Khalid Mana Cakap Tanpa Bukti? Kita Tunggu...


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya membawa mana-mana saksi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah yang masih belum disoalsiasat oleh polis ke hadapan sekiranya benar beliau mengetahui masih ada yang belum diambil keterangan.

Ini kerana kata Khalid Abu Bakar, kenyataan ahli parlimen Pas itu sangat tidak bertanggungjawab seandainya beliau membuat dakwaan tanpa disertakan dengan bukti.

"Saya ingin menyatakan di sini sejelas-jelasnya, jika benarlah apa yang dia kata iaitu masih terdapat saksi yang belum diambil keterangannya oleh polis, sila bawa saksi itu ke balai polis dengan segera... jangan sedap cakap tanpa bukti," katanya hari ini.

Kata ketua polis itu lagi, Khalid Samad boleh menelefonnya pada bila-bila masa dan adalah menjadi kerja polis untuk mencatatkan kenyataan saksi bukan kerja Pas.

Tambah beliau lagi, setakat yang diketahuinya, semua saksi yang melihat kejadian itu telah direkodkan kenyataan mereka dan Khalid Samad tidak seharusnya berasa sangsi dengan pihak polis.

"Yang saya tahu orang saya telah pun mengumpulkan semua maklumat dan kenyataan daripada saksi-saksi dan kita tidak ada sebarang sebab untuk menyembunyikan apa juga fakta dan maklumat tetapi jika ahli Yang Berhormat dari Shah Alam kata beliau tahu masih ada saksi yang belum direkodkan kenyataan mereka, sila bawa saksi itu kepada saya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya lagi.

Setakat ini 20 orang saksi telah direkodkan kenyataan mereka berhubung insiden itu.

Aminulrasyid Amzah seorang murid tingkatan tiga meninggal dunia selepas dia terkena tembakan polis yang mengejarnya sejauh 6 kilometer pada lewat tengah malam Isnin lalu selepas dia dilihat memandu dengan laju dan secara berbahaya di Seksyen 11 Shah Alam.

Dan Khalid Samad telah mempertikaikan yang polis tidak mengambil keterangan saksi sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan tersebut. -Mstar


Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis

Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid. -TMI



Ulasan GB

Siapa yang sebenarnya "sedap cakap tanpa bukti"? Khalid Samadkah atau Khalid Abu Bakar?

Siapa yang sebelum ini menyatakan Aminulrasyid "mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis berkenaan" dan siapa yang menyatakan munkin "Aminulrasyid seorang penjenayah" jika bukan Ketua Polis Selangor sendiri?

Sudahkah KPN Selangor itu mempunyai bukti sahih Aminulrasyid mengundurkan keretanya untuk merempuh anggota polis berkenaan sedangkan keterangan saksi iaitu penumpang yang juga rakan Aminulrasyid yang ditembak mati oleh polis menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis?

KPN Selangor ini, sudah banyak "track record"nya yang cuba menipu rakyat dengan pelbagai kenyataan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota bawahannya. Kes Kugan, kes Teoh Beng Hock dan seumpamanya adalah contoh yang kita dapat saksikan Khalid Abu Bakar ini sangat-sangat mencurigakan dan tidak bertanggungjawab malah perlu disiasat dan dipecat segera dari jawatannya.

Najib Diminta Tarik Balik Tuduhan Fitnah


Oleh:
Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib selaku Presiden Umno menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah satu pandangan bertujuan melaga-lagakan saya dengan pihak Istana Selangor.

Pandangan Datuk Seri Mohd Najib itu telah disiarkan oleh Utusan Malaysia secara online (24 April 2010) atas tajuk “Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM” yang kemudiannya disiarkan dalam Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan atas tajuk “Pembangkang ingkari Sultan” yang turut mencetak kononnya kenyataan saya selaku Mursyidul Am iaitu “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah.”

Pada saya, kesemuanya adalah tidak benar dan berniat melaga-lagakan saya dengan Sultan, kerana sesungguhnya saya tidak pun memberi respon dengan merujuk kepada titah KDYMM Sultan Selangor. Ia adalah petikan yang direka-reka oleh akhbar berkenaan.

Kemudian, pandangan Datuk Seri Mohd Najib dirasai paling tidak bermoral lagi apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan semula di muka dua atas tajuk “Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan Selangor: Pengingkaran yang serius – PM.”

Ia suatu pengulangan yang dibuat untuk menjatuhkan moral saya dan suatu bentuk fitnah media yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman agama yang telah saya jelaskan secara sopan semasa sidang media pada malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.

Bagi saya, pandangan Datuk Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai ‘melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor’ adalah suatu pandangan yang tidak adil dan fitnah. Ia menggambarkan kenyataan bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka depan (front page).

Sesungguhnya pandangan tersebut adalah suatu tuduhan yang kononnya dikaitkan dengan perlanggaran titah Sultan mengenai larangan penggunaan masjid atau surau untuk tujuan politik. Dalam hal tersebut, Datuk Seri Mohd Najib sebenarnya telah menceroboh sempadan moral saya dan membelasah imej saya yang dilakukan sehari sebelum berlaku pengundian di Hulu Selangor.

Pada saya, apabila saya hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang saya amalkan ialah saya tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan. Maka, prinsip yang sama saya pegang apabila hadir di masjid atau surau di mana-mana negeri termasuk di Selangor.

Oleh sebab itu, sekali lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Datuk Seri Mohd Najib sehingga menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah tindakan mala fide bukan sahaja untuk melaga-lagakan saya dengan Sultan Selangor, malah menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk menggambarkan kononnya ‘orang beragama’ dan pemimpin seperti saya suka mengingkari dan menghina Sultan.

Atas dasar itu, sesungguhnya saya tidak bersikap seperti difitnahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib, maka saya tidak akan halal di dunia dan di akhirat. Kecuali beliau menarik balik secara terbuka memandangkan fitnah itu telah dibuat secara terbuka. Saya sedia menghalalkan apabila beliau menarik balik tuduhan itu secara terbuka.

Saya yakin di atas kebenaran, maka kebenaran itu akan menjadi saksi di dunia dan di akhirat.

Sekian, wassalam.
Musyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

Lagi 6 Bulan Pilihanraya, Thailand Dah Umum... Bila La Malaysia Nak Tiru Nooo..


BANGKOK 3 Mei - Perdana Menteri Thailand, Abhisit vejjajiva hari ini mengumumkan tarikh bagi pilihan raya baru akan diadakan pada 14 November ini sekiranya penunjuk perasaan anti kerajaan menerima rancangan perdamaian dan mengembalikan semula keamanan dan kestabilan negara itu.

Abhisit membuat tawaran tersebut ketika menyampaikan ucapan secara langsung di siaran televisyen malam ini, lapan minggu selepas demonstrasi dilakukan di ibu negara itu yang turut menyebabkan seramai 27 penduduk terbunuh.

Menurutnya, beliau akan akan meneruskan rancangan perdamaian itu meskipun penunjuk perasaan Baju Merah yang menguasai pusat bandar Bangkok menolaknya.

Namun, dalam kes itu, katanya, beliau tidak boleh menetapkan lagi tarikh untuk pilihan raya tersebut.

Baju Merah mendakwa Abhisit memiliki kuasa secara haram selepas mendapat bantuan tentera.

Mereka turut menggesa pembubaran Parlimen dengan memberi tempoh selama 30 hari atau kurang daripada itu. - AP

Pembinaan Senjata Nuklear : Ahmadinejad Tolak Dakwaan.. Tiada Bukti


NEW YORK 3 Mei - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menolak dakwaan-dakwaan yang mengatakan negaranya sedang membangunkan senjata nuklear.

Beliau berkata, tiada satu pun daripada dakwaan yang dilemparkan disertakan dengan bukti yang kukuh.

Ahmadinejad turut mengutuk tindakan berterusan Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang mendakwa negaranya memiliki senjata nuklear.

Beliau bercakap hari ini ketika berucap pada persidangan penelitian Rundingan Kawalan Persenjataan Nuklear.

Menurutnya, senjata atom seperti itu merupakan satu galakan buat negara-negara lain untuk membangunkan senjata yang sama.

Dalam pada itu, beliau kini sedang merangka jadual untuk pembasmian senjata nuklear di seluruh dunia. - AP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.