Exco Selangor Tangkap Pencuri Pasir Jam 3 Pagi Berhampiran Selekoh Putrajaya


Penyamun pasir dicekup Exco


PUCHONG – Konon-kononnya bijak apabila melakukan aktiviti mencuri pasir pada awal pagi namun seorang penyamun pasir di Putrajaya dekat sini terpaksa melarikan diri dan meninggalkan lori yang penuh dengan muatan bahan itu di tepi jalan selepas menyedari kenderaannya dikepung Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.

Difahamkan Exco Kerajaan Negeri itu dalam perjalanan pulang dari sebuah program Qiamullail di Sepang menuju ke Puchong sebelum mengesyaki dan mencurigai keadaan lori yang keluar masuk berhampiran selekoh Putrajaya di sini kira-kira jam 3 pagi, baru-baru ini.

Sinar Harian dimaklumkan kenderaan milik Exco itu kemudian menghalang laluan lori itu beberapa meter dari hentian tol Bukit Puchong sebelum pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaan dipandunya.

Yaakob berkata, ketika turun dari kereta dan menuju ke arah tempat duduk bahagian pemandu, individu memandu lori terbabit lari lintang-pukang ke arah kawasan hutan berhampiran dan hilang sekelip mata.

"Lori berkenaan ditinggalkan dengan keadaan enjin masih hidup dan penuh dengan muatan pasir yang kita percaya diambil di kawasan tidak dikeluarkan permit di kawasan Dengkil.

"Satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu dan kenderaan terbabit disita dan kini diletakkan di bangunan SUK,"katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kata Yaakob, perkara itu jelas menunjukkan Kerajaan Negeri serius dalam isu kecurian pasir dan tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pesalahnya.

"Ia sejajar dengan langkah Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran kepada mana-mana orang awam yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya mereka yang bersalah.

"Seperti dimaklumkan mereka yang berjaya menahan lori akan dikurniakan ganjaran RM2,500 manakala mesin dan jentera diberi ganjaran RM5,000,"katanya.

Yaakob berkata, pihaknya mengakui memang wujud aktiviti kecurian pasir dan tindakan mengawalnya diambil secara keseluruhan.

"Macam jenayah, meskipun polis sudah melakukan usaha mengawalnya tetap ada berlaku jenayah.

"Ia sama macam kita, yang besar-besar sudah dikawal dan kini tumpuan kepada jenayah kecil,"katanya.

"UMNO Sentiasa Sibuk Meminta Pertolongan Dari PAS.. Tenyata UMNO Lemah & Kritikal" - TGNA

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.

“Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS. Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.

“PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini (16 Julai).

Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS, beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.

Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.

Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya

"Kita sedang Bahaskan Isu Yang Penting...." YDP Dewan Negara Berang - Wakil kementerian 'hilang'.

Kekosongan kerusi yang sepatutnya dipenuhi wakil dari kementerian di Dewan Negara hari ini mendapat perhatian Yang Dipertua, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang mahu wakil kerajaan berada di dalam dewan itu ketika mesyuarat berlangsung.

"
Saya sudah suruh wakil dari kementerian untuk duduk di dalam dewan. Tapi ini apa? Saya mahu ini direkodkan. Dewan ini adalah dewan yang mulia. Tadi menteri cakap, sekurang-kurangnya timbalan menteri perlu ada dan pegawai-pegawainya perlu ada. Sekarang ini kita bercakap dengan siapa?

"Kita sedang membahaskan isu yang penting. Kalau menteri tidak hadir, timbalan Menteri diminta hadir. Saya hendak tentukan perkara ini tidak akan berlaku lagi," katanya.

Sebelum itu, Senator Datuk Rizuan Abdul Hamid yang sedang membahaskan Rancangan Malaysia Ke-10 meminta supaya kementerian berkaitan mengambil perhatian terhadap cadangan yang dikemukakannya.

Bagaimanapun selepas menyedari bahagian tempat duduk yang diperuntukkan untuk pegawai dari kementerian kosong, Abu Zahar mencelah dan bertanya di mana wakil kementerian terbabit berada.

Jawapan Rizuan bahawa mereka mungkin berada di luar menyebabkan Abu Zahar menegaskan semua wakil kementerian harus berada di dalam dewan ketika persidangan berlangsung.

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir turut bangun mencelah dan memaklumkan kepada persidangan bahawa beliau mendapati cuma seorang timbalan menteri sahaja yang berada di dalam dewan itu.

"Saya sokong Yang DiPertua dan saya hanya nampak seorang sahaja timbalan menteri yang ada," katanya.

Teguran Abu Zahar menyaksikan beberapa wakil kementerian memasuki dewan tersebut selang beberapa minit kemudian.

- Bernama

"Saya sebagai Mufti Takkanlah saya nak membohong.." Benarkah Harussani Tidak Pernah Berbohong???

PUTRAJAYA: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini menafikan dakwaan dua Naib Presiden Pas bahawa kononnya beliau membuat fitnah serta melakukan satu pembohongan berhubung adanya pemimpin Pas dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

"Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu....jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

"Yang penting dia seorang Islam atau tidak...berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya," katanya selepas pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam di sini hari ini.

Kedua-dua Naib Presiden PAS iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar hari ini dilaporkan menuduh Harussani membuat fitnah serta melakukan pembohongan bahawa terdapat pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan UMNO dan PAS.

Mereka dilaporkan sebagai berkata, selama ini pimpinan PAS tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi khususnya di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti supaya menemui Harussani untuk membincangkan isu berkenaan.

Harussani berkata pertemuan itu memang berlaku, walaupun wakil yang datang bertemu dengannya itu bukan dihantar oleh PAS secara rasmi.

Katanya pemimpin PAS yang datang itu bertaraf tinggi dan ada juga pemimpin Umno yang bertaraf tinggi juga datang berjumpa beliau.
"Saya pun tidak faham.. pertemuan itu semata-mata untuk pertahankan Islam dan orang Melayu, kenapa sampai nak tuduh macam-macam dan yang marah sangat kenapa," katanya.

Harussani berkata beliau bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan Islam kerana jika orang Melayu berpecah, Islam juga akan hancur. - BERNAMA

Setiausaha Sulit Kanan Datuk Noh Omar Berbulan Madu Di England Selama 10 Hari

Annahita melangsungkan perkahwinan pada 10 Julai lalu. - Foto oleh RICKY LAI

PETALING JAYA: Pelakon Annahita Bakavoli dan suaminya Datuk Saiful Bahar Datuk Mohd. Arshad berlepas ke England Ahad lalu untuk berbulan madu selama sepuluh hari.

Annahita atau nama sebenarnya Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli ketika dihubungi di sini, Isnin berkata, dia dan suami akan melawat beberapa tempat menarik antaranya Windsor, Stratford Upon Avon, Lake District, Manchester, Oxford dan Cambridge.

Walaupun sudah bergelar Datin, Annahita berkata kehidupannya sama seperti ketika dia belum berkahwin dengan Saiful Bahar.

“Tiada banyak perkara yang berubah selepas berkahwin. Biasa dan sama seperti dahulu,” katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada mStar Onlinedari London.

Tambah wanita itu, dia amat bersyukur kerana suaminya tidak menghalang untuk dia bergiat aktif dalam bidang seni selain lelaki tersebut menjadi pendorong kuat untuk melihat dia berjaya dalam bidang yang dipilih.

Annahita dan Saiful Bahar yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu selamat diijabkabulkan pada 10 Julai lalu di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor.

Dalam majlis itu pengantin perempuan menerima wang hantaran RM21,212.12, mas kahwin RM2,000 serta lima dulang hantaran. Pihak perempuan kemudian membalas tujuh dulang hantaran kepada pengantin lelaki.

Turut hadir dalam majlis pernikahan mereka ialah adinda Sultan Selangor Tengku Panglima Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar dan rakan rapat serta ahli keluarga terdekat.

Kedua-duanya pasangan turut mengadakan majlis resepsi pada 16 Julai lalu di Kuala Lumpur Golf & Country Club.

UMNO Makin Lemah Dan Terdesak Sangat2: Datuk Zaid Ibrahim

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 20 Julai - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim melahirkan rasa kasihan melihat Umno yang begitu lemah atau 'pathetic' dan telah hilang maruah sejak kebelakangan ini sehingga terpaksa merayu bantuan PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya.

"Sebagai seorang bekas ahli parti Umno yang telah lama memberi sumbangan dan khidmat sokongan pada parti tersebut dan walaupun telah dipecat, dimaki hamun setiap masa, saya berasa kasihan melihat Umno yang begitu lemah atau ‘pathetic’ dan hilang maruah sejak kebelakangan ini.

"Setiap hari mereka meminta belas kasihan PAS untuk menyelamatkan mereka. Mereka tidak berhenti-henti bercakap pasal ‘Selamatkanlah Melayu dan Islam’ sedangkan kita semua tahu maksud yang tersirat ialah ‘Selamatkanlah Umno' yang sudah hilang kepercayaan rakyat sambil bergelumang dengan masalah dalaman hari ini.

"Yang terakhir sekali, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak meminta PAS bersetuju bertemu tanpa sebarang syarat. Ini menunjukkan betapa terdesaknya parti itu yang pada suatu masa dahulu disebut oleh Sanusi Junid sebagai parti Melayu Islam yang terbesar di dunia. (Buktinya tidak lain dari bangunan Umno yang tersegah besar itu yang dibiayai oleh Maybank). Ahli-ahli mereka sudah hilang keyakinan sehingga nak buat mesyuarat pun tak dapat dilakukan dengan sempurna. Mereka juga sendiri tertanya-tanya apakah relevannya parti itu pada zaman sekarang ini.

"Mereka tidak mahu menerima hakikatnya bahawa budaya politik dan perjuangan serta cara mereka itu sudah tidak boleh digunapakai lagi pada masa kini. Mereka percaya dengan menggunakan kekerasan, meningkatkan propaganda, dan menakutkan orang Melayu tentang kehilangan hak dan kedudukan mereka dalam negara jika tiada Umno, akan menarik kembali sokongan orang Melayu kepada mereka," kata Zaid yang dipetik blog beliau.

Zaid juga menjelaskan betapa silapnya teori politik Umno dan ada lima perkara, jika ianya dilaksanakan, mungkin boleh memberi sedikit ruang untuk parti itu dihidupkan kembali dan menyelamatkannya pada pilihan raya umum ke-13.

"Pertama, kes terhadap Anwar Ibrahim itu tidak diteruskan;

kedua, memansuhkan ISA dan segala kuasa yang menahan orang politik;

ketiga, bertindak dengan kata sepakat dan secara terhormat dengan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) tentang dasar-dasar utama ekonomi negara dan pelaksanaannya;

keempat, menyerahkan kepada kerajaan negeri kuasa dan hak mereka yang sah dan wajar;

dan terakhir, memberi kebebasan kepada akhbar dan TV supaya berita menjadi sumber maklumat sebenar dan bukan alat dakyah politik.

"Sebagai bonus, ketua-ketua Umno dan yang berjawatan Menteri atau Ketua Menteri yang jelas korup dan sekian lama menyalahgunakan kuasa, diberhentikan serta merta dan digantikan dengan pemimpin yang boleh diterima rakyat.

"Ini adalah cara terhormat untuk sebuah parti sebesar itu berubah atau bertindak untuk memberi nafas dan iltizam baru kepada ahli-ahli mereka yang sekarang ini tenat dan bosan dengan keadaan. Ubahlah cara mereka mentadbir negara ini. Bukan dengan setiap hari menangis dan meminta supaya PAS menyelamatkan mereka," jelasnya lagi.

Walau bagaimanapun, Zaid yakin semua cadangan beliau itu tidak akan dilaksanakan.

"Orang yang dalam ketakutan selalunya tidak dapat berfikir dengan wajar dan inilah keadaan sebenar Parti Keramat ini. Biarlah si lunchai lompat dengan labu-labunya," tegas Zaid lagi.

Sungai Kedah Akan Dimajukan Untuk Jadikan Daya Tarikan Destinasi Pelancongan





Sungai Kedah akan diperindahkan dan usaha yang berterusan akan dijalankan dengan mengambil kira suasana persekitaran yang ada dalam usaha menjadikan sungai ini sebagai salah satu daya tarikan pelancong.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, perbincangan akan dilakukan untuk memastikan bahawa Sungai Kedah mampu menjadi daya tarikan.

“Ia juga bersesuaian di mana kita perlu mengambil kira rezab sungai yang dihuni penduduk sepanjang sungai ini sebelum merobohkan setinggan yang ada di sini,” katanya.

Beliau menjelaskan, perancangan yang lebih tersusun perlu ada dalam usaha mengindahkan Sungai Kedah yang ada sekarang ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan menyusuri sepanjang Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit selama dua jam di sini.

Amiruddin berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam usaha memastikan Sungai Kedah yang bermula dari Sungai Kilat sehingga Ampang Jajar ke Istana Anak Bukit untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan.

“Mana-mana setinggan yang ada dipersisiran sungai berkenaan akan dirobohkan dan kita akan memperindahkan kawasan berkenaan dan kemungkinan, kita akan mencari dana untuk melaksanakan penyelenggaraan projek itu,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama daripada jabatan-jabatan contohnya, Jabatan Bandar dan Desa serta lain-lain jabatan amat diperlukan dalam usaha bersama-sama menjayakan projek itu.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Haji Bashirudin Haji Abdul Jamil berkata, UPEN mempunyai satu program iaitu bengkel bersama penduduk dan pihaknya akan meminta pandangan daripada mereka dan tanpa kerjasama daripada penduduk di tepi-tepi sungai, pelaksanaan itu tidak akan berjaya.

“Kita berharap kawasan di persisiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah,” jelasnya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah, Haji Ab. Qahar Osman berkata, pengusaha restoran perlu diberi kesedaran dalam usaha menjaga persekitaran sungai agar berada dalam keadaan bersih dan indah.

“Kita perlu sentiasa mempunyai program secara bersama terutama dalam aktiviti menjaga persekitaran sungai di mana waktu sekarang musim hujan,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi dan Pengarah Urusan Bina Darul Aman Berhad, Dato’ Jahubar Sathik.

Strategi2 BN Nak Ambik Balik Kedah pada 31 Julai Nanti

ALOR SETAR, 20 Julai — Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menganjurkan konvensyen pada 31 Julai ini bagi membincangkan lapan perkara yang menjadi asas gerakan untuk mengambil semula negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata konvensyen sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu akan dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat negeri dan bahagian.

“(Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi, diikuti lapan sesi bengkel dengan setiap bengkel disertai antara 100 dan 120 peserta.

“Pelbagai isu akan dibincang pada sesi bengkel itu dan setiap peserta boleh menyuarakan idea dan cadangan bagi memantapkan perjalanan dan gerak kerja parti ke arah pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata resolusi daripada konvensyen itu akan menjadi ‘‘blue print’’ terhadap gerak kerja Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Resolusi konvensyen itu akan disalur kepada akar umbi bagi membolehkan mereka memahami tindakan yang telah disusun dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

— Bernama

Anwar akan terus dihumban ke penjara? : Bekas duta

Sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat, adakah beliau akan dinafikan peluang ikat jamin dan terus dihumban ke penjara?

NONESenario itu dikemukakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika, semalam.

"Ketika melawat Malaysia bulan lau, adalah jelas bukan sahaja bagi Anwar tetapi juga pemerhati lain bahawa mereka menjangkakan keputusan bersalah pada Ogos nanti,” tulis Malott.

"Persoalannya sama ada dia akan bebas dengan ikat jamin semasa rayuannya atau terus dihumban ke penjara.”

Menurut Malott pengalamannya berkhidmat di Kuala Lumpur antara 1995 hingga 1998 menyakinkannya bahawa perbicaraan liwat kedua membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu adalah bermotifkan politik.

NONE"Segala yang saya ketahui ketika itu dan sekarang ini, membawa kepada rumusan bahawa perbicaraan ini adalah untuk mengketepikan beliau dari politik,” katanya.

Merujuk kepada kejayaan Anwar pada pilihan raya umum 2008, Malot berhujah perbicaraan liwat sekarang bertujuan melemahkan pakatan pembangkang yang semakin bersemangat.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah,” katanya.

anwar sodomy case newspaper 040210Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebih-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Katanya, ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan terdapat kadar pertumbuhan, namun perangkaaan itu disokong oleh perbelanjaan kerajaan.Tindakan itu menyaksikan hutang negara semakin membesar manakala pelaburan terus asing (FDI) cukup kecil.

Umno Selangor Bersaing Untuk Tonjol Pengaruh .. Siapa lebih Hebat?

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Selepas tewas teruk dalam pilihan raya umum 2008 tanpa diduga, puak-puak dalam Umno Selangor kini bekerja keras untuk menonjolkan pengaruh dan kekuatan masing-masing di kaca mata kepimpinan pusat.

Ahli-ahli Umno di peringkat Umno Selangor Umno berpecah kepada aliran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd. Khir Toyo yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Kedua-dua pemimpin ini bergerak bersendirian untuk menggerakkan usaha memperlekeh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat bagi menarik perhatian Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Ia terbukti dalam isu pasir yang menjadi perhatian sejak awal minggu lalu.

Khir yang sebelum ini dipersalahkan atas kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu dan Noh pula kini anggota Kabinet persekutuan, dikatakan cuba memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai bakal menteri besar jika BN kembali berkuasa di Selangor.

“Kelihatan kedua-dua bersaing satu sama lain untuk mendapatkan perhatian berbanding bekerjasama demi memperkukuh kekuatan Umno Selangor,” kata seorang wakil rakyat peringkat negeri yang enggan namanya didedahkan.

Pemerhati pula berpendapat situasi yang pernah disaksikan di Kelantan selepas ia jatuh ke tangan PAS pada 1990 mula wujud di Selangor sekarang.

Kedua-dua pemimpin itu mencabar pentadbiran kerajaan negeri dengan mendakwa wujudnya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir di Selangor.

Khir dan Noh mendedahkan perkara itu dengan mengadakan sidang media berasingan baru-baru ini.

Bekas menteri besar membawa pemberita ke Kampung Bukit Changgang di Dengkil pada 11 Julai untuk mendedahkan perlombongan pasir haram, yang menurutnya menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun anak syarikat pasir kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd menafikan dakwaan itu.

Dua hari kemudian Noh pula menyewa sebuah helikopter untuk melihat sendiri kawasan perlombongan pasir di kawasan Kuala Langat dan Batang Berjuntai dari udara.

Kedua-dua pemimpin itu menafikan wujudnya keretakan dalam hubungan mereka.

Ketua Penerangan Umno Selangor Umno, Abdul Shukor Idrus juga menafikan wujudnya masalah di antara Noh dan Khir.

“Kedua-dua mereka masih kawan dan tiada sebarang masalah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang ini kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Noh dan Khir bertungkus lumus untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan di arena politik domestik, khususnya di kaca mata Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Noh, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, juga memperoleh sokongan yang dinikmati Khir di kalangan wakil rakyat Umno di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Barisan 19 wakil rakyat itu dikatakan berpecah dua masing-masing kepada Khir dan Noh.

Sementara waki rakyat lama memihak kepada Khir atas alasan menikmati sokongan daripada pentadbirannya sebelum ini, yang baki menunggu pengesahan Najib dalam menentukan bakal kepimpinan negeri Umno-BN.

Mereka melihat Noh akan mengetuai negeri jika BN kembali bertapak di Selangor.

Di sebalik persaingan itu, Umno Selangor juga berhadapan dengan krisis baru ekoran ada usaha meminta bekas menteri Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dari 1986 hingga 1997, agar mengosongkan jawatan ketua Umno Kelana Jaya.

Bekas naib presiden Umno ini yang mesra dikenali sebagai “Mat Tyson” masih memiliki pengaruhnya dan ia telah diperlihatkan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor April lalu.

Bagaimanapun Abdul Shukor mengetepikan tekanan dan teguran beberapa pihak mengenai kedudukan Muhammad dengan berkata, beliau kini dalam peringkat “separa persaraan”, cuma belum lagi membuat pengumuman rasmi.

“Beliau telah pun menurunkan tanggungjawab peringkat bahagian itu kepada timbalannya Datuk Yahya Bujang,” katanya.

Turut mendapat perhatian ramai ialah kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri empat penggal, Datuk Mohamad Satim Diman.

Muncul spekulasi bulan lalu yang mengatakan wakil rakyat Sri Serdang itu akan melepaskan kesemua jawatan politik.

Ketidakhadiran Setiausaha Perhubungan Selangor juga menimbulkan spekulasi dengan sesetengah blog mendakwa beliau sudah tidak berupaya untuk memberi khidmat sebagai pemimpin Umno dan wakil rakyat.

Bagaimanapun minggu lalu, Satim menafikan yang beliau akan melepaskan kesemua jawatannya.

Pun begitu, masih wujud rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai mengenai peranan ahli politik veteran ini, yang mempertahankan kerusinya dengan majoriti 45 undi pada 8 Mac 2008.

“Sebagai ketua BN Puchong beliau tidak pernah memanggil mesyuarat sejak 2008 dan beliau tidak kelihatan di kawasan,” kata Ketua MIC Puchong Awtar Singh.

Awtar, yang satu ketika dulu pembantu khas Satim menambah, ahli politik itu telah gagal dalam tanggungjawab sebagai wakil rakyat pembangkang.

“Beliau telah gagal dalam menyuarakan kelemahan kerajaan Pakatan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Umno Puchong Datuk Radin Mokthar sebelum ini telah menafikan wujudnya masalah dengan kepimpinan Satim, sebaliknya mengendalikan urusan parti seperti biasa.

Akibat Kuat Membebel, Suami Mencekik dan Kerat Mayat Isteri

JAKARTA: Seorang lelaki didakwa mencekik isterinya sehingga mati dan kemudian menghabiskan tempoh sembilan jam mengerat mayatnya dengan pisau dapur kerana mangsa membebel tanpa henti, kata polis di Jawa Barat semalam.

Agung Masloman, ketua detektif Polis Bandung, mengesahkan pihaknya sudah menahan Yaya Sujana, 45, seorang tukang kayu kerana pembunuhan itu dan memotong anggota badan isterinya, Liliana, 40, di rumah mereka di kompleks perumahan Soreang Indah, malam Rabu lalu.

“Kami menahan penjenayah kelmarin jam 5 petang,” kata Agung.

“Dia mengaku membunuh mangsa dan memotong anggota tubuhnya kerana sering memakinya.

“Yaya mencekik Liliana dalam bilik air,” beliau mendakwa.

“Yaya menghabiskan masa sembilan jam mengerat mangsa. Ia dilakukan dengan sebilah pisau dapur dari jam 7 pagi hingga 4.30 petang,” kata Agung.

“Selepas mengerat mayat mangsa, dia meletakkan bahagian mayat mangsa dalam dua kotak kadbod dan tiga baldi sebelum membuangnya di dua tempat di Bandung serta daerah Garut.”

Polis Bandung turut menahan seorang lelaki dikenali sebagai DD yang didakwa membantu Yaya mem-buang bahagian mayat terbabit. – Agensi

Rumah Peguam Kes PI Bala Dipecah Masuk, Komputer riba dilarikan

KUALA LUMPUR. 19 Julai — Rumah salah seorang peguam detektif persendirian P Balasubramaniam di sini, yang kini menjadi saksi penting kes rasuah berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, telah dipecah masuk oleh pihak tertentu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon berkata sasaran kejadian itu ialah komputer riba.

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa rumah saya di Kuala Lumpur telah dipecah masuk dan sasaran utama dan diambil ialah komputer riba.

“Saya sedang pulang dari London untuk menghadapi kes ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau sepatutnya berada di sini bersama afidavit Balasubramaniam, yang menjawab 52 soalan SPRM, untuk diserahkan kepada agensi itu.

Ini merupakan kali kedua rumahnya menjadi sasaran.

Kali pertama ialah selepas Balasubramaniam ditemu bual di Singapura dan ia disebarkan oleh media tempatan.

“Dan, kini selepas (Balasubramaniam) temu bual di London dan Paris rumah saya dipecah masuk.

“Bagaimanapun barang-barang lain di bilik yang sama termasuk barang kemas tidak disentuh,” katanya.

Katanya, beliau percaya mereka bertindak demikian kerana ada kepentingan dalam kes yang sedang diuruskannya.
“Saya akan membuat laporan kemudian,” tambah beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.