kain rentang telah menguar-uarkan bahawa perdana menteri akan merasmikan majlis tersebut dan bukan Pemangku Raja.

"Jadi telah berlaku percanggahan persefahaman. Pemangku Raja yang sepatutnya merasmikan malam ini, telah digambar seolah-olah bahawa perdana menteri yang akan merasmikan. Kita kesal," katanya

Takiyuddin yang juga pengerusi jawatankuasa induk pesta itu berkata, beliau turut menerima surat daripada pejabat Sultan tengahari tadi yang memaklumkan bahawa Pemangku Sultan tidak akan berangkat pada malam ini atas "alasan-alasan tertentu".

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga ADUN Bunut Payong berkata mesyuarat exco juga memutuskan untuk menarik diri daripada program itu yang berlangsung sehingga 19 Jun ini.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak akan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan sepanjang Fiesta Kelantan selama tiga hari itu selagi ia memenuhi syarat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.

"R

ed Carpet sebagai syarikat swasta kena ikut prosedur dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Kena ikut prosedur seperti biasa," katanya.

Ditanya sama ada syarikat tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan Umno, Takiyuddin yang juga penolong setiausaha agung PAS berkata "saya tidak pasti".

"Tapi saya nampak ia seolah-olah macam program Umno. Tapi saya tak kisah. Sebagai kerajaan negeri kita bersikap profesional dan bekerjasama dengan dia (Red Carpet)," katanya.

Red Carpet adalah sebuah syarikat swasta yang bertindak sebagai pengurus acara dalam majlis tersebut, tambahnya.

Kelantan Fiesta 2010.. Apa Sudah Jadi : Kerajaan Negeri Pulau - Penganjur Gagal Tepati Janji

Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Harakah Daily melaporkan walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan pembesar suara.

Petang semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Mursyidul Am PAS itu berucap.

Menurut Takiyuddin, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Nik Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Siaran langsung dibatalkan

Berikutan itu, katanya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan persetujuannya untuk merasmikan Fiesta Kelantan itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Berikutan itu, RTM juga membatalkan siaran langsung yang dirancang.

Namun, RTM menerusi Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja dipercayai sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut. Ia dilihat sebagai tindakan terdesak.

Adalah dipercayai jemputan untuk Nik Aziz berucap ditarik balik kerana ada pihak yang tidak mahu ia disiarkan secara langsung seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Kenapa Hari Sabtu Menjadi Pilihan KM Sarawak??

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang seringkali dikatakan sebagai pemimpin gemar memilih hari-hari tertentu untuk mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, kali ini akan memilih hari Sabtu sebagai hari pilihannya.

Taib berkata, beliau telah memilih hari Sabtu untuk mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak.
Tarikh pilihan raya pula akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Pun begitu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri terus berteka-teki dengan enggan mendedahkan tarikh sebenar hari Sabtu yang menjadi pilihannya.

“Saya memutuskan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya negeri pada satu hari Sabtu,” kata Taib (gambar) di Kuching.

“Saya tidak tahu sama ada Sabtu itu pada tahun ini atau tahun depan,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Mandat semasa Dewan Undangan Negeri akan berakhir Julai 2011 dan perlu diadakan pilihan raya umum negeri dalam tempoh dua bulan selepas itu.

Sebelum ini ramai menyebut pilihan raya negeri akan diadakan tahun ini.

Bagaimanapun pemerhati melihat pilihan raya negeri akan ditangguhkan sehingga tahun depan ekoran keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu bulan lalu, yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat menerusi wakil DAP.

Bekas Wartawan TV3 Diceraikan Sultan Brunei, Gelaran Diraja Ditarik Balik

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menceraikan isteri kedua baginda, Azrinaz Mazhar Hakim, bekas wartawan TV3 dengan talak satu berkuat-kuasa petang semalam.

Pengumuman rasmi dibuat Istana Brunei, 8 malam semalam menerusi laman berita nasional Brunei iaitu http://www.rtbnews.rtb.gov.bn.

Perceraian i
tu diumumkan Pengerusi Majlis Adat Istiadat Pengiran Alaudin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar yang disiarkan di laman web berkenaan.

“Baginda atas sebab yang khas yang diperuntukkan oleh hukum syarak menjatuhkan talak satu ke atas Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar pada petang 16 Jun 2010,” katanya dipetik dari laman itu.

Mengikut pengumuman sama, semua gelaran diraja ditarik balik.

Azrinaz Mazhar diijab kabul dengan Sultan Brunei pada satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 2005 yang hanya dihadiri keluarga dan saudara terdekat kedusa-dua pihak.

Berita perkahwinan mereka menjadi tumpuan dunia dan menjadi antara maklumat carian internet paling pupolar ketika itu.

Mereka mempunyai seorang putera dan puteri, yang masing-masing berusia empat tahun dan dua tahun.

Lebih dikenali dengan panggilan Naz, beliau mengambil jurusan Diploma Penyiaran di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) pada 1997 dan bekerja sebagai Eksekutif Wartawan Penyiaran TV3 pada 1999.

Beliau pernah dipilih sebagai Wartawan Harapan TV3 pada 2000, selain menerima Anugerah Alumni MIIM dua tahun kemudian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.