Khalid Samad Minta MP Kapar Dedahkan Nama Pegawai KSSB Seleweng Dan Rasuah... Kita Tengok Babak Seterusnya Sapa Yang Kena...


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam supaya mendedahkan nama pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang didakwanya menyeleweng dan mengamalkan rasuah.

Beliau berkata Manikavasagam perlu mendedahkan nama pegawai berkenaan dengan segera dan membuat laporan polis agar kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya Manikavasagam tidak harus bimbang untuk menyampaikan maklumat mengenai sebarang bentuk penyelewengan yang disyaki supaya kerajaan negeri dapat menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Manikavasagam sebagai berkata bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Khalid, lapor Bernama.

Sebelum itu, Khalid menutup Seminar Motivasi Murid Sekolah Tamil Daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor di Kuala Selangor.

Manikavasagam juga memberi masa 72 jam bermula hari ini kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.

SSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah pakatan pembangkang bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.

Ia menjadi misi utama KSSB untuk menjayakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Khalid juga menafikan dakwaan bahawa abangnya, Abdul Rahman Ibrahim mempunyai kepentingan dalam KSSB dan berkata ia adalah sebuah syarikat yang dimilki sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui syarikat Menteri Besar Incorporated.
- Bernama

Isu Istana Kelantan: Gambar Terkini Sultan Kelantan, Dibawa Pulang Ke Istana Mahkota

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dibawa
pulang ke Istana Mahkota di sini hari ini setelah lima hari menjalani rawatan
di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Kepulangan baginda turut diiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan anakanda baginda Tengku Amalin A'ishah Puteri. - Foto BERNAMA

KOTA BARU: Selepas lima hari Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat sini, baginda hari ini dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Baginda dibawa menaiki kenderaan rasmi Istana Kelantan meninggalkan HUSM kira-kira pukul 5 petang.Turut mengiringi baginda, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Sebelum itu, Tuanku Ismail dibawa turun dari Wad Diraja di tingkat lapan HUSM dengan menaiki kerusi roda.
Baginda yang kelihatan tenang dibantu oleh pegawai perubatan menaiki kenderaan rasmi istana.
Turut berada di perkarangan HUSM bagi menguruskan keberangkatan pulangbaginda ialah Pakar Perubatan Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli.

Difahamkan tindakan membawa keluar Sultan Kelantan dari HUSM mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim yang berada di HUSM berkata, Tuanku Ismail selamat tiba di Istana Mahkota sepuluh minit kemudian iaitu kira-kira pukul 5.10petang.

Kenderaan baginda diiringi anggota polis dan ambulan hospital.

Sultan Kelantan dikeluarkan dari HUSM dua hari selepas peguam baginda memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari hospital itu di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi kelmarin menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.Mstar

Isu Istana Kelantan: Kakak dakwa Tengku Anis kawal sultan

Dua orang kakak kepada Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra - hari ini mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan para pembantunya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara hari ini, Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) berkata, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Sultan Kelantan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu, Kelantan.

Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.

Seorang lagi kakak baginda, Tengku Rozan (kiri dalam foto) berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.

Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.

Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.

Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.

Tengku Rozan juga berkata ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.

SPR Nafi Spekulasi ADUN Kerdau ICU Hospital Ahmad Shah... Adakah Makin Kritikal @ Nak Pilihanraya Pulak Ka..


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini menafikan spekulasi mengenai keadaan ADUN Kerdau, Datuk Zaharudin Abu Kassim yang sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh.

RTM melaporkan awal minggu ini bahawa ADUN BN itu telah menjalani pembedahan ekoran kebocoran usus pada 3 Mei 2010.

Beliau telah dikejarkan ke hospital awal pagi berkenaan, selepas mengadu sakit perut ketika bersarapan di sebuah restoran.

Zaharuddin dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama tiga jam.

Exco kerajaan negeri Pahang, Hoh Khai Mun turut mengesahkan bahawa keadaan ADUN Kerdau itu tidak membahayakan.

Menurut Hoh lagi, Zaharudin mengalami masalah komplikasi jantung selepas menjalani pembedahan tersebut.

Katanya, ADUN Kerdau itu akan dipindahkan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Zaharudin, 63, menang kerusi DUN Kerdau dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.

Keadaan kesihatan Zaharudin yang kritikal minggu ini telah mencetuskan khabar angin pagi in mengenai kemungkinan pilihan raya kecil membabitkan kawasannya.

Krisis Istana Kelantan: TG Nik Aziz Nafi Lepas Tangan


KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz menafikan beliau mengambil sikap lepas tangan terhadap krisis yang terus menyelubungi Istana Kelantan pada ketika ini.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemelut yang melanda Istana Kelantan itu adalah 'cerita anak beranak' dan tidak perlu campur tangan pihak luar.

"Kemelut Diraja itu cerita anak-beranak, bukan cerita kerajaan (negeri), itu (masalah) anak beranak.

"Saya tak lepas tangan, kerja anak beranak nak campur tangan macam mana?" katanya ketika ditemui pada majlis bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa krisis Istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya beliau memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Malah Ibrahim berkata kemelut yang berlaku hari ini mencerminkan kegagalan Menteri Besar itu melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz menegaskan krisis yang melanda Istana Kelantan itu perlu diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan rang luar.

"Bukan kerja MB (Menteri Besar), itu kerja orang lain... ni hal anak beranak," katanya.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Selasa lalu hingga mencetuskan pelbagai persoalan terutama berhubung status kesihatan baginda.

Pada hari berkenaan, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry serta dua doktor cuba membawa Sultan Kelantan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura menaiki pesawat tetapi dihalang polis dan baginda dimasukkan ke HUSM.

Sejurus tiba di HUSM, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Wad Diraja untuk pengawasan perubatan, manakala Tengku Muhammad Fahkry bersama dua doktor itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sebelum dibenarkan pulang, manakala Tengku Anis kembali ke Istana Mahkota.

Ditanya mengenai peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata: "Nasihat la tu, di antara nasihat ialah senyap, ada yang Allah suruh nasihat, ada yang Allah suruh senyap.

"Jadi saya ambil sikap senyap, supaya benda ini berkisar antara anak beranak sahaja."

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz berkata, beliau dan barisan exconya merancang untuk melawat Sultan Kelantan di HUSM.

"Saya akan melawat, nak melawat sekali dengan exco," katanya namun tidak menyatakan bila lawatan itu akan diadakan.

KM Pulau Pinang Pohon Pusat Boleh Tambahkan Peruntukan Penyelenggaraan Jalan

Kerajaan pusat digesa menambah peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan di Pulau Pinang, khususnya jalan industri zon perdagangan bebas Bayan lepas.

Ketika membuat gesaan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata jalan persekutuan di negeri itu merupakan jumlah terendah yang diwartakan oleh Kementerian Kerja Raya dan diselenggarakan sepenuhnya oleh kementerian tersebut melalui konsep penswastaan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan 16,000 km jalan persekutuan di seluruh negara, Pulau Pinang mencatatkan jumlah terendah dengan hanya 180.44km jalan yang diwartakan dan diselenggarakan sepenuhnya oleh kementerian berkenaan.

"Berbanding negeri-negeri yang mempunyai keluasan lebih kecil seperti Perlis dengan keluasan 795 kilometer persegi, jumlah jalan yang diwartakan adalah sepanjang 211.3km.

"Di Negeri Sembilan, jalan yang diwartakan adalah sepanjang 1,313.73km ; Melaka (246.05km) ; Selangor ( 891.78km) dan tertinggi adalah Pahang (3.606.27km)," kata Lim dalam satu kenyataan.

Di Pulau Pinang, katanya, hanya 12 jalan diwartakan sebagai jalan persekutuan, iaitu dari sempadan Perak-sempadan Kedah, melalui Sungai Junjung, Sungai Perai dan Sungai Muda (61.960km); jalan mengelilingi Pulau Pinang (62.330km); Jalan Tun Dr. Awang (5.8km); Jalan Yahya Petra ke Stesen Bukit Bendera (3.2km); Jalan Bukit Tambun (2.7km); Jalan Pa Thau-Pa Boi (2.46km); Jalan Bayan Lepas-Air Itam (16.6km); Persimpangan Jalan Paya Terubong-Pekan Air Itam (3.3km); Jalan Telaga Air (0.8km); Jalan Permatang Pauh (9.6km); Jalan Perusahaan (3.2km); Jalan Persisir Pantai /Lebuhraya Bayan Lepas (4.7km); Lebuhraya Kampung Jawa (1.58km) dan Jalan Mayang Pasir (2.21km).

"Selebihnya, iaitu jalan negeri termasuk jalan bandaran, jalan taman dan jalan negeri utama - keseluruhannya sepanjang 2,153.56km - adalah di bawah penyelenggaraan kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, dengan peruntukan terhad.

"Jumlah tersebut tidak termasuk jalan kampung yang berada di bawah penyelenggaraan pejabat daerah yang turut memerlukan suntikan peruntukan khas daripada pihak kerajaan negeri," kata Lim lagi.

"Ketika menjawab pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat pada 6 April 2010, Kementerian Kerja Raya menyatakan bahawa pihaknya melalui JKR, menyelenggara jalan-jalan persekutuan di Pulau Pinang yang panjangnya 184km.

"Pihak kementerian telah memperuntukkan RM17.927 juta dari 2007 sehingga 2010 bagi kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di Pulau Pinang, dengan dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan Zon Utara iaitu Belati Wangsa (M) Sdn Bhd yang dilantik oleh pihak kerajaan pada 2001 secara kontrak untuk tempoh 15 tahun sehingga awal 2016," katanya.

Menurut Lim, pecahan bagi kos tersebut adalah seperti berikut:

1. Pada tahun 2007 berjumlah RM4.377 juta
2. Pada tahun 2008 berjumlah RM5.043 juta
3. Pada tahun 2009 berjumlah RM5.047 juta; dan
4. Pada tahun 2010 berjumlah RM3.46 juta

"Sebagai tambahan, maklumat kilometer panjang jalan persekutuan juga adalah tidak tepat - sepatutnya 180.44km dan bukannya 184km seperti dinyatakan dalam jawapan bertulisnya. Nampaknya KKR bersikap tidak adil!," tegas ketua menteri itu.

Katanya, sebagai negeri penting yang menyumbang hampir 25 peratus pada aspek nilai dan jumlah eksport serta import, kerajaan pusat haruslah menambah peruntukan khususnya dalam membantu menaiktaraf jalan industri terutamanya jalan utama ke zon perdagangan bebas Bayan Lepas yang kini kurang memuaskan dan bukanlah bertaraf antarabangsa.

"Macam mana kerajaan pusat ingin menjadi negara berpendapatan tinggi dengan keadaan ekonomi kukuh, berpengetahuan dan bermaklumat sekiranya jalan pun tidak dapat dijaga dengan sempurna!," tegas Lim lagi.

PRK Sibu: Pengundi kristian dan katolik jadi tumpuan

Jumlah pengundi kawasan parlimen Sibu mencecah 54,695 orang. Antaranya, sebanyak 53% menganuti agama kristian dan katolik. Dengan kata lain, undi gereja memainkan peranan yang penting dalam PRK Sibu, Sarawak.



Biarpun DAP mungkin tidak membangkitkan isu "kalimah Allah", sebagai senjata ketika berkempen, namun undi gereja yang mencakupi setengah daripada jumlah undi semestinya menjadi rebutan antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.



Strategi menarik undi telah dimulakan secara senyap-senyap. Malah, pihak gereja telah menunjukkan sikap ingin tahu, dan cuba memerhatikan tindak-tanduk PR yang dikatakan bersikap lebih terbuka.



Sekali pandang, Sibu adalah satu kota yang bersejarah, bandar Foochow, malah bandar kristian. Gereja bersebelahan antara satu sama lain dalam kawasan bandar. Palang dan potret Maria bagaikan hiasan bandar ini. Selain Cina, kebanyakan orang Iban juga menganuti agama Kristian dan Katolik, membawa kepada jumlah 53% daripada pengundi Sibu.



Enggan bincang soal politik



Jadi, memikat undi gereja menjadi satu kewajiban. Tetapi, suasana di Sibu agak polos dan konservatif. Pengundi enggan berbincang politik dengan orang luar. Sebut sahaja politik, lantas mereka menjawab "tidak tahu", sambil menggelengkan kepalanya. Hanya sebilangan kecil penduduk yang akan memaklumkan kecenderungan politiknya, misalnya orang Melanau yang taat menyokong BN, atau ahli parti politik.



Oleh itu, memikat undi dan mengukuhkan undi gereja menjadi masalah yang merunsingkan kedua-dua BN dan PR.



Pada tahun 31 Disember 2009, hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan memutuskan bahawa penggunaan kalimah "Allah" dibenarkan kepada bahan bacaan terbitan kristian untuk dirujukkan kepada Tuhan mereka. Demonstrasi tercetus menyusuli keputusan tersebut, dan diikut kemudian dengan pencerobohan terhadap rumah ibadat. Malah, Timur Malaysia yang aman damai selama ini juga tidak terelak daripada kejadian sedemikian.



Walaupun ketegangan ini diredakan setelah beberapa bulan, tidak kurang juga usaha memujuk dilakukan oleh pihak kerajaan BN. Namun, pemimpin gereja masih mengambil kisah tentang isu ini.

Khuatir campur tangan kerajaan



Kelmarin, DAP telah mengadakan satu mesyuarat tertutup bersama pemimpin gereja. Kehadirannya yang dijangkakan pada mulanya hanya 20 hingga 30 orang daripada pihak gereja, dan mungkin lebih kurang kerana sikap mereka yang lebih konservatif. Akhirnya, sesuatu berlaku di luar jangkaan apabila 50 hingga 60 orang pastor menghadiri mesyuarat tersebut.




Pemimpin DAP yang hadir termasuklah Lim Kit Siang (ketua ahli parlimen DAP), Chong Chieng Jen (ahli parlimen Kuching), Ngeh Koo Ham (ahli parlimen Beruas), Teresa Kok (EXCO Senior Selangor) dan Tony Pua (ahli parlimen Petaling Jaya Utara). Dialog ini tidak dihadkan kepada isu "kalimah Allah" sahaja, tetapi jelas mereka paling peka terhadap isu kebebasan agama.



Antara mereka yang hadir menyuarakan kekhuatiran mereka, iaitu isu "penggunaan kalimah Allah" yang dilihat bukan sekadar masalah penduduk di Timur Malaysia, Iban atau orang asli yang menggunakan bahasa Melayu ketika bersembahyang. Mereka menambah, "Selagi kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam amalan agama penganutnya, termasuk bagaimana untuk merujuk Tuhan mereka... kali ini mungkin dilarang penggunaannya terhadap kalimah Allah, lain kali mungkin lebih daripada itu..."



Kebimbangan mereka sebegini. Seandainya kerajaan menggunakan alasan keselamatan negara untuk campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah, maka kerajaan boleh menggunakan alasan yang sama untuk campur tangan dalam amalan agama lain. Mungkin saiz gereja pun boleh dijadikan alasan, "mengganggu keharmonian kaum dan agama kononnya", pada suatu hari kelak.


MerdekaReview dimaklumkan, suasana agak dingin pada permulaan mesyuarat tertutup kelmarin. Sehingga salah seorang pemimpin gereja menyentuh isu penggunaan "kalimah Allah", yang menghangatkan suasana.



Sungguhpun di luar jangkaan, tetapi DAP tidak akan menggunakan isu ini sebagai isu dalam kempen. Seorang pemimpin yang enggan didedahkan namanya berkata, pada hakikatnya, impak isu ini tidak besar sebagaimana yang dibayangkan. Seorang lagi pula memberitahu bahawa biarpun kehadiran semalam cukup memberangsangkan, tetapi tidak mencerminkan kecenderungan semua anggota gereja. Ia sekadar mencerminkan sikap gereja Sibu yang sedang memerhatikan DAP, malah juga Pakatan Rakyat.



Peruntukan kerajaan sepanjang masa



Perlu diingatkan, kerajaan negeri Sarawak sebenarnya memperuntukkan dana kepada gereja tempatan selama ini. Oleh itu, isu Allah belum pasti dapat menjejaskan hubungan antara pemerintah dengan pihak gereja. Kesudian pihak gereja untuk tampil ke depan dan berdialog, dianggap sebagai "selangkah ke depan" untuk PR.

Kebanyakan pengundi Cina Sibu ialah orang Foochow. Malah, pengundi yang usianya telah lanjut tidak dapat bertutur dalam bahasa Cina. Oleh itu, DAP telah menghantar Ngeh Khoo Ham (gambar kanan), orangFoochow yang beragama Kristian untuk berkempen di Sibu.



Menurut Tony Pua, DAP akan mengadakan satu lagi dialog antara pemimpin Kristian Pakatan Rakyat dengan pengundi pada minggu depan. Antaranya pemimpin yang akan turun padang termasuklah Hannah Yeoh (ADUN Subang), Chua Jui Meng (pemimpin PKR) dan bekas ahli parlimen Segambut, Tan Kee Kwong.



*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Provokasi Melampau Tak Mampu Halang Ribuan Rakyat Johor Datang Dengar Amanat Anwar


JOHOR BAHRU 9 Mei - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor agar tidak takut untuk meninggalkan Umno dan Barisan Nasional kerana ramai daripada pengasasnya itu telah meninggalkan parti apabila melihat penyelewengan dan salahguna kuasa yang berlaku.

"Bahkan presiden pertama Umno, Dato Onn Jaafar, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn turut meninggalkan parti dan melawan Umno," kata Anwar pada ceremah di Plentong Jumaat lalu.

Anwar berkata walaupun Johor dikatakan kubu kuat Umno namum beliau optimis dengan kemenangan Pakatan Rakyat di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 nanti melihat kepada gelombang sokongan rakyat kepada Johor yang semakin meningkat.

Ia berdasarkan sokongan serta sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terhadap program anjuran Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini yang dahagakan maklumat terkini mengenai situasi politik dan ekonomi negara.
"Dengan izin Allah, kalau Selangor boleh kita tawan, tidak mustahil Johor pun boleh tumbang kepada kita. Yang penting kita istiqamah dan teguh dengan perjuangan," tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Walaupun program ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Kempas dan Plentong diganggu polis dan provokasi daripada Pemuda Umno, namun ia tidak menghalang lebih 6,000 rakyat mendengar amanat Anwar dalam lawatan sehari beliau ke Johor untuk menemui pucuk pimpinan KEADILAN negeri serta rakyat.

Turut sama dalam ceramah yang diadakan termasuk Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, Yang Dipertua PAS Negeri Johor, Datuk Dr Mahfuz Omar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Chua Meng serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Anuar Saleh.

Dalam program di Taman Dahlia, Kempas, Anwar terpaksa memendekkan jadual beliau di situ selepas dinasihatkan pihak polis atas faktor keselamatan.

Pemuda Umno dikatakan datang ke majlis ceramah dan melakukan provokasi dengan membuat bising bagi menganggu perjalanan program.

Pihak polis jelas menunjukkan sikap berat sebelah apabila menahan Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat atas alasan menganjurkan perhimpunan tanpa permit.
Gangguan yang sama turut dilakukan oleh Pemuda Umno di Markaz PAS Taman Saujana, Plentong dengan bersorak dan menghamburkan kata-kata kesat, membakar mercun dan membaling objek ke arah orang ramai.

Tindakan kasar dan biadap Pemuda Umno itu hampir mencetuskan pergaduhan namun berjaya ditenangkan oleh petugas yang mengawal keselamatan.

"Ribuan yang hadir tanpa upah ini membuktikan ledakan suara rakyat Johor cuba dimusnahkan oleh gerombolan yang semakin gusar dan cemas.
"Kita akan teruskan ikhtiar untuk sampaikan maklumat kepada rakyat walaupun banyak halangan yang menduga kita.

"Tuan-tuan jangan layan provokasi mereka di luar sana. Kita patut berasa simpati kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.

"Inilah akibatnya apabila pemimpin yang zalim terus memperbodoohkan rakyat. Anak-anak kita rosak kerana perbuatan mereka," kata Anwar kepada ribuan penyokong.
Beliau berkata ketakutan pimpinan Umno-BN kini semakin ketara.

Fitnah, dakwaan yang dilakukan dan usaha untuk menggantungnya dari Parlimen hanya akan menjadikan rakyat semakin jijik dengan tindakan Umno-BN.

Persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak mampu dijawab, tetapi menggunakan kuasa majoriti yang ada untuk membungkam pandangan lain, kata Anwar.
Antara isu yang dikupas beliau termasuk isu keselamatan negara, pentadbiran yang pincang, kehakiman serta isu jenayah yang semakin meningkat.

Anwar turut menyarankan anggota keselamatan supaya bersikap rasional dengan tidak membuta tuli mematuhi arahan tetapi melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang.

"Paling baru kes Aminulrasyid. Arwah ditembak dan kini dalam siasatan. Kes Kugan dan Beng Hock belum selesai, datang pula kes terbaru. Macam mana kita nak yakin dengan keselamatan negara kita?" soal beliau lagi.

Menyebut "Barua" kepada Polis Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat DiLokap...


Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdr Suhaizan Kayat ditahan didalam lokap polis malam ini kerana mengatakan "barua" kepada polis. Ini adalah disebabkan ceramah DSAI yang diadakan di Taman Dahlia, Kempas dikepong dengan 4 road block, sedangkan ceramah dari Ezam tiada sebarang road block diadakan oleh pihak keselamatan.

"Bayangkan Taman Dahlia taman sekangkang kera di kepong 4 road block. Berapa duit rakyat telah dibelanjakan?"

"Macamana rakyat nak respek dengan polis Ceramah Ezam di Taman Dahlia Kempas free road block. Ceramah Anwar di taman yang sama 4 road block dengan lebih 80 orang anggota polis kepong. Sebab itu bila polis kena tembak rakyat tidak respon. Kuat sangat ikut telunjuk UMNO." Ujur Suhaizan sewaktu berada di IPD Johor Baharu

Sumber
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.