Masalah Teknikal SULIHH Tertangguh La Pulak..


ALOR SETAR: Pelaksanaan projek penapisan minyak Hab Hidro Karbon Sungai Limau (SULIHH) bernilai RM36 bilion (AS$10 bilion), kini sudah tertangguh lebih setahun - kali ini akibat pelabur menarik diri.

Sebelum ini, majlis pecah tanah SULIHH yang dijadualkan November lalu dan beberapa kali selepas itu, tertangguh apabila laporan kesan alam sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh pelabur, ditolak Jabatan Alam Sekitar.

SULIHH ialah projek penapisan minyak di kawasan laut di Sungai Limau, Yan, yang ditambak. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji itu beroperasi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bagaimanapun yakin projek "emas" yang diharap memberi hasil kira-kira RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri itu, akan terlaksana selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Tanpa mendedahkan pihak yang menarik diri, beliau memberi alasan projek itu tergendala kerana masalah teknikal, termasuk punca penarikan diri pelabur asing.

Masalah teknikal ini membabitkan ketiga-tiga pelabur - Merapoh Resources Sdn Bhd, Hong Kong Beijing Star Ltd, Winson Investment Ltd dan SK Engineering and Construction Ltd dari Korea," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan projek itu selepas mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Azizan mengakui kerajaan negeri mengalami kerugian akibat kegagalan SULIHH dilaksanakan mengikut jadual dan memberi kesan terhadap agenda pembangunan negeri.
"Kelewatan itu bermakna jangkaan siap projek itu turut dipinda dari 2014 kepada 2015," katanya.

Beliau berkata, projek pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun dan pemasangan paip sepanjang 50 kilometer dari Jerlun ke Bukit Kayu Hitam, akan dilaksana pada awal tahun depan.

"Projek pemasangan paip tiada masalah, cuma yang tinggal masalah pengambilan tanah untuk pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun yang dijangkakan selesai tidak lama lagi," katanya.

Minyak yang diproses di SULIHH akan disalurkan ke depot simpanan Jerlun untuk dieksport semula ke negara Asia lain melalui paip bawah tanah dari Bukit Kayu Hitam yang disambung ke Thailand

ADUN PR Keluar Dewan Bantah Tindakan BN Langgar Peraturan



IPOH 31 Mac - Seperti yang dijangka perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung bagi hari kedua tidak selancar yang dirancangkan hasil kegagalan Menteri Besar 'Mahkamah' dan Speaker "Haram' yang enggan bermesyuarat dengan anggota Dewan Pakatan Rakyat sehari sebelum sidang bermula.

Keadaan kecoh timbul apabila Ahli-ahli DUN Pakatan Rakyat bertikam lidah dengan ADUN Barisan Nasional berhubung beberapa aspek perjalanan sidang yang dianggap melanggar peraturan Dewan oleh Pakatan Rakyat.

Pertelingkahan bermula dengan dakwaan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh daripada 216 soalan yang dihantar oleh 28 ADUN Pakatan Rakyat kepada Setiausaha Dewan sehinggalah pertikaian mengenai keabsahan Ganesan sendiri sebagai Speaker.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara 'unilateral' membentangkan usul kepercayaan kepada Ganesan yang disokong sepenuhnya oleh ADUN BN sementara kesemua ADUN Pakatan Rakyat menolak sebulat suara.Mala h mikrofon pada meja ADUN Pakatan Rakyat dipadamkan untuk menghalang mereka daripada bercakap.

Semua ADUN Pakatan Rakyat juga bersepakat mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda bahawa demokrasi telah mati di negeri Perak.

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bertindak keluar Dewan apabila Ganesan tidak menghiraukan bantahan beliau mengenai peraturan mesyuarat.
Ini diikuti pula oleh ADUN Pakatan Rakyat lain sebagai membantah perjalanan sidang yang dikongkong serta disalahgunakan oleh Ganesan dan BN.

"Kita telah bertegang leher kerana kita ingin jelaskan bahawa Ganesan tidak layak menjadi Speaker. Walaupun beliau tidak menghormati kita namun kita cuba beri kerjasama. Selain itu sesi soal jawab hanya dari jam 10.10 pagi hingga 10.49 pagi habis, ini tidak pernah berlaku.

"Sebab lain kami keluar ialah dalam agenda tidak ada perbahasan titah Tuanku dan dibantah oleh Speaker Sivakumar. Saya dengan Datuk Ngeh bantah dan tidak ada jawapan.
"Maka kami ambil keputusan keluar dewan kerana dengan beberapa alasan kuat tersebut.
"Kami mencabar Zambry dan Ganesan, kalau ada perbahasan kami akan hadir esok. Malangnya selepas keluar tidak dapat disahkan samada Zambry ada usulkan titah ucapan, namun sudah tersangat terlewat. Kalau ada sekarang itu sudah terlewat," tegas Nizar pada sidang media selepas keluar dari Dewan.

Media juga dihalang daripada membuat liputan sepenuhnya dengan ditempatkan dalam bilik khas bercermin gelap.Nizar memohon maaf kepada media dia atas tindakan keterlaluan BN terhadap petugas media.

"Saya merasa kesal dan memohon maaf kepada semua rakan media yang telah dinafikan hak untuk membuat liputan secara bebas sepanjang sidang DUN kali ini.
"Sedangkan sebelum ini semasa Pakatan Rakyat memerintah kita telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada rakan media , malahan mengadakan siaran langsung setiap kali sidang berlangsung," kata Nizar lagi.

Beliau juga berkata semua talian internet dan pengunaan talipon untuk mengakses twitter, facebook dan pautan internet yang lain telah disekat .

Bang Brahim : Separuh Kepimpinan Perkasa Ahli dan Bekas Ahli Umno




MEMERHATI kepada barisan kepimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) 2010/13 yang dilantik pada mesyurat agung pertama dua tiga hari lepas jelas NGO itu tidak dapat lari daripada dibelenggui oleh parti Umno. Hampir separuh mereka yang menerajuinya bekas ahli Umno ataupun mereka yang sudah terpinggir dari arus perdana parti itu. Ada juga mereka yang frustasi dengan Umno dan menjadikan Perkasa sebagai gundik singgahan.

Presidenya, Ibrahim Ali seperti mana dimaklumi orang yang dibuang oleh Umno pada tahun 2004. Beliau politikus yang keluar masuk parti macam keluar masuk jamban saja. Kedudukan beliau itu tidak menghairankan. Begitu juga dengan jawatan Timbalan Presiden, Ab Rahman Bakar juga ahli Umno yang tidak mendapat tempat di dalam parti berkenaan.

Manakala dua dari naib presidennya terdiri daripada ahli Umno yang tewas dalam pilihan raya lalu dan juga ahli Umno yang digantung kerana terlibat dengan politik wang. Ashraf Wajidi Dusuki merupakan calon UBN di kerusi parlimen Tumpat pada pilihan raya umum lalu tewas kepada Kamaruddin Jaaffar. Beliau juga merupakan anak tokoh Umno yang kini sudah bersara dan tidak aktif dalam Umno, iaitu Dusuki Ahmad.

Seorang lagi Naib Presiden, Mokhtar Samad adalah bekas ketua Umno Bandar Tun Razak. Keahliannya digantung kerana terlibat dengan politik wang. Disebabkan itu jawatan ketua bahagian yang dimenanginya ditarik balik.

Shuaib Lazim yang memegang jawatan Bendahari agung adalah bekas Adun Pantai Merdeka, Kedah. Kini sudah tidak lagi diperlukan oleh Umno negeri berkenaan. Begitu juga dengan Ketua Penerangan, Ruslan Kassim bekas pemimpin Umno dan juga bekas ahli parti PKR. Anak didik Anwar Ibrahim yang telah meninggalkan gelanggang reformasi. Berbeza dengan Ezam Mohd Nor, Ruslan tidak bertidak memburukkan Anwar.

Manakala ketua Wiranitanya, Raihan Sulaiman Palestin juga merupakan ahli Umno dan bekas pimpinan Puteri Umno. Pernah mencuba nasib untuk merebut jawatan ketua Puteri Umno tetapi tewas disebabkan masalah teknikal.

Begitu juga dengan ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli-ahli Umno yang pernah menjadi pemimpin peringkat bahagian. Antara mereka , Ahmad Saad, Yusuf merah, Nasiruddin Rais bekas ahli pemuda Umno sebuah bahagian di Perak yang sudah tidak laku dan bermusuh dengan Zahid Hamidi.

Begitu juga beberapa nama dalam jawatankuasa dilantik merupakan bekas ahli Umno kemudian menyertai Umno semula.

Keseluruhannya kepimpinan Perkasa adalah ahli atau bekas ahli Umno. Adalah tidak benar kalau ada orang mendakwa Perkasa adalah NGO bebas dan bukan bias kepada Umno. Berdasarkan kepada latar belakang kepimpinan itu Perkasa jelas adalah perkakas kepada Umno.

Sementara itu beberapa nama yang menjadi ahli jawatankuasa penaja tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan Perkasa itu. Apakah mereka telah memufarakah dari NGO berkenaan ataupun memang disingkir.

Antara mereka ialah Fuad Hassan yang memegang jawatan Timbalan Presiden, Rohanie Ahmad, Ketua Penerangan, Md Radzi Mustapa selaku penasihat undang-undang Perkasa dan Yahya Lampong yang mewakili Sabah. Begitu juga dengan aktvis dan tokoh belia Perak Yammy Samad juga tidak tersenarai dalam kepimpinan baru itu. Kamal Amir Kamal Hijaz yang turut dijemput menganggotai pertubuhan itu juga tidak kedapatan dalam mana-mana senarai penjawatan

http://msomelayu.blogspot.com/

Isteri Tan Sri Osman Aroff (Bekas MB Kedah) Kembali Ke Rahmatullah




ALOR SETAR 31 Mac - Isteri bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, Puan Sri Azizah Abdul Hamid, meninggal dunia akibat barah hati di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.

Allahyarhamah Azizah berusia 65 tahun.

Osman berkata, isterinya dimasukkan ke HSB dua bulan lepas selepas mengadu buang air besar berdarah dan doktor mengesahkan arwah mengalami masalah usus dan perlu menjalani pembedahan segera.

"Semasa menerima rawatan di HSB, doktor telah mengesahkan isteri saya dijangkiti barah hati peringkat empat dan rawatan boleh dilakukan selepas luka di tempat pembedahan sembuh,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Osman berkata, Allahyarhamah turut menghidap penyakit kencing manis.

"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultanah kira-kira pukul 1.30 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kelubi, Jitra selepas Zohor,” katanya.

Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak iaitu Jeffril, Rizal, Ileana dan Adzmin.

Osman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang keenam pada 28 Januari 1985, menggantikan Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabuddin yang meletak jawatan Menteri Besar Kedah pada 24 Januari 1985. - Bernama

Kenari Terbang Tinggi, meninggalkan si penyu menangis hiba. MASIH ADA HARAPANKAH SIPENYU KETAWA??





Malam tadi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.

Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. Jom kita pakat pi bagi sokongan.. Jika kita menang Insya Allah pasukan kita akan bertemu Negri Sembilan atau Selangor, yang pasti semalam Selangor kalah kepada Negeri Sembilan 2 - 1 di mana permainan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Pelajar pintar yang didakwa dilarikan, rupanya mahu segera nikah di Langkawi


HALIMATON dan Mohamad Noor menunjukkan salinan laporan polis dan keratan laporan akhbar berhubung kes mereka di Ibu Pejabat Daerah Langkawi, semalam.

Halimaton yang dilaporkan hilang berada di rumah keluarga teman lelaki

LANGKAWI: Halimaton Abd Rashid, 15, pelajar pintar yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak lapan hari lalu kini berada di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Kisap, di sini.

Ketika ditemui, Halimaton yang berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling, berkata dia sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan dia dan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dapat berkahwin dalam tempoh terdekat.
Halimaton juga menafikan dakwaan kakaknya, Hamiza, 23, dan ibunya, Normah Abd Mutalib, 46, mengenai dirinya, selain menyifatkan ia sebagai fitnah.

"Saya keluar dari rumah kakak di Sungai Petani jam 9 pagi Isnin lalu dengan rela hati sebelum menaiki bas ke jeti Kuala Perlis sebelum menaiki feri ke Langkawi dan dijemput adik Mohamad Noor pada jam 11.30 pagi di jeti Kuah.

"Saya terus ke rumah mak cik (ibu Mohamad Noor). Jadi dakwaan dibuat kakak dan ibu mengatakan saya dilarikan adalah fitnah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Halimaton yang tidak bersekolah sejak seminggu lalu berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Teriang, di sini, manakala Mohamad Noor juga berbuat demikian bagi mempertahankan diri.
"Kami belum berkahwin dan sedang berusaha ke arah itu. Beberapa hari lalu kami menemui Pegawai Agama Daerah Langkawi,” katanya.

Halimaton turut mempersoalkan tindakan Hamiza yang beria-ria membuat kenyataan tidak mengenali Mohamad Noor sedangkan mereka mengenalinya sejak empat tahun lalu.

"Sebelum ini mereka ada hubungan sebagai adik dan kakak angkat. Kalau cakap tidak kenal itu satu penipuan kerana empat tahun kakak saya bekerja di Langkawi dan mereka memang kenal antara satu sama lain.

"Apa jadi pun saya mahu kahwin dengan Mohamad Noor. Malah, keluarga Mohamad Noor menerima saya dengan elok, cuma keluarga saya menentang hasrat kami untuk berkahwin," katanya.

Sementara itu, Mohamad Noor yang bekerja sebagai penyelia restoran berkata, beliau kecewa kerana kakak dan ibu Halimaton menuduhnya menculik dan melarikan gadis itu.

"Saya tidak pernah pergi Kelantan dan saya belum kahwin dengan Halimaton. Malah, ibu saya, Azizah Senapi dan bapa tiri, Abd Razak Md Hashim setiap hari cuba menghubungi keluarga Halimaton di Baling untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan yang dihubungi mengesahkan menerima kedua-dua laporan itu.

Sementara itu, Normah yang dihubungi Berita Harian berkata, Halimaton ada menghantar SMS kepadanya tengah hari semalam memaklumkan dia berada di Langkawi bersama keluarga Mohamad Noor.

"Dia pesan supaya saya menonton berita televisyen dan membeli akhbar esok (hari ini) untuk mengetahui cerita sebenar,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.