Inkues Cari Punca Kematian Pemandu Teksi Baharuddin Ahmad Semasa Himpunan BERSIH

Inkues bagi menentukan punca kematian pemandu teksi Baharuddin Ahmad yang turut serta pada perhimpunan BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini pada 9 Julai di Kuala Lumpur tahun lalu, bermula hari ini.

Ia diadakan di hadapan koroner Zulkpli Abdullah di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur.

Beliau dibantu oleh timbalan pendakwa raya Kalmizah Salleh dan Ahmad Israq, manakala peguam Ahmah Jufliz Faiza bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga itu.

Lebih tiga puluh saksi akan dipanggil memberi keterangan dengan lima daripada mereka tampil  hari ini.

Antara mereka ialah Konstabel Mohd Hafiz Ahmad, jurugambar polis yang merakamkan gambar-gambar semasa bedah siasat Baharuddin di Hospital Kuala Lumpur dan menghantar spesimen prosedur ke makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya.

Saksi kedua ialah Shahirah Diyana Shaharuddin, sukarelawan yang cuba membantu apabila beliau mendapati pemandu teksi itu pengsan dan menelefon paramedik dan ambulans.

Baharudin, yang dalam lingkungan umur lima puluhan didakwa cuba melarikan diri daripada asakan FRU dan semburan gas pemedih mata.

Polis mendakwa bahawa kematiannya adalah disebabkan serangan jantung walaupun rakan-rakan peserta BERSIH mendakwa bahawa kematiannya disebabkan pendedahan jumlah gas pemedih mata berlebihan yang digunakan oleh polis ketika cuba menyuraikan demonstrasi tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.