Minyak Wangi: Pelajar Dakwa Dipukul Guru


KULIM: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu Sekolah Menengah Lubuk Buntar dekat sini mendakwa dipukul seorang guru lelaki semasa dalam kelas pagi semalam kerana bertanya sama ada guru itu memakai minyak wangi.

Nurasyira Zakaria, 13, berkata, dia mengalami bengkak pada bahagian kepala akibat diketuk dengan tangan dan dihentak dengan buku teks, dan telah mendapat rawatan di Hospital Parit Buntar.

"Semasa cikgu sedang menulis di papan hitam, cikgu bertanya ada sesiapa dalam kelas yang memakai minyak wangi dan tiada siapapun yang mengaku, dan saya kemudiannya bertanya adakah cikgu memakai minyak wangi," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Tok Gula dekat sini hari ini,

Nurasyira berkata guru itu marah dengan pertanyaan beliau dan menghentak kepalanya dengan buku teks sebelum mengetuk kepalanya dengan tangannya.

Katanya setelah pulang ke rumah pada 3 petang, dia mengadu kepada bapanya Zakaria Mamat, 50, yang membawanya ke Klinik Kesihatan di Bagan Samak di sini sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar.

Zakaria pula berkata bahawa beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu malam tadi.

"Anak saya telah dipukul dengan teruk hanya kerana bertanyakan sama ada gurunya memakai minyak wangi. Saya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu," katanya.

Pagi tadi beliau bersama Nurasyira dan isterinya Piza Mat Saad, 39, telah bertemu dengan pengetua sekolah untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian itu tetapi diberitahu bahawa guru terbabit tiada di sekolah kerana ke Pejabat Pelajaran di Kulim.

Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali ketika dihubungi berkata kes itu akan disiasat dengan segera.

Ketua SPRM: Tendang jika saya salah


Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed yang baru dilantik ke jawatan itu, memohon rakyat memberikannya peluang bagi membuktikan ketelusan badan itu.

Mengakui hakikat, SPRM perlu memulihkan imejnya berikutan beberapa kontroversi, Abu Kassim berkata mereka mesti menyakinkan rakyat bahawa suruhanjaya itu adalah bebas.

“Saya memerlukan anda untuk menjuarai perjuangan kami. Dengan berbuat demikian, sesiapa yang ingin 'membunuh' SPRM, anda akan menjadi pelindung kami, Tetapi jika saya silap, anda boleh tendang kami,” katanya dengan tegas.

“Cuma kata, 'Abu, kamu silap. Jika anda mahu kami melindungi kamu, berperangai dengan betul.' Saya akan memastikan tiada penyelewengan. Kata-kata saya dan tindakan saya mesti menunjukkan bahawa saya adalah bebas.”

Abu Kassim membuat kenyataan berkenaan ketika pertemuan sejam antara pengarang kumpulan Malaysiakini, Steven Gan dengan jawatankuasa penasihat SPRM.

Antara tajuk yang disentuh, termasuk tindakan yang perlu diambil oleh SPRM bagi memulihkan keyakinan orang ramai, siasatan ke atas ketua pembangkang Selangor, Dr Khir Toyo dan mengapa suruhanjaya itu kini memilih untuk bermesra dengan media alternatif.

Syarikat Belgium berhak ambil Eye on Malaysia



Feb 8, 10 1:22pm: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan syarikat Belgium, Fitraco NV, yang membekalkan buaian gergasi 'Eye On Malaysia', memasuki satu kawasan di Melaka dan memindah keluar buaian itu.

Hakim Anantham Kasinather yang membuat keputusan itu di dalam kamar turut memerintahkan Fitraco membaikpulih keadaan tanah di situ seperti sebelumnya.

Menurut peguam Leonard Yeoh yang mewakili Fitraco, kes saman itu telah selesai dan syarikat MST AD Suria Sdn Bhd iaitu syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda 'Eye On Malaysia', juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM35,000.

Manakala syarikat Eye On Malaysia Sdn Bhd perlu membayar RM10,000 (kos guaman) kepada Fitraco.

Leonard berkata dengan perintah itu, Fitraco boleh melakukan apa sahaja ke atas buaian itu termasuk menjualnya.

Tanah yang menempatkan buaian itu didaftar atas nama syarikat Eye On Malaysia (EOM) Sdn Bhd.

Selain Leonard, Fitraco turut diwakili peguam Cheah Soo Chuan manakala peguam Adillah Ahmad Nordin mewakili syarikat Eye On Malaysia dan peguam Azirizal Mohd Zaid mewakili MST AD Suria.

Pada 15 Sept 2009, Fitraco, sebagai pemilik asal buaian gergasi itu, memfailkan saman terhadap syarikat Eye On Malaysia dan MST Ad Suria selepas syarikat terbabit gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM17 juta bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006.

MST Ad Suria adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006 sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007.

Roda itu dipindahkan dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur ke muara Sungai Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan berjaya mencatat perolehan sebanyak RM5 juta.

Roda gergasi yang menjadi tarikan perlancongan utama di negeri Melaka itu disita pada 7 Jan lalu dan operasinya terpaksa diberhentikan serta-merta.

Kontraktor Melayu Dapat 44 Kontrak RM68 juta



Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata daripada 66 projek kerajaan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun lepas, 44 daripadanya bernilai RM68 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.

Projek-projek itu adalah berkaitan dengan kerja pemasangan paip oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA), katanya kepada pemberita hari ini.

Lim juga berkata sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan projek oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga diberikan kepada kontraktor Melayu.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut nilai projek-projek itu.

Katanya dengan amalan sistem tender terbuka, kontraktor yang mempunyai kebolehan tidak perlu lagi ke luar negara untuk mendapatkan projek.

Terkini - Liwat II: Pembelaan Cuba Lucutkan Hakim



Feb 8, 10 - 10:27am : Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi ditangguhkan ke jam 9.30 pagi esok.

Penangguhan ini bagi mendengar permohonan peguam utama, Karpal Singh yang memohon Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah dilucutkan daripada mendengar perbicaraan itu.

Ia dikatakan berhubung dengan tajuk utama Utusan Malaysia yang menggunakan perkataan 'lagi' dalam laporannya tempoh hari yang menjadi pertikaian oleh pihak pembelaan.

Selain itu, sekeping gambar dengan penerangannya juga dijadikan bahan pertelagahan kedua-dua pihak.

Perbicaraan yang memasuki hari keempat hari ini sepatutnya bermula dengan pihak pembelaan menyoal balas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pasukan peguam Anwar diketuai oleh Karpal dan dibantu oleh Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, SN Nair, Ram Karpal Singh Deo, Marisa Regina Fernando dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu lalu di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin.

Anwar, 63, penasi
hat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

AS : Diselimuti Salji Tebal


ATLANTIC CITY (Amerika Syarikat): Dua pondok telefon dan kawasan sekeliling di bandar Atlantic City, New Jersey, diselimuti salji tebal menyusuli ribut salji terburuk yang melanda wilayah itu kelmarin.

Sejauh ini, dua orang telah dilaporkan terkorban dalam ribut itu sementara 350,000 penduduk di Maryland dan Virginia terputus bekalan elektrik.

Singapura: Bayaran Lebih Kerap Bagi Bergaji Rendah


Syor tidak akan jejas matlamat utama WIS - galak warga miliki pekerjaan tetap

PARA pekerja bergaji rendah yang menyertai skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) atau Workfare mungkin akan menikmati bayaran lebih kerap daripada jadual dwitahunan yang sedia ada dalam usaha menggalak lebih ramai bekerja secara tetap.

Menyatakan demikian, Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, berkata kementeriannya sedang membincangkan isu tersebut dengan para majikan dan kesatuan sekerja.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sebarang perubahan yang mungkin dibuat tidak akan menghakis matlamat utama WIS iaitu menggalak warga Singapura mempunyai pekerjaan tetap.

Oleh itu, kata beliau, tempoh kelayakan bagi WIS akan tetap dikuatkuasakan.

Buat masa itu seorang individu perlu bekerja sekurang-kurangnya tiga bulan dalam tempoh enam bulan untuk layak menyertai skim tersebut.

Encik Gan berkata perincian semakan ke atas WIS hanya akan diumumkan semasa perbahasan Belanjawan yang akan bermula hujung bulan ini.

Ini dinyatakan beliau sebagai mengulas saranan seorang hadirin di sesi dialog sempena lawatannya ke kawasan undi Nee Soon Central semalam, yang dihos Anggota Parlimennya, Encik Ong Ah Seng.

Dalam sesi tersebut, Encik Jeffrey Tong telah menyarankan agar bayaran WIS diberi lebih kerap iaitu sebulan sekali atau dua minggu sekali untuk menarik lebih ramai menyertainya.

'Selepas membincangkan isu tersebut (pembayaran lebih kerap) dengan anggota-anggoa pakatan tiga pihak - pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja - kami rasa menggalak bekerja secara tetap merupakan matlamat penting WIS. Oleh itu, kami masih perlukan tempoh kelayakan dan diharap ia akan menggalak lebih ramai penerima WIS mencari pekerjaan tetap agar dapat menikmati bayaran WIS secara tetap,' jelas Encik Gan.

Pada masa yang sama, beliau berkata pekerja bergaji rendah, khususnya golongan warga tua, akan dibantu untuk menikmati gaji lebih tinggi menerusi peningkatan kemahiran.

Encik Gan berkata pihaknya sedang membincangkan butiran skim yang bakal menangani empat hambatan yang dihadapi golongan pekerja berkenaan iaitu kurang kemahiran asas membaca dan mengira; kehilangan pendapatan jika berlatih; tempoh latihan yang panjang dan majikan yang keberatan membenarkan mereka mengikut latihan.

Golongan pekerja bergaji rendah telah diketengahkan oleh Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC) dalam laporannya baru-baru ini yang bertujuan memperbaiki daya penghasilan pekerja tempatan.

Antara saranan ESC ialah memperkenalkan satu program tersusun yang boleh dilakarkan bagi melatih dan menempatkan para pekerja itu dalam pekerjaan lebih baik.

Program tersebut boleh merangkumi kemahiran asas dalam membaca dan menulis, memberi elaun latihan, menyediakan kaunseling bagi memberikan galakan positif dan kelas bermodul bagi memenuhi jadual kerja mereka yang tidak tetap.

Sepanjang sesi dialog kira-kira sejam itu, kebanyakan penduduk mengetengahkan isu-isu berkaitan tenaga manusia, termasuk isu pekerja asing.

Encik Gan memberi jaminan bahawa jumlah pekerja asing akan ditetapkan sekitar sepertiga daripada keseluruhan pekerja negara dengan ruang untuk naik turun sedikit berdasarkan kelakonan ekonomi negara.

'Apa yang penting ialah anda dan pekerja asing di syarikat anda berganding bahu untuk pastikan syarikat anda lebih produktif dan berdaya saing agar dapat bersaing dengan syarikat-syarikat lain di luar negara,' kata Encik Gan.

Harimau Dipercayai Serang Orang Asli Ditemui Mati


Yok Meneh yang cedera selepas diserang pak belang di Hospital Teluk Intan semalam.

IPOH: Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), yang menjalankan kerja-kerja mengesan harimau di Hutan Simpan Bukit Tapah di Sungkai dipercayai menyerang seorang Orang Asli pada Jumaat, terkejut apabila mendapati haiwan berkenaan mati petang ini.

Pengarah Perhilitan Shabrina Shariff berkata tujuh anggota, yang pergi ke kawasan hutan pada pukul 8 pagi, menemui bangkai harimau itu pada pukul 2 petang tidak jauh dari tempat mangsa diserang.

Pemeriksaan anggota Perhilitan mendapati harimau jantan berusia empat tahun seberat 120 kg dan berukuran panjang antara 1.5 meter hingga 1.8 meter itu mempunyai kesan tembakan di badan selain kaki depannya putus akibat dijerut, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shabrina berkata beberapa bahagian anggota badan harimau juga dilapah.

Beliau berkata harimau itu dipercayai diburu penduduk perkampungan Orang Asli itu sejak beberapa hari lalu dan terdapat perangkap jerat di kawasan hutan itu menyebabkan haiwan berkenaan bertindak ganas menyerang mangsa.

Bangkai harimau itu akan dibawa ke pejabat Perhilitan di Sungkai untuk pemeriksaan lanjut, kata Shabrina.

Beliau meminta mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit memburu haiwan berkenaan.

Dalam kejadian dua hari lepas, Yok Meneh Yok Din 47, dari Kampung Ras, dekat Sungkai cedera parah selepas mendakwa diserang harimau ketika mencari petai di kawasan hutan berkenaan.

Dalam kejadian kira kira 1.30 petang itu mangsa yang mengalami kecederaan parah di belakang, kaki dan tangan namun sempat menyelamatkan diri selepas bergelut dengan harimau berkenaan.

Roboh Gerai: BN Roboh Sekali Ganda Banyak


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mendakwa perobohan gerai peniaga Melayu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) adalah lebih banyak berbanding semasa ditadbir pakatan pembangkang sekarang.

"Saya ingin menjelaskan bahawa jumlah perobohan gerai peniaga Melayu sewaktu zaman pemerintahan BN dahulu dari tahun 2006 hingga 2007 adalah sekali ganda lebih banyak daripada jumlah perobohan gerai dilakukan pakatan pembangkang dari tahun 2008 hingga 2010," katanya kepada pemberita di sini.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, apa yang berlaku terhadap kerajaan pimpinannya sekarang adalah berpunca daripada fitnah yang disebarkan Umno negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri kini merangka usaha untuk menyampaikan maklumat yang sahih kepada rakyat negeri ini agar tidak terpedaya dengan khabar palsu yang disebarkan itu.

Lim kini menerima kecaman hebat daripada beberapa anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu yang juga sekutu DAP dalam pakatan pembangkang, berhubung isu perobohan gerai peniaga Melayu di Pulau Pinang selain disifatkan sebagai seorang cauvinis dan berfikiran komunis serta melayan PKR negeri seperti 'anjing'. -

Akademi Tahfiz didik menjadi cemerlang


GUAR CHEMPEDAK – Bagi sesi pengajian 2010, Sekolah Menengah Agama Taufikiah atau dikenali sebagai Pondok Pak Ya dalam kalangan masyarakat setempat mewujudkan satu lagi program pengajian di samping pengajaran yang sedia ada iaitu Akademi Tahfiz.

Program berkenaan ditawarkan kepada kalangan pelajar dari tingkatan satu hingga pelajar aliran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berminat dan lulus ujian saringan yang diadakan pihak sekolah.

Pengetua Taufikiah, Puan Azizah Yahya, berkata, melalui program ini diharapkan agar Taufikiah akan dapat melahirkan penghafaz al-Quran di samping cemerlang dalam akademik sekali gus dapat berusaha menjadi penghafaz al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Kurikulum, Fauzi Saleh, berkata, dia mengharapkan sekurang-kurangnya pelajar Akedemi Tahfiz dapat menghafaz sekurang-kurangnya tiga juzuk setahun.

“Walaupun Taufikiah bukan sebuah pusat Tahfiz, sekurang-kurangnya pelajar didedahkan dengan teknik hafazan yang betul,” katanya.

Penolong Kanan Tarbiyyah Solehan A Ghafar, berkata, semoga dengan adanya program sebegini, ia sebagai salah satu usaha Taufikiah ke arah melahirkan ulama dan profesional yang berkemampuan dalam pelbagai bidang.

“Semoga usaha murni ini akan memberi pendedahan yang baik untuk pelajar dalam mendalami ilmu al-Quran di samping pengajian untuk masa hadapan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan pelajar yang ingin mengikuti Akademi Tahfiz ini, diberi ujian hafazan untuk kelayakan iaitu semuka al-Quran diberi masa selama satu jam untuk mengingatinya. Hanya 25 pelajar yang layak dalam saringan itu. Waktu pembelajaran Akademi Tahfiz bermula selepas waktu persekolahan iaitu pada jam 3 petang sehingga solat Asar kemudian disambung semula selepas solat maghrib sehingga solat Isyak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.