UMNO Dedahkan Pejabat Menteri Besar Terima Sumbangan Setengah Juta Dari Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda P.Pinang



REEZAL Merican Naina Merican (tengah) menunjukkan salinan surat yang membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang mendapatkan dana daripada sumber judi untuk program membiayai miskin tegar pada sidang akhbar di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 24 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendedahkan sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Bertarikh 9 Julai 2010, surat itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

‘‘Kalau sebelum ini kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng bermati-matian menafikan pernah menerima duit hasil perjudian untuk membiayai program mereka, saya cabar kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan berhubung surat ini.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gagal menjelaskan pembohongan ini, maka beliau akan dikenang sebagai bapa segala pembohongan. Kalau tidak betul pun, sila tampil beri penjelasan kerana surat ini dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Reezal Merican baru-baru ini mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Guan Eng bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan bahawa wang kerajaan negeri yang dinikmati adalah hasil penjimatan melalui prinsip ketelusan yang diamalkan pentadbirannya selama ini.

Reezal Merican bagaimanapun berkata, isi kandungan surat tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng dan pemimpin kerajaan negeri berhubung isu itu.

‘‘Kita tidak pernah membuat tuduhan melulu tetapi kita meminta penjelasan kerana kita percaya ia turut melibatkan dana untuk orang Islam. Malah, surat itu menyebut sumbangan (RM500,000) merupakan ‘baki’ dana yang disalurkan, bermakna kelab berkenaan sudah menyalurkan sejumlah dana lain sebelum ini.

‘‘Justeru, sekali lagi kita tuntut penjelasan. Anda (media) perlu bertanya kepada beliau (Guan Eng) sendiri atau tanya kepada kelab (lumba kuda) berkenaan. Kita harap ia akan memberi perspektif baru kepada rakyat yang inginkan kebenaran,” jelasnya.

Menjawab persoalan mengenai pendedahan blog pisau.net yang sebenarnya berkisar soal pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas, Reezal Merican berkata, ia tidak menjadi satu isu kerana program membasmi miskin tegar juga melibatkan masyarakat Islam.

‘‘Saya timbulkan perkara ini kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam mengenai sumber pemberian wang oleh kerajaan negeri. Kalau untuk miskin tegar sekalipun, bukankah ada orang Islam di negeri ini yang mengalami miskin tegar dan perlu dibantu?

‘‘Bagi orang Islam, kalau ia (sumbangan) daripada sumber tidak halal, mereka lebih rela susah daripada menerima sumbangan daripada perjudian kerana ia adalah haram. Lumba kuda ini bukankah satu bentuk perjudian?,” tegasnya.

Kes Khalwat : Norman & Memey Tinggal Bersama Selepas Seminggu Dicekup : Saksi

KUALA LUMPUR: Saksi ke-enam kes khalwat dua pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza mendakwa pasangan tersebut kekal tinggal bersama tanpa rasa malu seminggu selepas dicekup oleh anggota penguatkuasa agama.

Mohd Yusri Abdul Razak menambah, dia juga telah membuat aduan dan laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada hari yang berlainan berhubung perkara itu.

“Saya buat laporan sebanyak tujuh atau lapan kali di pejabat Jais di Gombak dan juga Shah Alam tetapi tiada tindakan.

“Alasan yang diberikan ialah prosedur mahkamah telah bermula dan juga kerana terdapat banyak operasi,” katanya selaku saksi pendakwaan ke-enam.

Mohd Yusri yang juga merupakan pengadu dalam kes itu, sedang disoal semula oleh Pengawai Pendakwa Syarie Jais, Mohamad Nazri Basrawi yang mengendalikan pendakwaan.

Perbicaraan yang didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini Jumaat, juga menyaksikan jawapan saksi beberapa kali dibantah atas alasan ia tidak berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.

Antaranya ialah jawapan Mohd Yusri, seorang perunding kreatif yang mendakwa Norman sebagai seorang yang mempunyai split personality (dua perwatakan berbeza).

Selain itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan juga membantah kenyataan saksi yang mengatakan tanggungjawab untuk menegakkan benang yang basah adalah lebih berat berbanding kewajipannya untuk menegakkan kebenaran.

Fakhrul: Saya mahu saksi menarik semula perumpamaan menarik benang yang basah.

Mohd Yusri: Saya tidak tuduh sesiapa. Itu secara umum.

Mohd Yusri juga berkata, Nabi Muhammad S.A.W juga menghadapi pelbagai dugaan dalam perjuangannya menegakkan kebenaran.

“Tanggungjawab saya juga berat. Tapi demi kebenaran, agama dan juga masyarakat Islam di sana (tempat kejadian), saya terpaksa,” katanya lagi.

Pada keterangan lain, Mohd Yusri juga mengakui ada memanggil seorang wartawan dalam usaha mahu menginsafkan pasangan tersebut.

“Saya mahu wartawan menyindir perkara ini dalam akhbar tanpa menyebut nama dan tempat.

“Niat saya supaya wartawan ini dapat membantu Norman dan Memey insaf dan sedar tanpa tangkapan dilakukan. Ini dapat mengelakkan sesiapa daripada diaibkan,” tambahnya.

Menurut Mohd Yusri, perkara itu ada ditulis di dalam ruangan gosip dua akhbar tempatan pada hujung minggu.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 34, dan Memey, pemilik nama Suhaiza Suhaimi, 22, dibicarakan atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada pukul 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Pasangan yang baru bertunang pada Hari Raya ke-empat di Felda Tenggaroh, Selatan 1, Kota Tinggi, Johor kini berhadapan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Salehan Yatim bersambung 8 Oktober depan.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman berhubung wawancaranya itu yang mengingatkan bahawa orangMelayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Katanya, dakwaan Mahathir yang disiarkan di laman sesawang Umno-online, satu kenyataan bersifat perkauman.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata Nizar menerusi twitternya.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan menduduki Putrajaya adalah Umno dan bukannya orang Melayu.

Wawancara itu dipetik media arus perdana dengan menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa
politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat mendapat kuasa seperti yang berlaku di Perak sebelum dirampas oleh BN.

Mantan presiden Umno itu mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Sementara itu, ahli parlimen Lembah
Pantai, Nuzul Izzah Anwar pula mencabar Mahathir untuk berdebat berikutan dakwaannya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana takut Melayu hilang kuasa atau hilang harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan akhbar.

Bagi Nurul Izzah, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan adalah sebahagian daripada usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa.

“Tujuannya untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali dengan Mahathir sebagai penasihat.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui
rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan politik berlandaskan harapan dan kebebasan yang akan mengubah minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata Nurul Izzah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.