Jom Infaq!!!

Jom Infaq!!!

TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Pertemuan Sejam Presiden MCA dengan Kerajaan Kelantan Menemui Jalan Gagal : Isu Judi Haram, MCA Akan Bawa Ke Mahkamah

KOTA BAHARU: MCA tetap bertegas membantah pengharaman sebarang bentuk perjudian di Kelantan termasuk tiket loteri dan bercadang membawa perkara itu ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ini kerana keputusan kerajaan PAS Kelantan mengharamkan perjudian itu menyalahi peruntukan perlembagaan yang turut menjamin hak-hak bukan Islam.

"MCA bukan menyokong perjudian tetapi apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan mengharamkan judi jelas telah menyalahi peruntukan Perlembagaan yang menjamin hak-hak bukan Islam dalam soal ini.

"Kami (MCA) tidak dapat menerima penjelasan pemimpin PAS Kelantan dan selepas ini kami akan berbincang di peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin kerajaan Kelantan di sini, Ahad.

Dr Chua mengetuai delegasi MCA yang terdiri daripada pimpinan parti termasuk Naib Presiden Wee Jeck Seng dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong.

Kerajaan Kelantan pula diwakili Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Ahmad Zaki Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Takiyuddin Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Annuar Tan Abdullah.

Sambil menegaskan MCA menghormati hak orang Islam, Dr Chua berkata cadangan membawa isu itu ke mahkamah bersandarkan kepada penafian hak bukan Islam seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang persekutuan.

Beliau turut hairan kerana selain Pengerusi DAP Karpal Singh, pemimpin pembangkang yang lain mengambil sikap berdiam diri terhadap isu tersebut.

Sementara itu, Takiyuddin ketika ditemui berkata pertemuan selama hampir sejam tersebut bukan sesi dialog, tetapi membolehkan kerajaan Kelantan memjelaskan isu perjudian yang menjadi dasar PAS sejak memerintah pada 1990 lagi.

"Kita mengalu-alukan pertemuan dan perbincangan seperti ini yang memberikan ruang kepada kita untuk memperjelaskan isu ini dengan lebih terperinci lagi," katanya.

Beliau berkata isu pengharaman judi itu bukan perkara baru sebaliknya telah dibuat sejak 1990 selepas mengadakan perbincangan dengan semua kaum di Kelantan.

"Dalam pertemuan itu semua kaum bersetuju perjudian sesuatu yang tidak digalakkan dalam agama dan berdasarkan itu kita telah mengharamkan perjudian ini," katanya.

Katanya kerajaan Kelantan juga berpegang kepada keputusan untuk tidak mengkaji semula pengharaman itu.

-BERNAMA

Pembinaan Jambatan Gantung Sepanjang 130 Meter Bernilai RM220,000 Runtuh Sebelum Dinikmati Penduduk Di Sungai Galas

GUA MUSANG – Sebuah jambatan gantung yang hampir siap dibina merentangi Sungai Galas di Kampung Pulai di sini runtuh malam tadi dipercayai akibat hujan lebat.

Jambatan sepanjang 130 meter bernilai RM220,000 itu dipercayai runtuh pada awal tengah malam tadi tetapi hanya disedari penduduk kampung kira-kira jam 7 pagi ini.

Pengerusi MCA bahagian Gua Musang Chee Sien Chen berkata kebanyakan penduduk yang menunggu pembinaan jambatan itu siap, terkejut apabila melihat ia telah runtuh.

"Mujur jambatan itu belum digunakan penduduk, jika tidak mungkin ada yang cedera.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada stuktur pembinaannya yang tidak kuat dan pernah menjadi pertikaian penduduk akhir Februari tahun lepas kerana bimbang akan runtuh, “ katanya kepada pemberita yang melawat jambatan itu hari ini.

Turut melawat jambatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusoff.

Pengerusi Tokong Pulai, Lew Kew Bee pula berkata, pihaknya mempertikai pembinaan jambatan gantung berkenaan yang bukan sahaja terlalu mahal tetapi dibuat secara mudah hingga terdedah kepada kejadian runtuh itu.

"Penduduk pernah mengadakan perjumpaan dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail bagi membincangkan perkara itu, tetapi dimaklumkan pembinaannya mengikut prosedur.

"Kita diberitahu struktur pembinaan ikut pakar yang pernah berbuat demikian dan dunia juga ikut cara berkenaan. Kini apa telah jadi apabila runtuh sebelum siap,” katanya.

- Bernama

Virus Adeno Serang Pulapol PD Pula, 8 Dimasukkan Ke Hospital

SEREMBAN 3 April – Seramai lapan orang pelatih konstabel di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Port Dickson yang berpusat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Teluk Kemang dekat sini disyaki dijangkiti virus Adeno setelah menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan seperti demam panas.

Berikutan itu, kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Port Dickson sejak semalam untuk menerima rawatan lanjut selain mengesahkan sama ada mereka benar-benar dijangkiti virus itu yang boleh membawa maut.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Zailan Adnan memberitahu, kesahihan bahawa kesemua pelatih tersebut dijangkiti virus Adeno belum dapat disahkan.

“Pihak kami masih menjalankan ujian diagnosis secara keseluruhan dan seterusnya menunggu keputusan ujian makmal sebelum dapat mengesahkannya.

“Kesemua lapan pesakit itu kini dirawat sebagai kes influenza (ILI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian tiga pelatih polis di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur akibat jangkitan virus Adeno.

Seramai 1,000 pelatih lelaki yang mendaftar sebagai konstabel sedang menjalani latihan di kem Pusasda sejak awal Januari lalu.

- Utusan

Al_fatihah : Pelajar Tahun Satu Meninggal Dunia Di HSB didakwa Dipukul Guru Hingga Koma

ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis, sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada 8.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.
Dalam kejadian 7 malam itu, seorang guru lelaki berumur 26 tahun dikatakan memukul murid terbabit selama hampir dua jam sehingga pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya, berkata suspek yang juga penyelia asrama sekolah berkenaan ditahan pada jam 10 malam tadi.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada jam 1.40 pagi kelmarin.

"Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas itu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata, dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

"Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami," katanya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

"Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu," katanya.

Saiful Sopfidee berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada jam 8 pagi kelmarin.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang kelmarin. - BERNAMA

Koh Tsu Koon Sangkal Laporan Bernama : PM Najib Tidak Yakin Untuk Rampas Kembali Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 3 April: Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan rampas kembali Pulau Pinang sebagaimana yang dilaporkan Bernama.

Menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan sebuah laman web, Koh berkata, Najib tidak pernah seyakin itu ketika bercakap kepada media di Pulau Pinang semalam.

"PM sangat berhati-hati dengan kenyataannya. Dia kata, dia lawat lima kawasan. Rakyat telah memberikan sambutan yang hangat. Jika sambutan hangat boleh diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, jadi BN bolehlah ambil balik beberapa kerusi," jelas Koh.

Namun, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu., "PM tidak pernah kata mengambil semula kerajaan negeri kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam. Mungkin Bernama salah lapor (kenyataan PM)."

Koh yang bersama Najib di Pulau Pinang semalam berkata demikian kepada media selepas melancar sebuah buku awal hari ini.

Pada asalnya, Koh ketika ditanya kenyataan PM itu menyalahkan laman web berkenaan, namun selepas itu diberitahu ia laporan media rasmi kerajaan iaitu Bernama.

Laporan Bernama

Dalam laporanya sebelum ini, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini (2 April) banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.

Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.

Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.

Takziah: Penulis Lirik Seri Bayu Kembali Ke Rahmatullah, Pernah Hasilkan Lirik Untuk Anita Sarawak

PETALING JAYA: Penulis lirik Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 47, (gambar) meninggal dunia di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan akibat penyakit saraf.

Seri Bayu meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu selepas dimasukkan ke hospital itu Jumaat.

Anak angkatnya Sarina Abd Ghani, 29, yang dihubungi mStar Online memberitahu Allahyarham semakin tenat sejak beberapa hari lalu dan di masukkan ke hospital apabila keadaannya semakin kritikal.

"Semalam (Jumaat) keadaan dia semakin teruk menyebabkan kami terpaksa membawanya ke hospital," katanya.

Menurut Sarina, keluarga termasuk ibu bekas isteri serta anak-anaknya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan hal berkenaan.

Katanya jenazah dijadual akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 12 Tok Pelanduk, Port Dickson selepas solat Zohor.

Seri Bayu yang pernah menghasilkan lirik Cintaku Muzik Di Hatimu nyanyian Anita Sarawak pernah berkahwin sebelum ini termasuk dengan penyanyi Erema.

Bagaimanapun Erema menuntut cerai daripadanya pada tahun 2008 dan kes berkenaan masih lagi berjalan di mahkamah berikutan Seri Bayu enggan melepaskan isterinya itu.

Sebalik Cerita: Malu & Cemarkan Nama Baik Felcra Mandor Ladang Dipecat

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang mandor ladang di Felcra Seberang Perak II diberhentikan kerja serta-merta berkuat kuasa 30 Mac lalu kerana didakwa memalukan dan mencemarkan nama baik Felcra.

Ishak Saari dikenakan tindakan tersebut sehari selepas beliau menyertai rombongan menyerahkan memorandum berkaitan masalah dan tuntutan warga Felcra di Perak kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik di Parlimen.

Ishak telah berkhidmat di Felcra berkenaan kira-kira empat tahun, bermula Februari 2007.

Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman, Ishak dipecat oleh pengurus kewangan Felcra tersebut, Rodzi Mohd Salleh setelah mendapat arahan daripada Pengurus Felcra Besar Felcra Seberang Perak, Mutalib Tais merangkap Timbalan Pengarah Felcra Negeri Perak.

Beliau memberitahu, selain tindakan memecat Ishak, beberapa peserta Felcra yang dilihat lantang menyuarakan permasalahan Felcra telah diberi amaran akan menerima nasib yang sama seperti Ishak.

Mengulas tindakan pihak Felcra tersebut, Mazlan menyifatkan janji Hassan dalam pertemuan 29 Mac lalu sebagai satu pendustaan kepada peserta Felcra.

Hassan dalam pertemuan tersebut berjanji akan memanjangkan tuntutan peserta Felcra kepada Menteri dan 'gembira' dengan pendekatan dialog yang dipilih mereka.

"Saya cukup kesal dengan tindakan yang diambil terhadap peserta Felcra tanpa alasan yang kukuh dan apa yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri (Hassan) itu satu pendustaan semata-mata sebaliknya tekanan dikenakan kepada peserta Felcra termasuk pegawai-pegawai yang berkhidmat turut diberi amaran keras," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pemecatan ini juga tegaskan menggambarkan rakyat langsung tidak diberi peluang untuk menyuarakan hak mereka kepada pihak atasan.

"Felcra semakin melampau. Bukan nak menyelesaikan masalah yang diajukan kepada mereka tetapi mengugut peserta.

"Pintu untuk rakyat menyuarakan masalah mereka kepada Menteri, Suhakam, tertutup rapat. Ini sangat tidak demokrasi," tegasnya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya sedang berunding dengan peguam untuk meneliti perkara tersebut bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Felcra.

Satu pertemuan dengan peserta Felcra seluruh Perak juga katanya akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan kedudukan perkara tersebut.

Beliau turut mengulangi desakan agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal dan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menangani permasalahan warga Felcra secara profesional.

"Saya minta menteri dan pengerusi Felcra mengotakan janji supaya sebarang isu hendaklah ditangani dengan profesional bukan mengenakan tindakan sewenang-wenangnya," katanya.

Pengarah dan Pelawak Terkenal, A.R. Badul Nafikan dia terlibat Kes Cabul

Badul nafikan terlibat kes cabul

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelawak terkenal, A.R. Badul menafikan dia terlibat dengan laporan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang mendakwa menjadi mangsa cabul baru-baru ini.

Badul atau nama sebenarnya, Armaya Arman Ramlie, 63, ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam berkata, dia tidak tahu dirinya dikaitkan dengan perbuatan tidak bermoral itu seperti yang dilaporkan akhbar dan laman portal kelmarin.

“Saya belum membaca akhbar lagi. Saya tak tahu hal (cabul) ini,” katanya yang pernah membintangi filem Si Badul (1978), Panglima Badul (1979) selain sitkom Puteri di TV3.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.