KUALA LUMPUR, 3 April: Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan rampas kembali Pulau Pinang sebagaimana yang dilaporkan Bernama.
Menjelaskan laporan Bernama yang disiarkan sebuah laman web, Koh berkata, Najib tidak pernah seyakin itu ketika bercakap kepada media di Pulau Pinang semalam.
"PM sangat berhati-hati dengan kenyataannya. Dia kata, dia lawat lima kawasan. Rakyat telah memberikan sambutan yang hangat. Jika sambutan hangat boleh diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, jadi BN bolehlah ambil balik beberapa kerusi," jelas Koh.
Namun, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu., "PM tidak pernah kata mengambil semula kerajaan negeri kerana ia memerlukan kajian lebih mendalam. Mungkin Bernama salah lapor (kenyataan PM)."
Koh yang bersama Najib di Pulau Pinang semalam berkata demikian kepada media selepas melancar sebuah buku awal hari ini.
Pada asalnya, Koh ketika ditanya kenyataan PM itu menyalahkan laman web berkenaan, namun selepas itu diberitahu ia laporan media rasmi kerajaan iaitu Bernama.
Laporan Bernama
Dalam laporanya sebelum ini, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.
Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini (2 April) banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.
"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.
Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.
Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.
0 comments:
Post a Comment