Tun M Kata Tun A Serah 2 Blok Minyak Kepada Brunei

Dr M: Pak Lah serah 'blok minyak RM320b' pada Brunei

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.

"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.

"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blog tersebut kepada Brunei.

"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.

Ini penjelasan Pak Lah...

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau telah 'menyerahkan' 'dua kawasan yang kaya minyak' kepada Brunei.Dalam kenyataannya lewat petang ini, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.

Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.

Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.


Laporan Utusan Malaysia Hari ini

Blok L, M bukan lagi milik Petronas

KUALA LUMPUR 1 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hari ini mengesahkan kontrak perkongsian pengeluaran yang melibatkan Blok L dan Blok M yang dianugerahkan kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Murphy Sabah Oil Co. Ltd telah dibatalkan pada 7 April lalu.

Pembatalan kontrak menerusi Surat Pertukaran yang bertarikh 16 Mac 2009 itu berikutan kedua-dua blok itu bukan lagi sebahagian dari Malaysia.

Blok L dan Blok M itu telah ditandakan semula sebagai CA1 dan CA2.

``Petronas juga mahu menjelaskan bahawa syarikat ini telah dijemput oleh Brunei untuk terlibat dalam membangunkan CA1 dan CA2 berdasarkan perjanjian komersial,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Utusan

Siling DUN Pulau Pinang Runtuh - Tiada Kecederaan Dilaporkan


Siling di bahagian galeri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang runtuh semalam menjelang persidangan Dewan yang akan bermula Isnin ini.

Menurut Speaker Datuk Abdul Halim Hussain, kira-kira 70 peratus siling di ruang tempat duduk media, pemerhati dan penulis hansard dilaporkan runtuh kira-kira 3.30 petang tadi.

"Ketika kejadian, terdapat dua hingga tiga kakitangan berada di dalam bangunan. Bagaimanapun mereka tidak mengalamai sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk menyiasat kejadian.

Abdul Halim berkata runtuhan itu tidak akan menjejaskan persidangan nanti.

"Pihak kami juga sedia dengan alternatif lain termasuk kemungkinan memindahkan lokasi persidangan ke tempat lain seperti Dewan Sri Pinang, Dewan Universiti Sains Malaysia dan Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai," katanya.

Semasa ditinjau, pekerja JKR sudah memulakan kerja baik pulih dengan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob dan beberapa pegawai polis turut mengunjungi bangunan berkenaan.

Pada 23 Julai 2008, plaster siling sepanjang empat meter di bahagian tengah lobi bangunan itu turut dilaporkan jatuh dan hampir menimpa orang ramai yang sedang berada di situ.

- Bernama

Kempen “Kenali Pemimpin Anda” Oleh Zaid Ibrahim


Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof fesor Dr. Aziz Bari mengalu-alukan kempen “Kenali Pemimpin Anda” sebagai selaras dengan pendemokrasian politik negara.

Ketika diminta mengulas hasrat bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim melancarkan kempen ini, Aziz Bari berkata ia memberdayakan rakyat dengan pengetahuan tentang pemimpin mereka, lantas membuka perspektif baru ketika membuang undi di masa pilihanraya nanti.

“ Mudah sahaja, ini negara demokrasi, ia berhubung ketelusan dan siapa hendak jadi pemimpin perlulah dikenali. Perlu diketahui semua kehidupan mereka, tidak ada yang peribadi. Kalau pemimpin itu maknanya, orang yang menjadi tumpuan, semuanya akan menjadi harta rakyat, semudah itulah" katanya kepada Tv Selangor.

Tambah Aziz, apa yang lebih mustahak, seseorang yang bergelar pemimpin itu harus menerima hakikat bahawa sebagai seorang yang dikenali ramai, setiap tingkah laku dan perbuatan mereka akan menjadi perhatian awam.

“ Tidak ada benda lagi yang peribadi, tidak ada lagi benda yang kena sembunyi. Maknanya kalau anda anda hendak jadi pemipim anda kena sanggup diteliti oleh rakyat. Itu sahaja. Tidak kiralah Raja ke, siapa ke? Hakim ke, pegawai tinggi kerajaan ke? Tidak ada rahsia lagi" tambah beliau.

Mantan Menteri Undang-undang, Zaid Ibrahim dalam sidang media di kediamannya baru-baru ini berkata, sekiranya pilihanraya kecil Hulu Selangor memberi kesempatan kepada rakyat untuk lebih mengenali beliau, maka rakyat juga harus mengenali pemimpin-pemimpin lain di negara ini.

Hajat Minum Kopi Bersama Suami Tidak Kesampaian


ALOR SETAR- Hajat untuk menikmati minum petang bersama suami tidak kesampaian apabila seorang wanita maut dirempuh lori membawa pasir dan batu ketika hendak melintas jalan selepas pulang dari kedai berhampiran rumahnya, di Kampung Tanjung :Bendahara di sini, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Hasnah Shaari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya.

Cucu, Che Yum Tahar, 46, berkata, sebelum kejadian datuknya, Saad Morad, 84, memberi wang RM3 kepada mangsa pergi ke kedai untuk membeli rokok daun dan dua bungkus kopi ‘O’ untuk juadah minum petang.

Menurutnya, datuknya tidak pergi sendiri ke kedai kerana kebetulan menghadapi masalah pendengaran dan sakit kaki.

“Nenek pergi membeli semua barang yang diminta datuk malah dalam perjalanan pulang, dia sempat mengambil buah mangga dalam bungkusan yang diberikan jiran sekampung sebelum berhenti di tepi jalan untuk melintas pulang ke rumah,” katanya.

Mangsa mendirikan rumah tangga bersama Saad lebih setahun lalu selepas kematian isteri Saad dan tidak dikurniakan anak.

Saksi kejadian, Elias Ramli, 30, yang juga anak saudara mangsa berkata, masa kejadian dia ternampak ibu saudaranya dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir dan batu selepas kenderaan itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan di selekoh tajam itu.

Menurutnya, dalam sekelip mata lori itu hilang kawalan lalu merempuh ibu saudaranya yang berada di tepi jalan yang ketika itu masih menunggu masa untuk melintas pulang ke rumah.

“Selekoh ini memang bahaya dan beberapa kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, dan penduduk kesal kerana permintaan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran berhati-hati ketika melalui jalan itu tidak mendapat maklum balas.

“Saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan selain lori yang dipandunya juga ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.