Ucapan Kumuthan, Ketua Wanita DHPP jadi tumpuan perwakilan

KOTA BHARU, 10 Jun: Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.

Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.

“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.

“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.

Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.

“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.

Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.

“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.

Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.

“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya.

Jom Desak Halau Kapal Zionis Israel Dari Pelabuhan Klang - Mapim & Shura

KUALA LUMPUR 10 Jun - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) hari ini mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional menjelaskan kenapa membenarkan kapal Israel Zim Genova yang berdaftar di Israel berlabuh di Pelabuhan Barat, Klang Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini dua pertubuhan itu berkata pendedahan yang dibuat di dalam rencana Utusan Malaysia pada 9 Jun lalu membuktikan pada haikatnya kerajaan tidak konsisten dalam hal hubungannya dengan Israel.

"Makluman bahawa ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini, semada secara terus atau dari negara ketiga adalah amat mengejutkan.

"Persoalan yang ditanya benarkah Israel diizinkan memasuki ke pelabuhan kita dan mengadakan aktiviti perdagangan dengan negara ini, dan ini secara jelas telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan.

"Mapim dan Shura amat kesal dengan pendedahan yang menunjukkan hiprokasi yang amat nyata," kata kenyataan itu yang diemel kepada Suara Keadilan.

Menurut Setiusaha Agung Mapim, Azmi Abdul Hamid dan Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsuddin adalah anehnya ketika usul khas di Parlimen dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Jun lalu berkaitan dengan kecaman dan tindakan yang akan di bawa oleh kerajaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk bertindak ke atas Israel, tiba-tiba pada hari yang sama dilaporkan kapal Zim Genova milik syarikat Zim Israel Navigation Company berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo yang besar.

"Lebih pelik lagi dilapor oleh rencana tersebut selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

"Mapim dan Shura terkejut bagaimana pula ada rundingan senyap hubungan perdagangan atau perkhidmatan pelabuhan dilakukan dengan syarikat perkapalan Israel dengan Malaysia.

"Ini sudah pasti suatu penipuan kepada rakyat Malaysia dan dunia umumnya, betapa Malaysia bertalam dua muka dalam perhubungannya dengan Israel.

"Kenyataannya bila kapal kemanusiaan Mavi Marmara dan Rachel Corrie yang disertai rakyat Malaysia kita dihalau dan diserang di pengairan antarabangsa kenapa pula kapal Israel sewenang-wenangnya dibenarkan berlayar dan berdagang di negara ini!," tegas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu mencabar sama ada kapal MISC milik Malaysia dibenarkan memasuki Pelabuhan Haifa di Israel.

Mapim dan Shura berpendirian dengan jawapan jelas pihak Kementerian Pengangkutan bahawa kapal Israel dibenar berdagang di Malaysia, membuktikan Malaysia telah mengkhianati rakyat Palestin.

"Walau apapun syarat dan peraturan dikenakan ke atas kapal Israel, membenarkan kapal tersebut berlabuh itu sendiri adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan sikap yang diambil oleh seluruh rakyat Malaysia dan semangat dari usul yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

"Penjelasan Kementerian bahawa pihak West Port menetapkan syarat kepada kapal Israel itu tidak boleh diterima samasekali. Jika Malaysia mempunyai dasar tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan negara yang tidak ditiktiraf, kenapa kapal itu dibenarkan masuk dan berlabuh di Klang?

Mapim dan Shura dengan itu mendesak supaya kerajaan mengarahkan kapal itu keluar dari Pelabuhan Klang dan menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada lagi kapal Israel yang akan dibenarkan berlabuh di pengairan Malaysia," desak pertubuhan itu lagi.

-SK

MB Selangor Pertikai RMK-10, Dakwa Abai Selangor


KUALA LUMPUR, 10 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikaikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa ia mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Beliau juga menyifatkan pentadbiran Najib sebagai telah hilang fokus dalam mencapai matlamat RMK-10.

“Adakah keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan ini disebabkan politik? Jika ya, keputusan ini telah membelakangkan kepentingan rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa usaha mentranformasi ekonomi Malaysia perlu diberi penekanan terhadap tiga perkara penting iaitu penilaian semula saiz sektor awam, meliberalisasi saluran tranformasi dan membina ‘talent bank’ di kalangan tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, RMK-10 hanya memberi fokus terhadap pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), tetapi tidak di Selangor dan Lembah Klang.

“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.

“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Selangor dan Lembah Klang yang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia selama ini langsung tidak dinyatakan dalam RMK-10.

“Perdana Menteri hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, Selangor yang merupakan sebahagian daripada Bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selangor juga mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selain itu, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.”

Khalid juga mempersoalkan pentadbiran Najib sama ada sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industry paling banyak pada 2008 dan 2009.

“Adakah pentadbiran Najib sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2008 dan 2009, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?

“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya iaitu sektor pendidikan, pelancongan dan kesihatan, kesemua sektor ini berpusat di Lembah Klang.

“Selain itu, sektor industri dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Dewan Ulama, Pemuda PAS Ambil Langkah Gesa Hapus Semua Judi


MACHANG, 10 Jun – Dewan Ulama PAS Pusat bergerak satu langkah ke depan dengan mendesak kerajaan pusat agar menghapuskan semua bentuk perjudian di negara ini.

Sayap ulama PAS itu juga mendesak supaya semua premis judi ditutup.

Bagaimanapun ketegasan itu tidak menyebut bila ia harus dilakukan.

Kelainan ini diperlihatkan walaupun Pemuda PAS baru-baru ini telah memulakan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dengan kerjasama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan berhubung kelulusan mengendalikan operasi judi sukan.

Pendirian Dewan Ulama itu diputuskan sebagai salah satu usul Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS yang berlangsung Markas Dewan Ulama di sini hari ini.

”Judi jelas diharamkan dalam Islam. Aktiviti pelbagai bentuk judi diadakan di bawah BN sejak merdeka, dan ditambah dengan perjudian sempena musim bola sepak, maka kita sudah dapat lihat kesan-kesan buruk.

“Kita dapat melihat bahawa judi adalah seperti penyakit kanser, boleh membawa pelbagai kanser.

“Oleh itu Dewan Ulama mendesak agar kerajaan menghapuskan lessen perjudian dalam semua bentuk, mendesak menteri yang meluluskan lessen (judi) meletak jawatan,” kata usul itu.

Dewan Pemuda PAS yang mengadakan muktamarnya di Kota Baru hari ini juga dijadual meluluskan usul meminta agar judi sukan dihapuskan.

Persidangan Pemuda PAS akan disambung malam ini.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan Al-Tantawi berkata, sayap itu akan memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya.

“Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini.

“Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama, penasihat agama dan mufti–mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini,” jelasnya.

Justeru, menurut beliau, sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi.

“Negeri–negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan teladan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Rakyat mestilah memberikan komitmen serupa untuk memerangi jenayah judi ini dengan tidak lagi memperbaharui lessen premis perjudian yang beroperasi di bawah wilayah penguasaan mereka.

“Lantaran itu kami (Dewan Pemuda) yakin pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanah air dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamadun ummah,” tambahnya lagi.

PJ PAS Selangor Saman Menteri Pertahanan RM20juta Atas Dakwaan Fitnah


SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali memfailkan saman fitnah berjumlah RM20 juta terhadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada April lalu.

Selain Ahmad Zahid, turut dinamakan sebagai defendan ialah Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom dan portal suratkhabar elektronik Agenda Daily Dot Com Sdn Bhd.

Hasan, selaku plantif, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini melalui firma guaman Tetuan Nazri Saad. Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 24 April lalu Utusan Melayu melalui kenyataan Ahmad Zahid telah menghasilkan empat artikel berunsur fitnah di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia Online bertajuk "Keghairahan Politik Terbawa Sehingga Ke Khutbah Jumaat", "Hassan Ali Salah Guna Masjid", "Pembangkang Ingkari Sultan" dan "Pemimpin Pas Ingkar Perintah Sultan".

Beliau juga mendakwa pada tarikh yang sama, Agenda Daily Dot Com melalui kenyataan Zainal Abidin telah menghasilkan artikel berunsur fitnah bertajuk "Laporan Polis Terhadap Nik Aziz dan Hassan Ali" dan Zainal Abidin didakwa turut mengeluarkan kenyataan secara lisan berunsur fitnah di dalam siaran Berita RTM pada tarikh yang sama.

Hasan mendakwa artikel berkenaan secara langsung merujuk kepada beliau dan membawa maksud antara lain bahawa beliau ialah seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai, tidak layak untuk memberi khutbah, telah menggunakan masjid untuk kepentingan politik dan seorang penderhaka terhadap titah Sultan.

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Selangor, mendakwa tindakan semua defendan itu mempunyai niat untuk merosakkan reputasi dan kedudukan politik serta jawatan beliau dalam parti.

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta daripada Ahmad Zahid dan Utusan Malaysia serta RM10 juta lagi dari Zainal Abidin dan Agenda Daily Dot Com, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditafsirkan mahkamah, faedah, kos serta laion-lain relif yang difikirkan sesuai.

Plantif juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada melafazkan atau menerbitkan kata-kata yang memfitnahnya.

Hasan juga adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia. - Bernama

Hakim Perintah bayar RM3.3juta Kepada Bekas Tahanan ISA

Mahkamah Tinggi di Putrajaya memerintahkan agar RM3.3 juta dibayar kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ditahan menyalahi undang-undang atas dakwaaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata mahkamah bersetuju dengan plaintif seorang ahli perniagaan Badrul Zaman P.S. Mohamed (kanan) bahawa penahanannya di bawah ISA 1994, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.

Mohd Hishamudin dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mempertimbangkan kos kecederaan terhadap reputasi plaintif dengan memerintahkan untuk membayar tuntutan ganti rugi am dan teladan dengan kos kepada beliau.

Beliau berkata setelah membaca dengan teliti autoriti itu, satu gantirugi sebanyak RM20,000 sehari adalah adil dan saksama untuk dibayar kepadanya dengan mengambilkira fakta plaintif yang dialami semasa dalam tahanan.

Katanya dengan mengambilkira 300 hari dalam tahanan, plaintif hendaklah dibayar RM6 juta, bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk memberikan diskaun 50 peratus kepada defendan yang mahkamah fikirkan adalah adil dan munasabah.

Mohd Hishamudin yang kini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, juga memerintahkan agar gantirugi teladan RM300,000 diberikan atas dua alasan, pertama kerana penahanan menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan, kedua perintah penahanan terhadap plaintif dilanjutkan selepas pencegahan penahanan pada awalnya selama dua tahun.

Badrul Zaman memfailkan saman itu pada 30 November 1994, menamakan superitenden Pusat Tahanan Kamunting sebagai defenan pertama, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, plaintif menyatakan bahawa beliau tidak mencabar kesahihan perintah penahanan pertama mengikut Seksyen 8(1) ISA pada 12 September 1991 di mana beliau ditahan selama dua tahun.

Bagaimanapun, beliau mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu yang dikeluarkan timbalan menteri untuk tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa 14 September 1993.

Plaintif mencabar kesahihan di mana beliau hanya menjalani tahanan itu dengan arahan perintah tahanan tanpa kenyataan bertulis perintah tahanan
tersebut dan fakta dakwaan berdasarkan perintah tahanan berkenaan.

Pada 1994, Badrul Zaman memfailkan satu writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mahkamah berkenaan membenarkan permohonannya dan membebaskannya.

Mahkamah itu memutuskan bahawa penahanan yang dilanjutkan itu adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan atas alasan tidak ada pematuhan dengan peruntukan ISA.

Ketika ditemui Badrul Zaman berkata beliau gembira dengan keputusan itu setelah menunggu hampir 16 tahun untuk mendapatkan keadilan bagi membersihkan reputasinya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Isnan Ishak berkata beliau akan merujuk keputusan ini kepada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan rayuan. Peguam M. Manoharan mewakili Badrul Zaman.

- Bernama

Sedih Dan Pilu: Suami Isteri & 9 Anak Hanya Tidur di Kaki Lima Bengkel.. Wakil Rakyat Gurun Bercuti Panjang Kut....

RINTIHAN... Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim (kiri) mendengar rintihan Shahrul Abdul Rahman (tengah), 37, yang menumpang hidup dalam serba kedaifan di sebuah bengkel motosikal kosong bersama sembilan anaknya di Kampung Bukit Kuang, Mukim Padang Lembu, di Gurun hari ini. - Foto BERNAMA

GURUN: Hanya kerana tidak mampu menjelaskan bayaran pendahuluan elektrik sebanyak RM40, sepasang suami isteri yang mempunyai sembilan orang anak dihalau dari rumah sewa mereka di Kampung Bukit Kuang, Padang Lembu dekat sini.

Namun Shahrul Abdul Rahman, 37, dan keluarganya kembali ceria apabila Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menghulur bantuan kepada mereka hari ini.

Pengerusi GPMS cawangan Kedah, Zuraidi Rahim berkata pihaknya akan turut membantu perbelanjaan empat anak Shahrul yang belajar di darjah dua hingga enam serta akan turut memindahkan keluarga tersebut ke Sungai Petani.

PRIHATIN... Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim (tiga, kanan) bersama anggota jawatankuasanya menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Shahrul Abdul Rahman.

"GPMS akan mendapatkan tempat tinggal untuk mereka di Sungai Petani kerana isteri Shahrul, Marwati Mohd Nazar, 35, bekerja di kilang di Sungai Petani," katanya semasa melawat keluarga itu di kampung berkenaan.

Shahrul berkata beliau tidak mempunyai wang untuk menjelaskan wang cagaran bayaran elektrik yang mungkin menyebabkan pemilik rumah telah menghalau mereka tiga minggu lepas.

"Pada malam itu kami menumpang tidur di kaki lima sebuah bengkel kosong di kampung ini. Esoknya kami didatangi pemilik bengkel dan membenarkan kami tinggal di bengkel hingga hari ini," katanya.

KAYA ANAK... Shahrul Abdul Rahman, 37, bersama sembilan anaknya hidup dalam serba kedaifan di sebuah bengkel motosikal kosong.

Menurutnya mereka baru sebulan menyewa rumah di kampung itu dengan kadar RM100 sebulan sejak berpindah dari Kuala Lipis, Pahang pada April lepas.

"Saya melakukan kerja sambilan dan memperolehi kira-kira RM200 sebulan," kata Shahrul.

Marwati memperolehi kira-kira RM500 sebulan.

Orang ramai yang igin menghulur wang kepada keluarga tersebut boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Shahrul bernombor 156114191576. - BERNAMA

Gertak Bagi Amaran Kepada Pembangkang Jangan Halang Perhimpunan "Melayu Bangkit" Isnin Nanti

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) memberi peringatan kepada semua pihak terutama pembangkang supaya tidak menghalang perjalanan program perhimpunan “Melayu Bangkit” di Kuala Terengganu, Isnin ini.

“Kali ini saya minta semua pihak terutamanya pembangkang supaya tidak lagi menghalang perjalanan program ini,” kata Pengerusi Gertak Razali Idris beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Sebelum ini pembangkang menjadikan perhimpunan Melayu Bangkit sebagai permainan politik mereka dengan menyebarkan fitnah dan ia telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat sehingga menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Justeru kata Razali, beliau berharap perhimpunan minggu depan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” yang sepatutnya diadakan pada 13 Mei lalu terpaksa ditunda atas aspek keselamatan.

Ia ditangguhkan ekoran bantahan pelbagai pihak termasuk PAS. Malah, MCA dan MIC, komponen Barisan Nasional juga membantah program tersebut.

Razali berkata pengisian program itu tidak berubah daripada rancangan asal iaitu membincangkan isu yang melibatkan kaum Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Konsep dan pengisian program tetap sama dan saya harap melalui perhimpunan ini orang Melayu dapat bersatu hati dalam mempertahankan bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politk masing-masing.

“Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada program ini dan saya harap orang ramai dapat hadir dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh beliau nanti,” katanya.

Perhimpunan itu turut mendapat kerjasama Institut Integriti Negeri Terengganu (IINT).

“Kita menyasarkan seramai 10,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik akan menyertai perhimpunan ini.

“Selain itu, kita juga berharap pemimpin parti pembangkang dapat menghadirkan diri dalam perhimpunan ini dan memahami apa erta sebenar penganjuran perhimpunan ini sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Razali.

PRU-13: Ulama PAS gesa Pakatan jana ADUN, MP Berkualiti

MACHANG, 10 Jun — Ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mengajar anggota sayap itu, yang terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, membuat persiapan menyeluruh termasuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kita mengharapkan agar pilihan raya umum ke-13 akan menjadikan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat lebih kukuh dan kuat dari yang ada sekarang dari segi jumlah kerusi, terutamanya kerusi yang dimiliki oleh PAS, begitu juga kualiti Adun dan MP sehingga tidak timbul lagi kemelut politik yang tidak berkesudahan seperti yang dialami pada masa lalu,” kata Ketuanya, Datuk Harun Taib.

Beliau tidak memaksudkan isu lompat parti tetapi penganalisis melihat ia merujuk kepada isu wakil rakyat DAP dan PKR keluar parti.

Ucapannya dibacakan oleh timbalannya Datuk Ahmad Yaakob kerana Harun masih pulih daripada serangan strok ringan.

Kata Harun, gabungan tenaga ulama pelapis yang berwibawa dan mempunyai semangat yang berkobar-kobar dengan golongan ulama teras akan menyemarakkan lagi gerak kerja yang disusun.

Malah kata beliau, Pakatan Rakyat dilihat semakin menempuh era kegemilangan.

“Kemenangan di kebanyakan pilihan raya kecil menunjukkan bahawa rakyat semakin meyakini kepada perjuangan Pakatan Rakyat. Umno dan BN mula tidak mendapat tempat lagi dalam hati masyarakat.

“Cukuplah pilihan raya kecil di Sibu menjadi petanda awal kepada keruntuhan kubu BN nanti,” kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan “Memperkasa Kewibawaan Ulamak”.

Kata beliau, walaupun tema itu seolah-olah memperkatakan perkara yang sama dengan subtopik akhir pada muktamar tahun lepas, tetapi ia adalah sesuatu yang amat penting khususnya dalam persediaan pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan berlaku dalam waktu “yang semakin menghampiri kita.”

Oleh yang demikian, kata beliau, Dewan Ulama perlu berperanan bukan sahaja sebagai sayap kekuatan parti, tetapi menjadi pusat rujukan kepada rakan Pakatan khususnya dalam pentadbiran negeri.

“Dewan Ulama bukan sahaja perlu dilihat gah oleh ahli parti. Tetapi perlu dilihat hebat dan mendapat perhatian di mata rakan-rakan dari Pakatan.

“Dengan itu, Dewan Ulama di negeri-negeri perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat serta bersedia menjadi rujukan kepada kerajaan negeri untuk memajukan negeri berteraskan kepada sistem siasah Syariah,” katanya.

Hal itu kata beliau, penting bagi memastikan supaya perjalanan kerajaan negeri tidak melencong daripada tuntutan nas dan keadilan Islam.

“Kita tidak mahu keadilan dipandang dengan kaca mata kasar manusia semata-mata. Tetapi keadilan mesti disandarkan kepada Islam.

“Inilah antara peri pentingnya tugas dan peranan Dewan Ulama dalam menempuh era pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kemenangan yang sedia ada wajib dipertahankan oleh kesemua para ulama.

“Persediaan ini mestilah berasaskan kepada undang-undang yang yang telah ditentukan oleh Allah,” katanya.

SPRM: Siasatan Menyeluruh Masih Diteruskan Berhubung Skandal PKFZ

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan menyeluruh berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bahagian Komunikasi Korporat SPRM Putrajaya, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kajian bagi mengenalpasti kelemahan sistem yang membolehkan berlakunya penyelewengan juga sedang dijalankan.
"Siasatan menyeluruh ke atas kes PKFZ tetap diteruskan oleh SPRM. Selain itu, SPRM juga sedang menjalankan kajian bagi mengenalpasti kelemahan dalam sistem dan prosedur yang menyebabkan berlakunya penyelewengan itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan atau spekulasi berhubung kes itu yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

Pada 7 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, dilaporkan berkata siasatan yang dilakukan terhadap isu PKFZ sebelum ini sudah memadai, justeru ia tidak perlu terus disiasat.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM Perak menahan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan isterinya kerana mengutip wang sogokan daripada pendatang tanpa izin pada setiap bulan di Teluk Intan.

Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan pada 8 Jun pada 12.45 malam setelah SPRM mendapat aduan daripada seorang pendatang tanpa izin bahawa suspek meminta wang sogokan sebagai balasan pendatang asing itu tidak dikenakan tindakan.
"Anggota Rela itu mengutip wang sogokan RM30 seorang daripada setiap pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek dikatakan menelefon pendatang asing itu pada setiap bulan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya ada operasi yang dijalankan oleh pihak penguasa tempatan," menurut kenyataan itu.

Anggota Rela terbabit memperoleh RM180 setiap bulan dari enam orang pendatang asing tanpa izin.

Isteri anggota Rela itu pula ditahan kira-kira 3.25 pagi semalam setelah siasatan awal mendapati isterinya turut bersubahat dengan menerima kutipan wang itu bagi pihak suaminya.

"Kedua-dua mereka kini direman selama tiga hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

“Keadilan Islam” Tema Muktamar Pas Ke56 di Putik

MULAI Khamis hingga Ahad ini (10 hingga 13 Jun) giliran Parti Islam SeMalaysia (PAS) pula mengadakan kongres ataupun muktamar. Muktamar kali ini berlangsung di Pusat Terbiyah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa. Dua minggu lalu rakan mereka, PKR berjaya mengadakan kongres ke-6 di Kota Bharu Kelantan.

Muktamar kali ini menggunakan tema “Keadilan Islam”. Pemilihan tema ini dikira tepat dan bersesuaian dalam rencana PAS untuk menjadi parti global di masa akan datang.
Seperti muktamar yang lalu muktamar ke 56 ini juga penting. Walaupun ianya tidak melibatkan pertandingan tetapi ia tetap mendapat perhatian dari dalam dan luar negara.

Ada sedikit kelainan dalam muktamar kali ini. Di mana muktamar dewan pemuda dan muslimat yang ghalibnya di rasmikan oleh Timbalan Presiden tetapi kali ini perasmian serentak dewan-dewan akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesuai dengan muktamar kali ini tidak melibatan pertandingan, sudah pasti ianya akan memberi lebih tumpuan kepada memesyuawarah beberapa isu semasa yang ada sangkut paut dengan hala tuju perjuangannya. Memandangkan pilhan raya umum ke – 13 semakin dekat sudah pastilah muktamar turut memberi fokus kepada persiapaan menghadapi pilihan raya dengan permantapan parti dan juga pengemasan ikatan dalam Pakatan Rakyat.

Yang tidak akan terelak dari disinggung nanti juga ialah mengenai isu kepimpinan dalam PAS. Isu ini akan akan dicuri oleh perwakilan untuk memperkatakan kerana pada tahun depan PAS akan berhadapan dengan pemilihan hierarki kepimpinannya, sedikit sebanyak kempen untuk pertandingan akan datang akan terbawa pada muktamar.

PAS yang kini dibawa pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden dengan Nasharuddin Mat Isa, sebagai timbalannya manakala Datuk Mustapa Ali selaku Setiausaha Agung tentu akan dinilai sejauh manakah kemantapan dan keberkesanan kepimpinan mereka. Tidak dapat tidak kempimpinan mereka berdua yang diidolakan sebagai kepimpinan ulama akan diperkatakan.

Apakah perwakilan akan memberi kredit ataupun akan mengdiskreditkan kepimpinan mereka?
Dari zahir ianya seperti tidak ada masalah yang timbul setakat ini antara kedua mereka serta saf kepimpinan yang termasuk Naib-Naib Presiden dan ketua-ketua Dewan, Ulama, Pemuda dan Muslimat. Walaupun ada gangguan-gangauna kecil yang boleh sifatkan kenakalan semulajadi dalam sesebuah organisasi namun mereka utuh dan dapat melaksanakan tanggungjawab parti dengan baik.

Kemajuan yang dicapai PAS waktu ini, terutamanya mempamerkan kemantapan organisasi, kesetiaan dan komitmen ahli dan penyokong di bawah naungan mereka menjelaskan akan keberkesanan kepimpinan mereka. Kemantapan parti memberi erti kepimpinan mereka di terima dan disokong.

Sesungguhnya ahli PAS boleh berbangga dalam suasana rakan mereka PKR bersabung nyawa berhadapan dengan kerenah ahli yang tidak sabar dan lebih mementingkan diri sehinggakan ada yang berpaling tadah, namun fenomena ini tidak berlaku kepada PAS. Kekukuhan iktikad perjuangan di kalangan ahli PAS khasnya para wakil rakyat adalah berkat kepimpinan dan doa mutabar ulamanya.

Cuma malang sedikit bila mana ada usaha kecil untuk memecilkan mereka dari gelora mainstrem PAS waktu ini. Sifat kurang mesra atau wajah serius Abdul Hadi masih lagi menjadi sebutan. Begitu juga dengan pembawaan Nasharuddin yang dikatakan mirit keelitan, turut disebut-sebut. Sepatutnya roman kemanusiaan ini tidak menjadi perhatian sebaliknya apa yang perlu dilihat ialah keberkesanan dan kemajuan harakah di bawah tangan mereka. Bak seorang imam dalam solat, mungkin cara takbiratulihram dan rukuknya tidak sama atau sempurna, tetapi yang lebih afdal diperhatikan bahawa solatnya masih utuh pada rukun-rukun asasnya.
Begitu juga dengan lujnah yang diwujud di bawah pentadbiran mereka setahun lalu akan turut dinilai dan dikaji. Apakah ianya telah melaksanakan tanggungjawab parti yang disarankan dalam muktamar PAS lalu atau sebaliknya.

Isu-isu lain yang akan dikemukakan nanti tentulah berhubung persekitaran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dan peranan PAS dalam komponen itu sendiri. Kerjaaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui PAS tidak akan terlepas dari disorot dan diulas oleh para muktamir. Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kini agak gawat ekoran beberapa orang Adun telah menimbulkan masalah di Kedah. Isu itu akan jadi tumpuan para muktamir berkenaan.

Para muktamir akan bangkit mengemukakan cadangan atau memberi idea jalan keluar bagi mengatasi masalah yang berlaku di negeri berkenaan. Mungkin juga ada yang mencadangkan satu mekanisme perlu diambil bagaimana untuk menghalang kejadian keluar atau lompat parti dari berlaku.

Selain itu yang mungkin juga akan diberi pehatian ialah mengenai apa yang berlaku di Kelantan tertuamanya wujud apa disifatkan sebagai ‘musuh dalaman’ yang membuat onar sehingga mengkucar kacirkan pentadbiran kerajaan. Masalah ini perlu diberi perhatian agar Kelantan senantiasa berada dalam keselamatan dan terus menjadi negeri pemancu dan pemimpin kekuatan Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara lain yang kemungkinan akan menjadi perhatian perwakilan ialah mengenai penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Pembentukan dewan ini satu kemajuan kepada PAS namun ia perlu diperhalusi secara komprehensif oleh para perwakilan. Apakah Dewan ini perlu diberi kuasa memilih seperti ahli lain atau sebaliknya.

Untuk memberi laluan kepada ahli Dewan Himpunan bertanding menggunakan lambang bulan tidak menjadi masalah, tetapi untuk menentukan dasar dan polisi parti mungkin ada masalah. Kalau PAS boleh memberi keizinkan kepada Ibrahim Ali, apa salahnya diberikan kepada ahli Dewan. Rasanya ahli Dewan lebih ikhlas dan jujur daripada Ibrahim Ali.

Isu lain yang tidak boleh dikesampingkan oleh perwakilan dan ini saya rasa cukup penting mengenai keupayaan PAS sebagai sebuah parti alternatif kepada semua parti dan semua bangsa dan kaum di negara ini. Dengan anjakan perubahan dan kemajuan yang dicapai PAS mendadak muasir ini, di mana melangkau batas-batas kebiasaan dan budaya, PAS sebenarnya sudah kuat dan relevan menjadi sebuah parti alternatif bukan saja kepada Melayu tetapi juga kepada bukan Melayu.

Misalnya kewujudan Dewan Himpunan yang mempunyai ahli seramai 20,000 menunjukkan keyakinan masyarakat bukan Islam kepada PAS sebagai sebuah badan siasah di negara ini. PAS patut mengkaji mengambil kesempatan ini untuk meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti yang kuat. Apa yang umum nampak penerimaan itu kerana progresif dan rasionalnya perjuangan PAS waktu ini. Penerimaan mereka itu juga menunjukkan mereka percaya dan yakin dengan kepimpinan PAS pada masa ini.

Di sini menunjukkan orang percaya kepada PAS. Keyakinan ini bersendi kepada sikap dan pembawaan PAS yang realistik dalam masyarakat majmuk dan sedia membuat ijtihad politik yang baru. Misalnya kejayaan dan ketulusan serta penerimaan kerajaan PAS Kelantan menjadi sumbernya dan kejayaan ini turut sama disebut-sebut parti rakan Pakatan Rakyat dan juga parti lawan.

Kehebatan ini juga ada sangkut paut dengan kekeramatan pemimpin kerohanian PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Malangnya kelebihan dan penghormatan itu semacam tidak dikesan dan dimanfaat oleh PAS. PAS terus menjadi parti yang merendah diri dan tidak mahu menabirkan kekuatan dan kehebatannya. PAS masih merasakan diri mereka kerdil kerana terlalu menebalkan sikap zuhud.

Dengan kelebihan itu seharusnya PAS tidak berada di belakang parti lain yang menjadi penyedak ataupun penguat semangat. Sesekali pemimpin PAS harus berani mengemukakan idea dan berani memberi pandangan dan melentang keliberalisasian wawasan Pakatan Rakyat. Apa yang penting PAS perlu melorongkan idealisme Islam ke dalam Pakatan. Tidak ada guna PAS menang pilihan raya dan menawan beberapa negeri tetapi PAS tidak boleh untuk melaksanakan apa yang menjadi matlamat perjuangan asalnya.

Masalah dan perkara ini juga patut direnung dan diwacanakan dalam muktamar kali ini. Para perwakilan tidak perlu malu ‘alah’ mengenai hal ini dan takut untuk menyebutnya. Muktamar adalah forum untuk kita mengemukakan pandangan dan pendapat secara bebeas tetapi tetap beradat.

Sekali lagi ditegaskan PAS harus mempersiapkan diri untuk muncul menjadi parti memimpin dan bukan dipimpin. Lagipun disegi usia PAS merupakan parti yang tertua dalam Pakatan. Persediaan untuk menjelmakan PAS menjadi parti memimpin, para pemimpin harus menyatukan idea dan bergerak seiring memperbetulkan fikrah, uslub dan strategi seperti mana dimaktub dalam perlembagaan. Percanggahan ideologi, uslub serta buta strategi tidak memungkin untuk PAS mengapai harapan ini.

Isu-isu remeh dan lapok yang digunakan untuk tujuan peribadi seperti si anu masih berhubung dengan si anu ataupun si anu tidak Islamik, seharusnya dilupakan saja. Apa yang penting semua keretakan-keteretakan kecil yang berlaku dalam parti hendaklah diplaster biar ianya tidak nampak dek mata zahir. Yang penting PAS perlu dikonkrit dengan semangat ukhwah Islamiah dan iltizam yang satu demi menegakkan kalimah Allah atas muka bumi ini berdasarkan acuan Quran dan Hadith.

Manakala mengenai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang PAS perlu meletakkan agenda utamanya untuk merampas Terengganu, mengekalkan Kedah dan Kelantan. Selain itu satu plan tindakan kena digarap bagaimana untuk menambahkan kerusi PAS di Perlis, Perak, Selangor, Pahang dan lain-lain negeri. Keperluan itu untuk menjadikan PAS akan memimpin negeri-negeri itu di masa akan datang

-MSO

Apa Dosaku??... Dua Darjah Kebesaran Ditarik Balik

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Chua Jui Meng telah diarahkan memulangkan dua darjah kebesaran negeri Johor yang masing-masing membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

Chua yang juga bekas menteri kesihatan mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi setiausaha Istana Johor, Datuk Rahim Ramli supaya memulangkah darjah kebesaran itu hari ini.

Dua darjah kebesaran yang ditarik balik itu ialah "Dato Paduka Makhota Johor" dan "Dato Seri Makhota Johor".

Memacu Perjuangan Pemuda PAS 10 Elemen Diserap

KOTA BHARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS menekankan bahawa perjuangannya adalah berlandaskan manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politic] an-Nabawi. Sekurang–kurangnya 10 elemen utama yang menunjangi manhaj tarbiyah, dakwah dan siasah [politik] Baginda Rasul s.a.w :

1 Menanam Aqidah
2 Menyelamatkan Maruah
3 Membina Ukhuwwah
4 Menyatupadukan Ummah
5 Membenteras Kezaliman
6 Mendirikan Institusi Masjid
7 Membina Penguasaan Ekonomi Serantau
8 Mewujudkan Jaring Hubungan Antarabangsa
9 Mengasaskan Kaedah
10 Garis Pandu Mendepani Musuh

Elemen-elemen ini mestilah difahami oleh setiap ahli dewan Pemuda PAS agar pemantapan organisasi ini dapat direalisasikan. Seluruh kepimpinan dan ahli pemuda diseru supaya berusaha memiliki keupayaan par excellence ini dalam usaha memacu perubahan yang dicita-citakan. Pemerkasaan aktiviti tarbiyyah, pembudayaan intelek dan pembinaan kualiti ahli menjadi matlamat utama dalam menyediakan Pemuda PAS yang siap-saga mendepani krisis dan cabaran semasa yang melatari negara hari ini.

Konvoi Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Tiba di Pusat Gaza

Isnin lalu, konvoi bantuan kemanusiaan dan perubatan tiba di pusat Gaza. Bantuan kemanusiaan ini diberikan oleh jamaah Ansar As Sunnah, salah satu gerakan Islam di Mesir yang berhaluan Salafy.

Dan bantuan ini merupakan bantuan pertama yang tiba di Gaza serta disampaikan oleh 'Salafy' Mesir, seminggu selepas serangan zionis Israel terhadap konvoi armada kebebasan, di mana dalam aksi brutal zionis Israel tersebut menewaskan 9 orang warga Turki.

Syaikh Ahmad Yusuf, setiausaha agung jamaah itu mengatakan bahawa bantuan yang mereka salurkan ke pusat Gaza bernilai 500,000 poundsterling, terdiri daripada 190 tan gula, beras, tepung, kacang-kacangan berikut dengan sejumlah besar ubat-ubatan perubatan.

Syaikh Ahmad Yusuf juga menyatakan bahawa keputusan untuk menghantar bantuan ke Jalur Gaza sudah ada sejak beberapa bulan yang lalu, namun adanya penutupan sempadan Rafah oleh kerajaan Mesir, maka penghantaran bantuan tersebut tertunda sebelum akhirnya Selasa terakhir Presiden Mubarak membenarkan dibukanya sempadan Rafah.

Hal tersebut disampaikan oleh Syeikh Yusuf pada surat khabar Al-Mashri Al-Yaum hari Rabu terakhir (9 / 6). Ia mengatakan bahawa bantuan yang mereka hantar sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat Gaza yang telah lama menderita oleh kepungan zionis Israel.

"Negara-negara Arab dan dunia Islam harus bersatu untuk merespon kepungan Israel terhadap Jalur Gaza," katanya menegaskan.

Dia menjelaskan bahawa kumpulan mereka sedang mempersiapkan untuk menghantar konvoi bantuan lanjutan dalam beberapa hari mendatang, terutama bekerjasama dengan komuniti Bulan Sabit Merah yang diharapkan akan mempermudah masuknya bantuan kemanusiaan ke Jalur Gaza setelah pembukaan persimpangan sempadan Rafah.

- EraMuslim

TG Nik Aziz: PAS perlu bina masa depan politik bersama Pakatan

Suasana dewan persidangan di Putik ketika majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak oleh Menteri Besar Kelantan

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini sebentar tadi.

Nik Aziz berkata beliau melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

“Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim (Cina, India, Siam atau Orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja.

“Melayu ajar Melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakan kita adalah madu kita,” kata beliau.

Kata beliau, strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci PAS adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.

“Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” kata beliau.

Atas alasan inilah, tegas Nik Aziz, beliau mahu PAS dan Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.

“Pilihan raya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali,” katanya.

“Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Justeru itu, kata Nik Aziz, PAS hendaklah berani menawarkan alternatif terbaru – Pakatan Rakyat dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa “kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan Ketua Dewan Muslimat Nuridah Mohd Salleh (kanan) selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama serentak di Kota Baru malam tadi.
“Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau amat berharao agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Nik Aziz juga berkata, pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu,” kata beliau.

Nik Aziz mengingatkan agar memerhati perkembangan itu dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

“Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri,” kata beliau.

Justeru, menurut beliau, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

“Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya,” katanya
.

Peguam Negara Bakal Hilang Kuasa Mutlak Pendakwaan... Apakah Kerajaan Najib Bersetuju???

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Perlembagaan berhubung kuasa mutlak pendakwaan yang kini dimiliki penuh oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus diberikan kuasa pendakwaan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan itu.

"Kita tidak mahu timbul isu di mana pegawai SPRM telah menyiapkan kertas siasatan yang akhirnya kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

"Kita tidak mahu lagi karenah birokrasi untuk kita mengangkat peranan SPRM sesuai dengan Pindaan 2009.

Menurut Salahuddin, laporan berhubung cadangan tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan membentangkannya di Dewan Rakyat bagi ahli parlimen membahaskan laporan tersebut.

Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen tengahari semalam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.
"Kita berpendapat agar dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan dan rakyat melihat sebagai tidak efisyen dan kredebiliti mereka diragui dan dengan cadangan tersebut kita berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Tambahnya, jika berlaku pindaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mempunyai kuasa mutlak berhubung pendakwaan kes rasuah, manakala Peguam Negara tidak lagi terlibat.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf.

-SK

Demi Gaza: Faizal Tahir Mahu Ke Palestin & Mati Syahid

Faizal menangis melihat kesengsaraan saudara Islam di bumi Palestin. - Foto oleh ART CHEN

PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir menawar diri untuk menyertai misi kemanusiaan dan sanggup mati syahid bagi membantu rakyat Palestin yang menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel.

Faizal mengakui menangis apabila melihat menerusi internat dan membaca kisah-kisah kekejaman yang dilakukan oleh rejim tersebut terhadap umat Islam yang tidak bersalah.

“Saya tidak malu untuk berterus terang yang saya menangis melihat kesengsaraan saudara kita di bumi Palestin terutama penduduk Gaza,” katanya ketika ditemui selepas ditemu bual menerusi rancangan terbitan TV3, Wanita Hari Ini (WHI) di sini, semalam.

Faizal yang juga bapa kepada tiga orang anak berkata, jika ada tawaran daripada badan-badan sukarelawan untuk mengajaknya ke sana, dia tidak akan menolak.

Ini kerana adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang Islam untuk sama-sama membantu dan sekurang-kurangnya memberi sokongan kepada golongan yang dihimpit kesengsaraan.

“Sekiranya tidak bercanggah dengan jadual tugas dalam bidang seni, saya bersedia untuk meninggalkan isteri dan tiga orang anak saya bagi menyertai mana-mana misi kemanusiaan sebagai tanda sokongan saya kepada rakyat Palestin. Saya pun sanggup mati syahid,” katanya.

Lebih menguatkan perasaan itu apabila ayahnya, Dr. Mohd. Tahir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah badan sukarelawan turut terlibat menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk masyarakat tersebut.

Ujar lelaki yang popular dengan lagu Sampai Syurga ini, atas sebab itu juga dia sanggup menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan untuk menyertai mana-mana aktiviti sukarelawan yang dianjurkan stesen televisyen itu.

Bagaimanapun secara kebetulan TV3 sedang menggerakkan kempen Bebaskan Bumi Palestin yang seterusnya menawarkan Faizal menjadi duta bagi menjayakan kempen tersebut.

“Ketika hati saya dirundung kesedihan mengenangkan mereka yang kurang bernasib baik itu, TV3 pula bersetuju melantik saya menjadi duta kempen ini. Saya amat bertuah,” katanya.

Menerusi aktiviti tersebut kata Faizal, dia akan memainkan peranannya sebagai seorang artis untuk berkongsi cerita dengan orang ramai dalam menyalurkan mesej kemanusiaan.

Kempen yang tidak melibatkan apa-apa sumbangan dan kutipan wang itu akan dilakukan dalam bentuk penerbitan klip video selama 30 saat yang akan disampaikan oleh Faizal.

“Setiap kali menonton klip video berkenaan, ia akan memberi peringatan kepada mereka mengenai kesusahan dan kesengsaraan yang dilalui oleh umat Islam yang telah ditindas.

“Dalam klip video itu juga saya akan meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin kerana hanya dengan doa sahajalah bentuk sumbangan yang mudah dan mampu kita beri ,” katanya.

Tambah Faizal lagi, kebenciannya terhadap tentera Israel bertambah apabila mereka tergamak menawan kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Corrie yang turut membawa sukarelawan Malaysia.

- MStar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.