Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kebocoran gas di salah satu gerabak yang tergelincir di Kampung Guar Stesen ketika dalam perjalanan dari Alor Setar, semalam.
GUAR CEMPEDAK 14 Feb. - Sebanyak 28 buah gerabak kereta api barang dipercayai dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir di Kilometer 58.35, berdekatan Kampung Guar Stesen di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang tadi, bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Guar Cempedak dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalankan kerja-kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir tersebut.
Kejadian itu menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Haadyai dari Gemas, Johor dan perkhidmatan Ekspress Haadyai-Langkawi dari Padang Besar tergendala kerana landasan ditutup.
Jurucakap KTMB yang ditemui di tempat kejadian memberitahu bahawa kerja-kerja membaik pulih landasan dijangka selesai selewat-lewatnya petang esok, sebelum laluan itu boleh dibuka semula.
Utusan Malaysia difahamkan terdapat sedikit kebocoran gas dipercayai berpunca daripada gerabak yang tergelincir itu.
0 comments:
Post a Comment