Pesuruhjaya PAS WP Sudah Ditemui


Pesuruhjaya PAS Wilayah, Hj. Mohamad yang sebelum ini dilaporkan hilang telah selamat kembali ke rumah jam 2 petang tadi, demikian lapor Herman Shamsudeen di dalam blognya.

"Saya baru tahu selepas cuba menghubungi HP beliau dan bercakap sendiri dengannya sebentar tadi," demikian tulisnya.

Menurutnya di dalam panggilan tadi, beliau sempat bertanya khabar dan lokasi beliau sahaja. Suaranya agak kepenatan, jadi beliau tidak bertanya banyak.

Tapi berdasarkan siasatan dan maklumat sebelumnya, beliau ada urusan peribadi di Temerloh sehingga perlu bermalam disana.

Sebelum ini dilaporkan Ustaz Mohamad Nor Kali didapati hilang dan tidak dapt dihubungi sejak beberapa hari lalu. Kali terakhir beliau dilihat adalah dalam mesyuarat Koperasi Muslimin Berhaddan beliau dilihat keluar dengan Unser merahnya, WJD 4469.

Demikian beritahu anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali kepada Harakahdaily.

MenurutLo' Lo', salah seorang ahli mesyuarat itu memberitahu, Haji Mohamad memberitahu, dia mahu berjumpa dengan kawan pada tengah malam itu.

Namun, selepasnya beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi, kata Lo' Lo'.

Fatwa Larang Lalui Pengimbas Bogel

GAMBAR menunjukkan salah satu pengimbas yang terdapat di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 2 Februari lalu.

WASHINGTON - Majlis Fikah Amerika Utara mengeluarkan fatwa dengan memberi peringatan supaya penumpang beragama Islam tidak melalui alat pengimbas bogel di lapangan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.

"Ia merupakan satu pelanggaran jelas ajaran Islam mengenai lelaki dan wanita dilihat berbogel oleh lelaki dan wanita lain," kata fatwa tersebut.

Larangan itu merupakan tamparan hebat berhubung penggunaan mesin X-ray yang ditempatkan di Lapangan Terbang Heathrow dan Manchester, Britain.

Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 40 alat pengimbas di 19 buah lapangan terbang dan dijangka meningkat sehingga 450 unit pada hujung tahun ini.

Penempatan mesin itu dibuat sebagai sebahagian daripada kawalan keselamatan selepas seorang warga Nigeria, Umar Farouk cuba meletupkan bom dalam seluar dalamnya semasa dia menaiki pesawat komersial ke AS pada 25 Disember tahun lalu.

Umar kini ditahan di sebuah penjara di AS.

Pesuruhjaya PAS Wilayah hilang sejak Khamis


KUALA LUMPUR, 15 Feb — Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor (gambar) yang keluar rumah beliau Khamis lalu dikatakan hilang dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.
Ketua PAS Wilayah Persekutuan selama dua penggal itu, berusia 52 tahun, dikatakan keluar rumah untuk menghadiri mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad pada sebelah malam Khamis lalu dengan memandu kenderaan Unser bernombor pendaftaran WJD 4469.
Sejak itu beliau dikatakan tidak kembali ke rumahnya.

Laporan polis mengenai kehilangan beliau telah dibuat pagi ini, kata Pengerusi Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Saya hanya tahu apabila dimaklumkan pagi tadi bahawa keluarganya akan membuat laporan polis... beliau keluar rumah Khamis lalu dan tidak dapat dikesan sejak itu.

“Oleh itu, saya sudah meminta ahli-ahli Pemuda PAS supaya menggerakkan usaha mengesan beliau,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali yang menghadiri mesyuarat koperasi itu memberitahu Harakahdaily, Mohamad ada memaklumkannya mahu berjumpa dengan kawan beliau tengah malam selepas mesyuarat itu.

“Namun sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar Mohamad berada dalam keadaan selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

“Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera,” katanya.
Dalam pada itu anak Mohamad, Umar berkata kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada malam Jumaat lalu.

Katanya, kira-kira pukul 8 pagi keesokan hari telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.
“Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah kami,” kata Umar.
Menurut Umar lagi, perkara ini tidak pernah berlaku ke atas ayahnya kerana beliau akan memaklumkan pergerakannya kepada keluarga mereka.

themalaysianinsider

Skim Kafalah Kedah

ROYALTI: Ku Li Bersedia Dihukum


KOTA BHARU - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menegaskan beliau tetap ahli UMNO dan sanggup menerima apa tindakan disiplin yang akan diambil ke atasnya sekiranya tindakan beliau menggunakan platform NGO untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung royalti minyak dianggap menyalahi undang-undang dan perlembagaan parti.

Pegawai Khasnya, Mohd Lokman Ghani berkata, tindakan Tengku Razaleigh itu adalah berasaskan pendiriannya yang ingin menyampaikan kebenaran kepada rakyat berhubung isu tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya merasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah tidak faham dan masih tidak faham tentang pendirian Ku Li.

“Sedangkan Ku Li sudah beberapa kali telah ditegaskan bahawa beliau berucap di pentas NGO.

“Saya hairan adakah TPM, Perdana Menteri dan ahli parti semua mendengar ucapan Ku Li. Saya harap dengar dari awal hingga akhir. Apakah kenyataannya itu melanggar perlembagaan dan disiplin parti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Lokman berkata, Ku Li bersedia menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil terhadap beliau memandangkan pendiriannya jelas dan tidak mahu diheret sama untuk berbohong kepada rakyat.

“Kalau kerajaan bohong takkan Ku Li nak ikut kerajaan berbohong. Terpulang kepada parti sama ada beliau bersalah atau tidak kerana apa hendak disampaikan beliau ialah undang-undang dan perjanjian yang telah ditandatangani memandangkan beliau sendiri yang telah menandatangani dan beliau lebih mengetahui soal ini.

“Apa yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar. Beliau tidak mahu berbohong dan mahu bercakap benar. Apakah kenyataan benar dan tepat itu bercanggahan dengan kehendak parti. Apakah Ku Li perlu diseret sama untuk berbohong kepada rakyat semua,” katanya.

Mengulas mengenai wujud dakwaan yang kononnya Ku Li memberikan kenyataan yang berbeza dalam isu tuntutan royalti bagi Kelantan dan Terengganu, Lokman berkata, Ku Li tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbeza kerana masa kes di Terengganu beliau sanggup menjadi saksi (sewaktu kerajaan Pas tuntut royalti minyak dari Kerajaan Pusat) sekiranya dibawa ke mahkamah.

Katanya, perjanjian royalti minyak itu cukup mudah iaitu apabila dalam tiga batu nautika ia memang hak Kerajaan Negeri 100 peratus sepatutnya.

“Tidak sepatutnya dapat langsung (dalam tiga batu nautika) kepada Kerajaan Pusat. Tapi apabila Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri memikirkan bahawa tidak ada minyak di dalam tiga batu nautika ini maka ada perjanjian bahawa jika terdapat minyak di dalam tiga batu nautika atau lebih hasil minyak diserahkan kepada Petronas. Dan Petronas mesti membayar hasil sebanyak 5 peratus kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Itu asas perjanjian. Dalam kedudukan tiga batu nautika ini Kerajaan Negeri sepatutnya tidak memberi satu sen pun kepada Kerajaan Pusat kerana itu memang hak Kerajaan Negeri.

“Tetapi berdasarkan kepada kajian besar kemungkinan minyak tidak ada di dalam kawasan tiga batu nautika, minyak semua berada di luar tiga batu nautika jadi Kerajaan Negeri pada masa itu bertimbang rasa dan Petronas pun sepatutnya bertimbang rasa,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, adakah disebabkan kenyataan Ku Li berbeza dengan Kerajaan Pusat, maka beliau diheret sekali untuk berbohong.

“TPM sepatutnya dimaklumkan perkara yang betul apa yang telah disampaikan oleh Ku Li dan bukannya maklumat yang tidak tepat. Kerana Ku Li berceramah di atas platform NGO iaitu Gerakan Tuntut Royalti Rakyat Kelantan (Gegar),” katanya.

Lokman berkata, kenyataan Muhyiddin juga bertentangan dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz..

“Sehari sebelum Ku Li menyampaikan ceramah tersebut Ahmad dan Nazri menyatakan ia bukan halangan, sekarang lain pula," katanya.

SU Politik Nor Yakcob Letak jawatan



Feb 15, 10 5:15pm: Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah meletakkan
jawatan berkuatkuasa semalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, beberapa lamanweb melaporkan bahawa seorang setiausaha politik telah diminta meletak jawatan selepas ditangkap bersama-sama wang tunai RM2 juta di Pulau Pinang Khamis lalu.

Laporan itu juga menyebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas kereta dan rumah mewah.

Manakala akaun banknya telah dibekukan tahun lalu, selepas SPRM dikatakan mendapati dia hidup di luar kemampuannya.

Ops Sikap: 28 terkorban pada hari ke-8, jumlah 105


KUALA LUMPUR 15 Feb. – Sebanyak 28 kematian dicatat pada hari kelapan Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 7 Februari lepas kepada 105 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt. Rasdi Ramli berkata dalam satu kenyataan hari ini, mereka yang terkorban melibatkan 13 pengguna motosikal, tujuh pengguna kereta, dua pengguna van, tiga pengguna jip, seorang pengguna basikal dan dua pejalan kaki.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 328 kes diikuti jalan persekutuan (325 kes), jalan negeri (162 kes), lebuh raya (62 kes) dan jalan-jalan lain (61 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 938 kes.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 9,408 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik. – Bernama

AJK UMNO Tasek Gelugor Mahu Fail Saman Malu


IPOH 14 Feb. - Ahli perniagaan, Datuk Muhamad Mustaffa Idrus akan memfailkan saman malu terhadap bekas isterinya, Mastura Bakar di Mahkamah Sivil di sini Rabu ini kerana didakwa memfitnahnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Pulau Pinang berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya dalam sebuah akhbar tabloid baru-baru ini menggambarkan beliau melakukan liwat, kaki perempuan dan kaki pukul.

Katanya, turut akan disaman ialah akhbar tabloid dan wartawan akhbar terbabit kerana menyiarkan cerita tersebut serta sebuah laman blog propembangkang yang melabelkan beliau sebagai 'Tiger Woods' Melayu.

Menurutnya, tindakan itu bagi membersihkan namanya serta keluarga beliau yang terjejas akibat kenyataan itu.

"Artikel yang ditulis dalam akhbar itu adalah kenyataan Mastura di luar prosiding mahkamah dan ia sangat memalukan saya dan keluarga kerana saya kini dianggap melakukan liwat dan lelaki gila seks.

"Selepas berita tersebut disiarkan, saya tidak pulang ke rumah dan anak saya juga terpaksa berpindah sekolah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur kerana malu kepada rakan-rakan serta guru-guru," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2006 di Masjid Pengkalan Hulu dekat sini dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun.

Pasangan tersebut bercerai pada 27 Januari lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur membenarkan permohonan cerai fasakh yang dikemukakan oleh Mastura.

Menurut Muhamad Mustaffa, beliau kini hidup tidak keruan dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

Mekah Dilanda Hujan Lebat Lagi


RIYADH 14 Feb. - Hujan lebat yang melanda Mekah semalam menenggelamkan beberapa daerah dan jalan-jalan raya di kota suci itu, lapor media Arab Saudi, sekali gus meningkatkan kebimbangan berulangnya banjir kilat yang membawa maut di sebuah bandar berhampiran, November tahun lalu.

Saluran televisyen milik negara al-Ekhbariya, menunjukkan rakaman beberapa jemaah sedang bersembahyang di atas lantai marmar putih yang basah, sementara beberapa orang yang lain sedang mengelilingi kaabah.

Lokasi Mekah di tengah-tengah lembah padang pasir yang berbukit-bukau, menyebabkannya terdedah kepada banjir kilat ekoran hujan luar biasa lebat.

Kaabah pernah diperbaiki beberapa kali sebelum ini selepas rosak akibat banjir.
Hujan lebat di Mekah berlaku serentak dengan musim cuti sekolah yang bermula Khamis lalu dan ia sering menarik beribu-ribu pelawat terutamanya daripada Arab Saudi.

Hujan jarang berlaku di negara padang pasir itu tetapi kira-kira 130 maut November lalu semasa kemuncak musim haji selepas hujan lebat melanda bandar Jeddah yang terletak lebih kurang 80 kilometer di barat Mekah, mengakibatkan banjir kilat yang turut merosakkan beratus-ratus harta benda ekoran sistem kumbahan bandar itu yang teruk.

Abdallah al-Jeddawi, dari pertahanan awam Arab Saudi memberitahu al-Ekhbariya, tiada kejadian banjir dilapor di Mekah.

"Keadaan kini tenang tetapi beberapa jalan-jalan raya dan daerah di Mekah ditenggelami air," katanya tanpa menyatakan butiran lanjut.

Perkhidmatan berita dalam talian bagi akhbar al-Hayat melaporkan, pasukan pertahanan awam sedang berusaha menyelamatkan 30 orang yang terperangkap di dalam kereta mereka di Mekah. - Reuters

Isu Maulidur Rasul: LGE kecam Utusan, KJ


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengecam segelintir mereka yang bersikap 'rasis' yang didakwanya secara 'terpilih' mendedahkan dokumen yang mendakwa kerajaan negeri pimpinannya telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri di Komplek Tun Razak (Komtar) di Georgetown, Lim mensasarkan akhbar Utusan Malaysia dan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didakwanya telah mencetuskan ketegangan antara kaum berhubung perkara tersebut.

"Saya berharap semua orang menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana harmoni. Namun ada segelintir yang memainkan sentimen perkauman," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP.

Utusan dan Bernama masing-masing melaporkan minggu ini dakwaan bahawa perarakan Maulidur Rasul untuk mengingatkan keputeraan Nabi Muhammad SAW telah dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi Insitut Kefahaman Islam (Ikim), turut mengulas perkara itu.

Dalam reaksinya terhadap laporan tersebut, Lim menafikan perarakan tersebut telah dibatalkan dan menyifatkan laporan itu satu pembohongan, dan berkata perarakan tahun ini akan diteruskan seperti yang dirancangkannya.

Lim juga berkata para menteri dari BN juga dijemput mengambil bahagian.

Bagaimanapun, dalam blognya, Khairy menyiarkan imej sepucuk surat - dari satu lagi blog pro-Umno - yang menyatakan perarakan itu telah dibatalkan.

Surat bertarikh 5 Februari 2010 itu dikatakan telah dihantar dari pejabat setiausaha kerajaan negeri, kepda semua ketua jabatan negeri dan pusat, badan berkanun serta presiden majlis perbandaran di Pulau Pinang.

Jawatankuasa negeri Pulau Pinang yang mengendalikan sambutan Maulidur Rasul di peringkat negeri itu, telah mengadakan satu mesyuarat pada 3 Februari lalu, dan memutuskan perarakan telah dibatalkan, menurut surat tersebut.

Sebaliknya, menurut surat itu lagi, satu perhimpunan akan diadakan pada 26 Februari di mana kesemua ketua jabatan dan badan kerajaan diminta hadir.

Sehubungan itu, Khairy berkata, Lim perlu menjelaskan perkara itu secara ikhlas dan jujur, selaras dengan aspirasi pentadbirannya yang cekap, berakauntabiliti dan telus.

Khairy juga menegaskan mengenai lamanweb jabatan halehwal agama Islam Pulau Pinang telah mengumumkan mengenai perhimpunan pada 26 Februari itu, tetapi tiada mengenai perarakan.

Tiga surat
Di Komtar hari ini, Lim sekai lagi menafikan perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan dan sebaliknya menuduh ada pihak yang cuba membesar-besarkan perkara itu.

Kerajaan Pulau Pinang, kata Lim, telah mengeluarkan tiga pucuk surat mengenai perarakan tersebut, dan tiada satupun yang mengandungi 'keputusan muktamad' mengenainya.

Surat pertama bertarikh 13 Januari, membincangkan mengenai perarakan dan meminta mereka yang dihantar surat itu, supaya menjawabnya pada 19 Februari, kata Lim.

Surat kedua - yang menurut Lim yang dirujuk oleh Khairyu dan pihak lain - dikeluarkan pada 15 Januari kepada semua masjid dan pertubuhan Islam - meminta maklumbalas mengenai perhimpunan dalaman Maulidur Rasul.

Manakala dalam surat ketiga bertarikh 12 Februari, kata Lim, dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua perhimpunan dan perarakan itu akan diadakan.

Sehubungan itu, Lim mendakwa, ada segelintir orang yang cuba memainkan sentiman perkauman dengan secara salah mentafsirkan perkara tersebut.

"Kita telah mengeluarkan tiga pucuk surat, tetapi mereka tidak membaca kesemuanya. Kemudian mereka membuat kenyataan palsu mengenainya," katanya.

Lim juga membidaskan sesetengah media Melayu dan Inggeris yang tidak menyiarkan kenyataan kerajaan Pulau Pinang mengenai perkara itu.

28 Gerabak KTMB Tergelincir di Guar Stesen


Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kebocoran gas di salah satu gerabak yang tergelincir di Kampung Guar Stesen ketika dalam perjalanan dari Alor Setar, semalam.

GUAR CEMPEDAK 14 Feb. - Sebanyak 28 buah gerabak kereta api barang dipercayai dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir di Kilometer 58.35, berdekatan Kampung Guar Stesen di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang tadi, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Guar Cempedak dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalankan kerja-kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir tersebut.

Kejadian itu menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Haadyai dari Gemas, Johor dan perkhidmatan Ekspress Haadyai-Langkawi dari Padang Besar tergendala kerana landasan ditutup.

Jurucakap KTMB yang ditemui di tempat kejadian memberitahu bahawa kerja-kerja membaik pulih landasan dijangka selesai selewat-lewatnya petang esok, sebelum laluan itu boleh dibuka semula.

Utusan Malaysia difahamkan terdapat sedikit kebocoran gas dipercayai berpunca daripada gerabak yang tergelincir itu.

AWAS: Penipuan Siber Meningkat Di Negara Ini


Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kajiselidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri, berkata menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran e-mel dengan menggunakan soalan yang menyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi e-mel," katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknoloji dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' di mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat e-mel cyber999@cybersecurity.my. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.