Teks oleh Haswari Ali
Foto oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 12 APRIL 2010: Segala gejolak rasa, gundah-gulana serta seribu resah yang menghambat jiwa pelakon jelita bernama Maya Karin atau nama penuhnya, Maya Karin Roelcke, 29, hanya dia sajalah yang tahu, mengerti serta memahaminya.
Tidak kiralah, sama ada dia cuba menafikan atau memberi tahu kebenarannya. Hakikatnya, dalam apa jua situasi pun, sama ada dia cuba menidakkan mahupun mengiyakan pengakuan ikhlasnya, semakin hebatlah tamparan yang bakal diterimanya.
Namun, kerana sedar kehidupan dunia selebriti penuh dengan onak duri, Maya yang baru saja ditemui murai.com.my sebentar tadi sempena perlantikannya sebagai duta terbaru tilam Vono, mungkin terpaksa pasrah dan redha dengan apa yang berlaku.
Dia sedar, situasi sama pernah dihambatnya lebih setahun lalu sebelum dia mengambil keputusan memilih Steven David Shorthose, 39 sebagai pasangan hidupnya. Maka bersandarkan faktor itu jugalah membuatkan dia tenang dan kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Kini masalah yang seakan serupa bertaut kembali. Rumah tangganya yang kini goyah telah disalah ertikan oleh sesetengah pihak. Ada yang beranggapan wujudnya kehadiran orang ketiga disebalik permasalahan yang cukup merumitkan itu.
Kehadiran pelakon kacak, Remy Ishak yang mula didekatinya sejak pementasan teater Natrah tidak lama dulu telah menjadi buah mulut di sana-sini, sedangkan keakraban mereka hanya terletak di atas landasan sebagai seorang teman semata-mata.
“Entahlah, apa boleh buat. Memanglah tak baik orang buat macam tu pada saya. Apa yang berlaku, hanya saya yang tahu. Tapi, saya tak dapat nak buktikan apa-apa, walaupun sudah banyak kali, ianya datang dari mulut saya sendiri.
“Apa yang peliknya, kenapa bila berlaku isu perpisahan antara kekasih, mahupun pasangan suami isteri, isu orang ketiga pastinya akan timbul. Inilah persoalan yang kerap kali membelenggu diri saya,” katanya seraya menafikan Remy sebagai punca rumah tangganya goyang.
Kata Maya, kala ini dia dan suami masih lagi berhempas pulas menyelesaikan permasaalahan yang entah bila akan tiba ke penghujungnya.
Pelakon yang akan tampil dengan filem Cun itu beranggapan, biarlah masalah peribadi yang membelenggu dirinya itu diselesaikan mengikut cara yang betul dan bukan dengan cara mengembar-gemburkannya kepada orang ramai.
"Terlalu awal untuk saya berkongsi tentang perkembangan terkini perihal rumahtangga saya dan suami. Ianya terlalu sensitif dan terlalu peribadi untuk diceritakan.
“Apa yang boleh saya katakan di sini, saya sedang mencari kebahagiaan. Kalau ditanya saya masih sayangkan Steve? Jawapannya ya. Kami akan selalu menyayangi satu sama lain walau apa juga yang terjadi. Sebuah perasaan yang sama seperti pasangan suami isteri yang lain,” katanya dengan tenang.
Maya percaya, prinsip hidup yang tetap dan berani menghadapi segala kemungkinan adalah penawar mujarab untuk sentiasa tenang walau sebesar mana gelombang kehidupan yang hadir di hadir di depan matanya.
Dia tahu, kecantikan yang dikurniakan kepadanya dan populariti yang dikecapinya sekarang adalah sesuatu yang perlu disyukuri dan dinikmati, meskipun jauh di dalam sudut hatinya dia berhadapan dengan permasalahan paling rumit bagi seorang wanita.
“Saya tengah berhadapan dengan masalah ketika ini dan saya perlu bijak menanganinya. Semakin jauh saya lari, semakin ramai yang akan cuba mengorek serta memdedahkannya kepada pihak umum. Sebagai, public figure, ada kalanya saya terpaksa kongsi hal-hal peribadi sebegini. Tapi apa yang boleh saya nyatakan di sini, biarkan saya simpannya dahulu. No comment untuk apa-apa yang lebih lanjut,” kata wanita berprinsip itu.
Ambilan:
http://www.murai.com.my/