Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dianggap kini terpesong dalam soal wang tuntutan negeri Kelantan mengenai hasil minyak.
Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) berkata Mustapa seolah-olah tahu perkara sebenar tetapi bersungguh-sungguh cuba mempertahankan dasar kerajaan pusat itu.
“Pertama, Mustapa kata Kelantan tidak berhak kepada royalti minyak dan cuma layak menerima “cash payment” atau bayaran tunai sebanyak 5 peratus.
“Itu memang betul kerana perjanjian 1975 di antara PETRONAS dan Kelantan (dan negeri lain) menggunakan perkataan “cash payment”. Kerajaan Kelantan pun tak ada masalah dalam hal itu. Panggillah apa yang kamu suka, royalti atau “cash payment”, tapi bayarlah,” katanya dalam blognya.
Bagi Zaid apa yang dikatakan wang ehsan itu pula, adalah sesuatu yang lain kerana ehsan bererti pemberian atas sebab kasihan atau sebab politik.
“Kedua, Mustapa (kanan) kata perjanjian 1975 itu tak sah kerana sebab-sebab tertentu. Tidak pula jelas mengapa ia tidak sah. Kalau tak sah, mengapa Sabah dan Sarawak terus dibayar kerana mereka juga menandatangani perjanjian yang sama”.
Beliau juga mempersoalkan jika perjanjian berkenaan tidak sah mengapa Terengganu dibayar semasa Barisan Nasional memerintah selama 19 tahun.
“Ketiga, Mustapa kata kawasan yang diiktiraf sebagai “territorial waters” atau kawasan perairan hanyalah tiga batu dari pantai. Apa alasan Tok Pa?” soal bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang satu ketika dahulu diamanahkan menjaga hal berkaitan undang-undang.
Menurut Zaid, Mustapa berhujah menggunakan Akta Darurat 1969 yang sudah tidak boleh dipakai lagi.
Katanya, yang wajib digunakan ialah undang-undang maritim antarabangsa yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan yang telah diterima oleh Malaysia.
“Dia kata lagi, negeri-negeri tidak berhak kepada hasil gas dan minyak dalam kawasan “Exclusive Economic Zone” (EEZ), iaitu 200 batu dari pantai, hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada hasil dalam EEZ. Itu pun tak betul juga.”
Menurut Zaid, hasil minyak dan gas ini selalunya didapati tidak kurang dari 12 batu dari pantai dan sekiranya batasan itu diguna-pakai, maka tiada negeri dalam Malaysia yang berhak kepada hasil minyak.
Tambah beliau lagi, sebahagian besar hasil minyak yang ada sekarang ini terletak dalam kawasan EEZ.
“Tidak ada undang-undang dalam dunia ini yang mengatakan hak kepada hasil minyak dari EEZ tidak boleh dituntut oleh sesebuah negeri. Hak negeri bergantung kepada perjanjian negeri-negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Zaid kemudiannya menghuraikan sejarah Amerika dan memberikan contoh hak negeri Texas dan California kepada hasil minyak dalam EEZ bergantung kepada perjanjian negeri-negeri itu dengan Persekutuan Amerika Syarikat.
Bagi beliau, perkara yang sama harus digunakan bagi menetukan hak negeri di Malaysia.
“Adalah salah bagi UMNO memesong rakyat dengan mengatakan hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada minyak dalam EEZ dan negeri-negeri tidak ada hak.
“Hasil y
ang dibayar kepada Sabah dan Sarawak juga meiputi kawasan lebih dari 12 batu dari pantai. Mengapa terus bayar jika kata tak berhak?” katanya lagi.
Bagi Zaid, UMNO cuma mencari helah untuk tidak mahu membayar pampasan kepada negeri Kelantan.
Katanya, jika BN yang memerintah Kelantan, sudah tentu mereka akan mencari hujah lain. Teatapi ia tidak semestinya dibayar terus.
Zaid seterusnya meminta Mustapa merenung seketika isu berkenaan dan menhentikan penipuan mereka menerusi iklan di media arus perdana untuk mengaburi mata rakyat.
Zaid berkata lagi dia dukacita dengan perkembangan itu dan menganggap Mustapa sebagai antara tiga atau empat orang menteri yang dihormatinya ketika dalam kabinet. Ini kerana kerajinan dan kecekapan pemikiran mereka.
Namun dalam hal ini, Zaid meminta Mustapa supaya tidak lagi meneruskan penipuan ke atas rakyat.
Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, pada 26 Jan lalu mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan pada Mac ini.
Namun jumlah itu dipertikaikan oleh kerajaan negeri mankala cara penyaluran tidak secara langsung juga dibantah.