Norman KRU Mengamuk Di Pasar Malam Taman Selayang Indah



NORMAN Abdul Halim (kiri) memeriksa DVD dan VCD di Pasar malam Taman Selayang Indah, Kuala Lumpur, semalam.Gambar - Muhd Izani Jamaludin


KUALA LUMPUR 17 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim bertindak nekad melakukan 'amukan' di pasar malam Taman Selayang Indah di sini petang ini untuk merampas filem keluaran dan edaran syarikatnya yang dicetak rompak dan dijual.

Serbuan pada 7 petang itu dilakukan Norman bersama sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Gombak.

Hasilnya, Norman berjaya menemui dua gerai yang menjual lebih 2,000 keping cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) dan cakera padat (CD) cetak rompak termasuk keluaran syarikatnya.

Seperti disangka pelbagai filem dan lagu edaran dan keluaran pelbagai syarikat tempatan ditemui.

Terkejut melihat tindakan Norman yang merupakan seorang artis terkenal, penjual cakera cetak rompak itu cuba meraih simpati dengan pelbagai cerita sedih bagi menutup kesalahan mereka.

Namun bagi memperjuangkan periuk nasi golongan artis, Norman menyerahkan perkara itu kepada penguat kuasa KPDNKK untuk tindakan lanjut.

Norman sebelum itu berkata, serbuan terpaksa dilakukan selepas tinjauan syarikatnya mendapati keluaran DVD filem syarikatnya yang dijual dengan harga RM9.90 iaitu My Spy danDisco Worms sejak Mei lalu, juga telah dicetak rompak.

"KRU Studios cuba membantu peniaga pasar malam dengan memperkenalkan dua filem yang murah tetapi mereka masih berdegil dan mahu menjualkan yang cetak rompak. Mereka menjual pada harga RM7 hingga RM8.

"Tidak cukup dengan itu, dalam tinjauan tersebut empat pengedar kami turut dibelasah sekumpulan empat lelaki sehingga cedera," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Norman menambah, akibat kegiatan cetak rompak itu syarikatnya kini menanggung kerugian apabila sebanyak 15,000 daripada 20,000 keping DVD yang dicetak gagal dijual di pasar malam seperti yang disasar.

Sementara itu Ketua KPDNKK Cawangan Gombak, Ramli Nayan berkata, berikutan serbuan dua peniaga terdiri daripada lelaki dan perempuan berusia 38 dan 52 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut.

1 comments:

  1. hanya berani serbu pasar malam.......... sebab org melayu berniaga........... cuba pasaraya.......... ada berani

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.