Hassan Ali
SHAH ALAM – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din minta Datuk Dr Hasan Ali membuat rayuan berhubung keputusan parti memecat beliau berkuat kuasa,  Ahad lalu.
 
Di bawah perlembagaan parti, Hasan ada tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.


"Dr Hasan masih diberikan ruang untuk kekal bersama Pas," kata Haron, pemimpin kedua tertinggi dalam badan pembuat keputusan, Majlis Syura Ulama Pas selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Che Rosli Che Mat pula berkata, Hasan patut terus kekal bersama parti itu.


"Saya tidak nampak ada sesiapa yang sesuai menggantikan tempatnya. Mungkin ramai yang lebih berilmu daripada Hasan tetapi keberanian dan ketegasannya sukar dicari ganti," kata Ahli Parlimen Hulu Langat itu, yang juga pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan terbuka menyokong projek Lynas di Pahang, yang dibantah ramai pemimpin Pas dan juga sekutu mereka, PKR.


Bagi Haron, buat masa ini, Hasan wajar menunggu surat rasmi pemecatan daripada parti.


"Selepas itu, beliau boleh buat rayuan. Saya secara peribadi mahu Dr Hasan buat rayuan," katanya.


Menurut Haron, soal ahli keluar masuk parti, sama ada dipecat ataupun undur sendiri adalah perkara biasa.


"Memecat ahli tidak memberi apa-apa kecacatan, sebaliknya ada signifikan terhadap semua ahli. Mereka masih boleh gunakan saluran yang ada untuk pertahankan diri. Kerana itu, adanya Majlis Syura untuk kita buka semula kes dan dengar hujah mereka selepas sesuatu tindakan diambil," katanya.


Selain itu, kata Haron, tindakan memecat juga dapat mendidik semua ahli untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.


Menurutnya, kenyataan yang selari dengan garis panduan dan perjuangan parti tidak akan memberi apa-apa kesan yang negatif.


“Bukan tidak boleh bersuara, tetapi jangan berlawanan dengan parti. Jika sedikit, ia boleh dimaafkan, tetapi jika memudaratkan parti tiada amaran atau teguran, sebaliknya terus dipecat.


“Ini kerana tindakan yang seperti itu boleh mengundang masalah kepada parti,” katanya.


Che Rosli pula berkata, pemecatan Hasan bagaimanapun tidak menjejaskan Pas.


“Sejak dulu, Pas tidak pernah tersasar dari landasan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.


“Pengurusan baru Pas kini memperlihatkan perbezaan, apatah lagi dengan ulama yang kini sudah boleh duduk semeja dengan mereka yang profesional.


“Pas sudah mengorak langkah. Jika dahulu, Pas bergerak sendiri dan kini sudah bergabung dengan parti lain.


“Mungkin gabungan ini membuatkan ramai terfikir Pas sudah pincang sedangkan misi dan objektif Pas masih sama,” katanya.


Laporan Harakahdaily kelmarin menyebut PAS telah menghantar surat pemecatan Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, telah pun diserahkan kepada beliau.


Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali.


"Melalui surat itu, kita telah nyatakan beliau telah dipecat sebagai ahli namun dia berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari," kata Mustafa.


Mesyuarat ahli jawatankuasa kerja Pas pusat membuat keputusan memecat Hasan, Ahad lalu  berdasarkan Fasal 82(9) Perlembagaan parti.