Mekah Dilanda Hujan Lebat Lagi


RIYADH 14 Feb. - Hujan lebat yang melanda Mekah semalam menenggelamkan beberapa daerah dan jalan-jalan raya di kota suci itu, lapor media Arab Saudi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berulangnya banjir kilat yang membawa maut di sebuah bandar berhampiran, November tahun lalu.

Saluran televisyen milik negara al-Ekhbariya, menunjukkan rakaman beberapa jemaah sedang bersembahyang di atas lantai marmar putih yang basah, sementara beberapa orang yang lain sedang mengelilingi kaabah.

Lokasi Mekah di tengah-tengah lembah padang pasir yang berbukit-bukau, menyebabkannya terdedah kepada banjir kilat ekoran hujan luar biasa lebat.

Kaabah pernah diperbaiki beberapa kali sebelum ini selepas rosak akibat banjir.
Hujan lebat di Mekah berlaku serentak dengan musim cuti sekolah yang bermula Khamis lalu dan ia sering menarik beribu-ribu pelawat terutamanya daripada Arab Saudi.

Hujan jarang berlaku di negara padang pasir itu tetapi kira-kira 130 maut November lalu semasa kemuncak musim haji selepas hujan lebat melanda bandar Jeddah yang terletak lebih kurang 80 kilometer di barat Mekah, mengakibatkan banjir kilat yang turut merosakkan beratus-ratus harta benda ekoran sistem kumbahan bandar itu yang teruk.

Abdallah al-Jeddawi, dari pertahanan awam Arab Saudi memberitahu al-Ekhbariya, tiada kejadian banjir dilapor di Mekah.

"Keadaan kini tenang tetapi beberapa jalan-jalan raya dan daerah di Mekah ditenggelami air," katanya tanpa menyatakan butiran lanjut.

Perkhidmatan berita dalam talian bagi akhbar al-Hayat melaporkan, pasukan pertahanan awam sedang berusaha menyelamatkan 30 orang yang terperangkap di dalam kereta mereka di Mekah. - Reuters

Isu Maulidur Rasul: LGE kecam Utusan, KJ


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengecam segelintir mereka yang bersikap 'rasis' yang didakwanya secara 'terpilih' mendedahkan dokumen yang mendakwa kerajaan negeri pimpinannya telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri di Komplek Tun Razak (Komtar) di Georgetown, Lim mensasarkan akhbar Utusan Malaysia dan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didakwanya telah mencetuskan ketegangan antara kaum berhubung perkara tersebut.

"Saya berharap semua orang menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana harmoni. Namun ada segelintir yang memainkan sentimen perkauman," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP.

Utusan dan Bernama masing-masing melaporkan minggu ini dakwaan bahawa perarakan Maulidur Rasul untuk mengingatkan keputeraan Nabi Muhammad SAW telah dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi Insitut Kefahaman Islam (Ikim), turut mengulas perkara itu.

Dalam reaksinya terhadap laporan tersebut, Lim menafikan perarakan tersebut telah dibatalkan dan menyifatkan laporan itu satu pembohongan, dan berkata perarakan tahun ini akan diteruskan seperti yang dirancangkannya.

Lim juga berkata para menteri dari BN juga dijemput mengambil bahagian.

Bagaimanapun, dalam blognya, Khairy menyiarkan imej sepucuk surat - dari satu lagi blog pro-Umno - yang menyatakan perarakan itu telah dibatalkan.

Surat bertarikh 5 Februari 2010 itu dikatakan telah dihantar dari pejabat setiausaha kerajaan negeri, kepda semua ketua jabatan negeri dan pusat, badan berkanun serta presiden majlis perbandaran di Pulau Pinang.

Jawatankuasa negeri Pulau Pinang yang mengendalikan sambutan Maulidur Rasul di peringkat negeri itu, telah mengadakan satu mesyuarat pada 3 Februari lalu, dan memutuskan perarakan telah dibatalkan, menurut surat tersebut.

Sebaliknya, menurut surat itu lagi, satu perhimpunan akan diadakan pada 26 Februari di mana kesemua ketua jabatan dan badan kerajaan diminta hadir.

Sehubungan itu, Khairy berkata, Lim perlu menjelaskan perkara itu secara ikhlas dan jujur, selaras dengan aspirasi pentadbirannya yang cekap, berakauntabiliti dan telus.

Khairy juga menegaskan mengenai lamanweb jabatan halehwal agama Islam Pulau Pinang telah mengumumkan mengenai perhimpunan pada 26 Februari itu, tetapi tiada mengenai perarakan.

Tiga surat
Di Komtar hari ini, Lim sekai lagi menafikan perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan dan sebaliknya menuduh ada pihak yang cuba membesar-besarkan perkara itu.

Kerajaan Pulau Pinang, kata Lim, telah mengeluarkan tiga pucuk surat mengenai perarakan tersebut, dan tiada satupun yang mengandungi 'keputusan muktamad' mengenainya.

Surat pertama bertarikh 13 Januari, membincangkan mengenai perarakan dan meminta mereka yang dihantar surat itu, supaya menjawabnya pada 19 Februari, kata Lim.

Surat kedua - yang menurut Lim yang dirujuk oleh Khairyu dan pihak lain - dikeluarkan pada 15 Januari kepada semua masjid dan pertubuhan Islam - meminta maklumbalas mengenai perhimpunan dalaman Maulidur Rasul.

Manakala dalam surat ketiga bertarikh 12 Februari, kata Lim, dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua perhimpunan dan perarakan itu akan diadakan.

Sehubungan itu, Lim mendakwa, ada segelintir orang yang cuba memainkan sentiman perkauman dengan secara salah mentafsirkan perkara tersebut.

"Kita telah mengeluarkan tiga pucuk surat, tetapi mereka tidak membaca kesemuanya. Kemudian mereka membuat kenyataan palsu mengenainya," katanya.

Lim juga membidaskan sesetengah media Melayu dan Inggeris yang tidak menyiarkan kenyataan kerajaan Pulau Pinang mengenai perkara itu.

28 Gerabak KTMB Tergelincir di Guar Stesen


Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kebocoran gas di salah satu gerabak yang tergelincir di Kampung Guar Stesen ketika dalam perjalanan dari Alor Setar, semalam.

GUAR CEMPEDAK 14 Feb. - Sebanyak 28 buah gerabak kereta api barang dipercayai dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir di Kilometer 58.35, berdekatan Kampung Guar Stesen di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang tadi, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Guar Cempedak dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalankan kerja-kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir tersebut.

Kejadian itu menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Haadyai dari Gemas, Johor dan perkhidmatan Ekspress Haadyai-Langkawi dari Padang Besar tergendala kerana landasan ditutup.

Jurucakap KTMB yang ditemui di tempat kejadian memberitahu bahawa kerja-kerja membaik pulih landasan dijangka selesai selewat-lewatnya petang esok, sebelum laluan itu boleh dibuka semula.

Utusan Malaysia difahamkan terdapat sedikit kebocoran gas dipercayai berpunca daripada gerabak yang tergelincir itu.

AWAS: Penipuan Siber Meningkat Di Negara Ini


Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kajiselidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri, berkata menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran e-mel dengan menggunakan soalan yang menyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi e-mel," katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknoloji dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' di mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat e-mel cyber999@cybersecurity.my. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.