Jumlah pengundi kawasan parlimen Sibu mencecah 54,695 orang. Antaranya, sebanyak 53% menganuti agama kristian dan katolik. Dengan kata lain, undi gereja memainkan peranan yang penting dalam PRK Sibu, Sarawak.
Biarpun DAP mungkin tidak membangkitkan isu "kalimah Allah", sebagai senjata ketika berkempen, namun undi gereja yang mencakupi setengah daripada jumlah undi semestinya menjadi rebutan antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.
Strategi menarik undi telah dimulakan secara senyap-senyap. Malah, pihak gereja telah menunjukkan sikap ingin tahu, dan cuba memerhatikan tindak-tanduk PR yang dikatakan bersikap lebih terbuka.
Sekali pandang, Sibu adalah satu kota yang bersejarah, bandar Foochow, malah bandar kristian. Gereja bersebelahan antara satu sama lain dalam kawasan bandar. Palang dan potret Maria bagaikan hiasan bandar ini. Selain Cina, kebanyakan orang Iban juga menganuti agama Kristian dan Katolik, membawa kepada jumlah 53% daripada pengundi Sibu.
Enggan bincang soal politik
Jadi, memikat undi gereja menjadi satu kewajiban. Tetapi, suasana di Sibu agak polos dan konservatif. Pengundi enggan berbincang politik dengan orang luar. Sebut sahaja politik, lantas mereka menjawab "tidak tahu", sambil menggelengkan kepalanya. Hanya sebilangan kecil
Oleh itu, memikat undi dan mengukuhkan undi gereja menjadi masalah yang merunsingkan kedua-dua BN dan PR.
Pada tahun 31 Disember 2009, hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan memutuskan bahawa penggunaan kalimah "Allah" dibenarkan kepada bahan bacaan terbitan kristian untuk dirujukkan kepada Tuhan mereka. Demonstrasi tercetus menyusuli keputusan tersebut, dan diikut kemudian dengan pencerobohan terhadap rumah ibadat. Malah, Timur Malaysia yang aman damai selama ini juga tidak terelak daripada kejadian sedemikian.
Walaupun ketegangan ini diredakan setelah beberapa bulan, tidak kurang juga usaha memujuk dilakukan oleh pihak kerajaan BN. Namun, pemimpin gereja masih mengambil kisah tentang isu ini.
Khuatir campur tangan kerajaan
Kelmarin, DAP telah mengadakan satu mesyuarat tertutup bersama pemimpin gereja. Kehadirannya yang dijangkakan pada mulanya hanya 20 hingga 30 orang daripada pihak gereja, dan mungkin lebih kurang kerana sikap mereka yang lebih konservatif. Akhirnya, sesuatu berlaku di luar jangkaan apabila 50 hingga 60 orang pastor menghadiri mesyuarat tersebut.
Pemimpin DAP yang hadir termasuklah Lim Kit Siang (ketua ahli parlimen DAP), Chong Chieng Jen (ahli parlimen Kuching), Ngeh Koo Ham (ahli parlimen Beruas), Teresa Kok (EXCO Senior Selangor) dan Tony Pua (ahli parlimen Petaling Jaya Utara). Dialog ini tidak dihadkan kepada isu "kalimah Allah" sahaja, tetapi jelas mereka paling peka terhadap isu kebebasan agama.
Antara mereka yang hadir menyuarakan kekhuatiran mereka, iaitu isu "penggunaan kalimah Allah" yang dilihat bukan sekadar masalah penduduk di Timur Malaysia, Iban atau orang asli yang menggunakan bahasa Melayu ketika bersembahyang. Mereka menambah, "Selagi kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam amalan agama penganutnya, termasuk bagaimana untuk merujuk Tuhan mereka... kali ini mungkin dilarang penggunaannya terhadap kalimah Allah, lain kali mungkin lebih daripada itu..."
Kebimbangan mereka sebegini. Seandainya kerajaan menggunakan alasan keselamatan negara untuk campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah, maka kerajaan boleh menggunakan alasan yang sama untuk campur tangan dalam amalan agama lain. Mungkin saiz gereja pun boleh dijadikan alasan, "mengganggu keharmonian kaum dan agama kononnya", pada suatu hari kelak.
MerdekaReview dimaklumkan, suasana agak dingin pada permulaan mesyuarat tertutup kelmarin. Sehingga salah seorang pemimpin gereja menyentuh isu penggunaan "kalimah Allah", yang menghangatkan suasana.
Sungguhpun di luar jangkaan, tetapi DAP tidak akan menggunakan isu ini sebagai isu dalam kempen. Seorang pemimpin yang enggan didedahkan namanya berkata, pada hakikatnya, impak isu ini tidak besar sebagaimana yang dibayangkan. Seorang lagi pula memberitahu bahawa biarpun kehadiran semalam cukup memberangsangkan, tetapi tidak mencerminkan kecenderungan semua anggota gereja. Ia sekadar mencerminkan sikap gereja Sibu yang sedang memerhatikan DAP, malah juga Pakatan Rakyat.
Peruntukan kerajaan sepanjang masa
Perlu diingatkan, kerajaan negeri Sarawak sebenarnya memperuntukkan dana kepada gereja tempatan selama ini. Oleh itu, isu Allah belum pasti dapat menjejaskan hubungan antara pemerintah dengan pihak gereja. Kesudian pihak gereja untuk tampil ke depan dan berdialog, dianggap sebagai "selangkah ke depan" untuk PR.
Kebanyakan pengundi Cina Sibu ialah orang Foochow. Malah, pengundi yang usianya telah lanjut tidak dapat bertutur dalam bahasa Cina. Oleh itu, DAP telah menghantar Ngeh Khoo Ham (gambar kanan), orangFoochow yang beragama Kristian untuk berkempen di Sibu.
Menurut Tony Pua, DAP akan mengadakan satu lagi dialog antara pemimpin Kristian Pakatan Rakyat dengan pengundi pada minggu depan. Antaranya pemimpin yang akan turun padang termasuklah Hannah Yeoh (ADUN Subang), Chua Jui Meng (pemimpin PKR) dan bekas ahli parlimen Segambut, Tan Kee Kwong.
*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
0 comments:
Post a Comment