
Ahad lalu, Pornthip mendedahkan beliau terpaksa menarik diri daripada menghadiri perbicaraan inkues itu kerana mendakwa terdapat 'ganguan politik' daripada kerajaan Malaysia.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat daripada pegawai kerajaan Thailand bahawa rakan sejawatan mereka memberikan "isyarat" kepada kementerian luar Thailand bahawa kedatangan Pornthip tidak dialu-alukan di Malaysia.
Pornthip memberitahu beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.
Pakar patologi berusia 54 tahun itu berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Pornthip dijadualkan memberi keterangannya pada 20 April ini dan dijangka akan disoal mengenai pengamatannya terhadap bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat mendiang Teoh.
Dia menerima pelawaan kerajaan Selangor bagi membantu menentukan punca kematian Teoh berdasarkan pro bono, iaitu perkhidmatan kerajaan kepada kerajaan tanpa sebarang bayaran.
Menurut beliau kebimbangan mengenai keselamatannya bermula apabila pada November tahun lalu ketika terbabit dalam bedah siasat kedua, Pornthip diekori oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

"Saya menerima jemputan kerajaan Selangor sebagai pakar sukarelawan yang bebas kerana saya anggap ini adalah kes di mana seorang insan telah menderita. Bagaimanapun apa yang saya lalui ketika melaksanakan tugas itu di Malaysia, menjadikan saya kurang selesa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment