Esok: Pagi Sampai Petang - Pakat Mai Makan Free di Kenduri Rakyat... Kenduri Rakyat Kenduri Kita...


Penduduk setempat dan pengunjung ke Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor dijemput menjamu selera dengan nasi lemak dan teh tarik pada "kenduri rakyat" anjuran Jabatan Warisan Negara (JWN) esok.

Program yang dinamakan Pesta Nasi Lemak-Teh Tarik dan Makanan Warisan 1Malaysia akan diadakan di padang kawad akademi bomba dan penyelamat Malaysia Kuala Kubu Baharu, bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Pesuruhjaya JWN, Prof Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata pesta ini akan menampilkan makanan warisan daripada pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak.

"Selain nasi lemak dan teh tarik, makanan tradisi Cina seperti 'char kuey teow' dan pau serta makanan tradisi India seperti apam dan putu mayum turut disajikan. Tidak ketinggalan makanan tradisi Sabah dan Sarawak seperti kuih cincin.

"Semua makanan warisan yang akan disajikan adalah bersifatkan 1Malaysia," katanya kepada Bernama Jumaat.

Beliau berkata pihak JWN dan penduduk setempat juga akan bergotong-royong menghasilkan nasi lemak bungkus terbesar berukuran hampir dua meter dan berharap ia dapat dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Siti Zuraina berkata pesta tersebut akan dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isterinya Datin Seri Masnah Rais.

Katanya pelbagai pameran daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan turut diadakan pada pesta tersebut.

"Antara pameran yang akan diadakan termasuk pameran pakaian tradisional, pameran permainan tradisional dan pameran ular oleh Jabatan Muzium Negara. Turut diadakan demonstrasi masakan Sabah dan Sarawak," katanya.

Di samping itu, pelbagai pertandingan juga telah direncanakan untuk pengunjung, antaranya pertandingan kukur kelapa, pertandingan aksi teh tarik, pertandingan menebar roti canai, pertandingan permainan tradisi dan cabutan bertuah.

Sementara itu, beliau yang menyifatkan pesta ini sebagai 'kenduri rakyat' berharap pesta ini menjadi platform untuk memperkenalkan makanan warisan kepada masyarakat dan merapatkan hubungan antara kaum.

"Saya mahu masyarakat sedar makanan itu adalah satu aspek warisan kita. Selalunya kita ambil mudah... kita lupa yang kita makan itu adalah warisan kita juga," katanya.

Bendera PKR Sudah Berkibar Di Kampung Kerandang




KALAU dua hari lalu tiada kibaran bendara atau poster calon PKR di tampal di kampung Keradang, Sungai Tegi, Hulu Berenam hari ini susananya sudah berubah.

Walaupun poster BN kelihatan bertambah dari sebelum tetapi ia sudah mulai ditindih oleh poster wajah Presdien PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Anwar Ibrahim dan Zaid Ibrahim.

Balai raya yang sebelum ini terbiar sepi kini diwarnai dengan poster calon PKR. Keadaan balai raya itu juga dikemas dan kelihatan berseri-seri.
Kertas atau risalah yang memburukkan kerajaan Selangor dan PKR yang diselit di papan tanda balai raya berkenaan dua hari lepas sudah tidak ada lagi.

Balai raya itu dihias dalam sekelip matanya. Semuanya kerana untuk meraikan kehadiran calon PKR, Zaid Ibrahim dan rombongan kempennya.
Zaid mencuri peluang untuk melawat ke kampung itu
apabila diberi tahu penduduk kampung berkenaan menghadapi masalah dengan tanah mereka.

Jadi untuk meninjau sendiri apakah masalahnya Zaid sanggup datang ke kampung berkenaan.

Kedatangan itu tentulah mengembirakan dua pihak; penduduk berkenaan dan juga Zaid. Kehadiran sebahagian daripada penduduk kampung berkenaan membolehkan Zaid mendengar masalah mereka panjang lebar.

Lebih bererti lagi kepada penduduk kampung peneroka haram itu, apabila Dr Wan Azizah Ismail turut sama mengunjunginya. Walaupun sudah tersesat jalan untuk memasuki ke kampung berkenaan tetapi presiden PKR itu tidak berputus asa untuk mencarinya semata-mata kerana ingin mendengar rintihan penduduk berkenaan dan mengiringi Zaid menemui orang ramai.

Lebih 300 penduduk kampung berkenaan menghadapi masalah tanah yang mereka terokai sejak 20 tahun lalu belum mendapat geran. Status tanah itu masih sebagai tanah TOL. Mereka Permohonan mendapatkan geran telah dibuat di zaman kerajaan BN lagi. Bagaimana pun ia ditolak akhir tahun lepas.

Setiap seorang memilik dua ekar di mana keluasan seluruh kampung itu 1,500 ekar.

Zaid ketika diraikan oleh kira-kira lebih 50 orang penduduk berkenaan yang hadir menjelaskan beliau akan membawa masalah itu ke tengah. Katanya, "saya datang ke sini bukan untuk memancing undi tetapi melihat dari dekat masalah penduduk di sini.

"InsyAllah saya akan cuba membawanya supaya masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya. Beliau juga terkilan dengan kerenah kerajaan yang sukar untuk meluluskan tanah kepada rakyat.

Katanya, sepatutnya kerajaan tidak mengambil masa lama untuk melulusakan tanah untuk rakyat, apa lagi keluasannya hanya dua ekar saja.

Jaminan Zaid itu melegakan kira-kira penduduk yang hadir. Setidak-tidaknya mereka merasakan keluh kesal mereka didengar dan dipedulikan. Zaid juga berjanji kepeduliannya kepada nasib penduduk itu bukan bergantung kepada keputusan pilihan raya 25 April ini. Katanya apa yang penting rakyat diberi pembelaan dan keadilan sewajarnya.

Link: MSO

Pegawai Dan Pemain Bola Sepak Piala FA Kedah Terima Insentif


ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Semua pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kedah yang menjadi naib juara Piala FA yang lepas menerima insentif keseluruhan sebanyak RM100,000 daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pemberian insentif itu adalah sebagai perangsang kepada semua pemain dan pegawai supaya sentiasa melakarkan kejayaan demi kejayaan dalam arena bola sepak.

"Ia juga bagi menyuntik semangat kepada para pemain supaya mereka sentiasa menunjukkan prestasi yang baik dalam setiap perlawanan," katanya dalam ucapan Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Kedah Dalam Perlawanan Akhir Piala FA dan penyerahan Bas KFA di Istana Anak Bukit dekat sini.

Beliau berkata walaupun pasukan itu terlepas untuk menjuarai piala tersebut, tetapi mereka telah menunjukkan prestasi yang baik dan akan terus berjuang bagi menempa kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Azizan berkata walaupun tahun lepas pasukan itu tidak menjuarai apa-apa liga, tetapi lima orang pemain Kedah telah terpilih beraksi untuk pasukan kebangsaan.

"Itu adalah satu penghargaan yang amat bermakna untuk pasukan Kedah," kata Azizan.

Menurutnya, kejayaan skuad Kenari bukan terletak pada seorang pemain sahaja tetapi kerjasama rakan sepasukan memainkan peranan dalam mencipta kejayaan.

Pada majlis itu juga, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melancarkan Bas KFA yang bernilai RM400,000 di perkarangan Istana Anak Bukit.

Bas itu akan menjadi kenderaan rasmi Skuad Kenari bagi memudahkan pergerakan mereka untuk ke sesuatu destinasi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata kekalahan 3-2 Kedah semasa perlawanan menentang KL Plus di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Super Selasa lepas adalah berpunca daripada pemain yang terlalu yakin untuk menang.

-- BERNAMA

Melayu Mudah Lupa...Dr M anggap Zaid katak, minta undi calon BN



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan mengundi Ahad ini, supaya memilih calon BN. Mantan perdana menteri itu berkata ini adalah kerana terbukti BN mampu membawa pembangunan dan perubahan ke kawasan mereka dan seterusnya memantapkan lagi taraf hidup rakyat di situ. "Negara kita aman dan tenang, walaupun kita telah mencapai banyak kemajuan di kawasan bandar, banyak lagi yang perlu dilakukan di kawasan luar bandar, " katanya ketika berceramah untuk pilihan raya tersebut di Serendah.

Beliau berkata negara telah mencapai kemajuan kerana pemerintahan BN, kerana pemimpin perikatan tersebut bekerja untuk kemajuan negara dan bukan untuk kepentingan individu. "Bila kita majukan negara semua mendapat faedah dan ini terbukti hanya boleh dilakukan oleh BN," katanya. Bercakap mengenai calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, beliau berkata bekas menteri itu boleh diibaratkan sebagai katak.

"Dulu dia dalam Umno jadi menteri, lepas itu dia melompat ke pembangkang. kaki belakang dia cukup kuat kerana sekarang dia dapat jadi calon pembangkang. "Kita tak sepatutnya pilih atau percaya orang yang suka melompat macam ini. Nasihat saya jangan pilih orang macam itu. "Nanti dia mabuk entah apa yang dibuatnya. Dia tak berjudi tapi ada kuda lumba. Saya pun ada kuda 30 ekor tapi bukan kuda lumba. Dia mengakui ada kuda lumba tapi dia kata dia tak berjudi, saya tak faham ni," kata Dr Mahathir.

Katanya calon BN P. Kamalanathan, yang turut hadir di ceramah tersebut pula merupakan calon yang bersih, fasih berbahasa Malaysia dan faham akan kehendak rakyat. "Tak susah, cuma pangkah sahaja, pangkahlah calon BN. Jangan fikir panjang, tak ada yang lebih baik dari BN untuk memerintah negara ini," katanya. Beliau juga yakin tampuk pemerintahan negara akan dapat mengembalikan kegemilangan BN seperti yang dikecapi sebelum pilhan raya umum 2008.

Bercakap di sidang media selepas ceramah tersebut yang dihadiri lebih 500 orang, Dr Mahathir berkata beliau tidak ingin orang tahu yang beliau akan berkempen di Hulu Selangor.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.