Isu Tajaan Umrah - Linda Onn Tidak berpuashati Dengan Akhbar Utusan


Linda Onn bersama jemaah ketika mengerjakan umrah pada Jun lalu. Gambar Linda bersama sepanduk ini disindir penulis pojok Siti Jarum menyebabkan Linda berasa terkilan. Gambar ihsan blog Linda Onn.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn terkilan dengan laporan sebuah akhbar Ahad lalu, yang kononnya mendakwa pemergiannya ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah dari 15 hingga 25 Jun lepas seperti hendak menunjuk-nunjuk.

Linda menerusi blognya yang disiarkan pada Isnin lalu berkata tuduhan itu amat mengguris hatinya kerana pemergiannya ke Tanah Suci Mekah adalah ditaja oleh syarikat pelancongan Gemilang Travel yang menjalinkan kerjasama dengan stesen radio Suria FM.

Katanya, sepanjang berada di Mekah, Linda menjalankan tugasan dengan melaporkan segala perkembangan mengenai rombongan tersebut yang mana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai di antara stesen radio itu sebagai radio rasmi dengan ejen pelancongan berkenaan.

“Linda diberi tugasan membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Mekah sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu merupakan perjanjian di antara Gemilang Travel dan juga Suria FM.

“Sepanjang mengikuti rombongan itu Linda membuat lintasan secara langsung sebanyak dua kali sehari bagi mempromosi syarikat berkenaan,” katanya dalam blog tersebut.

Ahad lalu ruangan pojok Siti Jarum di dalam Pancaindera, Mingguan Malaysia telah menyindir Linda Onn yang bergambar dengan memegang sepanduk tertulis “Umrah Bersama Linda Onn” seperti memberitahu dia berjaya mengerjakan umrah.

Tindakan itu kata Siti Jarum seperti pendaki yang biasanya memegang sepanduk setiap kali berjaya menawan puncak gunung.

Mengenai tindakannya bergambar dengan memegang sepanduk itu kata Linda ia dibuat bukan atas kehendak dia sebaliknya sepanduk itu disediakan oleh ejen pelancongan atas dasar mempromosikan syarikat mereka.

Ujar Linda sudah beberapa kali dia mengerjakan umrah tetapi tidak pernah pun membawa sepanduk melainkan untuk rombongan umrah anjuran syarikat pelancongan berkenaan.

Katanya, dia tidak sedikit pun terlintas untuk memberitahu telah berjaya melakukan umrah dengan memegang sepanduk itu.

“Bila diminta bergambar sebagai duta kecil, Linda pun bergambar beramai-ramai dengan jemaah yang lain dan tidak terniat untuk menjadikan ia sebagai pengesahan yang Linda berjaya melakukan umrah,” katanya.

Sementara itu dalam satu kiriman SMS kepada mStar Online, Selasa, personaliti ini memberitahu dia benar-benar terkilan dengan sindiran itu kerana ia memperlihatkan seolah-olah dia mempermainkan kerja baik yang dilakukan.

“Linda betul-betul kecil hati. Ini soal ibadat. Kalau soal lain, Linda tak pernah rasa (terkilan) macam ni,” katanya sambil membenarkan mStar Online memetik tulisan di dalam blognya

Sultan Selangor Murka Lagi : Gantung Gelaran Bekas Menteri

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menggantung gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, Phang Oi Chooi @ Phang Ai Tu atau juga seringkali dikenali sebagai OC Phang.

Dalam satu kenyataan, setiausaha kerajaan negeri Selangor berkata keputusan itu dibuat oleh Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor yang bersidang pada 19 Ogos lalu.

Ling dikurniakan keahlian darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.

Pada 29 Jun lalu, bekas presiden MCA itu didakwa atas pertuduhan mengikut seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Putrajaya.

Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.
Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ling bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Hakim kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.

OC Phang pula dikurniakan keahlian Darjah Kebesaran Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka pada tahun 2001.

Dia pula didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Klang.

Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kesnya pula yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 25 Ogos lalu ditangguhkan ke 26 hingga 29 Okt ini.

Menurut kenyataan itu, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kedua-dua mereka itu akan disemak semula jika mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Panas: Menteri Belia Dan Sukan Tawarkan Diri Letak Jawatan - Susulan Letak Jawatan TKM Dan Umum Keluar Parti


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin, mengumumkan keluar Parti Liberal Demokratik (LDP) berkuatkuasa serta merta.

Beliau yang juga Naib Presiden LDP berkata, surat peletakan jawatannya sudah dihantar kepada Presiden parti, Datuk VK Liew pagi tadi.
Serentak itu, beliau turut menawarkan diri melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan Sabah.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi.

Guan Eng Sembelih Lembu Korban? - Siapa Punya Angkara....

Klik untuk besarkan gambar....

Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, kini beredar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyembelih lembu korban untuk umat Islam di internet.

Kesal dengan penyebaran gambar palsu yang menggunakan teknik
super impose itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa ia didalangi oleh penulis upahan Umno yang dikenali sebagai 'PAS Beruk'.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kesal kerana Umno terus memainkan instrumen fitnah bagi memburukan imej PAS-Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadan," kata pemangku ketuanya Herman Samsudeen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Herman mendakwa gambar itu memaparkan gambar Lim yang dengan gaya tersbeut dengan tulisan: "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP?"

Katanya, gambar Lim yang ditampal itu pada asalnya merupakan gambar bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Menyifatkan perkara itu sebagai keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama, Herman berkata beliau kesal kerana budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun pada bulan suci Islam.

"Gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam," katanya.

Herman juga berkata tindakan terbaru PAS Beruk merupakan rentetan "fantasi Umno" selepas memutarbelitkan fakta berubung kes ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang didakwa memberikan 'tazkirah' dalam surau.

"Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar (Penyelaras Pakatan) Zaid (Ibrahim) minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor.

"Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS-Pakatan rakyat," kata Herman lagi.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 53


Kerabat Sedaka Sejahtera mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-53 kepada semua pembaca.

Marilah kita bersama membebaskan diri dari segala bentuk penjajahan, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi yang lebih penting, dari segi mental.

Bersama kita ke arah pembangunan sebuah masyarakat yang dinamik, aman dan makmur!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.