YB Amiruddin : Pertahankan Negeri Kedah Dari BN pada PRU-13

KOTA BARU, 14 Jun — Meskipun desas-desus bakal tumbangnya Kedah masih kedengaran, PAS negeri itu yakin kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) ini akan terus bertahan, malah mampu untuk mengekalkan pentadbirannya dengan “mandat lebih besar” pada pilihan raya umum ke-13.

“Saya yakin kami akan terus bertahan, malah akan memperoleh kejayaan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang,” kata Ketua Penerangan PAS Kedah Amirudin Hamzah.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS melahirkan keyakinan itu berdasarkan perkiraannya terhadap jumlah kerusi yang dimiliki PR dan Barisan Nasional (BN) dengan mengambil kira senario semasa.

“Berdasarkan perkiraan dan perhitungan saya, saya yakin kami tiada masalah untuk kekal memerintah sehingga pilihan raya umum akan datang... melainkan perkiraan saya silap, mungkin anda boleh buktikan saya silap,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini.

Sehari selepas pertemuan ini, pemimpin kanan PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman semalam melontarkan kejutan Selangor dan Kedah di ambang kejatuhan jika tidak menggiatkan pendaftaran pengundi-pengundi baru dalam waktu terdekat.

Amirudin yang juga Exco kerajaan negeri mengakui walaupun perbezaan kerusi tidak jauh berbeza antara PR dan BN, yang dikatakan mempunyai sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, PAS Kedah percaya tiada masalah untuk kekal berkuasa.

“Berdasarkan daripada kiraan saya, dengan kerusi 20 kerusi yang kami ada berbanding mereka ada 16 dengan dua Adun dari Bebas, kami yakin... tiada masalah,” kata beliau yang mengakui BN cuba mendampingi wakil-wakil rakyat PR termasuk PAS.

The Malaysian Insider difahamkan lima wakil rakyat PR telah didampingi BN setakat ini.

Jelas Amirudin, pihaknya merumuskan keyakinan itu kerana atas kertas BN “sudah pun kehilangan” dua kerusi — status Kota Seputih yang akan didengar oleh Mahkamah Rayuan manakala seorang wakil rakyat MCA berhadapan dengan ‘masalah dalaman’ parti dan sedang mengambil cuti.

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 16 wakil rakyat dari PAS, tiga PKR, seorang DAP. BN mempunyai 14 wakil rakyat dan dua lagi Bebas setelah keluar PKR.

Untuk membolehkan kerajaan negeri Kedah pimpinan PR jatuh, BN memerlukan empat lagi Adun menyokongnya.

Selain dua wakil rakyat BN yang dikatakan masih menjadi tanda tanya, Amirudin berkata, Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim juga menjadi tumpuan kerana isu yang berkaitan dengan masalah peribadi beliau.

Justeru kata Amirudin, umumnya kini BN adalah ‘masalah’ dengan tiga kerusi dan “mereka sedang melengah-lengahkan masa” bagi mengelakkan kemungkinan pilihan raya kecil.

Berdasarkan undang-undang pilihan raya, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

Laporan sebelum ini menyebut wakil rakyat hendak keluar Umno-BN tetapi beliau ada pengesahan.

“Jadi mengambil kira keadaan ini, selepas campur tolak, saya masih yakin dengan kedudukan Pakatan di Kedah,” katanya.

“Kami masih yakin wakil-wakil rakyat PAS dan PKR tidak ada yang akan keluar,” kata beliau dengan merujuk kepada pengakuan terbuka dibuat oleh tiga Adun PKR bulan lalu.

“Begitu juga dengan wakil rakyat (tunggal) DAP... dia tak akan keluar parti,” katanya.

Ketiga-tiga Adun PKR itu merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider, BN Kedah membayangkan mempunyai peluang cerah untuk melihat beberapa Adun PR akan keluar parti komponennya, sekali gus mengubah landskap pentadbiran negeri semasa.

Sehubungan itu, Umno salah satu komponen BN meramalkan sama ada Kedah akan berubah tangan ataupun sekurang-kurangnya membawa kepada pilihan raya umum negeri yang baru.

Umno melihat kemungkinan tersebut berdasarkan perbezaan empat kerusi DUN antara PR dan BN yang mendakwa menerima sokongan wakil rakyat Bebas.

“Saya lihat ada peluang (untuk beberapa Adun Pakatan) keluar parti... saya melihat kemungkinan itu kerana sudah ada yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka,” kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Nawawi juga berkata, pihaknya mempunyai maklumat beberapa wakil rakyat PR juga tidak berpuas hati dengan parti masing-masing buat masa sekarang.

Percaturan Umno-BN ialah antara dua hingga tiga Adun kemungkinan keluar.

“Jika dua wakil rakyat parti (komponen Pakatan) keluar bermakna keseimbangan anggota di DUN iaitu 18:18... sama di pihak Pakatan dan juga BN, jika ini berlaku kerajaan negeri tidak boleh berfungsi, dan pilihan raya umum negeri perlu diadakan, tiada pilihan.

“Jika tiga wakil rakyat keluar dari Pakatan, kami akan ada sokongan lebih satu kerusi iaitu 19:17. Dalam keadaan ini, BN boleh mengambil alih kerajaan, seperti yang berlaku di Perak,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan Umno bahawa wakil-wakil PR akan bertindak keluar parti, Amiruddin berkata, “mereka terpaksa berbuat demikian (menyebarkan berita) untuk kekalkan semangat ahli-ahli mereka.”

“Tetapi kami yakin menang lebih baik, bagi PAS kami yakin menguasai kesemua 24 yang ditandingi (dalam pilihan raya umum ke-13),” katanya.

Pada Mac 2008, PAS bertanding di 24 kerusi dan menang di 16 kawasan.

“Kami yakin akan memperoleh mandat lebih besar,” kata Adun Anak Bukit ini.

Penolong Jurulatih Kedah Melancarkan GMJ di Ceramah Perdana Muktamar di Putik

PAS kini menampilkan bintang bola sepak negara Radhi Mat Din sebagai 'ikon' kempen menentang pemberian judi sukan di negara ini.

Dalam ceramah perdana sempena muktamar PAS ke-56 malam tadi, Radhi diminta merasmikan Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) - gabungan NGO dan pembangkang khusus khusus untuk menggagalkan usaha kerajaan itu.

Tampil dalam gaya kasual - berseluar trak dan berkemeja-T di hadapan kira-kira 3,000 penyokong pembangkang - Radhi mengimbau kembali bagaimana 'runtuhnya' kegemilangan bola sepak di zamannya lebih 10 tahun lalu akibat perjudian haram dan rasuah.

Menceritakan pengalaman peribadinya, Radhi berkata, ketika mengetuai pasukan Kedah pada tahun 1996 berlaku "peristiwa malang" apabila seramai 136 orang telah dituduh terlibat dalam rasuah yang diakibatkan oleh aktiviti pertaruhan haram.

"(Permainan) bola ini tiada kaitan langsung dengan judi. Malangnya sekarang sukan bola sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini. Ini umpama lain yang sakit, lain pula yang diubatnya.

"Kerajaan seharusnya mengetatkan penguatkuasaan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membenterasnya," katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Kedah.

Radhi, anak kelahiran Kedah merupakan kapten paling lama dalam skuad hijau-kuning. Pemain tengah itu pernah mewakili negara dan menempa populariti dalam liga semi pro negara sekitar 90-an.

Penampilannya malam ini dilihat bagi menarik sokongan peminat bola sepak tempatan yang merindui aksi-aksi menarik sekitar zaman bola sepak tempatan yang mendapat perhatian besar ketika itu.

Ajak Dr M, Pak Lah berdemo
Berkongsi pentas bersama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Radhi menyuarakan kebimbanganya terhadap kemerosotan mutu bola sepak negara secara lebih serius.

"Yang menjadi pertimbangan utama kepada penontong selepas ini bukan kualiti permainan tetapi untung atau rugi, kaya atau miskin, dapat duit atau tidak," katanya.

Dalam ceramah di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Radhi membuat 'pendedahan' yang mengejutkan sebahagian penyokong yang hadir.

"Sebenarnya judi sukan bola sepak ini boleh dipecahkan kepada perbagai pertaruhan.

"Antaranya pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi," katanya.
Katanya, jika usaha bagi meluluskan pemberian lesen judi tidak dihalang, apa bakal ditonton bukanlah permainan bola sepak sebenar tetapi hanyalah "lakonan permainan bola", katanya.

Radhi juga menyeru dua bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi supaya turut serta dalam perhimpunan di Istana Negara pada 3 Julai depan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berjanji akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong Gerakan Rakyat Membantah Judi ini.

"Ini penting bagi mempastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan," tambahnya.

Hari Ketiga Muktamar PAS Ke 56

SESI PAGI

8.19: Para perwakilan, pemerhati dan wakil media sudah mula memasuki dewan muktamar. Turut kelihatan Pengerusi Tetap, Ustaz Abu Kassim sudah berada di tempat yang disediakan. Sesi pagi ini akan dimulakan dengan pimpinan akan membuat penggulungan.

8.30: Timbalan Mursyidel Am PAS, Dato' Harun Din kelihatan antara pimpinan terawal memasuki dewan. Dewan mula sesak dipenuhi para perwakilan dan shaf kepimpinan.

9.13: Pengerusi Lajnah Kebudayan dan Kesenian, Yb Dr Dzulkifli Ahmad ketika menjawab persoalan bahawa PAS sudah berjaya memecahkan tembok yang selama selama ini digunakan Umno untuk memperkukuhkan kekuatan politik mereka. Kita perlu menggarap kesemua lapangan kesenian dan berkemampuan menyampaikan massej Islam yang ingin disampaikan.

Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Demokrasi, Tuan Haji Mohamaed Sabu berkata lajnahnya akan memobilasasikan demokrasi bagi meningkatkan mood rakyat. Program untuk menggadakan demonstrasi sebagaimana yang dibangkitkan perwakilan ( Demonstrasi Bersih 2 ) sedang digerakkan dan berharap semua pihak perlu memberikan kerjasama sehingga ianya berlaku.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah, Saudara Mazlan Aliman berkata 43 cawangan Anak telah ditubuhkan dan akan menubuhkan 5 lagi cawangan selepas muktamar. Mazlan menambah Anak mensasarkan penubuhan 77 cawangan sehingga penghujung tahun.

Lajnah akan menggadakan Himpunan Warga Felcra pada 01 Ogos 2010 di Parlimen Pasir salak bagi meningkatkan kesedaran warga Felcra terhadap hak mereka.

Mazlan yakin perubahan besar akan berlaku dikalangan masyarakat Felda dan Felscra pada pilihanraya umum akan datang.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Non Muslim, Yb Ustaz Mujahid Yusof Rawa berkata penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan satu-satunya parti Islam di dunia yang ada keahlian yang duduk dalam DHPP. Pergerakan DHPP akan dipantau oleh Lembaga Penasihat yang di bentuk. Lembaga Penasihat akan turun keseluruh negeri bagi menjelaskan aturan perjalanan DHPP.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS telah berperanan menjadi perunding dan pendamai dalam konflik di Selatan Thaii, Mindanao, Aceh dan menyertai gerakan antarabangsa pembelaan Palestin.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS, Haji Hanifah Maidin mahu PAS bersikap terbuka dalam mendengar setiap isu yang dibangkitkan. Mengenai hasrat yang dinyatakan oleh perwakilan agar PAS Pusat memikirkan untuk menyaman Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak kerana menyalah guna kuasa kepimpinannya Haji Hanifah Maidin berkata ianya sedang dalam kajian.

Hanifa juga kesal kerana perwakilan tidak menunjukkan sikap terbuka dalam mendengar pandangan daripada perwakilan Temerloh dalam memberikan pandangannya kepada muktamar. Kita perlu bersikap terbuka dan bersedia mendengar pandangan sama ada betul atau pun salah.

Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Saudara Anuar Tahir mengesa semua PAS Kawasan mesti menubuhkan Lajnah Pekerja kerana pekerja telah menyumbang memajukan negara. Kata Anuar terlalu banyak isu pekerja terlalu banyak yang belum selesai yang perlu diperjuangkan oleh PAS.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Yb Dr Lo'Lo' melalui wakilnya YB Dr Mariah Mahmud mahukan skuad perihatin dan kepedulian rakyat digerakkan secara aktif diperingkat grass root. Selain itu beliau mahu konsep yang lebih mesra rakyat dilaksanakan secara berkesan.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan, Dato' Dr Harun Taib melalui wakilnya Dato' Abu Bakar Chik mahukan PAS beperanan menangani isu pendidikan dan melaksanakan runding cara bagi membantu menyelesaikan masalah sosial. Abu Bakar kecewa masih banyak negeri yang tidak tubuhkan lajnah dan mahu ia dilaksanakan segera.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata PAS perlu merangka strategi berkesan yang mengandungi berbagai teknik bagi menjayakan matlamat. Persiapan perlu mesti dfipenuhi sebagaimana yang digariskan JPN Pusat.

Abdul Halim menuntut kepekaan Persuruhjaya Negeri dan YDP Kawasan peka dengan usaha menggerakkan jentera dan penyediaan pra sasarana.

Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh sedih dengan masalah sosial yang sangat teruk sebagaimana yang dibangkit perwakilan dan mahu semua pihak berperanan. Nuridah juga mahukan media berperanan lebih baik membangunkan gerak kerja membina masyarakat yang sejahtera.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Hassan berkata gerakan mendaftar pengundi di seluruh negara akan dilaksanakan kerana yang belum mendaftar terlalu ramai iaitu seramai 2.2 juta. Mengenai kebimbangan perwakilan tentang peminggiran perhatian kepada pengundi Melayu setelah mendapat skongan bukan Islam, Nasaruddin menjelaskan perkara itu tidak timbul kerana perhatian kepada semua hendaklah sentiasa diberikan berdasarkan konsep Islam yang adil kepada semua.

Beliau membidas kenyataan yang dikeluarkan kononnya beliau membuat kenyataan menentang judi sukan tetapi membenarkan judi yang lain. Ini adalah tidak benar dan silap faham. Kita tentang semua judi. Semua agama menentang judi, cumanya dari segi program kita fokus kelahiran judi baru sedangkan judi yang sedia ada berlambak memerlukan masa untuk dihapuskan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Harun Taib melalui wakilnya Dr Mahfudz Mahmud berkata semasa muktamar Dewan Ulama telah berjaya mengumpulkan 200 ulama muda daripada pengajian dalam dan luar negara. Orang bukan Islam kata Mahfudz kalangan ahli dari DHPP boleh menjadi calon PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Menjawab garis panduan bagi DHPP bagi menjelaskan isu-isu semasa seperti isu arak, judi dan hudud Mahfudz berkata Dewan Ulama merangka garis panduan untuk diberikan panduan bagi memahamkan orang bukan Islam.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mahu sistem penyampaian diperbaiki agar semua rakyat dapat maklumat yang ingin disampaikan.

Bendahari PAS Pusat, Yb Dr Mohd Hatta Ramli mahukan ahli terus memberikan sumbangan kepada PAS Pusat bagi menjayakan Kompleks baru bagi menampung keperluan semasa.

Naib Presiden PAS, Yb Dato' Mahfuz Omar mahu petugas parti memahami perubahan yang berlaku dalam masyarakat yang semakin membenci Umno atas penyelewengan yang berlaku. Menurut Mahfuz jika gagal memahami perubahan masyarakat sudah pasti penyesuaian tindakan sukar dilakukan.

Mengenai demonstrasi menentang judi bola Mahfuz mahu peserta yang hadir memakai jersi bola dengan membawa bola sebagai simbolik menentang bola sepak.

Naib Presiden PAS, Yb Salahuddin Ayub mahu Pesuruhjaya negeri dan PAS Kawasan memberikan perhatian kepada DHPP yang masih baru dan bersabar menghadapi masalah yang ada. Mengenai kebimbangan perwakilan yang bimbang PAS mengubah prinsip perjuangannya salahuddin berkata semua keputusan yang dibuat secara kolektif dan responbiliti iatu dibuat oleh jamaah.

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan perwakilan supaya melihat isu keadilan yang ada dalam Islam kepada semua pihak. Beliau mengingat perwakilan bahawa PAS tidak keluar dari prinsipnya kerana dasar Islam yang dipegganganya.

Tuan Ibrahim turut mengucapkan takhniah kepada blogger yang banyak membantu menjayakan misi parti. Beliau seterusnya mengingatkan blogger agar bertanggungjawab dalam tulisannya kerana setiap tulisan akan ditanya oleh Allah. Tuan Ibrahim juga mahukan ahli PAS terus hadir ke dalam majlis ilmu bagi membentuk imbangan antara perkembangan emosi dan ilmu.

Setiausaha Agong PAS, Dato' Musthapa Ali menjawab perwakilan dari Pahang yang mahu diadakan sistem jurucakap parti bagi mengelak kekeliruan yang ditimbulkan oleh kenyataan pimpinan Mustapha berkata PAS Pusat akan memanggil mesyuarat bagi menyelesaikan masalah secara cepat dan pantas.

MUKTAMAR DITERUSKAN TANPA REHAT

13.45 Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa mengingatkan komen dalam media yang mahu PAS menukar nama bahawa dasar perjuangan Islam yang dibawa bukan untuk satu kaum sahaja sebagaimana Islam bukan hanya untuk bangsa Arab. Mengenai isu judi bola yang dibangkitkan ramai perwakilan, Nasaruddin mencabar Timbalan Presiden Umno untuk berdebat secara terbuka berkaitan isu kelulusan lesen judi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa optimis PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Putrajaya berdasarkan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat terutama golongan bukan Islam kepada PR.

"Ke Putrajaya InsyaAllah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kita bermimpi yang soleh," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Mengenai isu sosial yang menjadi kebimbangan sebahagian besar perwakilan Presiden PAS berkata penyelesaiannya dapat dicapai jika negara melaksanakan syariat Islam.

"Jika benar-benar kita mengamalkan syariat Allah, insya allah segala permasalan sosial dan moral dapat diseesaikan," katanya.


15.40: Pengerusi Tetap menangguhkan muktamar.

TG Haji Hadi: Kerjasama Pakatan Berdasar Al-Quran dan Syarak

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa kerjasama politik yang diamalkan dalam Pakatan Rakyat - bersama PKR dan DAP - sekarang ini dibuat berdasarkan al-Quran dan diizinkan syarak.

"(Sebaliknya) kerjasama (dengan) Umno dalam menggadaikan prinsip dan akhlak. Dan ia tidak boleh dijadikan contoh dalam Islam," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Katanya, berdasarkan al-Quran dan muzakarah ulama yang dirakamkan dalam kitab-kitabnya, umat Islam dibenarkan melibatkan masyarakat bukan Islam dalam urusan politik.

"Amalan politik dalam Islam berbeza dengan sembahyang. Dalam sembahyang jemaah, imam (mesti) Islam, makmumnya Islam.

"Dalam politik, pemimpinya Islam, (tetapi) petugasnya boleh diambil daripada kalangan Islam dan bukan Islam," kata Abdul Hadi lagi.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapan penggulungannnya di muktamar PAS ke-56 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu, yang dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan, dan berakhir hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media selepas tamatnya muktamar parti itu petang ini, Abdul Hadi Hadi mengulangi pendirian bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno.

Ianya antara lain kerana Umno didakwa mengamalkan pendekatan perkauman sempit, lapor akhbar webnya Harakahdaily.

"Gagasan dengan BN tak boleh selesai masalah kerana mereka masih tebal dengan perkauman, malah dibejati dengan rasuah," beliau dipetik sebagai berkata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.