TPM: Saya tak mahu tugas MB Selangor selesai isu pasir

JELI, 15 Julai — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Selangor seharusnya menggunakan kebijaksanaan sendiri dalam menangani isu perlombongan pasir tak terkawal di negeri itu kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka dan bukannya meminta bantuan kerajaan pusat menyelesaikannya.

Perdana Menteri berkata ini kerana kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa dalam bidang melibatkan tanah dan air.

“Ia masalah negeri yang sepatutnya diselesaikan oleh Menteri Besar Selangor. Saya tidak mahu hendak ambil tugas Menteri Besar.

“Isu Pasir itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bukannya kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengemukakan surat kepada Muhyiddin bagi meminta kerjasama kerajaan pusat untuk membantu menyelesaikannya.

Muhyiddin berkata kerajaan Selangor seharusnya menggunakan langkah yang sesuai dalam menangani isu itu kerana negeri itu mempunyai agensi mereka tersendiri.

Katanya Selangor mempunyai Penasihat Undang-undang Negeri yang mampu memikirkan cara dan kaedah untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu pasir itu.

“Dia (Menteri Besar Selangor) perlu selesaikan isu pasir itu, takkan tidak ada orang yang boleh selesaikan,” kata beliau dipetik Bernama.

Ditanya sama ada beliau menerima surat daripada Abdul Khalid berhubung isu curi pasir itu, Muhyiddin berkata beliau belum menerima surat berkenaan.

Semalam Khalid menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan penjelasan mengenai isu kegiatan melombong pasir di negeri itu.

Khalid turut menyelar pemimpin-pemimpin Umno yang memainkan isu perlombongan pasir secara haram dan mendakwa kegiatan itu juga berleluasa semasa negeri itu ditadbir BN.

“Isu ini sudah berlarutan selama 30 tahun, ia tidak dapat diselesaikan dalam dua tahun,” kata Khalid.

Beliau akan mengeluarkan senarai nama mereka yang menerima lesen untuk menjalankan kegiatan melombong pasir sebelum pakatan pembangkang berkuasa di Selangor pada Mac 2008 esok.

Beliau berkata senarai nama itu akan termasuk penerima dan mereka yang mendapat faedah daripada kegiatan melombong pasir pada 2006, 2007 dan awal 2008.

Khalid juga berkata sistem pengurusan sedia ada yang diamalkan dalam syarikat itu telah berjaya meningkatkan pendapatan daripada pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai pada 2010 setakat Jun).

Beliau menyelar kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat terhadap kegiatan perlombongan pasir di Kampung Olak Lempit di daerah Kuala Langat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.