Teks oleh Razif Rosdi
MELAKA, 16 JULAI 2010: Sewaktu ditemui di lokasi penggambaran telemovie Lawaknya Fantasia Raya terbitan Astro Ria di Merlimau, Melaka, petang semala, pelakon jelita Rozita Che Wan memberitahu murai.com.my bahawa dia bakal menamatkan zaman jandanya bersama seorang lelaki bujang yang berusia 2 tahun lebih muda daripadanya tidak lama lagi.
Malah, kakak kepada Ayu Raudah yang menjadi tunjang utama dalam telemovie Lawaknya Fantasia Raya ini e menegaskan tidak meminati lelaki berstatus duda untuk dijadikan suami baru dalam hidupnya.
Pengakuan Rozita ini secara tidak langsung dapat melenyapkan tanggapan segelintir pihak bahawa dia gemar memburu lelaki kaya raya yang berstatus duda atau pun suami orang.
Bercakap lebih lanjut tentang buah hatinya yang masih bujang itu, Rozita berkata, diaa akui dia sudah lama mengenali si dia itu.
"Dia ni orang KL tapi bekerja di luar negara. Saya kenal dia sebelum saya jadi pelakon lagi. Sebelum ini, memang kami ada cakap pasal nak kahwin tetapi masih belum ada kata putus bila waktunya kami akan sah menjadi suami isteri.
"Kami ni jenis jarang keluar dating. Tapi sebagai orang biasa kami nak juga berdating. Apapun, dalam perhubungan, saya rasa yang amat penting adalah komunikasi. Kalau tak jumpa tak pe. Cukuplah setiap pagi sekadar dia SMS saya beritahu dia di mana dan apa yang dia buat.
"Oleh sebab kami jarang keluar...jadi, susahlah kalau orang nak lihat kami berdua bersama. Namun, andai kata orang terserempak dengan kami, saya tak kisah. Setakat ini, kami cuba mengelak dari kantoi berjumpa dengan orang lain," katanya.
Berterus-terang lebih mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, Rozita mengatakan lelaki tersebut adalah kawan lamanya dan pernah putus hubungan selepas dia mendirikan rumah tangga dengan suami terdahulu.
"Saya suka lelaki bujang. Lelaki duda sama sekali tak ada dalam kamus hidup saya untuk dijadikan suami. Jangan pula ada sesiapa tersinggung. Saya bukannya apa. Kalau duda takut nanti mereka mudah terasa hati dan saya sendiri takut tak dapat nak seimbangkan perhubungan itu.
"Yelah, saya ni ibu tunggal dan ada anak, kalau duda pun mesti sama situasi sama dengan saya. Susah nak bahagikan kasih-sayang anak sendiri dengan anak tiri. Jadi, nanti takut lagi memeningkan hubungan kami lagi. Dengan teman lelaki sekarang ni pun, saya awal-awal lagi dah beri amaran kepadanya. Kalau dia tak dapat terima anak saya, susahlah jawabnya.
"Sebenarnya, saya takut juga nak berkahwin. Namun, saya dah matang dan sudah ada pengalaman. Saya pun dah tak tahu apa nak buat. Paling penting sekali adalah banyak bersabar. Kita kena tahu, lelaki dan perempuan banyak bezanya," jelasnya.
Bercakap pula tentang karier lakonannya, Rozita memberi tempoh bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir dia akan menjadi pelakon. Malah, dia sudah nekad untuk tidak mahu berlakon lagi pada tahun selanjutnya dan hanya akan berlakon untuk menyambung wataknya dalam mana-mana drama bersiri melibatkannya sebagai pelakon.
"Saya betul-betul sudah nekad tak mahu berlakon lagi. Keputusan ini dibuat berdasarkan satu insiden yang saya alami sebelum ini .Sesungguhnya, saya kecewa kerana pa perkara yang kecil telah pun diperbesar-besarkan. Padahal perkara yang sepatut diperbesarkan tak pula dibicarakan. Apa pun saya tak mahu ulas lebih lanjut tentang hal ini. Biarlah saya seorang saja yang tahu," katanya.
"Saya bukannya berhenti sebab nak kahwin. Namun, saya rasa keputusan saya ni sedikit sebanyak akan menggembirakan hati teman lelaki saya. Sebenarnya saya dah penat dengan kontroversi yang melanda diri saya. Kalau saya tak ada dalam industri ni mesti semua kontroversi dah tak ada.
"Saya nak bebas dari gosip lepas saya bersara nanti. Saya bukannya rimas dengan privasi saya yang ingin sentiasa diketahui peminat. Saya pun tak nak salahkan peminat . Dulu masa saya ni bukan artis pun saya akan buat perkara yang sama macam yang mereka buat," katanya.
Apapun, Rozita mengatakan dia pada mulanya tidak berniat langsung untuk menjadi pelakon. Namun, atas faktor gaji lumayan, pelakon yang sering mengenakan bulu mata palsu ini akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan karier sebagai aktres.
"Saya jadi pelakon bukansebab nak cari glamor. Saya berlakon sebab sebab gaji yang lumayan yang saya terima. Pada masa itu, saya pun fikir mana ada kerja yang dapat pulangan yang lumayan sebegini. Walaupun tak minat berlakon tapi inilah kerja yang paling lama saya pernah buat. Dah 4 tahun saya jadi pelakon. Dulu saya jadi pramugari pun selama 2 tahun je.
"Selepas bersara saya nak buka perniagaan. Tentang meniaga bula mata palsu pula, ianya sudah pun dalam proses. Saya akan jual bulu mata palsu yang lain dari lain. Mungkin saya akan ubah sedikit dengan design yang sedia ada. Saya jual bulu mata palsu ni pun sebab permintaan peminat. Anak saya sendiri pernah cakap dengan saya bahawa cikgu dia ada minta dan nak beli bulu mata yang saya guna.
"Perniagaan yang saya akan buat pada akan datang pula belum saya ketahui lagi jenisnya. Namun,perniagaan ini tidak ada ditaja mana-mana pihak. Insya-Allah, selepas raya nanti, saya baru akan beritahu jenis perniagaan yang saya akan lalui. Perniagaan itu mestilah perniagaan yang boleh sara hidup saya sekeluarga selepas saya tak jadi pelakon lagi," jelasnya.