GMI, Suaram Minta Suhakam Siasat Tindakan Polis Halang Perhimpunan Aman 5 Dekad ISA


mansuhkan-isa

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suaram, dua badan bukan kerajaan hak asasi, hari ini menggesa Suhakam mengadakan siasatan terbuka berhubung tindakan polis menghalang perhimpunan aman sempena lima dekad penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos lalu.

Gesaan itu dibuat dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suhakam di sini, pagi ini.

GMI dan Suaram turut menuntut laporan akhir diserahkan kepada kerajaan agar diambil tindakan disiplin terhadap pihak polis.

Malah kedua-dua NGO itu juga mendakwa tindakan polis menangkap 39 orang di Petaling Jaya, Pulau Pinang, dan Kelantan sebagai tidak relevan dan mala fide.

Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Antara yang ditahan pada perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu ialah Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah yang menerima memorandum itu mengakui pihak berkuasa negara ini memandang sepi peranan suruhanjaya itu dalam menegakkan hak asasi manusia.

Menurut Sha’ani, pihak berkuasa seperti polis hanya berpendirian melaksanakan undang-undang yang ada dan bukannya mengambil kira hak asasi manusia.

Source: membakut2u.wordpress.com

“Mereka berpendirian melaksanakan undang-undang sedia ada. Saya tak merasakan ada percubaan untuk ambil kira hak asasi manusia dan anggap sebagai satu yang tidak bermakna,” kata Sha’ani yang turut berada di Padang Timur dekat bangunan Amcorp pada 1 Ogos lalu sebagai pemerhati.

Menurut Sha’ani, sebagai pesuruhjaya, beliau akan terus berjuang dalam menyedarkan masyarakat dan membantu kerajaan mempertingkatkan tahap hak asasi manusia negara ini

Skandal PKFZ: Seorang Lagi Bekas Pemimpin Besar Bakal Didakwa?

PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas pemimpin dikhabarkan akan didakwa berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Berikutan itu, petugas media bergegas menunggu di bangunan mahkamah berkenaan sejak jam 9 pagi lagi.


Bagaimanapun, tiada individu daripada Pejabat Peguam Negara atau bekas pemimpin terbabit dilihat berada di situ.

Pada 29 julai lalu, Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek ‘Mega Distribution Hub’ yang kini dikenali PKFZ, pada 2002.

Dr Ling, 67, didakwa memperdaya Jemaah Menteri supaya bersetuju dengan terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat Empat, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di sini.


Pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dibantu Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Timbalan Pendakwa Raya (TPP), Dzulkifli Ahmad dan TPP Manoj Kurup manakala Dr Ling diwakili peguam Datuk R R Sethu.

Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Tahanan ISA - Hilang Ganti Rugi RM2.5 juta... Aku Tak Nak Komen!!!

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan rayuan bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdul Malek Hussein yang hilang ganti rugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Md Sherif yang mengetuai panel tiga hakim yang bersidang hari ini berkata Mahkamah Persekutuan berpuas hati dengan ketiga-tiga soalan yang diajukan mengikut Seksyen 96, Akta Mahkamah Keadilan (Courts of Judicature Act ) kerana isu berkenaan tidak jatuh di bawah peruntukkan itu.

"Justeru, permohonan ditolak."

Dua hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Abdul Malek membanyar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membuat penghakiman bersejarah dengan menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepada Abdul Malek.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Mac lalu, mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dan memutuskan Abdul Malek tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan untuk membayar kos RM50,000.

"Lu banyak berani? "Sekarang lu mau apa?- Antara Nota Yang Dihantar Bersama Peluru Kepada MP PJ Utara

Peluru yang dihantar ke pusat khidmat Pua digambarkan dengan sekeping duit syilling. — Gambar ehsan Lim Lip Eng
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerima surat ugutan untuk mengancamnya petang semalam. Turut dimuatkan dalam sampul surat berkenaan adalah sebutir peluru yang masih belum digunakan.

Bungkusan itu dialamatkan ke pejabatnya di Damansara dari Tangkak. Ia dibuka oleh pembantu pejabatnya pada jam 4.30 petang.

Surat berkenaan berbunyi: "Lu banyak berani?

"Sekarang lu mau apa?

"Jalan sekarang mau tengok depan, belakang, kiri, kanan bawah dan atas.

"Apa pasal?

"Lu punya keluarga, rumah, pejabat, kereta - WHT ....004, wa sudah mau.

"Sendiri mau ingat. Lu fikirlah sendiri,"

Pembantunya itu kemudian terus membuat laporan polis di pejabat polis Damansara Utama dengan diiringi oleh Pua dan peguam DAP, Lim Lip Eng yang juga ahli parlimen Segambut.

Polis telah mengesahkan peluru itu adalah buatan tempatan dan ia untuk kegunaan senapang M16.

Ancaman itu dipercayai ada kaitan dengan cadangan Pua bagi memansuhkan dasar pemberian diskaun tujuh peratus kepada bumiputera untuk pembelian hartanah mewah yang dibuatnya pada awal bulan ini.

Berikutan cadangannya itu, Pemuda Umno Selangor pada 4 Ogos lalu, juga membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu kerana menganggap cadangan berkenaan berbahaya dan berbaur hasutan serta mencabuli perlembagaan persekutuan serta kontrak sosial.

Pada Mei 2008, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor juga menerima surat ancaman bunuh dan sebutir peluru.

Jemaah Menteri 'Tidak Matang' Larang Pelajar IPT Terlibat Dalam Parti Politik... Ketakutan Sebenarnya Yang Ada...

Keputusan jemaah menteri yang melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, semalam, disifatkan sebagai "tidak matang".

M
alah, kata pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin keputusan itu dibuat dilihat tidak mengambil kira bahawa mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas.
"Kerajaan perlu melihat mahasiswa sebagai warganegara yang berumur 21 tahun ke atas diberi hak, partisipasi (dalam politik), berhimpun dan memberikan pandangan.

"Kami kecewa dengan keputusan kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa.

"Jika seksyen 15 AUKU (Akta Univeristi dan Kolej Universiti) membenarkan mahasiswa berpolitik dengan izin naib canselor, maka seksyen ini jugalah digunakan untuk mendakwa mahasiswa dalam mahkamah. Di mana hak mahasiswa?" soalnya.

Shazni Munir yang juga pelajar Universiti Malaya mengulas mengenai keputusan jemaah menteri semalam yang memutuskan bahawa mahasiswa tidak dibenarkan terlibat dalam politik kepartian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.

Me
ngulas lanjut, Shazni Munir berkata rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas sepatutnya diberi hak untuk berpolitik sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

"Jadi mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana berumur 21 tahun, bebas terlibat dengan politik dan berhimpun.

"Di mana kerajaan meletakkan mahasiswa sebagai agen intelektual. Ruang (berpolitik) harus diberikan lebih luas seperti berdebat dengan menteri atau NGO," katanya.

Mengulas mengenai mahasiswa diwajibkan memohon kebenaran daripada naib canselor sebelum menyertai poltik, Shazni Munir berkata sepatutnya perkara tersebut tidak perlu.

Mohon restu mak, ayah

"Sepatutnya mereka memikirkan untuk menaikkan kedudukan universiti ke tahap global dan antarabangsa. Memadai memohon restu mak dan ayah. Kenapa nak susah-susah nak minta izin kepada naib canselor," katanya.

Sementara itu, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS), Mohd Idris Mohd Yusoff berkata walaupun kerajaan membuat keputusan tersebut, pihaknya akan tetap memperjuangkan agar mahasiswa boleh menyetai politik kepartian.

"Ini soal rakyat Malaysia, soal hak dan kebebasan mahasiswa," katanya.

Sementara itu, pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Ahmad Wafi Sahedan berkata beliau menyambut baik keputusan jemaah menteri itu kerana berpandangan kerajaan telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Ahmad Wafi berkata walaupun kerajaan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik kepartian, kumpulan itu mempunyai saluran lain untuk terlibat dengan kegiatan masyarakat.

"Pindaan AUKU memberi peluang untuk menjadi mahasiwa berwibawa dan lebih bagus dengan terlibat dengan NGO untuk menyelesaikan isu-isu kemasyarakatan," katanya.

Tegasnya, mahasiswa perlu menjadi satu golongan yang mempunyai pendirian dan tidak dipengaruhi serta bebas mengkritik mana-mana pihak.

Ahmad Wafi merupakan yang juga yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (MPMUSM).

Dah Seminggu Ditahan Di Hospital - Moga Cepat Sembuh YB Salleh Man

Bersama isteri di hospital bukit Mertajam


Lawatan dari YB DAP Michael Tan bersama
Timbalan ketua wanita bahagian Permatang Pauh Hjh Cik Wa.

Yb Salleh Man kini di pindahkan ke Hospital Seberang Jaya dan berada di wad 7. Beliau dipercayai mengalami bengkak usus. Semoga semua berdoa agar beliau cepat sembuh.

Yb Salleh Man juga di kunjungi oleh DSAI pada 7 Ogos baru-baru ini, ketika beliau melakukan lawatan ke Parlimen Permatang Pauh.

Jenayah Makin Parah - Gadis Dibunuh dan Dibuang Ke Ladang Getah Setelah Dirogol



ANGGOTA polis memeriksa keadaan mayat seorang gadis yang disyaki dirogol dan dibunuh sebelum ditemui di sebuah ladang getah dekat Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI 11 Ogos - Seorang penoreh getah di sebuah ladang dekat Taman Kelisa Ria, di sini, terkejut apabila mendapati bangkai disangka babi hutan yang ditemuinya, rupa-rupanya adalah mayat seorang gadis disyaki dirogol dan dibunuh secara kejam.

S. Shanmugam, 50, berkata, dia yang menemui 'bangkai' itu kira-kira pukul 10 pagi pada mulanya tidak mengendahkannya kerana menyangka ia babi hutan.

Katanya, namun dia mula mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku apabila melihat dawai dan cawan yang digunakan untuk menadah susu getah di kawasan berhampiran hilang dari pokok.

Dia juga menjadi lebih hairan apabila melihat terdapat kesan semak-samun yang diratakan, selain seretan sesuatu objek beberapa meter dari pokok berkenaan.

"Semasa saya menghabiskan torehan getah pada baris akhir di hujung ladang, saya mendapati dawai dan cawan yang digunakan untuk tadah susu (getah) hilang.

"Saya cuba mencari sehingga jumpa 'bangkai' itu. Mula-mula ingatkan babi hutan sengaja rosakkan cawan dan (kemudian) mungkin mati selepas termakan getah.

"Sebaik sahaja mendekatinya, saya nampak jari manusia dan terkejut apabila sebenarnya ia mayat gadis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis tiba di lokasi sejurus menerima laporan daripada majikan Shanmugam.

Katanya, mangsa yang berusia awal 20-an ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala, selain tangan kiri diikat dengan dawai.

Beliau berkata, mangsa juga mungkin dibunuh 24 jam lalu di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan tersebut.

"Identiti mangsa belum dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut.

"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan separuh bogel dengan seluar dalamnya dilondehkan ke paras lutut.

"Berdasarkan penelitian awal, mangsa adalah warga tempatan berdasarkan kesan parut suntikan pelalian BCG," ujar beliau.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa bersusuk tubuh kecil serta mempunyai kulit sawo matang.

"Kita juga percaya mangsa mungkin berketurunan Melayu atau Siam," katanya lagi sambil memberitahu, polis tidak menemui senjata di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian," jelasnya.

Hashim meminta ibu bapa yang kehilangan anak gadis mereka supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Supritendan Teh Boon Keong di talian 012-3284837 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.