Mana Wakil Rakyat Baru nie.. Tolong Tengok Sat.. Penduduk Dah Marahkan JKR, Depa Pakat Bakar Geran Tanah La Pulakkk....


Kecewa dengan projek pembesaran jalan yang didakwa menimbulkan banyak masalah, penduduk sebuah kampung di Port Dickson hari ini membakar geran tanah asli mereka sebagai tanda bantahan.

Dengan bantuan sebuah NGO pemantau prestasi jabatan kerajaan, mereka juga mendirikan sebuah papan tanda besar ala papan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) bertulis "Tapak cadangan tanah perkuburan baru" dan "Homestay mencari maut".

Menurut timbalan pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (GEMPAK) Rahimuddin Md Harun, penduduk dan NGO terbabit hari ini mengambil tindakan tersebut kerana kecewa dengan pemantauan JKR terhadap projek tersebut.

Sejak dimulakan pada 2004, tambahnya, projek pembesaran jalan Pasir Panjang-Port Dickson itu tidak dijalankan dengan baik sehingga menyebabkan rumah-rumah di sekitarnya terdedah kepada risiko dirempuh kereta dan banjir.

Katanya, jalan yang ditambak beberapa kaki itu, dengan saliran yang tidak sempurna menyebabkan air dan selut melimpah masuk ke rumah penduduk setiap kali hujan.

Jalan baru tersebut juga tidak mempunyai penghadang bagi mengelakkan kereta yang terbabas merempuh rumah mereka, tambahnya.

Sebanyak 72 keluarga - kira-kira 300 penduduk - terlibat dalam projek pembesaran jalan sejauh kira 5 kilometer itu.

Rahimuddin berkata, penduduk telah mengadukan perkara tersebut kepada pelbagai pihak, termasuk JKR, wakil rakyat, kerajaan negeri, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

"Kalau hendak kumpul semua aduan, sudah satu rim kertas. Janganlah pandai menabur janji dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor sahaja, tetapi dengarlah juga rintihan penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas bantahan tersebut.
Rahimuddin juga berkata, penduduk Pasir Panjang tidak membantah pembangunan "tetapi janganlah kerana pembangunan, keselesaan dan hak penduduk diabaikan".

Menurut Rahimuddin, projek tersebut diusahakan oleh Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan, sebuah anak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Kira-kira 70 penduduk setempat hadir menyatakan bantahan itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

MP Parlimen Padang Terap Buat Laporan Polis Terhadap Apco


Tidak cukup dengan dua laporan polis yang dibuat sebelum ini, seorang lagi ahli parlimen pembangkang Nasir Zakaria membuat aduan yang sama terhadap firma perunding APCO Worldwide dan pembabitannya dengan kerajaan Malaysia.

Ahli parlimen Padang Terap itu memberitahu Malaysiakini, beliau membuat laporan tersebut di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah kira-kira jam 1.00 petang tadi.

Dalam aduannya, Nasir berkata, beliau yakin, syarikat tersebut "mempunyai kaitan dengan kerajaan haram Israel", berdasarkan rekod perjanjiannya dengan negara tersebut sebelum ini.

"Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

"Sudah tentu berurusan dengan syarikat tersebut, yang lembaga pengarahnya terdiri daripada tokoh-tokoh besar negara Israel akan mendedahkan banyak rahsia negara kepada akses pihak luar," laporan polis tersebut dipetik.

Sebelum ini, dua laporan polis berhubung isu yang sama telah dibuat di Kuala Lumpur oleh ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali dan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin di Kuala Lumpur.

Dr Lo' Lo' yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS membuat laporan tersebut semalam di Balai Polis Jalan Dang Wangi. Manakala Shamsul Iskandar pula tampil mengadu pada Selasa di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam laporannya hari ini, Nasir yang juga ketua penerangan PAS Kedah menggunakan teks aduan yang sama digunakan oleh Dr Lo' Lo'.

Beliau ditemani beberapa pemimpim parti itu di peringkat PAS kawasan dan PKR cabang di kawasan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas membuat laporan tersebut, Nasir juga memberitahu, mereka telah mengedarkan risalah menjelaskan isu Apco di pekan sehari Kuala Nerang sebelum ini.

Pengerusi UMNO Kedah Kecewa Tak Dapat Guna dewan, tandas



Datuk Seri Shafie Apdal kecewa kerana tidak dapat menggunakan sebuah dewan orang ramai di Kampung Selisek, di Ulu Bernam, Selangor. Menter pembangunan luar bandar itu berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat bertindak tidak adil setelah membentuk kerajaan di Selangor.
"Bila kita buat (tindakan serupa ke atas Pakatan), tidak boleh. Tapi bila dia buat tidak apa. "Kalau tidak boleh guna (dewan) pun tidak jadi masalah, cuma kita hendak tunjukkan gambaran bahawa mereka tidak adil," katanya dalam sidang media selepas majlis menyampaikan dividen berjumlah RM580,500 kepada golongan peneroka di situ. Kegagalan untuk menggunakan dewan itu memaksa penganjurnya Risda mengadakan program berkenaan di kawasan padang sekolah di sebelah dewan berkenaan. Turut bercakap dalam sidang media sama ialah pengerusi Risda Tan Sri Rahim Tamby Chik. Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kira-kira 1,000 yang hadir dalam program berkenaan merupakan golongan warga emas. "Pintu tandas dewan pun dikunci, kasihanlah sebab yang datang ini ramai orang-orang tua," katanya. Turut hadir di majlis itu ialah penyelaras parlimen BN Hulu Selangor Datuk G Palanivel, wakil rakyat Ulu Bernam Datuk Idris Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan bawah kementerian Shafie. Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata BN tidak mengamalkan diskriminasi kepada pihak yang tidak menyokongnya. "Negeri Kelantan bawah kerajaan pembangkang pun kita bantu... Tapi sedihnya kita hari ini, kita bina dewan tapi sekarang tak boleh guna dewan," katanya. Beliau dalam pada itu turut membidas pemimpin pembangkang, dengan menjadikan Lim Kit Siang sebagai sasaran. Beliau menyebut gelagat pemimpin popular DAP itu di Dewan Rakyat yang didakwa cuba untuk mempertikaikan kedudukan institusi beraja di negara ini. "Titah (Yang di-Pertuan) Agong pun Lim Kit Siang hendak ubah... Sudahlah tidak sokong, keluar pula dari dewan. "Ini saya tengok dengan mata kepala saya sendiri," katanya. Dalam ucapannya itu, beliau turut merayu supaya sokongan terhadap BN diteruskan dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor yang pada 25 April ini. Risda hari ini menganjurkan majlis tersebut bagi mengagihkan bayaran dividen kepada 253 orang peneroka getah dan kelapa sawit melibatkan kawasan seluas 70 hektar.

Laporan Polis Terhadap Timb. Pengerusi UMNO Kedah didakwa menghasut Imam Derhaka kepada KDYMM Sultan Kedah

Kacau pentadbiran Majlis Agama, Pemuda kedah buat Laporan Polis terhadap Dato' Bashah
Laporan Polis akan dibuat pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar.

Dato' Ahmad Bashah Md. Hanifa hasut imam derhaka KDYMM Sultan Kedah.

Saya, Ahmad Bin Yahya, selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, dengan ini membuat laporan polis kerana mendapati ada unsur hasutan dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Dato' Ahmad Bashah Md. Hanifa untuk mempengaruhi para imam di negeri Kedah Darul Aman untuk mengingkari titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Laporan saya ini adalah berpandukan laporan akhbar Sinar Harian, dalam muka surat U5, bertarikh 06 April 2010.
Dalam laporan akhbar tersebut, Dato' Ahmad Bashah dengan jelas meminta para imam agar tidak mengisi borang M4 yang telah diedarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah bagi tujuan mengemaskinikan data institusi imam di negeri ini.

Pengedaran borang M4 adalah mengikut arahan yang termaktub dalam Seksyen 63, Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah yang telah mendapat limpah perkenan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan selaku Ketua Agama Islam bagi Negeri Kedah.

Oleh yang demikian, amat jelas bahawa, Dato' Ahmad Bashah dengan sengaja cuba menghasut para imam yang menerima borang M4 untuk mengingkari titah perkenan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana beliau mengarahkan agar para imam tidak mengisi borang tersebut.

Bagi saya, secara tidak langsung, Dato' Ahmad Bashah juga telah campur tangan dalam urusan pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri kedah yang dinaungi oleh KeBawah Duli Yang maha Mulia Tuanku Sultan.

Sekian sahaja laporan saya.

Azmin: Pilih Calon Parti , Bukan memilih Calon Katak



KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) akan memilih calon yang mampu mewakili parti dan bukan yang menang kemudian lompat parti, demikian tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata PR akan mengumumkan calonnya pada 13 April ini di Pusat Komuniti Serendah di sini.

Katanya pakatan yang turut terdiri daripada PAS dan DAP telah membuat keputusan menyerahkan kepada PKR untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Senarai calon terlalu panjang dan kita (pakatan) akan mendengar pandangan dari negeri dan akar umbi sebelum menentukan calon.

Kita akan pilih calon yang betul-betul boleh mewakili kita bukannya calon yang menang kemudiannya lompat (parti), kita mahu calon yang berpegang pada amanah yang diberikan rakyat," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Baru di sini Jumaat malam.

Pilihan raya kecil itu diadakan pada 25 April ini berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac. Pencalonan diadakan pada 17 April.

-- BERNAMA

Teresa: Teluskah Suhakam? Kalau tak Telus Bukan Lagi Suhakam Namanya.... HARU BIRU



Oleh Noor Safinas Ghazali

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen (AP) Seputeh, Teresa Kok Suh Sim meminta Perdana Menteri (PM) menyatakan sebab Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan (selection committee) tanpa berunding dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) memandangkan akta SUHAKAM menyatakan bahawa 3 orang ahli NGO seharusnya dilantik dalam Jawatankuasa Pemilihan tersebut.

"Isu ketelusan Suhakam dipersoalkan kerana jawatankuasa itu dilantik oleh Najib Razak.

"Sejauh manakah Suhakam mampu menjadi sebuah badan bebas juga terus dipertikaikan," jelas Teresa ketika dihubungi oleh Erapakatan.com.

Jawatankuasa pemilihan Suhakam seharusnya dipilih dari golongan yang tidak mempunyai kepentingan politik, ekonomi dan agama, serta mereka mestilah berkecuali supaya rakyat akan lebih percaya kepada Suhakam.

Dalam satu kenyataan balas yang dipetik media, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata tiada peruntukan dalam akta itu yang mengatakan bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan NGO terlebih dahulu.

Era Pakatan

Hj. Ahmad Yusof : Hadiah kemenangan kepada penyokong setia


ALOR SETAR - Pasukan Kedah sekali lagi mahu menghadiahkan penyokongnya dengan kemenangan pada pusingan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata, anak buahnya kini sedang sibuk menjalani latihan bagi mengukuhkan corak permainan dan yakin pasukan itu sudah bersedia dengan perlawanan berkenaan.

Menurutnya, skuad Kenari dan Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk memenangi Piala FA musim ini namun dengan persediaan yang dijalankan, beliau yakin anak buahnya mampu beraksi cemerlang.

“Saya yakin pemain dapat beraksi cemerlang sekiranya mereka memberi tumpuan pada sesi latihan.

“Jadi, kita juga mengharapkan sokongan yang padu daripada penyokong untuk perlawanan akhir nanti, dan berharap mereka akan memberi sokongan yang sama seperti perlawanan semi-final, Sabtu lalu,” katanya.

Ahmad berkata, diharapkan penyokong dapat memberi sokongan dan semangat kepada pemain dari awal perlawanan sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, bagi penyokong Kedah pula, mereka sentiasa mengharapkan kemenangan daripada skuad Kenari.

Penyokong Kedah, Badrul Hisham Mohd Ridhwan, 28, berkata, pasukan Kedah pasti memperoleh kemenangan kerana pasukan itu sudah meningkatkan dan memperbaiki corak permainan.

“Saya yakin pemain akan dapat beraksi cemerlang namun mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan corak permainan walaupun sudah memperoleh satu gol.

“Pemain perlu mengekalkan corak permainan mereka agar menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Ashraf Khalid, 26, berkata, penyokong Kedah akan sentiasa memberi sokongan kepada skuad Kenari untuk meraih kemenangan.

Khairul Ashraf berkata, pemain tidak boleh leka sewaktu hari perlawanan kerana bimbang pasukan lawan akan mengambil kesempatan.

“Pemain kena kekalkan strategi menyerang dan jangan leka agar pasukan lawan tidak mudah mematahkan corak permainan pasukan Kedah.

“Pemain juga perlulah mempunyai semangat yang sama seperti semi-final, agar mereka dapat mengekalkan kejayaan mereka,” katanya.

Mohd Zaki Zulkifli, 29, berkata, kemenangan daripada pasukan Kedah amatlah diharapkan bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Menurutnya, walaupun Negeri Sembilan mempunyai pemain yang mantap namun yakin pasukan Kedah mampu menewaskan pasukan itu sekiranya pemain memberi tumpuan yang sepenuhnya pada hari perlawanan nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.