KM PP Menjawab Tohmahan Kawan dan Lawan


Muslihat untuk cemar Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berjaya

DI SEBALIK tekanan dan kecaman terhadap kepimpinannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap tenang dan ceria. Beliau baru sahaja tiba dari kunjungan rasmi ke Korea Selatan, terus bergegas ke pejabatnya untuk ditemubual.

Beliau dilabel chauvanis, komunis, fikiran berbahaya dan menindas orang Melayu. Mottonya untuk mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, juga dipersendakan musuh politiknya.
Semuanya dijawab dengan tenang, tepat dan padat. Ikuti bahagian pertama temubual wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, IZWAN ABDUL HALIM serta SABRI SAID menemui beliau di Pejabat Ketua Menteri, di Bangunan Komtar pada jam 8.30 malam, 3 Februari 2010.

Harakah: Sekarang ini kepimpinan saudara selaku Ketua Menteri hebat dipertikaikan, saudara dihadapkan dengan kritikan keras daripada parti rakan, apa respons saudara?

Lim Guan Eng : Pertamanya, saya memang begitu menghormati rakan-rakan Pakatan Rakyat. Penganugerahan Dato' Seri kepada Dr Wan Azizah Ismail, ketika itu beliau ketua pembangkang, juga kepada (Allahyarham) Dato’ Hamdan Abdul Rahman (bekas Adun Permatang Pasir) dan gelaran Dato' Seri kepada Dato' Zahrain Hashim, kerana beliau ketika itu Pengerusi KeADILan Pinang, ada tanda penghormatan.

Ini menunjukkan kerajaan negeri memberi penghormatan dan pengiktirafan sedangkan kita DAP tidak ada mana-mana (anggota) yang dapat. Semua daripada KeADILan dan PAS.

Tetapi untuk sesetengah pemimpin, kalau kita bagi penghormatan, dapat memuaskan hatinya, seketika sahaja. Lepas itu minta lain pula.

Masalah pokoknya berpunca kerana, saya tidak mahu atas desakan pihak tertentu meluluskan cadangan daripada syarikat yang dipengerusikan Zahrain meluluskan satu tender penswastaan projek kelab golf kepada sebuah syarikat dengan modal berbayar RM2.

Tentulah apabila diadakan open tender dia cakap hanya satu syarikat yang masuk tender, sungguhpun dia ada siarkan iklankan dalam The Starlah. Tapi tahulah iklan kecil, tidak semua perhatikan.

Kalau ada ikut prosedur yang tetap itu kita boleh setuju, Lembaga Pengarah boleh setuju. Selepas saya tidak mahu luluskan.

Ini membawa keretakan pertama, dan mulai selepas itu saya rasa susahlah untuk berbincang. Kalau berbincang, minta ini dan itu.

Saya menolak kerana, dia tidak memenuhi prinsip CAT iaitu Cekap, Akauntable dan Telus. Bila ini dipohon, ia tidak memenuhi prinsip CAT. Perkara-perkara yang tidak memenuhi prinsip CAT, saya susah hendak layan.

Saya tegaskan kerana prinsip CAT ini, kita bawa banyak perubahan kepada Pulau Pinang.

Dengan CAT ini, apakah pentadbiran yang mengutamakan ketelusan ia berjaya dilaksanakan?

Kita mendapat kepujian daripada Transparency International iaitu kerajaan negeri pertama yang dapat kepujian international.

Kita berjaya menjimatkan banyak wang, anggaran defisit 2008 sebanyak RM35 juta kita tukar menjadi lebihan RM88 juta, iaitu sejarah terbesar dalam rekod Pulau Pinang.

(Tahun) 2009 anggaran defisit RM40 juta, kita tukar menjadi lebihan RM77 juta. Kita akan capai RM92 juta, jika tidak kerana satu kes penyelewengan tanah (oleh) Barisan Nasional, kerajaan negeri terpaksa bayar RM14.7 juta. Itu kes penyelewengan tanah.

Kalau tidak kerana RM14.7 juta ini sepatutnya lebihan kita sudah RM92 juta.

Jadi, CAT ini berjaya kerana kita tegas untuk menegakkan prinsip tender terbuka, prinsip berhemah, prinsip bersih, prinsip cekap, akauntable dan telus.

Bila diminta luluskan tender kepada syarikat RM2 ini, kalau kita lulus, tak ada bezanya dengan BN. Selalu kita cakap dia bagi kepada syarikat RM2, jadi apa bezanya kita dengan BN? Jadi saya cakap tak boleh, lebih-lebih lagi syarikat ini tidak ada track record.

Mestilah kena beri kepada syarikat yang ada track record yang ada latar belakang jelas, ada pengalaman, ada satu sejarah yang cukup. Tapi syarikat ini hanya ditubuhkan pada 28 September 2008. Tender ini dipanggil Disember, jadi ini jelas untuk tujuan membida tender ini.

Jadi kita rasa kurang senang hatilah, sebab itu Lembaga Pengarah tidak luluskan. Itulah yang saya rasa menimbulkan perasaan tidak puas hati di sesetengah pihak. Saya rasa itu adalah personal.

Bagaimana dengan dakwaan Ahli Parlimen Nibong Tebal?

Ini kes yang sama. Hal personal. Kes Ahli Parlimen Nibong Tebal kerana rumah kedai punya hal. Jeff Oii (Ketua Staff pejabat KM) sudah minta beliau menjawab.

Dia mahu minta rumah kedai PBT untuk bapa saudara dia. Saya kata ikutlah tender terbuka, jadi lepas itu tak puas hati tulis surat, jadi saya rasa susahlah. Saya cakap kalau kita beri satu kali, kali kedua mesti minta lagi.

Kita tak boleh stop. Jadi kalau kita tidak mahu ia diteruskan, jangan start. Itu prinsip saya. Kalau kerana prinsip ini saya terpaksa menghadapi segala-galanya, saya rela, itu saya rasa satu cabaran dan saya rasa kita semua akan dapat hikmah dari CAT dan mana yang batil, mana yang benar.

Itu yang penting. Saya rasa kita ikut jalan yang benar. Kalau menghadapi apa-apa pun sekurang-kurangnya kita tahu kita buat yang benar. Macam dulu kita pun hadapi banyak cabaran macam saya masuk penjara kerana itu kes keluarga Melayu (membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik).

Itu pun saya terpaksa menghadapi banyak masalah peribadi. Tapi kita rasa kita serius kerana kita benar. Kalau kita masuk dalam penjara kerana kita benar bila kita jadi Ketua Menteri kita pun amalkan prinsip yang sama, tak boleh ada double standard.

Sebab itu kita hendak ikut teladan yang ditunjuk Khalifah Umar Abdul Aziz, kita bukan nak jadi khalifah (ketawa.

Saya pun tidak tahu macam mana mereka boleh cakap saya hendak jadi khalifah (ketawa). Mereka sudah pusing cakap saya.

Saya cakap saya nak belajar daripada Khalifah Umar Abdul Aziz. jadi, mereka cakap saya nak jadi khalifah, mana pula saya nak jadi khalifah, saya tak layak jadi khalifah. Saya cakap saya mahu belajar saja.

Saya masih ingat bila saya cakap dekat Parlimen, Umno hentam saya, kata saya kurang ajar kerana hendak belajar dari Umar Abdul Aziz.

Kalau kerana itu saya digelar kurang ajar tidak mengapalah. Jadi yang utamanya, perkara-perkara yang tidak selaras, tidak selari dengan prinsip CAT, saya rasa kita tak boleh layan.

Kita buat CAT ini kerana ia berteraskan prinsip amar makruf nahi mungkar. Tak kan dia tak faham? Kalau cakap CAT tidak faham, amar makruf nahi mungkar mesti faham. Kalau tak faham, saya pun tidak boleh buat apa, saya hanya boleh minta maaf dan kita nak teruskan sahaja.

Isu peribadi Zahrain dengan Nibong Tebal ini sudah transfer sebagai masalah antara DAP dengan KeADILan?

Masalahnya mereka ini dua-dua Ahli Parlimen. Tak ada satu Dun pun yang boleh menjejaskan kerajaan negeri.

Jadi hasrat dia nak menggugat Kerajaan Pulau Pinang, tetapi saya rasa muslihat mereka tak akan berjaya dan berhasil kerana tidak ada seorang Dun pun yang keluar setakat inilah.

Saya percaya tidak ada yang akan keluar dan semua berdiri bersama Pakatan Rakyat.

Kita pun tahu masalah mereka adalah masalah dalaman. Kebanyakan ialah masalah dalaman.

Baik Tan mahupun Zahrain. Dia frust bukan sahaja dengan saya, frust juga yang saya ingat yang lebih utama ialah dia sebagai Pengerusi Pulalu Pinang. Ini boleh cakap secara analisislah. Ini isu dalaman parti KeADILan saya tidak mahu campur.

Kerajaan pimpinan saudara didakwa merobohkan gerai Melayu. Apa penjelasan?

Sekarang kita hendak pegang kepada prinsip bersih, prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau kita nak pastikan Pulau Pinang bersih, kita mesti pastikan undang-undang dipatuhi.

Ini kita buat secara berperingkatlah. Ini saya serahkan kepada Chow untuk uruskan kerana beliau Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan saya juga minta Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri 1) untuk berikan bantuan.

Kedua-dua Exco mereka tegas. Kita cakap kalau kita hendak bersihkan Pulau Pinang, kita mesti pastikan semua patuhi undang-undang.

Saya tidak tahu secara detail tapi saya sokong usaha ahli-ahli Exco saya, baik Chow baik Mansor. Kita lihat tindakan diambil penguatkuasa baik MDBP, MPSP mahupun Pejabat Daerah.

Yang kena ini adalah datangnya dari semua bangsa. Malah saya difahamkan penggerai Cina lebih ramai dari penggerai Melayu yang dikenakan tindakan.

Mana boleh dakwa yang kena roboh gerai orang Melayu sahaja? Mereka kuasai media, mereka boleh mainkan bahawa kita hanya bertindak ke atas Melayu, sedangkan yang kita ambil tindakan kepada semua.

Dan biasanya bila kita ambil tindakan kepada penggerai bukan Melayu, surat khabar Melayu tidak akan siarkan. Kita ambil tindakan ke atas penggerai Melayu, hanya surat khabar Melayu siarkan dan surat khabar bukan Melayu tidak siarkan.

Jadi, orang Melayu ingat kita tidak ambil tindakan kepada bukan Melayu dan bukan Melayu ingat kita tidak ambil tindakan kepada penggerai Melayu. Tapi kita ambil tindakan ke atas semua. Angka-angka ini boleh buktikan. Kita cakap atas fakta. Kita buat secara sama rata. Jadi ini adalah satu fitnah, satu tohmahan yang amat jahat dan mungkar sekali.

Bagaimana dalam soal peruntukan dan pembelaan terhadap umat Islam, Umno kata DAP menindas, benarkah?

Hal ehwal Islam, mereka selalu main saya bercakap saya hanya boleh bercakap amar makruf nahi mungkar.

Anda pun tahu, kita buat banyak yang baru, macam itu para huffaz di mana kita berikan mereka pengiktirafan. Ini yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan lama.

Peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), dulu tak pernah bagi, kita bagi, ini pertama kali kita usahakan dan kita martabatkan para huffaz. Kalau saya, saya memang kagum atas kecemerlangan daripada mana-mana pihak. Baik dari sains, matematik, mahupun agama.

Yang penting sekali hafal, itu kebolehan yang saya kagum, kerana saya sendiri tidak boleh hafal. Ini saya hafal satu muka payah, (jadi) boleh hafal 6,666 ayat, saya
tabik!

Kita mesti memartabatkan mereka. Jadi yang kita buat ini BN tidak pernah buat, maknanya kita martabatkan para cendikiawan kita.

Saya dapat respon dari mereka yang mengaji Quran ini, mereka sangat terharu, sebelum ini tak dapat perhatian, tapi daripada Kerajaan Pakatan Rakyat dapat perhatian.

Kadang-kadang kita cakap kita usaha, ini bukan wang, wang kita bagilah, tetapi untuk mereka bukan wang. Kalau untuk wang mereka tidak akan mengaji Quran, mereka akan buat bisnes, itu bukan wang itu pengiktirafan bahawa mereka diiktiraf sebagai sumber dan satu elemen yang penting ke atas pembinaan sebuah masyarakat madani dan masyarakat yang bertakwa.

Dari segi peruntukan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat kita telah beri peruntukan lebih banyak daripada Barisan Nasional. Tahun 2008 iaitu tahun sebelum kecundangnya kawan baik saya, 2008 daripada belanjawan BN ialah RM12.5 juta.

Tahun 2009, belanjawan pertama Pakatan Rakyat naik kepada RM20.5 juta. Tahun ini sungguhpun ada kekangan ekonomi, kita naikkan lagi kepada RM24.3 juta. Sekarang hampir sekali ganda lebih besar daripada tahun 2008 di bawah BN.

Kedua, kempen membasmi kemiskinan tegar, ini selari dengan ajaran Islam iaitu zakat. Bantu yang daif, kumpulan asnaf.

Kita buat dengan bantu miskin tegar, 90 peratus orang Islam. Dalam satu tahun kita basmi miskin tegar yang tidak dapat dibuat BN dalam 51 tahun.

Pertama kalinya kita cakap semua keluarga di Pulau Pinang mesti dapat selepas semua tambahan semua bantuan, mesti dapat RM500. kalau dapat RM300, kita akan top-up RM200, kerajaan negeri bayar.

Jadi itu BN kata tidak logik, macam mana anda dapat kawal solusi you dapat bagi RM500. Ini kita pergi siasat. Kita dapat berapa bantuan yang telah diperolehi atau gaji, kita beri. Tapi ada keluarga tidak mahu terima, maruah. Mereka mahu terus bekerja.

Bukan kerana politik?

Bukan, bukan, dia tidak mahu angkat dia cakap terima kasih kerana dia ada maruah, dia bergantung kepada diri sendiri. Itu kita cuba bantu cara lain. Tapi yang lain kita bagi sampai genap RM500. Kita selalu cabar BN, oklah mereka kata ada keluarga tercicir, saya tak cakap tidak ada tercicir, mungkin kita punya kajian ada tercicir.

Tak apalah, you bagi sayalah maklumat (itu), kita siasat kalau benar kita akan bayar.

Kita tidak kenal tentang politik, warna kulit ataupun latar belakang, kalau dia miskin pasti kita akan bayar, tetapi mereka tidak dapat berikan (maklumat).

Kalau bagi tahu kita, kita akan segera siasat, kalau benar, kita akan top-up setiap bulan. Bila mereka (BN) tidak puas hati, mereka cakap tidak boleh bagi wang macam ini.

Mana boleh bagi wang, you bagi wang tak bagus. Tak boleh bagi ikan, mesti bagi jaring atau jala. Bagilah jala, jangan bagi ikan. Jadi saya jawab, betul kalau bagi jala dia dapat berdikari itu betul. Tapi kalau orang itu miskin sangat sampai dia lapar mana dia ada tenaga untuk tangkap ikan, bagilah dia makan dulu barulah dia ada tenaga untuk tangkap ikan. Itulah yang kita mesti buat untuk golongan yang miskin, asnaf dan miskin tegar. Bagilah ikan dan dalam masa yang sama bagilah jala. (ketawa)

Apakah BN gagal memahami masalah orang miskin selama 51 tahun memerintah?

Tak faham kerana (mereka) ini tidak pernah susah. Boleh pergi holiday dekat London, Disneyland, (hingga) sudah lupa macam mana jadi susah. Bukan macam kita, kita datang dari keadaan susah, kita tahu itu linangan air mata yang betul-betul teruk sekali.

Itu yang kita hendak beri bantuan. Tentang tadi itu gerai, kita selalu beri alternatif. Yang kita roboh setelah dia tidak mahu terima alternatif yang ditawarkan.

Baik Cina, baik Melayu, baik India, kita selalu beri notis, beri alternatif. Ini sudah lapan tahun itu kes gerai Do Re Mi dan ada alternatif. Macam hari itu dalam akhbar ada cakap satu gerai itu gerai kosong.

Bila saya minta Mansor pergi memeriksa dan sah gerai kosong.Banyak isu yang direka-rekakan.

Jadi dakwaan kerajaan negeri menganiaya peniaga gerai tidak wujud?

Selalu kita cakap dalam ajaran Islam, jangan fitnah sama orang, tapi dia boleh fitnah macam ni. Kalau kita berdasarkan asas, ada fakta, kita serius selesaikan, tapi janganlah sampai buat fitnah sama orang.

Kerajaan Negeri tidak akan aniayai mana-mana pihak, bodohlah kita aniayai mana-mana pihak, macam mana hendak menang. Tetapi bila kita nak bawa perubahan, perubahan ialah untuk membawa kebaikan.

Jadi kalau kita nak Pulau Pinang bertaraf antarabangsa lebih teratur, kita mesti buat macam ini. Saya pergi mana-mana, saya lihat semua teratur.

Saya baru pergi Iran di Esfahan, mana ada gerai berselerak, semua teratur. Jadi, kita pun hendak belajar seperti itu. Kita cuba ada sistem seperti itu. Secara detail saya terus terang saya tak berapa tahu, itu saya serahkan kepada Chow atau Mansor.

Tapi ini kes bukan baru, macam baru ni ada penggerai yang kita tolak gerai dia, dia mahu saman kita, nak lapor SPRM. Dia sudah nasib baik kita tidak lapor sama dia, dia pula mau lapor sama kita.

Ini penggerai Cina, jadi di sini Cina pun kena, Melayu pun kena, India pun kena.

Rakyat hendak lihat perubahan, di sini mereka boleh bezakan kita hendak daulatkan undang-undang, itu sahaja, tak lebih dari itu.

Serius saya cakap kita telah berikan alternatif lain dan mereka yang tidak mahu terima. Kalau orang lain terima kenapa dia tidak boleh terima.

Saudara tidak bimbang imej saudara diserang seperti sekarang?

Saya rasa, jika kita ikut dasar yang betul. Saya yakin dengan rakyat Pulau Pinang, mereka tidak akan dipengaruhi oleh ajaran atau pandangan-pandangan sesat macam ini.

(Bersambung)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.