Kenapa Rosmah Melawat Pusat Remaja Hamil di Brussel, Belgium???...

Hajat Rosmah Mansur melawat pusat remaja hamil di Brussel hari ini untuk mendapatkan input bagi menangai masalah pembuangan bayi adalah tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah kerajaan hilang punca dan kontang idea, kata PAS.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata, isteri perdana menteri tidak sepatunya merujuk kepada Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) kerana keadaan iklim dan sosial budayanya berbeza dengan negara ini.

"Tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Belgium bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai.

"Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam," kata Idris lagi.

Rosmah hari ini dijadual melawat Centre of Integrated Family Welfare, sebuah pusat bersepadu bagi membantu remaja hamil di Brussels, Belgium.

Pada 1 Oktober lalu, beliau dilaporkan berkata, lawatan itu bertujuan melihat sendiri pendekatan yang diguna pakai dalam melindungi remaja yang mengandung tanpa nikah dalam usaha menangani masalah pembuangan bayi yang semakin serius.

Rosmah juga berkata, sebelum menubuhkan pusat perlindungan bagi remaja hamil di negara ini, adalah penting kerajaan mendapatkan pendekatan terbaik daripada segi saintifik dan sistematik seperti yang diaplikasikan di negara lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris juga mempersoalkan, kenapa begitu takut hendak merujuk kepada "pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya".

"Kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu pendekatan mencegah dan mendidik," katanya.

Fiza Elite Punyai Kekasih Gelap - Duakan Suami Sendiri

Tiadalah mahu saya menambah atau mengulas. Saya hanya memetik laporan akhbar yang menyiarkan ulasan si suami artis ini:
[BH] PERGOLAKAN rumah tangga yang melanda bekas anggota Elite, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 29, yang juga seorang dramatis, semakin goyah apabila suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 30, tampil membuat pendedahan mengenai sikap yang dianggapnya sebagai kecurangan seorang isteri.

Farriq yang juga seorang ahli perniagaan sebelum ini sekadar mendiamkan diri. Kini, dia perlu tampil menceritakan situasi sebenar apabila sudah banyak pendedahan menerusi media massa sejak kebelakangan ini yang boleh mencalar imejnya, sekali gus dia tidak mahu terus dilabel sebagai suami dayus.

Kemuncak kemarahan Farriq bermula apabila Fiza keluar rumah tanpa kebenarannya pada 17 September lalu untuk bersama ‘kekasih gelapnya’, Malek Marwi, 35 yang juga seorang jurukamera apabila mereka dipercayai pergi bercuti ke dua destinasi - Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian.

Sebelum ini juga media melaporkan, Malek yang juga bapa kepada pelakon remaja popular, Erin Malek, 16, dikatakan meninggalkan isterinya, Harryzah Hassan atau Liza, 35, dan anak-anaknya selama beberapa hari tanpa sebarang perkhabaran. Fiza pula rela meninggalkan dua puterinya, Ferra Aryanna, dua tahun lapan bulan dan Feeya, setahun empat bulan di rumah mentuanya semata-mata dikatakan untuk bersama Malek. Pasangan itu dipercayai hanya pulang ke Kuala Lumpur pada 28 September lalu apabila memberikan alasan terbabit dengan penggambaran drama sepanjang tempoh ‘kehilangan’ mereka.

Pun begitu, Farriq yang ditemui B*POP baru-baru ini sempat menunjukkan bukti rakaman menerusi CCTV (rakaman kamera litar tertutup) bahawa Fiza menjemput Malek di kediamannya di Pandan Mewah Heights pada 17 September lalu kira-kira jam 1.50 petang dan kedua-duanya beredar dari situ beberapa minit kemudian.

“Sebagai suami, saya akui gosip didedahkan media massa mengenai kecurangan Fiza bersama Malek sejak akhir-akhir ini adalah benar! Bagi saya, Fiza menipu dan menduakan suaminya adalah satu kesalahan. Kepercayaan saya membenarkan Fiza untuk terus berlakon disalah guna. Sebelum ini saya hanya mendiamkan diri, tapi lama kelamaan, perangai Fiza semakin teruk! Namun, saya akui sudah keluar rumah hampir empat bulan lalu, tapi tindakan saya bersebab kerana perangai Fiza yang semakin menjadi-jadi!

“Sudah beberapa kali saya berjaya menghidu kecurangan Fiza bersama beberapa lelaki termasuk bukti SMS. Bukan setakat itu saja, ibu Fiza juga masuk campur tangan urusan rumah tangga kami sehingga dia pernah tertonyoh hidung saya! Saya ambil keputusan keluar rumah, tapi saya tidak ke mana-mana, sebaliknya menetap bersama ibu dan ayah saya di Gombak, Selangor untuk sementara waktu. Namun, segala perbelanjaan Fiza bersama anak-anak saya sediakan, termasuklah pembayaran ansuran bulanan kereta Fiza dan rumah kami di Damansara, saya jelaskan.

“Sebagai suami, saya menunggu Fiza minta maaf kerana dia pernah melakukan kesalahan beberapa kali. Seorang isteri perlu mentaati suaminya setiap hari. Fiza boleh menemui saya di Gombak dan minta maaf, sebaliknya dia tidak berbuat begitu. Terbaru, Fiza menjalin hubungan dengan seorang jurukamera bernama Malek. Sudah beberapa kali saya berjaya mengesan pergerakan mereka berdua. Pada Ramadan lalu, kedua-duanya dilihat sering keluar bersama dan Fiza menghantar Malek pulang ke rumahnya sekitar jam 3 atau 4 pagi beberapa kali!

“Fiza pula sanggup jadi driver Malek sedangkan kereta itu saya bayar ansurannya untuk kemudahan dia bersama anak-anak, bukannya bersama Malek ke hulu ke hilir. Fiza mahupun Malek sering menganggap perbuatan mereka itu tidak salah kerana sekadar keluar makan bersama, tapi kalau sudah bercuti bersama, apa cerita? Apabila isteri keluar rumah tanpa izin suami, hukumnya berdosa besar, inikan pula sewenang-wenangnya melabel semua perbuatan itu tidak salah!

“Sebagai isteri, Fiza sering mempertikai statusnya kerana saya sudah keluar rumah empat bulan dan kerap memaksa supaya dirinya diceraikan. Tapi, segala-galanya terpulang kepada saya, talak di tangan saya. Apa saja keputusan, saya akan pastikan untuk memperoleh hak penjagaan anak. Biarlah mahkamah tentukan sama ada berlaku nusyuz atau sebaliknya. Saya tak mahu dilabel sebagai dayus!

“Dalam perbualan kami sebelum ini, Fiza mahupun Malek pernah membuat pengakuan mereka menyayangi antara satu sama lain, tapi sebagai seorang kawan, biarlah mahkamah buat penilaian sewajarnya sekiranya perkara ini berlarutan. Saya cabar Fiza dan Malek tampil membuat pengakuan kerana selama ini kedua-duanya terus mendiamkan diri. Saya tak takut kerana saya di pihak yang benar,” kata Farriq.

Fiza pula ketika dihubungi tidak mahu memberikan sebarang komen.

BN Penyebab Utama Kerajaan Kedah Tanggung Beban Hutang 1.7 Bilion : DS Ustaz Azizan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempertahankan pendiriannya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu berhubung kenaikan tarif air di negeri itu oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) mulai bulan ini.

Beliau mendakwa kerajaan BN sebelum ini adalah penyebab utama kerajaan negeri pimpinannya terpaksa menanggung beban hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM1.7 bilion.

"RM1.7 bilion itu meliputi keseluruhan hutang yang ditanggung kerajaan negeri melalui projek air, perumahan dan projek di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech, dan bukannya hutang projek bekalan air bersih," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Alor Setar, semalam.

Azizan mengulas kenyataan ketua pembangkang Kedah yang juga bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid Ahald lalu bahawa beliau cuba memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lalu.

Sebelum ini, beliau mendakwa kenaikan tarif air tersebut berpunca daripada penstrukturan semula industri air yang dilaksanakan kerajaan pusat pada 2006, bertujuan menyelesaikan pinjaman oleh kerajaan negeri berhubung bekalan air.

Pada sidang akhbar berkenaan, Azizan berkata kenaikan tarif air tersebut juga perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri terpaksa membayar kepada dua syarikat pengendali rawatan air di negeri itu, Taliworks Sdn Bhd dan Air Utara Indah Sdn Bhd.

"Di Langkawi, kerajaan terpaksa membelanjakan RM39 juta setahun untuk membayar kepada Taliworks. Namun kerajaan negeri hanya memperoleh RM14 juta sahaja kutipan daripada pengguna, dan kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM25 juta lagi bagi membiayai kos rawatan air yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

"Ia sama bagi Syarikat Air Utara Indah yang mengenakan caj sebanyak 18 sen bagi satu meter padu air, namun kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak 48 peratus ekoran air tidak sampai kepada pengguna 100 peratus," katanya.

Beliau berkata ini disebabkan masalah paip yang menyalurkan air ke kediaman rosak, dan sedang diperbaiki oleh kontraktor terbabit.

- Bernama

Cerita Disebalik: ADUN Malim Nawar Keluar DAP Jadi Bebas, La Nie Umum Sertai PPP

Keshvinder menunjukkan kenyataan media mengumumkan keluar DAP di Subang Jaya 15 Jun. — gambar fail
IPOH, 4 Okt — Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh yang sebelum ini keluar daripada DAP untuk menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), hari ini mengumumkan beliau akan menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP).

Katanya, beliau memutuskan untuk menyertai parti komponen BN itu selepas dipelawa oleh Naib Presiden PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff.

Permohonan akan dikemukakan selepas Presiden PPP Datuk M. Kayveas balik dari luar negara tidak lama lagi, katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Institut Darul Ridzuan di sini.

Keshvinder mengisytiharkan keluar daripada DAP pada 15 Jun lepas.

“Setelah mengambil kira PPP adalah sebuah parti yang dianggotai pelbagai kaum dan sesuai dengan jiwa saya maka saya menerima pelawaan itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditemui pada majlis sama, menyifatkan hasrat Keshvinder itu sebagai keputusan yang bijak.

Beliau berkata BN sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk menerima sesiapa saja untuk menyertainya asalkan mereka bersedia menerima perjuangan BN.


— Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.