Orang yang lemas memang akan berpaut pada apa saja untuk terus hidup. Semacam satu arahan dari pihak atasan Umno Kedah supaya menggunakan ‘apa jua isu’ untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Daripada isu besar hinggalah kekecil-kecil isu; semuanya dimanipulasikan oleh BN. Sampah, longkang, jalan, titi, rumah, tanah, air, api, angin; semuanya jadi modal BN untuk menonjol diri atau membelasah PAS.
Setelah bekalan air dijadikan isu untuk beberapa lama, kini isu pemberian pingat dan darjah kebesaran oleh Tuanku Sultan pula menjadi bahan kempen BN.
Dalam anugerah kebesaran sempena ulangtahun kelahiran baginda yang 82, tidak ada seorang Exco kerajaan negeri Kedah pun yang menerima darjah tertinggi yang membawa apa-apa gelaran. Cuma ada seorang dari PAS iaitu Ahli Parlimen Pendang, Dr. Mohamad Hayati Othman yang menerima anugerah Dato’ Setia DiRaja Kedah bergelar Dato’.
Manakala dari Umno, antara penerimanya tertinggi ialah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff (SSDK), Ketua Penerangan Umno Kedah, Dato’ Jamil Khir Baharom (SSDK), bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Affifudin Omar (DGMK), Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail (DSDK), bekas Exco Pergerakan Wanita Umno, Barishah Saad (DSDK), Pengerusi Tetap Umno, Dato’ Paduka Badruddin Amiruddin (JP) dan Ketua Umno Bahagian Merbok, Dato’ Tajul Urus Mat Zain (JP). Mungkin lebih ramai lagi dari kalangan Umno yang sudah tidak bergiat lagi yang menerimanya tetapi tidak begitu dikenali.
Umno telah menggunakan isu tersebut melakukan perang saraf di kalangan rakyat kononnya PAS sudah tidak sehaluan dengan istana. Lebih tidak bertanggungjawab mereka menyebarkan cerita di peringkat bawahan kononnya pihak istana murka dengan barisan Exco kerajaan negeri. Ini peristiwa malang, kata mereka, sebab sepanjang sejarah di Kedah inilah kali pertama Exco tidak dianugerah Dato’ sempena Hari Keputeraan Tuanku Sultan.
Isu gerak saraf yang dijaja oleh Umno pulak tentulah ialah (kononnya) keintiman Umno dengan pihak istana. Maka wajarlah Umno diberi peluang semula untuk memerintah negeri ini dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagi PAS, pingat atau anugerah kebesaran bukan isu besar. Perjuangan PAS bukan untuk darjah atau kedudukan. PAS cuma mahukan kuasa untuk laksanakan Islam dalam pemerintahan. Tidak ada pemimpin PAS yang dengan sengaja mengisi borang memohon Dato’. Di kalangan PAS perbuatan seperti itu masih dianggap memalukan.
Di kalangan rakyat hari ini pun, persepsi umum terhadap golongan bergelar tidak semulia dulu. Apabila ada golongan bergelar yang ditangkap rasuah atau pecah amanah, ia telah merosakkan habis ‘susu sebelanga’.
Sepanjang sejarah PAS menjadi pembangkang di Kedah, hanya Almarhum Dato’ Fadzil Noor menerima anugerah Dato’ sewaktu menjadi Ketua Pembangkang DUN. Itu pun Almarhum telah menolak pelawaan untuk kali pertama. Beliau menerima pelawaan kali kedua kerana tidak mahu dianggap mengecilkan hati Tuanku Sultan.
Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng membuat keputusan supaya semua Exco tidak dibenarkan menerima anugerah kebesaran sewaktu masih memegang jawatan. Ia adalah keputusan yang mempunyai pro dan kontra. Mungkin bagi Guan Eng, ia sebagai bukti bahawa perjuangan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang bukan kerana mahu merebut anugerah atau penghormatan manusia. Ia simbol keikhlasan.
Bagi pihak (dalaman parti) yang tidak bersetuju dengan Ketua Menteri itu pula menyifatkan ia tindakan merugikan. Dalam budaya orang Malaysia, orang bergelar sangat dihormati. Hati pengundi boleh ‘cair’ jika seorang Datuk menepuk belakang merayu meminta undi. Sekurang-kurangnya ia memberi kredit untuk menambah sokongan. Mungkin tambahan undi tidak banyak akibat adanya gelaran itu, tetapi di beberapa kawasan, majoriti kemenangan pun bukan banyak sangat. Maknanya gelaran kebesaran boleh jadi talian hayat dalam keadaan tertentu. Politik pilihanraya ialah pertandingan siapa lebih besar pengaruhnya, bukan pertandingan siapa lebih warak. Hujah itu boleh diterima juga kerana ada lojiknya. Tetapi Guan Eng tentu ada strateginya tersendiri.
Bagi Umno yang sekular dan ternyata berjuang untuk duniawi, anugerah itu sangat penting bagi mereka, lantas berebut untuk mendapatkannya. Sebab itu sewaktu BN jadi pemerintah, mereka mempastikan jangan ada sekerat pun orang PAS terima anugerah dari istana. Sewaktu Almarhum Dato’ Fadzil terima anugerah Dato’, Menteri Besar waktu itu Tan Sri Sanusi Junid telah menerima kecaman yang hebat dari kepimpinan serta ahli-ahli Umno Kedah. Walhal yang anugerah Dato’ kepada Almarhum adalah baginda Tuanku Sultan sendiri, bukan Sanusi.
“Sewaktu BN jadi kerajaan sebutir pingat pun tiada untuk PAS sedang waktu Pakatan jadi Kerajaan, habis semua pingat kebesaran untuk mereka juga..” luah seorang penyokong Pakatan semacam kecewa. Ada juga yang terkejut, “Eh, siapa yang berkuasa di Kedah sekarang?”
Sebenarnya kalau kita benar-benar faham perjuangan kekecewaan seperti itu tidak harus timbul. Hindarilah buruk sangka. Bahkan jangan termakan sedikit pun dengan permainan jahat Umno melaga-lagakan antara satu sama lain. Biarlah tak dapat Dato’ tapi ikhlas berjuang untuk Islam daripada menerima anugerah duniawi yang mungkin boleh menjarakkan lagi kita dengan perjuangan.
Buat sementara, Umno akan terus memanipulasi itu anugerah itu untuk meraih sokongan rakyat. Dari aspek positif pula rakyat akan melihat keikhlasan perjuangan PAS. Berjuang bukan kerana anugerah. Ikhlas yang tulen.
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA