Tok Guru Dato'Nik Aziz Masuk Hospital



Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, selepas mengadu sakit dada, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Setiausaha akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketika menjalani pemeriksaan di klinik jantung universiti itu, Nik Aziz merasa sakit di dada sebelah kiri.

Nik Aziz kini ditempatkan di wad orang kenamaan di hospital tersebut, tambah Ahmad Fadhli kepada Malaysiakini hari ini.

Masalah kesihatan Nik Aziz itu dipercayai menyebabkannya tidak dapat menyambut Sultan Kelantan yang berangkat pulang hari ini dari mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.

Ditanya tentang tahap kesihatan semasa mursyidul am PAS itu, Ahmad Fadhli berkata Nik Aziz semakin pulih.

“Pukul 12.00 tengah hari tadi saya melawat beliau. Keadaannya alhamdulillah bertambah baik. Sudah (boleh) baca surat khabar.”

Tambahnya, Nik Aziz dijangka dapat keluar daripada wad dan bertugas seperti biasa tidak berapa lama lagi.

“Tengoklah dalam dua, tiga hari lagi,” kata Ahmad Fadhli lagi.

LETAK JAWATAN: 21 anggota CC MCA


Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai timbalan presiden MCA.

Pengumuman itu dibuat di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain dirinya, Chua juga mengumumkan peletakan jawatan tujuh ahli jawatan kuasa pusat.

Mereka termasuk Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Tan Chai Ho, Loh Seng Kok, Datuk Chong Itt Chew, Datuk Gan Tian Loo, Tee Siew Keong dan Por Choo Chor.

Dengan peletakan jawatan itu, presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengadakan pemilihan baru kepemimpinan parti.

Chua (kanan) juga menuntut pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berbuat demikian.

Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih, telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

'Presiden tak tahu'

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti mengenai tindakannya itu, Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Kumpulan 13 juga letak jawatan

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Dalam pada itu, Liow yang juga mengadakan sidang media berasingan di Wisma MCA berkata beliau telah menyerahkan surat perletakan jawatan 13 anggota jawatankuasa pusat MCA, termasuk dirinya kepada setiausaha agung parti itu, Datuk Wong Foon Meng.

Surat perletakan jawatan berkenaan bertarikh 3 Mac.

Mereka ialah Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Liow bagaimanapun menafikan kumpulannya berkomplot dengan Chua untuk memaksa pemilihan baru pucuk pimpinan MCA diadakan.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.

Zulkifli Enggan Berdepan Lembaga Disiplin


Ahli parlimen PKR, Zulkifli Noordin hari ini masuk menghadap lembaga jawatankuasa dispilin parti tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Menurutnya, panel itu dianggotai oleh seorang Islam, dua Kristian dan seorang Hindu.

Permintaannya itu bagaimanapun ditolak oleh jawatankuasa berkenaan kerana kuasa melantik panel berkenaan terletak pada majlis tertinggi PKR.

Zulklifi kemudian menuntut majlis tertinggi PKR melantik panel baru sebelum Selasa ini.

Sebelum ini, ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu tiba di ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur pada jam 3 petang dengan menunggang motosikal Modenas dengan berketayap dan berbaju putih.

Gempa Bumi 6 4 Richter Landa Taiwan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.