TERKINI
KOTA BARU, 28 Mei — Anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini memohon maaf kepada Umno termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri kerana menuduh pemimpin-pemimpin parti itu mendalangi kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, S. Vell Paari memberitahu, beliau mengambil keputusan itu selepas menjelaskan pendiriannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
“Mengambil kira perkembangan semasa, adalah jelas kepada saya bahawa Umno tidak terlibat dalam apa jua cara kempen GAS.
“Banyak pemimpin Umno telah dengan jelas mengatakan pendirian mereka bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerjasama dengan V. Mugilan dalam apa jua cara (dalam menggerakkan GAS).
“Oleh itu, saya mahu meminta maaf kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan juga Umno berhubung kenyataan saya sebelum ini,” katanya.
Sejak awal minggu ini pelbagai peringkat ahli Umno mendesak Vell Paari meminta maaf secara terbuka kepada Presiden Umno berikutan tuduhan liar yang dibuatnya terhadap parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu.
Vell Paari telah menuduh Umno menggunakan ‘pembunuhan politik’ untuk memecahbelahkan MIC.
Sambil merujuk desas-desus mengenai kewujudan GAS mendapat restu pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar Umno kerana memulakan tindakan berbahaya.
Tindakan anak Presiden MIC itu pula disifatkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.
Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Vell Paari mempertahankan tuduhannya bahawa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC termasuk kini menyokong kempen puak anti-Presiden MIC.
“Apa yang saya perkatakan adalah isi hati orang bukan Melayu, dalam hal ini yang membabitkan ahli-ahli MIC dan masyarakat India... untuk itu, jika Tan Sri Muhyiddin mengatakan saya biadap, saya dilabelkan
biadap, biarkan,” kata beliau.
Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.
Bagaimanapun Vell Paari berkata, beliau tiada masalah untuk memohon maaf kepada kepimpinan Umno jika apa yang diperkatakan itu sesuatu yang salah dan dibuat secara sembarangan dan tanpa alasan munasabah.
Dalam kenyataan dikeluarkan di ibu negara, Vell Paari berkata, beliau berpendapat menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan ayahnya.
“Saya memberi reaksi kepada hakikat bahawa V. Mugilan dan G. Kumar Aamaan berulang kali dan secara terbuka menyeret nama Umno dalam kenyataan-kenyataan dan tindakan mereka.
Vell Paari seterusnya berkata, beliau telah menjelaskan kedudukannya kepada perdana menteri hari ini.
“Dalam usaha bergerak ke depan, saya berharap kita boleh meninggalkan kesemua perkara ini di belakang dan bekerjasama seperti yang kita selalu lakukan dalam keluarga BN,” katanya.