TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

KM PP Menjawab Tohmahan Kawan dan Lawan


Muslihat untuk cemar Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berjaya

DI SEBALIK tekanan dan kecaman terhadap kepimpinannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap tenang dan ceria. Beliau baru sahaja tiba dari kunjungan rasmi ke Korea Selatan, terus bergegas ke pejabatnya untuk ditemubual.

Beliau dilabel chauvanis, komunis, fikiran berbahaya dan menindas orang Melayu. Mottonya untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, juga dipersendakan musuh politiknya.
Semuanya dijawab dengan tenang, tepat dan padat. Ikuti bahagian pertama temubual wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, IZWAN ABDUL HALIM serta SABRI SAID menemui beliau di Pejabat Ketua Menteri, di Bangunan Komtar pada jam 8.30 malam, 3 Februari 2010.

Harakah: Sekarang ini kepimpinan saudara selaku Ketua Menteri hebat dipertikaikan, saudara dihadapkan dengan kritikan keras daripada parti rakan, apa respons saudara?

Lim Guan Eng : Pertamanya, saya memang begitu menghormati rakan-rakan Pakatan Rakyat. Penganugerahan Dato' Seri kepada Dr Wan Azizah Ismail, ketika itu beliau ketua pembangkang, juga kepada (Allahyarham) Dato’ Hamdan Abdul Rahman (bekas Adun Permatang Pasir) dan gelaran Dato' Seri kepada Dato' Zahrain Hashim, kerana beliau ketika itu Pengerusi KeADILan Pinang, ada tanda penghormatan.

Ini menunjukkan kerajaan negeri memberi penghormatan dan pengiktirafan sedangkan kita DAP tidak ada mana-mana (anggota) yang dapat. Semua daripada KeADILan dan PAS.

Tetapi untuk sesetengah pemimpin, kalau kita bagi penghormatan, dapat memuaskan hatinya, seketika sahaja. Lepas itu minta lain pula.

Masalah pokoknya berpunca kerana, saya tidak mahu atas desakan pihak tertentu meluluskan cadangan daripada syarikat yang dipengerusikan Zahrain meluluskan satu tender penswastaan projek kelab golf kepada sebuah syarikat dengan modal berbayar RM2.

Tentulah apabila diadakan open tender dia cakap hanya satu syarikat yang masuk tender, sungguhpun dia ada siarkan iklankan dalam The Starlah. Tapi tahulah iklan kecil, tidak semua perhatikan.

Kalau ada ikut prosedur yang tetap itu kita boleh setuju, Lembaga Pengarah boleh setuju. Selepas saya tidak mahu luluskan.

Ini membawa keretakan pertama, dan mulai selepas itu saya rasa susahlah untuk berbincang. Kalau berbincang, minta ini dan itu.

Saya menolak kerana, dia tidak memenuhi prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntable dan Telus. Bila ini dipohon, ia tidak memenuhi prinsip CAT. Perkara-perkara yang tidak memenuhi prinsip CAT, saya susah hendak layan.

Saya tegaskan kerana prinsip CAT ini, kita bawa banyak perubahan kepada Pulau Pinang.

Dengan CAT ini, apakah pentadbiran yang mengutamakan ketelusan ia berjaya dilaksanakan?

Kita mendapat kepujian daripada Transparency International iaitu kerajaan negeri pertama yang dapat kepujian international.

Kita berjaya menjimatkan banyak wang, anggaran defisit 2008 sebanyak RM35 juta kita tukar menjadi lebihan RM88 juta, iaitu sejarah terbesar dalam rekod Pulau Pinang.

(Tahun) 2009 anggaran defisit RM40 juta, kita tukar menjadi lebihan RM77 juta. Kita akan capai RM92 juta, jika tidak kerana satu kes penyelewengan tanah (oleh) Barisan Nasional, kerajaan negeri terpaksa bayar RM14.7 juta. Itu kes penyelewengan tanah.

Kalau tidak kerana RM14.7 juta ini sepatutnya lebihan kita sudah RM92 juta.

Jadi, CAT ini berjaya kerana kita tegas untuk menegakkan prinsip tender terbuka, prinsip berhemah, prinsip bersih, prinsip cekap, akauntable dan telus.

Bila diminta luluskan tender kepada syarikat RM2 ini, kalau kita lulus, tak ada bezanya dengan BN. Selalu kita cakap dia bagi kepada syarikat RM2, jadi apa bezanya kita dengan BN? Jadi saya cakap tak boleh, lebih-lebih lagi syarikat ini tidak ada track record.

Mestilah kena beri kepada syarikat yang ada track record yang ada latar belakang jelas, ada pengalaman, ada satu sejarah yang cukup. Tapi syarikat ini hanya ditubuhkan pada 28 September 2008. Tender ini dipanggil Disember, jadi ini jelas untuk tujuan membida tender ini.

Jadi kita rasa kurang senang hatilah, sebab itu Lembaga Pengarah tidak luluskan. Itulah yang saya rasa menimbulkan perasaan tidak puas hati di sesetengah pihak. Saya rasa itu adalah personal.

Bagaimana dengan dakwaan Ahli Parlimen Nibong Tebal?

Ini kes yang sama. Hal personal. Kes Ahli Parlimen Nibong Tebal kerana rumah kedai punya hal. Jeff Oii (Ketua Staff pejabat KM) sudah minta beliau menjawab.

Dia mahu minta rumah kedai PBT untuk bapa saudara dia. Saya kata ikutlah tender terbuka, jadi lepas itu tak puas hati tulis surat, jadi saya rasa susahlah. Saya cakap kalau kita beri satu kali, kali kedua mesti minta lagi.

Kita tak boleh stop. Jadi kalau kita tidak mahu ia diteruskan, jangan start. Itu prinsip saya. Kalau kerana prinsip ini saya terpaksa menghadapi segala-galanya, saya rela, itu saya rasa satu cabaran dan saya rasa kita semua akan dapat hikmah dari CAT dan mana yang batil, mana yang benar.

Itu yang penting. Saya rasa kita ikut jalan yang benar. Kalau menghadapi apa-apa pun sekurang-kurangnya kita tahu kita buat yang benar. Macam dulu kita pun hadapi banyak cabaran macam saya masuk penjara kerana itu kes keluarga Melayu (membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik).

Itu pun saya terpaksa menghadapi banyak masalah peribadi. Tapi kita rasa kita serius kerana kita benar. Kalau kita masuk dalam penjara kerana kita benar bila kita jadi Ketua Menteri kita pun amalkan prinsip yang sama, tak boleh ada double standard.

Sebab itu kita hendak ikut teladan yang ditunjuk Khalifah Umar Abdul Aziz, kita bukan nak jadi khalifah (ketawa.

Saya pun tidak tahu macam mana mereka boleh cakap saya hendak jadi khalifah (ketawa). Mereka sudah pusing cakap saya.

Saya cakap saya nak belajar daripada Khalifah Umar Abdul Aziz. jadi, mereka cakap saya nak jadi khalifah, mana pula saya nak jadi khalifah, saya tak layak jadi khalifah. Saya cakap saya mahu belajar saja.

Saya masih ingat bila saya cakap dekat Parlimen, Umno hentam saya, kata saya kurang ajar kerana hendak belajar dari Umar Abdul Aziz.

Kalau kerana itu saya digelar kurang ajar tidak mengapalah. Jadi yang utamanya, perkara-perkara yang tidak selaras, tidak selari dengan prinsip CAT, saya rasa kita tak boleh layan.

Kita buat CAT ini kerana ia berteraskan prinsip amar makruf nahi mungkar. Tak kan dia tak faham? Kalau cakap CAT tidak faham, amar makruf nahi mungkar mesti faham. Kalau tak faham, saya pun tidak boleh buat apa, saya hanya boleh minta maaf dan kita nak teruskan sahaja.

Isu peribadi Zahrain dengan Nibong Tebal ini sudah transfer sebagai masalah antara DAP dengan KeADILan?

Masalahnya mereka ini dua-dua Ahli Parlimen. Tak ada satu Dun pun yang boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Jadi hasrat dia nak menggugat Kerajaan Pulau Pinang, tetapi saya rasa muslihat mereka tak akan berjaya dan berhasil kerana tidak ada seorang Dun pun yang keluar setakat inilah.

Saya percaya tidak ada yang akan keluar dan semua berdiri bersama Pakatan Rakyat.

Kita pun tahu masalah mereka adalah masalah dalaman. Kebanyakan ialah masalah dalaman.

Baik Tan mahupun Zahrain. Dia frust bukan sahaja dengan saya, frust juga yang saya ingat yang lebih utama ialah dia sebagai Pengerusi Pulalu Pinang. Ini boleh cakap secara analisislah. Ini isu dalaman parti KeADILan saya tidak mahu campur.

Kerajaan pimpinan saudara didakwa merobohkan gerai Melayu. Apa penjelasan?

Sekarang kita hendak pegang kepada prinsip bersih, prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau kita nak pastikan Pulau Pinang bersih, kita mesti pastikan undang-undang dipatuhi.

Ini kita buat secara berperingkatlah. Ini saya serahkan kepada Chow untuk uruskan kerana beliau Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan saya juga minta Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri 1) untuk berikan bantuan.

Kedua-dua Exco mereka tegas. Kita cakap kalau kita hendak bersihkan Pulau Pinang, kita mesti pastikan semua patuhi undang-undang.

Saya tidak tahu secara detail tapi saya sokong usaha ahli-ahli Exco saya, baik Chow baik Mansor. Kita lihat tindakan diambil penguatkuasa baik MDBP, MPSP mahupun Pejabat Daerah.

Yang kena ini adalah datangnya dari semua bangsa. Malah saya difahamkan penggerai Cina lebih ramai dari penggerai Melayu yang dikenakan tindakan.

Mana boleh dakwa yang kena roboh gerai orang Melayu sahaja? Mereka kuasai media, mereka boleh mainkan bahawa kita hanya bertindak ke atas Melayu, sedangkan yang kita ambil tindakan kepada semua.

Dan biasanya bila kita ambil tindakan kepada penggerai bukan Melayu, surat khabar Melayu tidak akan siarkan. Kita ambil tindakan ke atas penggerai Melayu, hanya surat khabar Melayu siarkan dan surat khabar bukan Melayu tidak siarkan.

Jadi, orang Melayu ingat kita tidak ambil tindakan kepada bukan Melayu dan bukan Melayu ingat kita tidak ambil tindakan kepada penggerai Melayu. Tapi kita ambil tindakan ke atas semua. Angka-angka ini boleh buktikan. Kita cakap atas fakta. Kita buat secara sama rata. Jadi ini adalah satu fitnah, satu tohmahan yang amat jahat dan mungkar sekali.

Bagaimana dalam soal peruntukan dan pembelaan terhadap umat Islam, Umno kata DAP menindas, benarkah?

Hal ehwal Islam, mereka selalu main saya bercakap saya hanya boleh bercakap amar makruf nahi mungkar.

Anda pun tahu, kita buat banyak yang baru, macam itu para huffaz di mana kita berikan mereka pengiktirafan. Ini yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan lama.

Peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), dulu tak pernah bagi, kita bagi, ini pertama kali kita usahakan dan kita martabatkan para huffaz. Kalau saya, saya memang kagum atas kecemerlangan daripada mana-mana pihak. Baik dari sains, matematik, mahupun agama.

Yang penting sekali hafal, itu kebolehan yang saya kagum, kerana saya sendiri tidak boleh hafal. Ini saya hafal satu muka payah, (jadi) boleh hafal 6,666 ayat, saya
tabik!

Kita mesti memartabatkan mereka. Jadi yang kita buat ini BN tidak pernah buat, maknanya kita martabatkan para cendikiawan kita.

Saya dapat respon dari mereka yang mengaji Quran ini, mereka sangat terharu, sebelum ini tak dapat perhatian, tapi daripada Kerajaan Pakatan Rakyat dapat perhatian.

Kadang-kadang kita cakap kita usaha, ini bukan wang, wang kita bagilah, tetapi untuk mereka bukan wang. Kalau untuk wang mereka tidak akan mengaji Quran, mereka akan buat bisnes, itu bukan wang itu pengiktirafan bahawa mereka diiktiraf sebagai sumber dan satu elemen yang penting ke atas pembinaan sebuah masyarakat madani dan masyarakat yang bertakwa.

Dari segi peruntukan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat kita telah beri peruntukan lebih banyak daripada Barisan Nasional. Tahun 2008 iaitu tahun sebelum kecundangnya kawan baik saya, 2008 daripada belanjawan BN ialah RM12.5 juta.

Tahun 2009, belanjawan pertama Pakatan Rakyat naik kepada RM20.5 juta. Tahun ini sungguhpun ada kekangan ekonomi, kita naikkan lagi kepada RM24.3 juta. Sekarang hampir sekali ganda lebih besar daripada tahun 2008 di bawah BN.

Kedua, kempen membasmi kemiskinan tegar, ini selari dengan ajaran Islam iaitu zakat. Bantu yang daif, kumpulan asnaf.

Kita buat dengan bantu miskin tegar, 90 peratus orang Islam. Dalam satu tahun kita basmi miskin tegar yang tidak dapat dibuat BN dalam 51 tahun.

Pertama kalinya kita cakap semua keluarga di Pulau Pinang mesti dapat selepas semua tambahan semua bantuan, mesti dapat RM500. kalau dapat RM300, kita akan top-up RM200, kerajaan negeri bayar.

Jadi itu BN kata tidak logik, macam mana anda dapat kawal solusi you dapat bagi RM500. Ini kita pergi siasat. Kita dapat berapa bantuan yang telah diperolehi atau gaji, kita beri. Tapi ada keluarga tidak mahu terima, maruah. Mereka mahu terus bekerja.

Bukan kerana politik?

Bukan, bukan, dia tidak mahu angkat dia cakap terima kasih kerana dia ada maruah, dia bergantung kepada diri sendiri. Itu kita cuba bantu cara lain. Tapi yang lain kita bagi sampai genap RM500. Kita selalu cabar BN, oklah mereka kata ada keluarga tercicir, saya tak cakap tidak ada tercicir, mungkin kita punya kajian ada tercicir.

Tak apalah, you bagi sayalah maklumat (itu), kita siasat kalau benar kita akan bayar.

Kita tidak kenal tentang politik, warna kulit ataupun latar belakang, kalau dia miskin pasti kita akan bayar, tetapi mereka tidak dapat berikan (maklumat).

Kalau bagi tahu kita, kita akan segera siasat, kalau benar, kita akan top-up setiap bulan. Bila mereka (BN) tidak puas hati, mereka cakap tidak boleh bagi wang macam ini.

Mana boleh bagi wang, you bagi wang tak bagus. Tak boleh bagi ikan, mesti bagi jaring atau jala. Bagilah jala, jangan bagi ikan. Jadi saya jawab, betul kalau bagi jala dia dapat berdikari itu betul. Tapi kalau orang itu miskin sangat sampai dia lapar mana dia ada tenaga untuk tangkap ikan, bagilah dia makan dulu barulah dia ada tenaga untuk tangkap ikan. Itulah yang kita mesti buat untuk golongan yang miskin, asnaf dan miskin tegar. Bagilah ikan dan dalam masa yang sama bagilah jala. (ketawa)

Apakah BN gagal memahami masalah orang miskin selama 51 tahun memerintah?

Tak faham kerana (mereka) ini tidak pernah susah. Boleh pergi holiday dekat London, Disneyland, (hingga) sudah lupa macam mana jadi susah. Bukan macam kita, kita datang dari keadaan susah, kita tahu itu linangan air mata yang betul-betul teruk sekali.

Itu yang kita hendak beri bantuan. Tentang tadi itu gerai, kita selalu beri alternatif. Yang kita roboh setelah dia tidak mahu terima alternatif yang ditawarkan.

Baik Cina, baik Melayu, baik India, kita selalu beri notis, beri alternatif. Ini sudah lapan tahun itu kes gerai Do Re Mi dan ada alternatif. Macam hari itu dalam akhbar ada cakap satu gerai itu gerai kosong.

Bila saya minta Mansor pergi memeriksa dan sah gerai kosong.Banyak isu yang direka-rekakan.

Jadi dakwaan kerajaan negeri menganiaya peniaga gerai tidak wujud?

Selalu kita cakap dalam ajaran Islam, jangan fitnah sama orang, tapi dia boleh fitnah macam ni. Kalau kita berdasarkan asas, ada fakta, kita serius selesaikan, tapi janganlah sampai buat fitnah sama orang.

Kerajaan Negeri tidak akan aniayai mana-mana pihak, bodohlah kita aniayai mana-mana pihak, macam mana hendak menang. Tetapi bila kita nak bawa perubahan, perubahan ialah untuk membawa kebaikan.

Jadi kalau kita nak Pulau Pinang bertaraf antarabangsa lebih teratur, kita mesti buat macam ini. Saya pergi mana-mana, saya lihat semua teratur.

Saya baru pergi Iran di Esfahan, mana ada gerai berselerak, semua teratur. Jadi, kita pun hendak belajar seperti itu. Kita cuba ada sistem seperti itu. Secara detail saya terus terang saya tak berapa tahu, itu saya serahkan kepada Chow atau Mansor.

Tapi ini kes bukan baru, macam baru ni ada penggerai yang kita tolak gerai dia, dia mahu saman kita, nak lapor SPRM. Dia sudah nasib baik kita tidak lapor sama dia, dia pula mau lapor sama kita.

Ini penggerai Cina, jadi di sini Cina pun kena, Melayu pun kena, India pun kena.

Rakyat hendak lihat perubahan, di sini mereka boleh bezakan kita hendak daulatkan undang-undang, itu sahaja, tak lebih dari itu.

Serius saya cakap kita telah berikan alternatif lain dan mereka yang tidak mahu terima. Kalau orang lain terima kenapa dia tidak boleh terima.

Saudara tidak bimbang imej saudara diserang seperti sekarang?

Saya rasa, jika kita ikut dasar yang betul. Saya yakin dengan rakyat Pulau Pinang, mereka tidak akan dipengaruhi oleh ajaran atau pandangan-pandangan sesat macam ini.

(Bersambung)

Awas!! Bom Grenad Ada Dalam Dekoder ASTRO


Seorang lelaki menemui sebutir bom grenad dalam sebuah dekoder astro terpakai yang baru dibelinya dari seorang lelaki yang tidak dikenali berhampiran Tesco Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata penemuan bom itu dimaklumkan kepada polis kira-kira pukul 5 petang semalam.

“Lelaki yang berumur lingkungan 20-an itu berminat membeli dekoder terbabit selepas membaca iklan yang ditampal di satu tembok di kawasan berhampiran.

“Melihat pada harga dekoder yang ditawarkan, dia kemudian terus menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama.

Beliau berkata penjual dekoder itu kemudian meminta lelaki berkenaan untuk bertemu dengannya di satu kawasan berhampiran di Tesco Ampang.

“Dekoder itu diletakkan dalam sebuah kotak. Lelaki itu kemudian bertindak memeriksa dekoder itu apabila melihat sesuatu di dalam dekoder berkenaan.

“Dia terkejut dan panik apabila mendapati ia adalah sebutir bom grenad,” katanya.

Abdul Jalil berkata menyedari kejadian itu, penjual dekoder kemudian bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Polis masih berusaha mengesan penjual dekoder itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” kata Abdul Jalil.

Ada Harga Barangan Naik Hingga 140% - CAP


PULAU PINANG 6 Feb. – Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati harga beberapa barangan, antaranya kacang dal malavi, kacang hijau, bawang putih dan gula perang telah naik antara 50 hingga 140 peratus sejak empat bulan lepas.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, bawang putih menunjukkan kenaikan harga paling tinggi sejak November lepas iaitu dari RM2.50 sekilogram menjadi RM6 bagi kuantiti yang sama.

"Selain itu, hasil tinjauan juga mendapati kacang dal malavi yang sebelum ini hanya RM4 sekilogram meningkat sehingga RM8, kacang hijau pula daripada RM3 sekilogram menjadi RM5 dan gula perang RM2 sekilogram naik RM1,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa peruncit juga turut mengadu bahawa pengedar dan pemborong telah memaklumkan kepada mereka bahawa beberapa barangan lain seperti Milo, susu pekat manis dan rempah-ratus mungkin naik antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya memantau kenaikan harga barangan di negeri ini.

Dokter Gigi Jerman Usir Pesakit Bernama "JIHAD"



Seorang dokter gigi Jerman menolak untuk merawat seorang remaja lelaki berumur 16 tahun anak pada minggu ini kerana nama pertamanya bererti "Jihad", kata ayah anak laki-laki tersebut.

Keluarga muslim di kota Donaueschingen Jerman itu akhirnya meminta polis untuk mendakwa doktor gigi tersebut dengan tuduhan melakukan tindakan diskriminasi atas insiden yang terjadi hari Selasa lalu.

Remaja muslim itu pergi ke doktor gigi untuk membetulkan penyangga giginya - namun ia diusir oleh doktor gigi yang mengatakan bahwa namanya dianggap mendeklarasikan perang terhadap non-Muslim.

Anak remaja ini bernama "Cihad", ejaan dari bahasa Turki untuk kata "jihad", yang merupakan nama anak laki-laki yang umum di negara-negara Islam.

Doktor gigi kemudian mengatakan kepada Schwarzwaelder Boten, sebuah akhbar di Jerman selatan, bahwa dia kemudian menyesali keputusannya, karena hal itu bukan kesalahan anak itu sendiri karena orang tuanyalah yang memberi nama'.

Meskipun sering media menerjemahkan jihad sebagai 'perang suci', ulama di sana menyatakan ianya adalah istilah umum dalam Islam yang berarti melayani Tuhan dengan segenap kemampuan yang ada.

Pihak berwenang yang berhubungan dengan doktor gigi mengatakan mereka sedang memeriksa apakah doktor yang mengusir remaja tersebut telah melanggar kontrak kewajibannya untuk memperlakukan semua pesakit dengan adil.

Anak itu telah menjalani perawatan meluruskan gigi-selama dua tahun di klinik doktor yang sama, tetapi dengan dokter gigi yang berbeza, yang kebetulan bercuti pada hari itu.
Sang ayah mengatakan ia heran kenapa orang bisa keberatan dengan nama anaknya.
"Namanya belum pernah ada masalah sebelumnya," katanya. Sebelumnya orang tua anak itu mengatakan kepada akhbar alasan ia memilih nama anaknya seperti, karena itu terdengar bagus, bukan keluar dari motivasi Islam sedikitpun.

Pejabat kotamadya di Donaueschingen juga menyatakan terkejut bahwa anak itu harus menerima penolakan oleh dokter. "Ini nama yang biasa di Turki," kata seorang juru bicara kota.

RM6 Bilion Untuk Memajukan Pertanian


KOTA BAHARU: Kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion untuk memajukan bidang pertanian di seluruh negara menerusi pelbagai sektor di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata, peruntukan itu bertambah RM2 bilion berbanding peruntukan RM4 bilion yang disediakan kerajaan tahun lepas.

Menurutnya, peruntukan yang besar itu menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap kepentingan rakyat terutama di bidang infrastruktur dan kemudahan asas.

"Walaupun kita tahu kerajaan membuat pemotongan peruntukan di kebanyakan kementerian lain, namun peruntukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditambah menjadikan RM6 bilion tahun ini, berbanding RM4 bilion," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) Ke-15 selama dua hari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran di kementerian itu, Datuk Mohd Azhari Mohd Ghazali yang juga Pengerusi persidangan MANCID dan Pemangku Timbalan Menteri Pertanian dan Pengairan Myanmar, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesatuan Pengairan dan Saliran Myanmar U Ohn Myint.

Mohd Hashim berkata, kerajaan memberi penekanan terhadap bidang pertanian kerana ia merupakan satu-satunya bidang penting yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat luar bandar yang menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, peruntukan yang besar itu penting memandangkan ia merupakan asas kepada peningkatan hasil pertanian negara yang menjadi sumber makanan rakyat.

"Dengan penyediaan infrastruktur yang baik kelak, ia mampu menghasilkan bahan pertanian yang baik untuk kepentingan rakyat, selaras konsep gagasan 1Malaysia di mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan," katanya.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata langkah ini sesuai dengan misi dan dasar kementerian itu untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor agro-makanan agar ia berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

"Usaha mentransfomasikan sektor ini merupakan suatu cabaran yang amat besar memandangkan ia bukan saja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti pertanian daripada pendekatan tradisional kepada pengaplikasian teknologi terkini, malah ia memerlukan anjakan minda masyarakat untuk menepis anggapan bidang pertanian merupakan aktiviti mundur dan berkemahiran rendah," katanya.

Mengenai pelaksanaan projek pertanian di Kelantan, beliau berkata kementeriannya memperuntukkan RM50 juta bagi membangunkan bidang infrastruktur melalui empat program utamanya iaitu Projek Bakat di Rantau Panjang, Lawang (Jeli); Sungai Yong (Pasir Puteh) dan Pengkalan Kubor (Tumpat). - BERNAMA

Royalti: Ku Li sedih amanah Tun Razak dilupakan



KUALA LUMPUR,5 Jan: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini sekali lagi mempertahankan tindakan beliau memberikan penerangan kepada rakyat mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Kelantan baru-baru ini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li dalam satu sidang media di kediamannya petang tadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja di Kelantan mengenai perjanjian yan dibuat di antara kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

"Saya berasa gembira menghadiri majlis tersebut kerana saya berpeluang memberikan penerangan kepada rakyat berhubung perjanjian Petronas pada 1974 dahulu", katanya.

Ku Li yang juga Bekas Menteri Kewangan juga berkata, beliau hanya ingin menunaikan amanah Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak jika terdapat minyak di persisiran pantai negeri berkenaan.

Ku Li juga kesal dengan keengganan kerajaan Barisan Nasional untuk mengagihkan hasil minyak kepada Terengganu dan Kelantan seperti yang diminta Tun Abdul Razak.

"Saya rasa sedih dan malu kerana amanah Allahyarham Tun Abdul razak seolah-olah dilupakan selepas 34 tahun pemergiannya.Beliau (Tun Abdul Razak) selalu memikirkan rakyat dan negeri-negeri yang miskin.Beliau mengarahkan saya untuk membuat perjanjian pada 1974 untuk memastikan rakyat dapat faedah dari hasil minyak itu, " katanya.

Ku Li pada 28 Januari lalu hadir memberikan penerangan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dianggotai 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang juga tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Pusat untuk memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan berkata, rakyat kelantan berasa terhina dengan keputusan itu kerana mereka inginkan hak mereka dikembalikan.

"Rakyat Kelantan rasa terhina bila nak diberi 20 juta wang ehsan sedangkan syarikat rokok sponsor acara sukan pun 50, 100 juta. Ini pula untuk rakyat Kelantan yang lebih dari 1 juta penduduk.

"Guna duit minyak bagi wang ehsan, macam rakyat Kelantan ni Tok Pakir (Peminta sedekah)," jelasnya.

Selain itu, beliau mahu Petronas membuat perkara yang betul manakala Pengerusi Petronas yang baru dilantik juga diingatkan membuat perkara sama dalam tuntutan royalti ini.

"Saya berharap Pengerusi petronas yang baru dilantik dapat mengawasi petronas. Petronas perlu buat tindakan yang betul mengikut perjanjian,"katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kerajaan negeri untuk mengambil tindakan seterusnya bagi memastikan hak royalti diberikan kepada rakyat negeri itu.

"Samaada Kerajaan negeri nak dakwa atau nak bawa ke mahkamah itu bukan bidang saya.Saya cuma nak menjelaskan perkara yang sebanar. Itu sahaja,"katanya.

Ulama Indonesia kecam filem 'Hantu Puncak Datang Bulan'


JAKARTA: Filem seram terbaru di Indonesia berjudul Hantu Puncak Datang Bulan, yang tayangannya bermula kelmarin, dikecam hebat oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI).

'Saya menonton filem seram berkenaan. Ia mengandungi babak seks, keganasan dan pemenggalan kepala,' kata seorang pegawai MUI, Encik Amirsyah Tambunan, kepada AFP.

'Kami menuntut Lembaga Sensor Filem (LSF) menarik balik filem ini kerana ia lucah dan boleh merosakkan moral,' tegasnya.

Bagaimanapun, Encik Amirsyah berkata MUI tidak mempunyai rancangan mengeluarkan fatwa melarang umat Islam daripada menonton filem berkenaan.

Hantu Puncak Datang Bulan dibintangi kumpulan pop Trio Macan bersama Andi Soraya, Tesa Mariska, Ferly Putra, Rizky Mocil serta Andreano Phillips. Ia dikeluarkan oleh K2K Productions.

Bagaimanapun, LSF mendakwa mereka belum menerima sebarang permintaan agar melarang tayangan filem tersebut.

'Memang ada khabar angin (filem itu akan diharamkan). Besar kemungkinan ia satu helah promosi bagi filem berkenaan,' kata anggota LSF, Encik Firman Bintang, seperti ditukil akhbar The Jakarta Globe.

September lalu, para pemimpin Islam di Indonesia mengutuk rancangan pelakon lucah Jepun, Cik Maria Ozawa, 23 tahun, yang lebih dikenali sebagai Miyabi, melawat Indonesia untuk penggambaran filem komedi mengenai dirinya berjudul Menculik Miyabi.

Akibatnya, pelakon tersebut telah menangguhkan lawatannya itu.

Pada Disember lalu, filem Australia berjudul Balibo diharamkan kerana ia mengisahkan pembunuhan lima wartawan Australia oleh askar Indonesia di Timor Timur pada 1975.

Pemerintah Indonesia mendakwa wartawan berkenaan mati akibat terkena tembakan peluru sesat.

Kerajaan Pakatan Pulau Pinang Perlu Dipertahankan


Peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bagi tahun ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati oleh institusi Islam di negeri itu selama ini, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

Menurutnya, pada 2008, peruntukan untuk hal-ehwal Islam oleh Kerajaan BN hanya RM12.5 juta.

“Namun dalam pembentangan belanjawan tahun 2008 kerajaan Pakatan telah menambahnya kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan belanjawan 2009, peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010.

“Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang bertajuk 'Pulau Pinang Maju, umat Islam dan Melayu terbela di bawah Pakatan'.

Di samping itu, katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya menunjukan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Idris mendakwa, walaupun BN cuba menggambarkan bahawa Pakatan tidak mampu mentadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat dapat melihat sendiri cekapnya pemerintahan di bawah Pakatan.

“Pada 2007, kerajaan BN mensasarkan belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada Pakatan, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Bagi belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta,” tambahnya.

Kontraktor Melayu tak diabaikan

Menurut Idris lagi, sepanjang pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kontraktor Melayu juga tidak diabaikan

“Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar.

“Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga.

“Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

“Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja,” kata Idris.

Pada tahun yang sama, tambahnya, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Menurutnya, peningkatan yang ketara ini membuktikan kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain.

“Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

“Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihanraya lalu,” tambahnya.

Idris berkata, Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri.

“PAS berharap akan kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat di negeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang,” tambahnya.

Skandal: Kapten England Dipecat


LONDON 6 Feb. - John Terry dilucutkan sebagai ketua pasukan England kerana menjalinkan hubungan sulit dengan bekas teman wanita rakan sepasukan dalam skuad England, Wayne Bridge.

Keputusan itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas Terry mengadakan pertemuan dengan jurulatih, Fabio Capello di ibu pejabat FA sebentar tadi.

Capello dalam satu kenyataan berkata: “Selepas berfikir panjang, saya memutuskan tindakan terbaik adalah dengan melucutkan jawatan kapten daripada John Terry.

“Sebagai ketua pasukan, John Terry sepatutnya menunjukkan sikap yang positif. Bagaimanapun saya perlu mempertimbangkan tindakan terbaik untuk pasukan England.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.