Kes Insiden Penahanan Benjy: Majlis Peguam hantar memorandum kepada polis



Majlis Peguam hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendakwa seorang peguam dihalang melakukan tugas dan ditahan dalam insiden penahanan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 25 Mac lalu.

Peguam terbabit, Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, mendakwa insiden itu berlaku di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran sejurus sahaja ibu Benjy, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

"Kira-kira 10 orang berpakaian biasa mengerumuni saya dan anak guam saya dan mengarahkan beliau mengikut mereka.

"Mereka ini berkata mereka anggota polis tetapi tidak menunjukkan dokumen pengenalan atau bukti lain ketika menemui Benjy," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amer Hamzah berkata, seorang lelaki kemudian menunjukkan satu kad menyerupai kad pengenalan polis sambil memberitahu bahawa dia akan menahan Benjy semula untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Amer Hamzah turut mendakwa beberapa orang lelaki kemudian memegang tangannya dan menahannya supaya diasingkan daripada Benjy dan selepas itu barulah beliau dilepaskan selepas lelaki terbabit membawa Benjy ke ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, ekoran itu beberapa orang lelaki terbabit telah menahan dan menghalangnya daripada melakukan tugas sebagai peguam.

Seramai 50 orang peguam serta adik Benjy, Elza Irdalyna, berhimpun di perkarangan masuk ke Bukit Aman selama satu jam sejak 12 tengah hari bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.

Memorandum itu kemudian diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Anuwal Abdul Wahab. -Bernama

Ntah Apa-apa: Dun Perak tidak hormati rakyat, Sidang cuma dua hari



Dewan Negeri Perak bersidang cuma dua hari. Ianya jelas tidak menghormati rakyat Perak yang mahu sidang DUN menjadi platform terbaik rakyat menyuarakan hak mereka melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh mereka.

Ia juga tidak menghormati Tuanku Raja Muda Perak yang bertitah pagi semalam. Titah Tuanku cukup bernas, penuh dan sarat dengan saranan yang cukup baik. Tetapi sayang sidang DUN Perak hanya bersidang dua hari sahaja.

Titah Tuanku tidak dibahas secukupnya oleh Adun PR dan BN. Malahan hari kedua sidang, titah Tuanku tidak dijadikan agenda utama, perbahasan titah Tuanku hanya selepas pembentangan Rang Undang-undang. Jelas ia bercanggah dengan Aturan Mesyuarat sebagaimana terkandung dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri 13 (1).

Sidang hari pertama hanya mendengar titah Tuanku. Hari-hari berikutnya adalah peluang terbaik untuk setiap Adun berbahas mengenai apa sahaja perkara mengikut Aturan Mesyuarat termasuk perbahasan titah Tuanku. Perbahasan titah Tuanku adalah perdebatan terbaik bagi semua Adun berhujjah dalam apa sahaja isu termasuk isu-isu berkaitan rampasan kuasa. Mereka boleh berucap dengan hujjah masing-masing.

Selain itu, Adun BN boleh mendedahkan apa sahaja kelemahan,kepincangan, salah guna kuasa atau apa sahaja yang sering didakwa oleh UMNO BN ketika PR memerintah negeri Perak. Adun-adun PR akan menjawab semuanya dalam ucapan perbahasa mereka,selain mendedahkan pula segala kepincangan dan salah guna kuasa UMNO BN. Walau bagaimanapun isu asas yang mesti menjadi fokus utama perbahasan ialah kebajikan dan kepentingan rakyat.

Adun PR memulakan sidang hari ini dengan cara yang betul. YB Pantai Remis mengambil kesempatan dengan menggunakan 'point of order' lalu membacakan beberapa perkara dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri. YB Pantai Remis berhujjah Ganesan bukan Speaker yang sah berdasarkan 6 hujjah yang dikemukakan. Tetapi Ganesan tidak memberi peluang supaya perdebatan dibuka dalam isu perlantikan Speaker. Dewan Negeri adalah platform kedua pihak berhujjah, sekiranya ia diberi liputan yang adil, rakyat akan menilai hujjah siapa yang tepat dan benar.

Begitu juga soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun PR yang menyentuh isu-isu berkaitan perlantikan Speaker mengikut Perintah Tetap Dewan dan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Sepatutnya soalan itu dijawab, bukan ditolak. Penasihat Undang-undang Negeri boleh menyediakan jawapan, berdasarkan jawapan yang diberikan, Adun PR boleh mencabar dengan menggunakan peluang mengajukan soalan tambahan.

Sidang DUN merupakan ruang terbaik bagi semua pihak bersuara di atas ketidak puashatian rakyat bagi menyuarakannya melalui Adun mereka. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah antara yang rakyat tidak puashati. Adun PR boleh berhujjah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa, pihak BN pula boleh berhujjah juga bagi mengesahkan tindakan mereka. Inilah demokrasi hiudp dan yang sebenar.

Namun demokrasi dimatikan oleh UMNO BN, mereka tidak berani menghidupkan demokrasi kerana mereka juga tahu, demokrasi melalui hujjah tidak akan mampu dipatahkan oleh mereka, justeru itu mereka tidak gunakan hujjah sebaliknya menyalahgunakan kuasa untuk mempertahankan tindakan mereka.

Sidang dewan ditangguhkan hari ini dengan tidak ada perbahasan menyeluruh titah Tuanku yang diambil bahagian oleh semua Adun. Tindakan ini memberi gambaran seolah-olah titah Tuanku tidak dihargai dan dihormati, apabila Tuanku menyarankan banyak perkara dalam titahnya semalam, sudah tentu ia perlu dibahaskan secara positif oleh semua pihak. Dasar dan polisi kerajaan juga disentuh oleh Tuanku, tetapi Adun-adun tidak diberi peluang bagi mengulas dan mengupas. Adun pembangkang sudah tentu akan berbahas mengikut perspektif pembangkang yang luas.

Inilah padahnya apabila kerajaan halal diambil dengan cara yang haram kemudian tindakannya minta dihalalkan melalui mahkamah. Ini seumpama perbuatan mencuri ayam, kemudian bila ayam yang dicuri itu mahu dimakan, ia disembelih mengikut hukum syarak supaya jadi halal.

Apabila perkara asas sudah tidak betul, maka ia mengundang seribu kepincangan. Lihat sahaja Aturan Mesyuarat dalam sidang dewan, Speaker haram Ganesan menyusun jadual perjalanan sidang juga tidak betul. Adun PR cuba memperbetulkannya, tetapi dengan bodoh sombong Ganesan menolak. Dalam Aturan Mesyuarat Perbahasan Titah Tuanku hendaklah didahulukan sebelum pembentangan Rang Undang-undang, tetapi itu berlaku. Persidangan pula tidak ditetapkan berapa hari, sedangkan PR mencadangkan supaya sidang DUN Perak diadakan 4 - 5 hari bagi membolehkan semua aspek dibincangkan dalam dewan.

Sebenarnya sidang yang dibuat hari ini diadakan dalam keadaan UMNO BN bimbang dan takut. Mereka tidak berani berdepan dengan Adun PR melalui hujjah. Polis pula diperkudakan oleh mereka. Sehari sebelum sidang diadakan, PR mengajak untuk berbincang dengan MB UMNO BN supaya persidangan yang akan berlangsung nanti dalam keadaan yang baik dan adil serta tidak berlaku kekecohan. Zambry menolak dengan sombong dan angkuh.

Sidang tamat dalam keadaan rakyat tidak tahu apa-apa.

Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Badan perhubungan PAS Perak.

Bayar RM 1.6 juta Untuk APCO Bagi Caj Khidmat Nasihat Untuk Tempoh 6 bulan



Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan
Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 (RM1.6 juta) kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat. -SK

Adakah Najib Takut Dengan Anwar???




Mengapa Najib umum MEB di luar Parlimen?


Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 31 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di luar Parlimen seolah-olah tidak mencerminkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Pengumuman Najib itu bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan kerana pengumuman tersebut dibuat di luar Dewan Rakyat," jelasnya.

Senada dengan Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib itu seperti menghina kemuliaan Dewan Rakyat.

Ini kerana, menurut beliau, Najib sanggup pergi mengumumkan MEB di luar Parlimen, sedangkan beliau berpeluang membentangkan di Dewan Rakyat sekarang.

Dalam pada itu, Majlis Pakatan Rakyat petang tadi menyifatkan MEB menyadur semangat Agenda Ekonomi Malaysia (AEM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib dilihat memuatkan prinsip-prinsip utama AEM dalam ucapannya, semalam.

"Seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM (apabila) Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, peralihan bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum," jelas beliau di Parlimen.

Jelas Anwar, kesemua prinsip tersebut telahpun diperjuangkan Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi, dan kemudiannya menjadi manifesto bersama-sama PKR, DAP dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) yang lalu.

Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan I turut dilihat gagal menjelaskan mekanisme lanjutan untuk mencapai kelapan-lapan inti utama MEB.

Bagi Pakatan Rakyat, katanya kerajaan seharusnya menyentuh kaedah-kaedah kerajaan menangani isu rasuah, ketirisan, pembaziran, ketidakbebasan mahkamah, polis dan PDRM tidak profesional sebelum memperkenalkan MEB.

Dengan tidak menyentuh beberapa mekanisme tersebut, menurut beliau, mengakibatkan ekonomi negara terus dilihat tidak menentu oleh para pelabur luar.

Akibatnya, menurut Anwar, dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan disalahgunakan oleh kroni-kroni tertentu melalui aktiviti pengkorporatan badan tersebut kelak.

"Pengkorporatan akan dilakukan di mana (dana) KWSP akan dipinda pada satu badan tertentu sedangkan tanpa reformasi menyeluruh, bahaya pada (aktiviti) penswastaan," jelasnya.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa PKR direstui untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kelak.

Turut menyertai Anwar, Lim dan Abdul Hadi di Pejabat Ketua Pembangkang adalah Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) dan beberapa pemimpin tertinggi komponen PR.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.