Nasib calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tenang akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan itu hari ini.
Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.
Sebanyak 12 pusat mengundi di 12 daerah mengundi telah dibuka pada jam 8.00 pagi tadi dan akan tamat kira-kira jam 5.00 petang ini.
Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tigaFelda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).
Selepas pusat mengundi ditubuh, perjumlahannya akan dibuat di Dewan Serbaguna Labis, seterusnya diumumkan di tempat yang sama, dijangka antara jam 8 hingga 9 malam ini.
Menurut ramalan, cuaca pagi ini akan mendung diikuti hujan lebat di tengah hari.
Kerusi Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha (BN) akibat komplikasi kencing manis.
Tenang, sebuah DUN dalam kawasan parlimen Labis, merupakan kubu kuat BN.
Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, PAS berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 5,517 kepada 2,492 pada tahun 2008.
Kali ini, BN mensasarkan 5,000 undi manakala Pakatan Rakyat pula beranggapan sudah 'berjaya' sekiranya berjaya mengurangkan majoriti sedia ada BN.
LAPORAN LANGSUNG
2.37pm Sehingga 2 petang, peratus keluar mengundi sebanyak 61.17 peratus atau 9,025 orang.
2.26pm: DAP mendakwa banjir di dua pusat pengundian sudah "serius". Pengundi tidak boleh menghampiri Dewan Orang Ramai Kg Paya Merah di Labis Timor and SMK Kamarul Ariffin di Bandar Labis Tengah.
2.16pm: Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu Malaysiakini, pemanjangan masa mengundi "tidak boleh berlaku mengikut undang-undang".
2.12pm: Hujan kembali turun di SMK Kamarul Ariffin. Jalan raya yang ditenggelami air separas paha tadi, kini meningkat ke paras pinggang.
Sementara itu, menurut laporan RTM, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof, masa pengundian tidak akan dipanjangkan.
Katanya, walaupun beberapa pusat pengundian tidak boleh dilalui, pelbagai agensi kerajaan membanti mengangkut pengundi dengan kenderaan berat.
Sementara, SMS Sinar Harian pula melaporkan, SPR meminta pengundi Tenang tidak mempercayai khabar angin kononnya proses pengudian ditangguhkan kerana hujan lebat dan banjir.
1.42pm: Setakat 1 tengah hari, peratusan keluar mengundi sebanyak 55.36 peratus atau 8,167 orang.
1.20pm Jalan kecil antara jalan utama dan SMK Kamarul Ariffin dinaiki air sehingga paras paha, menyebabkan kenderaan ringan tidak dapat memasuki.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pacuan roda dan lori yang berjaya mengangkut pengundi masuk dan keluar pusat pengundian.
Hujan sudah berhenti di sekitar sekolah itu tetapi langit masih mendung.
1.12pm: Pemimpin DAP mula panik dengan peratusan rendah keluar mengundi masyarakat Cina, memaksa seruan mengundi dikeluarkan.
"Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20 peratus; Felda sudah 50 peratus. Tolong bantu panggil orang yang kamu kenal di Labis," tulis anggota parlimen Serdang Teo di laman Twitter.
Sementara ketua publisiti Pemuda DAP Selangor pula menulis: "Secara keseluruhan, peratusan keluar mengindi di tiga kawasan majoriti Cina amat rendah! Labis Tengah 300 (orang); Labis Timor 600; Tenang Station 200 sehingga 10.30am.”
12.48pm: Hujan menjadi sumber rezeki di Tenang hari ini di mana seorang peniaga menjaja payung di sepanjang rumah kedai di Jalan Segamat, pada harga RM12 tiap satu.
12.52pm Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus.
12.40pm: Menurut SPR, peratusan pengundian sehingga jam 12 tengahari meningkatkan kepada 48.93% atau 7,219 pengundi. Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.
12.09pm Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Seri Wee Ka Siong berkata hujan lebat di Tenang mengingatkannya kepada peristiwa banjir besar di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.
"Harap ia tidak berlaku lagi," tulisnya di laman Twitter.
12.08pm: Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata peratus pengundi Cina yang keluar amat rendah di Labis.
"Tolong desak anggota keluarga atau kawan-kawan keluar mengundi!" tulisnya di laman Twitter.
11.40am: Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.
Di Jalan masuk ke Ladang North Labis juga ditenggelami air kira-kira sekali dalamnya.
11.36am: Menurut twitter Loges Mohan - isteri ketua pemuda MIC T Mohan - Jabatan Pertahanan Awam dikerah ke Kampung Tenang untuk memindahkan 62 keluarga yang terperangkap kerana banjir.
Manakala twitter ketua Pemuda MCA yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siang pula menyiarkan foto banjir sepanjang Jalan Segamat-Labis.
11.30am: Sehingga jam 11 pagi tadi, peratusan pengundian meningkat kepada 38.66 peratus atau 5,703 pengundi keluar mengundi.
11.15am: Calon PAS Normala Sudirman berkata beliau berfikiran "positif" dengan peluang untuk menang.
"Proses pengundian berjalan dengan lancar. Walaupun keadaan hujan lebat, saya tengok pengundi masih bersemangat.
"Saya yakin pengundi bijak membuat pilihan, kita nanti keputusan ini dengan penuh debaran," katanya ketika ditemui semasa mengunjungi pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin.
Normala Sudirman ditemani ketua muslimat PAS Pusat Nuridah Salleh dan suami calon Maarof Abd Mutalib.
Wartawan Malaysiakini bertanyakan khabar Maarof, beliau dengan ramah berkata "Alhamdulillah, sihat".
Setakat ini, Normala telah mengunjungi enam daripada 12 pusat pengundian.
11.07am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang akhbar pada bila-bila masa di Kompeks Pendidikan Labis di Bandar Labis Tengah.
11.05am: Di pusat pengundian di SMK Tenang Stesen, pengundi terpaksa mengharung jalan yang dinaiki air sebelum melalui jalan menuju ke pusat tersebut untuk mengundi.
SPR menyediakan sebuah van untuk menghantar pengundi balik ke jalan utama, tempat mereka meletak kereta masing-masing.
11.00am Walaupun hujan lebih di Tenang dan setengah kawasan sudah banjir. sehingga jam 10 pagi ini, 24.34 peratus atau 3,591 pemilih atau satu perempat daripada pengundi sudah keluar mengundi. Hujan lebat turn sejak malam tadi.
10.52am: Ekoran hujan lebat, beberapa kawasan di sekitar dewan pelbagai-guna Kampung Paya Merah dinaiki air. Sepanjang 50 meter Jalan Segamat ditenggelami air sedalam setengah kaki.
Anggota polis bertugas mengawal lalulintas dan memaklumkan kepada para pengguna mengenai keadaan banjir di situ.
10.45am: Di SMK Kamarul Ariffin, pengundi berpayung ke pusat pengundian. Sebahagian besar penduduk di kawasan sekitarnya adalah terdiri daripada masyarakat Cina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kanan) mengunjungi khemah SPR di luar pusat pengundian dan mengambil peluang itu untuk bersalaman dengan pengundi.
10.35am: Pintu masuk ke pusat pengundian di SK LKTP Tenang sesak seperti pasar dengan kedua-dua anggota Puteri Umno dan pekerja PAS mengiringi pengundi keluar dari kereta untuk ke pusat tersebut.
Kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tenang turut ditenggelami air hujan.
10.20am Calon PAS Normala Sudirman tiba di SK LKTP Tenang dan diejek penyokong BN.
"Ini wakil rakyat yang kamu mahu? Tak pernah masuk universiti," jerit penyokong BN.
Manakala penyokong PAS pula membalas dengan jeritan "rasuah".
10.05am Di pusat pengundian di SMK Kamarul Ariffin, proses pengundian berjalan tenang tanpa sebarang kekecohan.
Kedua-dua perayu undi, walaupun dengan hujan lebat, masih meneruskan usaha merayu undi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan sidang media, di Kompleks Institutsi Pendidikan SMK Tenang, yang terletak bersebelahan pusat mengundi ini tidak lama lagi.
9.55am Keadaan trafik hampir terhenti akibat kesesakan di Felda Tenang, yang terdapat pusat pengundian SK LKTP Tenang.
8.50am Calon BN Azahar tiba 'disambut' laungan sindiran "jangan lelong tanah saya" di Kampung Paya Merah.
8.40am Cubaan penyokong PAS mendirikan khemah berdekatan dewan sebaguna Kampung Paya Merah dihalang polis.
9.40am: Menurut seorang pekerja parti DAP Lim Swee Kuan dalam laman Twitter, peratusan keluar mengundi sehingga jam 9 pagi sebanyak 10.06 peratus atau 1,576 orang.
9.30am Keadaan mula meriah dengan laungan takbir dan "Hidup BN" kira-kira 100 penyokong bersilih ganti di di SK Pekan Air Panas, Pekan Ayer Panas.
Hujan terus terus mencurah-curah, dijangka naik ke paras kaki tidak berapa lama lagi.
9.25am Jabatan Bomba dan Penyelamat kini bersedia dengan bot untuk menghadapi kemungkinan banjir teruk.
8.55am Calon PAS Normala Sudirman tiba di pusat pengundian SK Kampung Tenang, Kampung Redong.
Dengan yakin, beliau percaya pengundi akan membuat pilihan yang tepat.
8.55am Calon BN Azahar membuang undi di Kampung Paya Merah dengan neneknya berusia 95 tahun.
8.40am Beberapa petugas SPR menurunkan bendera dan poster - yang gantung sepanjang jalan menuju ke pusat pengundian- kerana berada kawasan pengundian.
Perayu undi dari kedua-dua parti, kini mula berada di luar pusat pengundian untuk merayu undi.
8.15am Hujan menyebabkan air naik di Kampung Redong. Jika berterusan, kawasan tersebut akan dilimpahi banjir.
Di Kampung Paya, SPR mula melarang payung dibawa ke tempat membuang undi.
8.02am Kelihatan BN dan PAS masing-masing membuka pondok panas mereka sendiri di sekitar pusat mengundi walaupun dilarang oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengundi keluar agak perlahan ekoran hujan renyai-renyai. Banyak payung hijau dan biru mewarnai sekitar kawasan mengundi.
Di Kampung Paya, ahli parlimen Labis Chua Thee Yong antara yang menunggu BN dalam hujan renyai di mana calon itu akan mengundi.
"Kita jangkakan ia akan jatuh kepada 60 peratus atau lebih rendah lagi, bergantung pada keadaan," katanya.
Beliau berpendapat, peratusan keluar mengundi akan rendah ekoran cuaca semasa.
8.00am Peti undi dibuka.