Serangan Menggila: BN serang Zaid kerana bukan anak tempatan

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan 'anak tempatan' berentap dengan 'muka lama' bagi merebut kerusi berkenaan.

azlanBarisan Nasional dipercayai akan berkempen dengan mendakwa hanya anak tempatan yang mampu memperjuangkan masalah Hulu Selangor berbanding dengan Pakatan Rakyat yang hari ini menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon mereka.

Zaid yang berasal dari Kelantan dipercayai akan ditentang oleh calon BN, Datuk G Palanivel yang juga merupakan bekas ahli parlimen kawasan itu selama empat penggal.

Ketika dihubungi, ketua pembangkang dewan undangan negeri Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata keputusan PKR meletakkan Zaid sebagai calonnya akan memberi kelebihan kepada BN.

NONE“Beliau bukan anak tempatan, lebih-lebih lagi beliau adalah muka baru kepada Hulu Selangor dan juga dalam partinya sendiri.

“Keputusan PKR menunjukkan mereka tiada calon yang baik maka mereka terpaksa memilih Zaid untuk bertanding,” kata Khir.

Namun demikian, bekas menteri besar Selangor yang ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu berkata BN tidak menyerang peribadi lawan mereka.

Justeru, katanya BN tidak akan menggunakan keputusan lembaga disiplin Umno yang mendapati Zaid bersalah kerana terlibat dalam politik wang pada 2005 untuk menyerang beliau.

Zahid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR pada tahun Jun 2009.

“Sebenarnya ini bukan isu lagi, tetapi ini menunjukkan bahawa PKR tidak buat serupa kata dengan janjinya untuk memegang kepada prinsip ketelusan, bersih, dan tidak rasuah,” katanya.

Aazlanpabila ditanya adakah Palanivel calon pilihan BN, Khir berkata terdapat beberapa nama lagi yang dipertimbangkan tetapi yang pasti calon BN adalah anak tempatan.

Sekiranya, BN mengambil keputusan untuk mengekalkan Palanivel sebagai calonnya, PKR pasti akan mengeksploitasi bahawa setelah berkhidmat selama 17 tahun sebagai MP Hulu Selangor, timbalan presiden MIC itu gagal membawa perubahaan.

Sebaliknya, Hulu Selangor masih ketinggalan dari segi pembangunan dan perindustrian berbanding beberapa kawasan yang lain di Selangor.

Sementara itu, ketua penerangan MIC Kamalanathan berkata pencalonan Zaid menambahkan lagi peluang MIC untuk merampas semula kerusi itu.

“Pembangkang mencalonkan Zaid dari Kelantan daripada anak tempatan kerana mereka akan memberi tumpuan kepada isu nasional. Kekuatan BN adalah calon kami. Kami mahu calon kami diterima penduduk tempatan dan juga di seluruh negara,” katanya.

Beliau mendakwa Zaid akan melupakan Hulu Selangor sebaik sahaja jika dia memenangi pilihan raya itu.

“Calon kami akan berenang ataupun tenggelam bersama penduduk Hulu Selangor, sedangkan Zahid, jika menang akan pulang ke rumahnya dan mungkin tidak akan kembali,” katanya lagi dengan nada sinis.

Tsunami Kedua: Seorang Peguam Lelaki Mangsa Terbaru H1N1 Di Johor


PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat virus Influenza A (H1N1) dicatatkan di negara ini, melibatkan seorang peguam lelaki berusia 42 tahun dari Johor Baharu, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata lelaki terbabit meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Baharu.

Beliau berkata kematian terbaru itu adalah yang pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus itu meningkat kepada 78 orang, sejak wabak itu dikesan tahun lepas.

"Ujian makmal mengesahkan lelaki itu dijangkiti H1N1. Beliau yang mempunyai faktor risiko obes turut mengalami komplikasi lain termasuk kegagalan ginjal akut dan jangkitan kuman.

"Keadaan beliau yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan menjadi semakin tenat dan beliau meninggal dunia semalam disebabkan oleh pneumonia H1N1 dengan 'Acute Respiratory Distress Syndrome," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat teknikal wabak H1N1 di sini hari ini.

Dr Ismail berkata dua kematian yang melibatkan seorang ibu dan anaknya yang baru melahirkan anak kedua di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lepas, bukan disebabkan oleh jangkitan virus H1N1.

"Dua (yang sebelum ini dilaporkan akibat jangkitan H1N1) daripada tiga kematian tahun ini bukan mempunyai kaitan secara langsung dengan H1N1 tetapi yang terbaru (semalam) berkaitan dengan H1N1," katanya.

Dua beranak iaitu Maimunah Dimah, 54, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI) manakala anaknya, Sumarni Mat Nor, 29, yang sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan gejala ILI dan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

Dr Ismail menjelaskan daripada pemantauan berterusan, belum ada tanda-tanda virus H1N1 yang sedang menular ketika ini, mempunyai ciri-ciri berbeza daripada virus sebelum ini, yang boleh menyebabkan gelombang kedua yang lebih serius.

"Oleh itu langkah-langkah pencegahan yang disarankan serta rawatan awal dengan ubat anti viral seharusnya berkesan bagi mengekang penularan jangkitan itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata sehingga pukul 5.30 petang semalam, jumlah terkumpul kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah 678 kes.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 66 kes disahkan positif H1N1 manakala lima kes dirawat di ICU.

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa penularan H1N1 2009 masih lagi aktif bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kementerian ingin menegaskan bahawa sememangnya terdapat peningkatan aktiviti jangkitan H1N1 dengan peningkatan bilangan kes-kes positif yang dimasukkan ke hospital dan juga kejadian-kejadian kluster yang berlaku di seluruh negara," katanya.

Dr Ismail berkata bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda ILI dan berterusan selama 48 jam atau ujian pantas influenza adalah positif, rawatan hendaklah dimulakan tanpa memerlukan ujian pengesahan H1N1.

Beliau berkata penutupan sekolah merupakan langkah terakhir sekiranya gejala ILI telah menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah terbabit dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Pelajaran berkenaan. - BERNAMA

Zaid Ibrahim calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurutselangor youth convention 200310 zaid ibrahim sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawanMalaysiakini di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu.

Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.

azlanKerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Hulu Selangor : PR Tak Pernah Kacau Pun Sapa RO yang Dilantik SPR Tapi BN Minta RO DiTukar


BN mahu Pakatan tinggalkan Pejabat Daerah, RO ditukar

Oleh G. Manimaran dan Adip Zalkapli

HULU SELANGOR, 13 April — Barisan Nasional (BN) mendakwa Pakatan Rakyat Selangor menyalahgunakan jentera pentadbiran kerajaan negeri dengan beroperasi dari Pejabat Daerah Hulu Selangor, sekali gus menimbulkan keraguan sikap berkecuali pegawai daerah yang kini bertindak sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil.

Selain meminta pentadbiran segera meninggalkan Pejabat Daerah Hulu Selangor, BN juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menukar pegawai pengurus pilihan raya kecil, Nor Hisham Ahmad Dahalan yang juga merupakan Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Ketika ditemui The Malaysian Insider di sini, Ketua Penerangan Wanita BN, Datuk Hamidah Osman berkata, pihaknya khuatir oleh kerana kerajaan negeri beroperasi dari premis Pejabat Daedah Hulu Selangor manakala pegawai daerah pula perlu mengendalikan urusan orang ramai, akan menimbulkan keraguan berhubung objektiviti peranan pegawai daerah sebagai wakil SPR mengurusan pilihan raya kecil.

"Jika Menteri Besar dan barisan exco beroperasi (dari Pejabat Daerah), bagaimana pegawai daerah boleh menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

"Menteri besar tidak boleh berada di sana, kami percaya ia akan memberi tekanan... pegawai pengurus pilihan raya sebagai pentadbir harus bertindak berkecuali," kata Hamidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno dan anggota Majlis Tertinggi Umno kepada The Malaysian Insider di sini.

Dalam reaksi segera Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan keputusan kerajaan negeri dengan berkata, "Menteri Besar dan Exco menggunakan Pejabat Daerah untuk program-program kerajaan. Apa salahnya?"

Pada 7 April lalu, kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat Exco dengan mengumumkan kira-kira 100,000 keluarga di Selangor yang telah menduduki tanah kerajaan lebih 15 tahun akan menerima hak milik tanah mereka tidak lama lagi.

Ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pakatan Rakyat di Kuala Kubu Baru Jumaat lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, untuk melihat masalah rakyat Hulu Selangor pentadbiran kerajaan akan memindahkan pejabatnya ke Pejabat Daerah Hulu Selangor buat sementara waktu.

Mengulas lanjut, Hamidah berkata pihaknya akan menulis kepada SPR agar menukar Nor Hisham sebagai pegawai pengurus pilihan raya sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

Kata beliau, perkara itu telah dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Wanita BN di sini semalam.

Jika BN membawa isu berkenaan kepada SPR, ini merupakan kejadian kedua sejak Januari 2009 di mana agensi itu berhadapan dengan aduan berkaitan kedudukan pegawai pengurus yang didakwa tidak berlaku berkecuali.

Pada 15 Jan 2009, Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Mat Razali Kassim menarik diri sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan digantikan dengan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang juga penolong pegawai pengurus pilihan raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan.

Mat Razali berkata memutuskan demikian kerana beliau mahu pilihan raya kecil itu berjalan dengan teratur.

Nor Hisham telah dilantik sebagai pegawai pengurus dengan dibantu oleh tujuh penolong bagi mengendalikan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Pilihan raya kecil ini diadakan bulan ini dengan penamaan calon berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian pula 25 April.

Ambilan : TMI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.