Royalti: Ku Li sedih amanah Tun Razak dilupakan



KUALA LUMPUR,5 Jan: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini sekali lagi mempertahankan tindakan beliau memberikan penerangan kepada rakyat mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Kelantan baru-baru ini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li dalam satu sidang media di kediamannya petang tadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja di Kelantan mengenai perjanjian yan dibuat di antara kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

"Saya berasa gembira menghadiri majlis tersebut kerana saya berpeluang memberikan penerangan kepada rakyat berhubung perjanjian Petronas pada 1974 dahulu", katanya.

Ku Li yang juga Bekas Menteri Kewangan juga berkata, beliau hanya ingin menunaikan amanah Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak jika terdapat minyak di persisiran pantai negeri berkenaan.

Ku Li juga kesal dengan keengganan kerajaan Barisan Nasional untuk mengagihkan hasil minyak kepada Terengganu dan Kelantan seperti yang diminta Tun Abdul Razak.

"Saya rasa sedih dan malu kerana amanah Allahyarham Tun Abdul razak seolah-olah dilupakan selepas 34 tahun pemergiannya.Beliau (Tun Abdul Razak) selalu memikirkan rakyat dan negeri-negeri yang miskin.Beliau mengarahkan saya untuk membuat perjanjian pada 1974 untuk memastikan rakyat dapat faedah dari hasil minyak itu, " katanya.

Ku Li pada 28 Januari lalu hadir memberikan penerangan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dianggotai 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang juga tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Pusat untuk memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan berkata, rakyat kelantan berasa terhina dengan keputusan itu kerana mereka inginkan hak mereka dikembalikan.

"Rakyat Kelantan rasa terhina bila nak diberi 20 juta wang ehsan sedangkan syarikat rokok sponsor acara sukan pun 50, 100 juta. Ini pula untuk rakyat Kelantan yang lebih dari 1 juta penduduk.

"Guna duit minyak bagi wang ehsan, macam rakyat Kelantan ni Tok Pakir (Peminta sedekah)," jelasnya.

Selain itu, beliau mahu Petronas membuat perkara yang betul manakala Pengerusi Petronas yang baru dilantik juga diingatkan membuat perkara sama dalam tuntutan royalti ini.

"Saya berharap Pengerusi petronas yang baru dilantik dapat mengawasi petronas. Petronas perlu buat tindakan yang betul mengikut perjanjian,"katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kerajaan negeri untuk mengambil tindakan seterusnya bagi memastikan hak royalti diberikan kepada rakyat negeri itu.

"Samaada Kerajaan negeri nak dakwa atau nak bawa ke mahkamah itu bukan bidang saya.Saya cuma nak menjelaskan perkara yang sebanar. Itu sahaja,"katanya.

Ulama Indonesia kecam filem 'Hantu Puncak Datang Bulan'


JAKARTA: Filem seram terbaru di Indonesia berjudul Hantu Puncak Datang Bulan, yang tayangannya bermula kelmarin, dikecam hebat oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI).

'Saya menonton filem seram berkenaan. Ia mengandungi babak seks, keganasan dan pemenggalan kepala,' kata seorang pegawai MUI, Encik Amirsyah Tambunan, kepada AFP.

'Kami menuntut Lembaga Sensor Filem (LSF) menarik balik filem ini kerana ia lucah dan boleh merosakkan moral,' tegasnya.

Bagaimanapun, Encik Amirsyah berkata MUI tidak mempunyai rancangan mengeluarkan fatwa melarang umat Islam daripada menonton filem berkenaan.

Hantu Puncak Datang Bulan dibintangi kumpulan pop Trio Macan bersama Andi Soraya, Tesa Mariska, Ferly Putra, Rizky Mocil serta Andreano Phillips. Ia dikeluarkan oleh K2K Productions.

Bagaimanapun, LSF mendakwa mereka belum menerima sebarang permintaan agar melarang tayangan filem tersebut.

'Memang ada khabar angin (filem itu akan diharamkan). Besar kemungkinan ia satu helah promosi bagi filem berkenaan,' kata anggota LSF, Encik Firman Bintang, seperti ditukil akhbar The Jakarta Globe.

September lalu, para pemimpin Islam di Indonesia mengutuk rancangan pelakon lucah Jepun, Cik Maria Ozawa, 23 tahun, yang lebih dikenali sebagai Miyabi, melawat Indonesia untuk penggambaran filem komedi mengenai dirinya berjudul Menculik Miyabi.

Akibatnya, pelakon tersebut telah menangguhkan lawatannya itu.

Pada Disember lalu, filem Australia berjudul Balibo diharamkan kerana ia mengisahkan pembunuhan lima wartawan Australia oleh askar Indonesia di Timor Timur pada 1975.

Pemerintah Indonesia mendakwa wartawan berkenaan mati akibat terkena tembakan peluru sesat.

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang Perlu Dipertahankan


Peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bagi tahun ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati oleh institusi Islam di negeri itu selama ini, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

Menurutnya, pada 2008, peruntukan untuk hal-ehwal Islam oleh Kerajaan BN hanya RM12.5 juta.

“Namun dalam pembentangan belanjawan tahun 2008 kerajaan Pakatan telah menambahnya kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan belanjawan 2009, peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010.

“Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang bertajuk 'Pulau Pinang Maju, umat Islam dan Melayu terbela di bawah Pakatan'.

Di samping itu, katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya menunjukan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Idris mendakwa, walaupun BN cuba menggambarkan bahawa Pakatan tidak mampu mentadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat dapat melihat sendiri cekapnya pemerintahan di bawah Pakatan.

“Pada 2007, kerajaan BN mensasarkan belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada Pakatan, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Bagi belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta,” tambahnya.

Kontraktor Melayu tak diabaikan

Menurut Idris lagi, sepanjang pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kontraktor Melayu juga tidak diabaikan

“Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar.

“Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga.

“Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

“Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja,” kata Idris.

Pada tahun yang sama, tambahnya, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Menurutnya, peningkatan yang ketara ini membuktikan kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain.

“Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

“Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihanraya lalu,” tambahnya.

Idris berkata, Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri.

“PAS berharap akan kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat di negeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang,” tambahnya.

Skandal: Kapten England Dipecat


LONDON 6 Feb. - John Terry dilucutkan sebagai ketua pasukan England kerana menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanita rakan sepasukan dalam skuad England, Wayne Bridge.

Keputusan itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas Terry mengadakan pertemuan dengan jurulatih, Fabio Capello di ibu pejabat FA sebentar tadi.

Capello dalam satu kenyataan berkata: “Selepas berfikir panjang, saya memutuskan tindakan terbaik adalah dengan melucutkan jawatan kapten daripada John Terry.

“Sebagai ketua pasukan, John Terry sepatutnya menunjukkan sikap yang positif. Bagaimanapun saya perlu mempertimbangkan tindakan terbaik untuk pasukan England.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.